|
|
[Borneo]
Rumah Borak Borneo~Boleh bah, kalau kau
[Copy link]
|
|
|
Ruji janji wujudkan pusat rekreasi untuk belia Merotai
November 16, 2025, Ahad - 3:55pm
TAWAU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi bertekad untuk mewujudkan pusat rekreasi khusus untuk golongan belia sekiranya diberikan mandat pada pilihan raya kali ini.
Beliau berkata, keperluan terhadap kemudahan rekreasi semakin mendesak memandangkan anak muda di beberapa kawasan seperti Bombalai, Kijang, Kuala Merotai, Taman Semarak dan Hot Spring tidak mempunyai ruang riadah yang terancang.
“Belia-belia di Merotai dan sekitar kawasan lain sangat aktif, tetapi mereka tidak ada pusat rekreasi. Kalau di bandar Tawau ada kompleks sukan dan taman perumahan yang lengkap, tetapi di kawasan-kawasan ini tiada kemudahan riadah.
“Kalau diberi peluang dalam tempoh lima tahun, kita akan cuba wujudkan kawasan riadah untuk mereka. Ia bukan kos yang tinggi, yang penting ada kawasan lapang yang boleh dinaik taraf,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Walkabout di Pasar Hot Spring dan Pasar Sin Onn, pagi tadi.
Ruji yang juga calon nombor empat PH bagi DUN Merotai berkata, langkah itu antara aspirasi utamanya bagi memastikan pembangunan Merotai bergerak seiring kawasan lain di Tawau.
Mengulas kempen hariannya, Ruji berkata beliau melaksanakan sekurang-kurangnya 15 program setiap hari sebagai komitmen bertemu penduduk setempat, selain memperkenalkan dirinya sebagai calon PH.
“Sambutan sangat baik. Ada yang saya jumpa kali kedua, kali ketiga. Saya pesan kepada mereka beri sokongan jika mahu perubahan khususnya di Merotai dan Hot Spring,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas bantuan besar yang disalurkan kepada Sabah dan berharap momentum itu dapat diteruskan.
Dalam lawatannya itu, Ruji menerima beberapa aduan berkaitan infrastruktur dan telah meminta Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Hot Spring, untuk meneliti cadangan dan isu yang dibangkitkan.
“Ada aduan yang sudah lama tidak dibaiki. Turun ke bawah ini penting supaya kita kenal pasti isu dan cuba selesaikan dengan pihak berkuasa,” katanya.
Ruji turut menyatakan hasrat untuk mentransformasikan pekan Merotai sebagai bandar baharu sekiranya diberikan kepercayaan.
“Tujuan saya bertanding adalah untuk berkongsi pengalaman dan ilmu semasa saya menjadi ketua di kementerian. Saya mahu Merotai berkembang sebagai pekan baharu yang lebih tersusun,” katanya.
Beliau yakin kemudahan rekreasi dan pembangunan baharu boleh direalisasikan lebih cepat sekiranya wakil rakyat sehaluan dengan kerajaan Persekutuan.
Katanya, usaha itu penting untuk memberi ruang aktiviti sihat kepada anak muda dan meningkatkan kualiti hidup komuniti setempat.
Sumber : Utusan Borneo |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
RISDA dan LIGS perlu digabungkan untuk tingkatkan harga getah
November 16, 2025, Ahad - 4:51pm
KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) diminta untuk digabungkan agar mampu menentukan sendiri harga getah.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, harga getah dalam negara ini perlu dinaikkan segera bagi menjaga kebajikan para pekebun getah termasuk pekebun kecil getah di Sabah.
"Kita tidak boleh membiarkan pembeli menentukan harga getah kita, kita mesti berusaha untuk menaikkan harga getah dan jangan terjebak dengan harga pasaran yang ditentukan oleh kapitalis luar negara.
"Dalam negara yang harus menentukan harga getah bukan pembeli, tetapi pengeluar getah yang merupakan pekebun-pekebun kecil getah di Sabah.
"Pekebun kecil getah di Sabah merupakan pekebun kecil yang terbesar di Malaysia," katanya semasa merasmikan Program Santuni Pekebun Kecil RISDA Negeri Sabah 2025, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengarahkan RISDA agar mempertingkatkan pengeluaran getah kepada satu juta tan setiap tahun agar mempunyai bekalan yang mencukupi bagi menentukan harga.
Menurutnya, kebajikan pekebun kecil getah perlu dibela dan perlu mencari benih terbaik yang boleh menghasilkan banyak getah.
"Bukan benih yang kita dipaksa beli untuk kita tanam, cukuplah untuk menzalimi para pekebun kecil getah yang sudah sengsara berpuluh tahun lamanya," katanya.
Katanya lagi, sekiranya harga getah dalam negara ditingkatkan, sudah pasti ramai penoreh getah akan gigih kembali turun ke kebun masing-masing untuk menoreh getah bagi menjana pendapatan yang lebih tinggi. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Calon BN Karanaan fokus selesaikan masalah tiga serangkai
November 16, 2025, Ahad - 5:27pm
RANAU: Kunjungan mesra calon Barisan Nasional (BN) Karanaan, Md Nadzmin Kamin, ke kawasan Nagaya dan Tudan semalam bukan sekadar lawatan biasa.
Ia menzahirkan komitmen beliau turun padang mendengar suara rakyat, memahami cabaran harian penduduk dan berkongsi hala tuju pembangunan yang lebih tersusun untuk Dun Karanaan.
Md Nadzmin menegaskan bahawa Karanaan memerlukan wakil rakyat baharu yang mampu membawa pembangunan infrastruktur, kemudahan asas dan peluang ekonomi setempat ke tahap lebih progresif.
