Hakim Danish mula dari petak ke-15 GP Thailand
Oleh Sukhairi Thani - Februari 28, 2026 @ 3:41pm

GP Thailand di Litar Antarabangsa Buriram akan menjadi aksi pertama Hakim Danish dalam musim penuh saingan berprestij itu. - AFP
KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan peningkatan positif apabila berjaya mara ke sesi kelayakan kedua (Q2) pada pusingan pembukaan Kejuaraan Motosikal Dunia di Grand Prix Thailand, hari ini.
Aksi di Litar Antarabangsa Chang menyaksikan pelumba AEON Credit-MT Helmets-MSI itu mengungguli sesi kelayakan pertama (Q1) selepas mencatat masa terpantas 1 minit 41.476 saat (s) sekali gus mengesahkan tempat dalam kelompok penentuan grid utama.
Bagaimanapun, momentum cemerlang itu tidak dapat diteruskan sepenuhnya dalam Q2 apabila Hakim Danish merekodkan 1:41.761s untuk menamatkan sesi di kedudukan ke-15, sekali gus bakal memulakan perlumbaan dari barisan kelima esok.
Petak utama menjadi milik pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact GP, David Almansa yang mencatat 1:40.088s.
Pelumba Red Bull KTM Ajo, Alvaro Carpe berada di petak kedua dengan 1:40.518s, manakala Adrian Fernandez dari Leopard Racing melengkapkan barisan hadapan selepas merekodkan 1:40.693s.
Sementara itu, rakan sepasukan Hakim Danish, Ryusei Yamanaka, akan memulakan perlumbaan dari petak ketujuh selepas mencatat masa 1:41.198s.
Semalam, pelumba berusia 18 tahun itu menamatkan sesi latihan bebas pertama dengan catatan 1:42.584s sebelum memperbaiki catatannya pada sesi latihan di sebelah petang, 1:42.084s.
GP Thailand menandakan permulaan musim penuh pertamanya dalam saingan elit dunia itu selepas mencuri perhatian tahun lalu menerusi penampilan wildcard di Grand Prix Malaysia.
Di Litar Antarabangsa Sepang, Hakim Danish tidak bernasib baik apabila gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh namun bangkit membuktikan kemampuannya di pentas Eropah dengan menamatkan saingan di tempat ke-12 di Portugal dan ke-14 di Valencia ketika menggantikan Yamanaka yang menjalani proses pemulihan.
https://www.bharian.com.my/sukan/litar/2026/02/1515013/hakim-danish-mula-dari-petak-ke-15-gp-thailand
|