Jika diberi mandat, beliau akan menjadikan masalah tiga serangkai jalan rosak, bekalan air tidak menentu dan gangguan elektrik sebagai keutamaan utama.
"Masalah ini terus menjerut nadi ekonomi tempatan, termasuk sektor pelancongan, pertanian dan penternakan.
"Jalan ladang yang rosak menyukarkan pengusaha menghantar hasil ke pasaran, kesesakan di pekan Ranau serta jalan sempit ke Kundasang dan Poring menjejaskan pengalaman pelancong.
"Manakala gangguan air dan elektrik melumpuhkan operasi inap desa, kilang kecil, dan pengusaha produk tenusu," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Katanya, sebahagian besar projek asas ini dimulakan semasa era BN, tetapi selepas BN tidak lagi mentadbir, banyak projek terbengkalai dan tidak diselenggara.
Menurutnya, kerajaan negeri boleh membelanjakan RM2.6 bilion untuk infrastruktur dalam Belanjawan 2025, namun masalah asas rakyat masih berlarutan tanpa penyelesaian berkesan.
"BN percaya bahawa hanya dengan kesinambungan pentadbiran berpengalaman dan berpaksikan rakyat, Ranau boleh dipulihkan sebagai hab pertanian moden dan destinasi pelancongan mampan yang sebenar di Sabah.
"Saya beriltizam memastikan kebajikan, kemajuan dan kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan," katanya.
Beliau menyeru seluruh penduduk Karanaan untuk bersama membangunkan kawasan itu dengan lebih progresif dan berdaya saing, demi masa depan yang lebih baik untuk semua. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tindakan spontan calon BN Silam raih perhatian rakyat
November 16, 2025, Ahad - 5:35pm
LAHAD DATU: Calon Barisan Nasional (BN) Silam, Sharif Musa Sharif Mabul hari ini menunjukkan kepimpinan berpaksikan empati apabila beliau bertindak segera membantu seorang penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan di jalan Lahad Datu–Tawau, ketika dalam perjalanan ke program kempen KUB Lahad Datu.
Tindakan cepat dan berani calon BN ini bukan sahaja menyelamatkan mangsa pada saat kritikal, tetapi juga mencerminkan nilai kepimpinan sejati yang meletakkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di atas segala-galanya, jauh melebihi agenda politik.
Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan parah dan kini menerima rawatan di Hospital Lahad Datu, sementara calon BN memastikan mangsa mendapat bantuan segera sebelum pasukan kecemasan tiba di lokasi.
Sharif turut menasihatkan semua pengguna jalan untuk berhati-hati, memandangkan keadaan jalan di beberapa kawasan masih kurang baik dan berlubang-lubang.
Beliau menegaskan bahawa rakyat tidak perlu risau, kerana jika diberi mandat, penyelesaian terhadap masalah asas rakyat, termasuk pembaikan jalan raya, akan menjadi fokus utama pembangunan. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tragedi Greg masih terpahat, penduduk Kampung Limbawan mahu Sungai Pampang dipulihkan
November 17, 2025, Isnin - 10:45am
KENINGAU: Keindahan Bukit Kimanis yang menjadi latar belakang semula jadi Kampung Limbawan, terletak kira-kira dua kilometer dari pekan Keningau sering memukau pandangan dengan panorama yang menenangkan jiwa.
Namun, apabila bukit itu diselubungi awan gelap, ia membangkitkan memori pilu dalam kalangan penduduk mengenai amaran alam yang pernah mengorbankan ratusan nyawa ketika Ribut Tropika Greg melanda pada 26 Disember 1996.
Hampir tiga dekad berlalu, tragedi yang meragut lebih 200 nyawa dan mengakibatkan lebih 100 orang hilang itu masih segar dalam ingatan penduduk, terutama mereka yang mendiami kawasan berhampiran Sungai Pampang yang juga antara laluan utama limpahan banjir ketika bencana itu.
Bagi penduduk Limbawan yang terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Liawan, kampung itu bukan sekadar tempat tinggal tetapi ruang kehidupan yang perlu dilindungi sepenuhnya agar tragedi 1996 tidak berulang, sekali gus memastikan generasi baharu dapat membesar tanpa dibayangi trauma silam.
Berkongsi cerita kepada BERNAMA, Fledius Yuk Jim, 40, berkata tragedi berkenaan adalah pengalaman yang tidak mampu dipadamkan daripada ingatan, meskipun ketika itu beliau baru berusia 11 tahun.
Beliau masih terbayang situasi cemas melihat beberapa mayat tanpa baju terdampar di merata-rata tempat ketika beliau dan keluarganya berusaha menyelamatkan diri ke kawasan lebih tinggi.
“Saya dan seluruh keluarga terselamat daripada menjadi mangsa bencana itu, cuma rumah memang terjejas dan berbahaya untuk didiami selepas banjir lumpur itu. Masa itu, seingat saya memang banyaklah kayu balak, zink dan papan berselerak di kawasan perkampungan ini sampai ada yang lebih tinggi daripada Dewan Kampung Limbawan ini,” katanya.
Justeru, Fledius berharap agar projek tebatan banjir yang lebih menyeluruh, disertai sistem amaran awal yang berkesan dapat dilaksanakan di Kampung Limbawan bagi memastikan penduduk mempunyai masa mencukupi untuk menyelamatkan diri sekiranya hujan berterusan atau kenaikan paras air luar jangka.
“Kami masih ingat apa yang berlaku dulu. Ramai antara kami traumanya belum hilang,” katanya yang menetap di kampung itu sejak lahir.
Dan Joseph menunjukkan Sungai Pampang yang meragut ratusan nyawa akibat ribut tropika Greg yang melanda pada 26 Disember 1996. - Gambar BERNAMA
Dan menunjukkan Sungai Pampang yang meragut ratusan nyawa akibat ribut tropika Greg yang melanda pada 26 Disember 1996. - Gambar BERNAMA
Senada dengannya, Dan Joseph, 37, berkata kerja pembersihan Sungai Pampang termasuk mendalamkan beberapa bahagian dan mengurangkan mendapan lumpur serta sisa yang menghalang aliran air penting bagi memastikan tahap keselamatan lebih terjamin.
Beliau tidak mahu tragedi yang meragut begitu banyak nyawa berulang di kampung tempatnya membesar kerana ia antara detik paling mencemaskan dalam kehidupan keluarganya.
“Saya masih kecil, berusia lapan tahun. Saya tiada di sini tetapi ibu bapa berada di kampung ini ketika kejadian. Bila bapa saudara beritahu ada banjir lumpur teruk berlaku, memang takut dan bimbang kehilangan ibu bapa saya.
“… tetapi syukur, mereka terselamat daripada bencana itu dan saya bertemu ibu bapa ketika mereka mendapatkan perlindungan di Dewan Masyarakat Keningau,” katanya.
Dan berkata penduduk kini berharap projek pembinaan jambatan dan jalan baharu yang menghubungkan Kampung Limbawan ke laluan utama pekan Keningau, kira-kira satu kilometer jaraknya dapat disiapkan mengikut jadual iaitu selewat-lewatnya pada 2029.
“Kalau jambatan dan jalan ini siap, ia banyak memudahkan pergerakan penduduk kampung ini terutama ketika berlaku kecemasan,” tambahnya.
DUN Liawan adalah satu daripada tiga DUN dalam Parlimen Keningau yang terlibat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dan menyaksikan saingan 10 penjuru.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 29 Nov, manakala pengundian awal pada 25 Nov.
Untuk berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
N41: LIAWAN: SABAH: 32,661
1. Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi (BN-UMNO)
2. Yukilin Giging (Rumpun)
3. Peter Paun (KDM)
4. Datuk Anwar Ayuub @ Annuar Ayub (GRS-Gagasan Rakyat)
5. Wilson Gan Poi Tzen (UPKO)
6. Johny @ John Anthony (PN-Bersatu)
7. Adzhar Jasni @ Eddy (Warisan)
8. Mustazarmie Mustapha (PPRS)
9. Augustine A Nain (STAR)
10. Junadey Ejih @ Egih (PIS)
(2020: Anwar Ayuub @ Annuar Ayub: PN-STAR: Maj: 641) |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Jackie Koh dilantik sebagai Pengerusi MTPN Sabah Cawangan Kota Kinabalu
November 17, 2025, Isnin - 10:51am
KOTA KINABALU: Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Jackie Koh atas pelantikan rasmi beliau sebagai Pengerusi MTPN Sabah Cawangan Kota Kinabalu.
Pelantikan itu bukan sahaja mencerminkan keyakinan terhadap kewibawaan, kredibiliti dan keupayaan beliau memimpin sebuah organisasi pengguna yang berperanan besar dalam masyarakat, malah menandakan bermulanya satu fasa baharu yang diharapkan dapat memperkukuhkan kedudukan MTPN Sabah sebagai suara utama pengguna di Sabah.
Pengiktirafan ini turut memperlihatkan dedikasi dan komitmen jitu beliau dalam memperjuangkan hak-hak pengguna serta keprihatinan beliau terhadap isu-isu yang memberi kesan kepada rakyat.
Majlis penyerahan watikah pelantikan yang berlangsung penuh tertib dan berprestij telah disempurnakan oleh Naib Presiden Kebangsaan MTPN merangkap Yang Dipertua MTPN Sabah, Kevin Lo.
Penyampaian watikah oleh beliau bukan sekadar simbolik, tetapi satu manifestasi sokongan dan keyakinan penuh terhadap kemampuan Jackie untuk memacu kecemerlangan MTPN Sabah Cawangan Kota Kinabalu.
Majlis itu turut disaksikan oleh barisan Ahli Jawatankuasa baharu yang hadir memberi sokongan padu serta menunjukkan kesediaan mereka untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dalam memperkukuhkan peranan organisasi.
Kehadiran Bendahari Negeri MTPN Sabah, Jason, dan Ketua Biro Aduan MTPN Sabah, Michelle, turut menyerikan majlis dengan menunjukkan kekuatan sokongan daripada kepimpinan peringkat negeri.
Dalam suasana masyarakat yang semakin berdepan pelbagai cabaran kepenggunaan, pelantikan ini membawa harapan baharu yang besar dan bermakna.
Lebih-lebih lagi ketika pengguna berhadapan isu penipuan dalam talian, manipulasi harga, ketelusan maklumat serta pelbagai bentuk eksploitasi moden, MTPN Sabah amat memerlukan kepimpinan yang tegas, berwawasan dan mempunyai keupayaan untuk memperkukuhkan jaringan advokasi.
Dengan pelantikan ini, seluruh organisasi membawa visi yang sama, iaitu untuk menjadikan MTPN Sabah Cawangan Kota Kinabalu sebuah entiti yang mampu menggalas tanggungjawab dengan lebih berkesan melalui pendekatan strategik, berinformasi dan responsif terhadap isu semasa.
Visi ini turut merangkumi usaha meningkatkan kefahaman pengguna terhadap hak dan tanggungjawab mereka, memperluaskan pendidikan pengguna melalui program kesedaran, dan memastikan saluran aduan dapat berfungsi dengan lebih cekap, mesra pengguna dan telus.
Di bawah kepimpinan baharu, MTPN Sabah Cawangan Kota Kinabalu diharapkan dapat memperkukuhkan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat.
Kerjasama ini amat penting dalam memastikan setiap isu pengguna dapat ditangani secara holistik dan menyeluruh, seterusnya mewujudkan sebuah ekosistem kepenggunaan yang lebih selamat, adil dan berdaya tahan.
Kepimpinan Jackie diyakini mampu mengemudi pasukan dengan lebih teratur, memperkasa peranan jawatankuasa, dan membawa pendekatan yang lebih moden serta inovatif dalam menangani cabaran masa kini yang semakin kompleks.
Kesepakatan ini menjadi asas penting dalam memastikan usaha-usaha yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Dengan adanya semangat sepasukan yang kuat, disertai visi kepimpinan yang jelas, MTPN Sabah Cawangan Kota Kinabalu berpotensi untuk menjadi contoh rujukan kepada cawangan lain dalam aspek pengurusan organisasi, advokasi serta pemerkasaan pengguna. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Calon PH Silam tarik diri
November 17, 2025, Isnin - 11:44am
KOTA KINABALU: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan mengumumkan tarik diri daripada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 (PRU 17 Sabah).
Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, Majlis Pimpinan KEADILAN Sabah mengambil maklum keputusan beliau untuk menarik diri sebagai calon PH.
"Kami menghormati keputusan itu yang dibuat secara bertanggungjawab selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan, termasuk menjaga hubungan baik dan keharmonian antara parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan serta rakan kerjasama politik di Sabah.
"Saya ingin menegaskan bahawa keputusan ini adalah keputusan peribadi beliau tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak luar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, semangat setiakawan dan keutuhan kerjasama politik sentiasa menjadi keutamaan pihaknya dalam memastikan kestabilan politik Sabah terus terpelihara.
Walaupun tidak bertanding katanya, Abdul Halim telah menyatakan komitmen untuk terus berkhidmat kepada rakyat Silam dan Lahad Datu dalam apa jua kapasiti yang mampu beliau sumbangkan.
"Keadilan Sabah menghargai semangat perjuangan beliau yang tidak pernah pudar demi rakyat dan Sabah.
"Kami menyeru seluruh jentera dan penyokong PH di Silam khususnya dan Lahad Datu amnya agar kekal tenang, terus fokus dan terus memperkukuh perpaduan demi kemenangan gabungan kita serta masa depan rakyat Sabah," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Calon KDM lancar manifesto ‘Kita Kiulu’ dengan tujuh teras tawaran
November 17, 2025, Isnin - 2:31pm
TUARAN: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) melancarkan manifesto ‘Kita Kiulu’ yang menampilkan tujuh teras utama sebagai tawaran kepada pengundi DUN Kiulu sekiranya parti itu diberi mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) 29 November ini.
Tujuh teras berkenaan menumpukan usaha memperhebat pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, memperkasakan industri pertanian, mengutamakan pemilikan tanah untuk penduduk tempatan dan mempercepat sistem PANTAS.
Turut dinyatakan ialah memartabatkan sukan, meningkatkan ekonomi termasuk eko-pelancongan, pendidikan dan kebajikan serta mengangkat adat dan kebudayaan tempatan sebagai identiti masyarakat Kiulu.
Calon KDM bagi DUN Kiulu yang juga naib presiden parti Henry Saimpon berkata, fokus utama adalah memastikan pembangunan mampan, holistik dan seimbang agar kepentingan rakyat Kiulu sentiasa dijaga.
Willie (Kanan) semasa berucap sambil diperhatikan Henry.
BERUCAP: Willie (Kanan) semasa berucap sambil diperhatikan Henry.
Menurutnya, setiap tawaran yang dibentangkan selaras dengan agenda pembangunan KDM yang memberi keutamaan kepada kemajuan kawasan Kiulu.
“KDM yang bertanding secara solo dalam PRN ini bertekad menjadikan Kiulu sebuah daerah kecil progresif dan sejahtera setanding daerah luar bandar lain di Sabah.
“Inilah visi dan misi saya untuk DUN Kiulu sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat pada PRN ke-17,” katanya ketika berucap pada Majlis Santai bersama penduduk Kampung Kelawat, Jalan Ranau di sini.
Turut hadir Setiausaha Agung KDM Willie Jude.
Dalam ucapan alu-aluan, Willie mengajak pengundi Kiulu supaya bersatu (Misompuru) dalam satu parti tempatan KDM dalam usaha menawan kerusi Kiulu yang sebelum ini kubu kuat PBS, kini sebahagian Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan.
“Saya percaya jika penyokong blok pembangkang tempatan bersatu dalam KDM, kita boleh mencetus kejutan di Kiulu.
“Lebih baik kita elakkan perpecahan undi pembangkang, terutama dalam saingan lapan penjuru. Kata orang, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh,” katanya.
Pada majlis itu, lebih 20 penduduk Kelawat menyertai KDM Kiulu. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Perhatian hanya diberikan pada musim PRU17 Sabah: WARISAN
November 17, 2025, Isnin - 3:03pm
PUTATAN: Sejak selepas penamaan calon Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 (PRU17 Sabah), masyarakat di Petagas dan Putatan menyaksikan peningkatan mendadak lawatan rasmi oleh Menteri, Timbalan Menteri serta pegawai Persekutuan ke kawasan ini.
Ketua Wanita WARISAN Putatan, Juriah Uda berkata, WARISAN menghormati mana-mana pihak yang turun padang untuk melihat keadaan sebenar rakyat.
"Namun rakyat turut mempersoalkan mengapa perhatian sebegini hanya berlaku secara luar biasa ketika musim pilihan raya, sedangkan isu-isu utama Sabah telah lama memerlukan tindakan.
"Keperluan yang dibangkitkan rakyat merangkumi bekalan air yang tidak stabil, infrastruktur yang memerlukan pembaikan, tekanan kos sara hidup dan kebajikan masyarakat setempat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, semua isu itu memerlukan komitmen jangka panjang dan bukan hanya perhatian bermusim.
Katanya, dalam suasana PRU17 Sabah, rakyat semakin merasakan bahawa Sabah sedang menjadi tumpuan tekanan politik dari luar yang boleh mempengaruhi keputusan pengundi.
"Apa yang rakyat mahu ialah ruang membuat pilihan secara bebas, tanpa campur tangan atau program tergesa-gesa yang muncul hanya ketika undi diperlukan.
"Sabah berhak menentukan hala tujunya sendiri," katanya.
Beliau berkata, komitmen terhadap Sabah tidak boleh bersifat sementara atau berasaskan jadual politik pihak luar.
Jelasnya, pengundi Petagas sudah matang dalam menilai siapa yang benar-benar bekerja sebelum PRU17 Sabah dan siapa yang hanya hadir apabila momentum politik memerlukannya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
BN janji bela nasib mangsa kebakaran di Kampung Kurnia Jaya
November 17, 2025, Isnin - 3:12pm
LAWAT: Dr Akmal dan Dr Elmiariezan ketika mengadakan lawatan di tapak kebakaran Kampung Kurnia Jaya, di sini.
TAWAU: Barisan Nasional (BN) menegaskan komitmen untuk terus membela nasib lebih 700 keluarga mangsa kebakaran Kampung Kurnia Jaya, di sini yang masih terkesan sejak tragedi besar melanda kawasan itu pada tahun 2022.
Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata hasil lawatan beliau mendapati keadaan penempatan mangsa semakin membimbangkan dengan ketiadaan kemudahan asas dan struktur rumah yang tidak selamat.
Beliau berkata, banyak persoalan timbul dalam kalangan penduduk terutama mengenai status peruntukan RM10 juta yang diumumkan kerajaan negeri sebelum ini.
“Penduduk beritahu kita, janji RM10 juta memang ada dan telah diserahkan kepada Majlis Perbandaran Tawau (MPT) untuk pembinaan semula rumah mereka.
“Jadi rakyat tertanya-tanya, ada atau tidak? Ke mana pergi duit itu? Rumah pun tak nampak dibina,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan bersama calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Dr Elmiariezan Ardan, ke Kampung Kurnia Jaya, di sini, hari ini.
Menurutnya, BN tidak mahu menuding jari tetapi mahu mencari penyelesaian segera untuk membantu mangsa yang terpaksa menanggung beban hutang selepas meminjam wang demi membaiki kediaman masing-masing.
Katanya, jika kos sebenar membangunkan semula penempatan baharu melebihi peruntukan sedia ada, sekurang-kurangnya dana RM10 juta boleh diagihkan sebagai bayaran one-off kepada penduduk.
“Kalau diagih RM13,000 hingga RM14,000 bagi satu rumah, sekurang-kurangnya dapat bantu mereka bayar hutang.
“Jangan biarkan mereka hidup dalam keadaan tidak selamat tanpa air, elektrik dan persekitaran yang tidak bersih,” katanya.
Dr Akmal turut mengesyorkan model penempatan semula seperti di Melaka, di mana kerajaan menggunakan tanah milik kerajaan, membersihkannya dan menyediakan lot rumah pada harga subsidi RM25,000 hingga RM30,000.
“Konsep sewa beli RM200 sebulan untuk 15 tahun juga boleh dijadikan pilihan bagi yang tidak mampu,” katanya.
Beliau berkata penyelesaian masalah itu memerlukan kerjasama kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk bantuan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang diterajui Presiden BN.
“Ini bukan soal politik Sabah-Pusat. Ini soal rakyat. KKDW ada ruang besar untuk bantu dan kita akan bawa perkara ini,” katanya.
Sementara itu, Dr Elmiariezan, berkata isu penempatan setinggan adalah keutamaannya jika diberi mandat pada pilihan raya Sabah kali ini.
“Kalau saya diberi peluang, perkara pertama ialah selesaikan isu ini.
“Kita dimaklumkan RM10 juta itu sudah turun kepada MPT. Tapi rumah tak ada, projek tak jelas. Jadi kita nak cari di mana masalahnya dan buat solusi segera,” katanya.
Dr Elmiariezan berkata, suara akar umbi termasuk anak muda, golongan dewasa dan warga emas akan dibawa terus kepada kepimpinan jika beliau dipilih sebagai wakil rakyat.
Menyentuh isu infrastruktur yang masih kurang di kawasan bandar seperti Apas, beliau berkata masalah itu berpunca daripada kepadatan penempatan, namun boleh ditangani melalui perancangan dan pengurusan sewajarnya.
“Kalau kita urus betul, insya-Allah semua masalah infrastruktur boleh diselesaikan,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
WARISAN janji pusat belia dan peluang ekonomi di Kunak
November 17, 2025, Isnin - 4:16pm
KUNAK: Calon Parti Warisan (WARISAN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Datuk Jasa @ Ismail Rauddah, menekankan kepentingan pembangunan menyeluruh di daerah itu serta komitmen memastikan generasi muda mendapat peluang riadah, pendidikan dan ekonomi yang setara.
Jasa berkata keyakinan rakyat terhadap WARISAN di Kunak terbukti sejak penubuhan parti itu, walaupun ketika itu menampilkan calon yang kurang populariti, namun tetap mencapai kemenangan.
“Keyakinan rakyat Kunak terhadap WARISAN terbukti sejak penubuhan parti. Walaupun calon pada ketika itu tiada populariti, rakyat tetap memberi mandat kepada WARISAN,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Beliau turut menekankan pendekatan kempen yang digunakan iaitu dari lokaliti ke lokaliti, tanpa bergantung kepada pusat daerah mengundi.
“Kaedah ini membolehkan setiap kampung dikenal pasti kedudukan parti dan memperkukuh sokongan akar umbi.
“Kami menjanjikan pembangunan prasarana khusus untuk golongan belia di Kunak yang kini kekurangan kemudahan,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Menurutnya, hampir semua aktiviti riadah belia dilakukan di tepi-tepi jalan kerana tiada pusat khusus diwujudkan di daerah ini.
“Alhamdulillah, kita akan menaik taraf Dewan Masyarakat Kunak yang telah dirobohkan dan padang sedia ada, selain membina pusat belia dengan kemudahan lengkap.
“Kita mahu belia Kunak bukan sahaja bersantai, tetapi juga diberi peluang menjadi usahawan berjaya menghadapi rintangan ekonomi,” katanya.
Beliau juga memuji kekuatan jentera parti yang bekerja tanpa mengenal penat lelah demi memastikan kemenangan berpihak kepada WARISAN.
Sumbangan tenaga mereka, katanya, adalah tunjuk nyata dedikasi tanpa mengharapkan sebarang habuan.
Jasa turut mengingatkan sejarah perancangan pembangunan Kunak sejak 20 tahun lalu yang banyak terbengkalai, menyebabkan daerah ini kini agak ketinggalan.
“Sekiranya diberi peluang untuk memerintah, WARISAN akan menggembeling tenaga dan merangka strategi pembangunan menyeluruh untuk kesejahteraan rakyat Kunak.
“Kunak pernah mengalami pembangunan, tetapi kini ia ketinggalan. Dengan mandat daripada rakyat, kita akan pastikan pembangunan menyeluruh dapat dilaksanakan demi generasi masa depan,” katanya.
Dengan fokus terhadap pembangunan belia, infrastruktur dan ekonomi, Jasa yakin strategi ini mampu mengukuhkan lagi sokongan akar umbi kepada WARISAN menjelang pilihan raya kali ini. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bersikap jujur dan jangan perkecil pemahaman rakyat Sabah: Nelson
November 17, 2025, Isnin - 4:27pm
KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Parti Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Nelson W Angang mengingatkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke supaya mendapatkan nasihat undang-undang yang tepat berhubung status rayuan kerajaan Persekutuan dalam kes tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah sebelum mengeluarkan kenyataan yang berpotensi mengelirukan rakyat.
Beliau berkata, rakyat Sabah sudah lama mengikuti isu yang berlanjutan lebih 50 tahun dan mereka tidak boleh dipandang rendah berkenaan pemahaman mengenai perkara ini.
Menurutnya, kenyataan bekas Presiden Persatuan Peguam Sabah (Sabah Law Society), Roger Chin secara jelas mengesahkan bahawa kerajaan Persekutuan sudah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan berkenaan.
“Tindakan kerajaan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah yang lalu membawa implikasi besar dan berpotensi mencabar hak perlembagaan Sabah mengenai tuntutan 40 peratus hasil.
“Kehadiran Datuk Ewon Benedick dalam mesyuarat khas Kabinet tidak mengubah pendirian kerajaan Persekutuan untuk meneruskan rayuan terbabit.
“Anthony perlu bersikap jujur kerana beliau adalah sebahagian daripada Kabinet, Ewon konsisten dan lantang menegaskan bahawa kerajaan Persekutuan tidak sepatutnya memfailkan rayuan ini, beliau berpegang teguh kepada prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Nelson juga mendedahkan bahawa dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang terakhir yang dihadiri UPKO, semua pemimpin komponen PH pada waktu itu berpendirian tegas untuk meneruskan rayuan tanpa memberi ruang kepada pandangan UPKO yang menolak langkah terbabit.
“Melihat bagaimana pandangan kami diketepikan dan tidak dihormati, itulah titik perubahan yang meyakinkan UPKO bahawa sudah tiba masanya untuk keluar daripada gabungan PH,” katanya.
Sementara itu, beliau menggesa semua pihak supaya membaca dan memahami keputusan penghakiman dengan mendalam.
Menurutnya, kerajaan Persekutuan kini mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dengan menganggap semua semakan pada tahun 2021, 2022 dan 2023 sebagai tidak sah.
“Perkara ini boleh memberi kesan luas terhadap kedudukan tuntutan Sabah, rayuan ini sebenarnya mencerminkan keengganan kerajaan Persekutuan membayar tunggakan sejak 1974.
“Itulah isu sebenar. Jika benar tidak ada apa-apa yang perlu disembunyikan, mengapa takut melaksanakan keputusan mahkamah?,” katanya.
Tambahnya, rakyat Sabah sedar bahawa rayuan kerajaan Persekutuan ini berpotensi menghalang pembayaran 40 peratus hasil yang telah tertunggak selama lebih 50 tahun.
“Saya mencabar semua calon DAP turun padang dan jelaskan kepada rakyat Sabah bahawa rayuan ini sebenarnya mengenai keengganan membayar hak Sabah sejak 1974 atas alasan teknikal.
“Pendirian UPKO bukan menentang kerajaan Persekutuan secara keseluruhan, tetapi menentang tindakan yang tidak menghormati hak perlembagaan Sabah yang telah tertangguh lebih lima dekad.
“Kerajaan Sabah yang baharu tidak perlu bersikap konfrontasi kerana kami menghormati kerjasama dengan kerajaan Persekutuan, “ katanya.
Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan Persekutuan perlu menghormati keputusan Mahkamah Tinggi, melaksanakan arahan mahkamah dan berunding secara adil mengenai pembayaran.
“Proses rayuan yang mungkin berlanjutan sehingga ke Mahkamah Persekutuan hanya akan melambatkan lagi pembayaran hak Sabah yang telah diputuskan mahkamah.
“Jangan cuba mengelirukan rakyat Sabah. Katakan tiada rayuan, tetapi hakikatnya ada rayuan. Bersikap jujur dan jangan bermain dengan kata-kata. Jangan memperkecilkan pemahaman rakyat Sabah,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Anggota Kabinet perlu jelaskan notis rayuan hak 40 peratus: Ewon
November 17, 2025, Isnin - 4:41pm
SEMANGAT: Ewon semasa berucap semasa salah satu sesi ceramah yang dihadirinya.
KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick menegaskan anggota Kabinet Persekutuan perlu menjelaskan lapan perkara yang terkandung dalam notis rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai hak 40 peratus hasil Sabah.
Ewon yang juga calon UPKO bagi kerusi DUN Kadamaian berkata, rakyat Sabah harus menilai sendiri alasan rayuan terbabit sebelum membuat pilihan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) kali ini.
“Mesyuarat khas Kabinet yang kamu (Kabinet Persekutuan) adakan sudah memutuskan untuk menghormati hak 40 peratus Sabah, saya ucap terima kasih.
“Tetapi mesyuarat yang sama kamu juga memutuskan untuk merayu sebahagian daripada alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu, ia adalah notis rayuan yang kamu failkan di Mahkamah Rayuan pada 13 November baru-baru ini,” katanya.
Katanya, dalam notis itu terdapat lapan perkara yang mahu dicabar selepas keputusan mahkamah, tugas Saudara Anthony (Anthony Loke) sekarang adalah menjelaskan kelapan-lapan perkara ini, jelaskan kepada rakyat Sabah rayuan ini.
“Setiausaha Agung DAP itu bukan sahaja perlu menjelaskan alasan-alasan rayuan, tetapi juga seluruh Kabinet Persekutuan termasuk Perdana Menteri dan para menteri supaya menerangkan alasan rayuan berkenaan secara terbuka.
“Rakyat Sabah berhak mengetahui sama ada mereka menerima penjelasan atau mahu pemimpin Sabah bertegas melaksanakan hak yang sudah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu,” katanya.
Ewon turut menjawab kenyataan Anthony sebelum ini yang mendakwa beliau bermain wayang politik dan memainkan sentimen 40 peratus serta gagal hadir ke mesyuarat khas Kabinet.
Beliau berkata, isu 40 peratus itu bukan baharu dibincangkan, malah sudah beberapa kali dibawa ke Kabinet sejak lewat 2022, 2023, 2024 dan selepas keputusan mahkamah tahun ini.
“Selama tiga tahun ini, saya konsisten menyatakan bahawa hak 40 peratus tidak sama dengan peruntukan pembangunan di bawah Federal List. Jawapannya sama seperti yang diberikan di Gaya Street.
“Tetapi selama tiga tahun ini, apa suara Saudara Anthony? Pernahkah beliau menyatakan pendirian tegas mempertahankan hak 40 peratus Sabah?,“ katanya.
Ewon berkata, pendiriannya mengenai Sabah sentiasa jelas, termasuk menegaskan bahawa sebarang rang undang-undang yang memberi implikasi besar kepada negeri itu mesti mendapat persetujuan Yang Dipertua Negeri.
“Keputusan saya meletak jawatan dan membawa UPKO keluar daripada Pakatan Harapan adalah mesej tegas kepada Kerajaan Persekutuan mengenai pentingnya menghormati hak Sabah.
“Saya tidak mahu menjadi hero, hero sebenar adalah Sabah Law Society dan juga pemuda di Gaya Street yang bertanya kepada Perdana Menteri, “Bila mahu bayar 40 peratus?”, katanya.
Sebagai Presiden UPKO, beliau berkata, perjuangannya adalah memastikan pembayaran segera hak 40 peratus untuk pembangunan Sabah, menangani kemiskinan, membuka peluang ekonomi dan mewujudkan pekerjaan kepada anak muda negeri Sabah.
“Saya menghormati perbezaan pendirian kita, tetapi harus ada sempadannya. Inilah red line saya.
“Saya mendoakan agar Anthony dan rakan-rakan Kabinet diberikan kesihatan serta kekuatan untuk memimpin negara dan menunaikan tanggungjawab mengembalikan hasil Sabah kepada rakyat Sabah,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tampilkan manifesto yang realistik: GRS
November 17, 2025, Isnin - 4:52pm
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu semua pihak perlu tampil dengan manifesto yang realistik bersandarkan keupayaan fiskal negeri dalam tempoh lima tahun (2026-2030).
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, mengambil kira parti-parti utama yang bertanding pernah memimpin negeri, tawaran janji manifesto mereka perlu dipersembahkan bersama rekod prestasi dalam konteks tahap pencapaian menjana pendapatan negeri ketika berkuasa.
"Kejayaan peningkatan hasil pendapatan negeri dan rizab negeri adalah teras kepada Manifesto GRS yang mempersembahkan hala tuju ke hadapan dan rekod prestasi untuk tempoh lima tahun (2021-2025) memimpin negeri.
"Pencapaian ini bukan sahaja menembusi rekod tertinggi dalam sejarah pentadbiran Sabah, malah menjadi bukti bahawa keberkesanan strategi ekonomi, disiplin fiskal dan tadbir urus baik di bawah pentadbiran GRS," katanya dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto GRS Pilihan Raya Umum Sabah ke-17, di sini hari ini.
Beliau berkata, dengan berteraskan satu Gagasan iaitu 'Rumah Kita, Kita Jaga' dengan tema Memacu Sabah Maju, Rakyat Berkemajuan.
Gagasan itu katanya, dipacu melalui empat rukun merangkumi Sabah First (Sabah Diutamakan), Sabah Forward (Sabah Maju ke Hadapan), Sabah Prosper (Sabah Maju Jaya) dan Sabah United (Sabah Bersatu).
Menurutnya, empat rukun itu diterjemahkan melalui 16 strategi mencakupi pelbagai agenda pembangunan merentasi pelbagai bidang.
"Antara strategi yang digariskan dalam memperkukuh momentum peningkatan pendapatan negeri adalah ketegasan memperjuangkan hak-hak Sabah melalui MA63 termasuk hak 40 peratus pemberian khas.
"Pengukuhan sumber ekonomi dan penerokaan potensi ekonomi baharu serta reformasi undang-undang dan institusi untuk memperkukuh persekitaran kondusif dan tadbir urus yang baik.
"Selain itu, manifesto GRS juga menekankan strategi berorientasikan pengukuhan momentum pendayaupayaan sosioekonomi rakyat seperti pembangunan modal insan, penyelesaian isu infrastruktur asas, peluang pekerjaan dengan pendapatan bermaruah, penyediaan akses perumahan mampu milik, peningkatan bantuan sosial dan pengukuhan perpaduan dan kesatuan rakyat," katanya.
Beliau menjelaskan jumlah hasil pendapatan negeri menunjukkan momentum peningkatan positif sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan GRS dengan kali pertama menembusi paras RM5 bilion pada 2021 setelah berbelas tahun berada pada sekitar di antara RM3 bilion dan RM4 bilion di bawah pentadbiran kerajaan-kerajaan yang lalu.
Katanya, peningkatan bermula RM5.45 bilion pada 2021, RM6.96 bilion pada 2022, RM6.97 bilion pada 2023 dan RM6.84 bilion pada 2024.
"Ini menunjukkan pertambahan hasil sebanyak RM3.25 bilion (90.5 peratus) pada 2024 di bawah pentadbiran GRS berbanding 2020 di bawah pentadbiran Kerajaan WARISAN.
"Bersandarkan kepada momentum pencapaian ini, GRS menggariskan antara fokus keutamaan manifesto adalah untuk terus meningkatkan kutipan hasil setiap tahun dengan sasaran mencecah sekurang-kurangnya RM10 bilion menjelang 2030.
"Usaha ini akan dimaknai dengan strategi memperluas sumber hasil pendapatan negeri, antaranya melalui penerokaan potensi ekonomi biru, tenaga boleh diperbaharui, ekonomi digital, pemerdagangan kredit karbon," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Calon BN DUN Paginatan turun padang bertemu rakyat
November 17, 2025, Isnin - 5:04pm
MESRA: Junaidi beramah mesra bersama kanak-kanak yang berada di tamu berkenaan.
RANAU: Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan Datuk Junaidi Sahat meluangkan masa beramah mesra bersama penduduk Lohan di Tamu Mingguan Kampung Lohan 1.
Katanya, sesi ramah mesra itu diadakan dalam keadaan yang penuh semangat bersama para penduduk di kawasan itu.
"Suasana meriah dengan kehadiran masyarakat yang sudi berkongsi cerita, pandangan dan keperluan sebenar di lapangan.
"Inilah ruang yang paling penting, ruang mendengar suara rakyat secara dekat dan jujur," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, penduduk Lohan menunjukkan sokongan yang luar biasa, menzahirkan harapan agar kawasan ini terus dibangunkan dengan lebih teratur, lebih mampan dan lebih berpihak kepada rakyat.
"Semangat kekeluargaan, keramahan dan kesediaan bekerjasama menjadikan Tamu Lohan hari ini begitu bermakna," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Suhaimi santuni golongan memerlukan
November 17, 2025, Isnin - 5:26pm
PRIHATIN: Suhaimi (kanan) semasa menyantuni keluarga yang memerlukan.
SANDAKAN: Calon Barisan Nasional (BN) Sungai Sibuga, Datuk Suhaimi Nasir hari ini meneruskan program Ziarah Kasih menyantuni adik Orang Kurang Upaya (OKU) di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Merpati.
Dalam kunjungan itu, beliau sempat bertemu Mohd Aidith Bakri, seorang OKU terlantar, serta mendengar sendiri keadaan dan keperluan keluarga berkenaan.
Suhaimi menegaskan bahawa jika diberi mandat, beliau akan memastikan hampir RM1.4 bilion peruntukan Belanjawan 2026 untuk kesejahteraan OKU benar-benar sampai kepada rakyat Sungai Sibuga yang memerlukan.
Katanya, bantuan itu merangkumi bantuan OKU terlantar dan pesakit kronik, bantuan bulanan OKU tidak berupaya bekerja, Elaun Pekerja OKU, serta peningkatan pelepasan cukai bagi ibu bapa yang menjaga anak OKU bawah 18 tahun.
Beliau turut menekankan keperluan untuk meluaskan pusat sokongan OKU di Sabah termasuk Sandakan agar akses perkhidmatan lebih menyeluruh.
“Saya mahu setiap golongan OKU di Sungai Sibuga khususnya mampu merasai bantuan secara nyata, bukan sekadar dalam belanjawan,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Arthur lancar manifesto, tekad bawa kesejahteraan kepada rakyat di Sook
November 17, 2025, Isnin - 9:57pm
LANCAR: Arthur melancarkan manifesto BN untuk Sook dalam kempen PRU17 Sabah.
SOOK: Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menyatakan komitmennya untuk membawa DUN Sook ke tahap yang lebih baik dari sekarang.
Arthur yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) percaya masyarakat di Parlimen Pensiangan khususnya DUN Sook telah melihat bukti-bukti pembangunan yang telah berjaya dilaksanakan beliau sepanjang tempoh sebagai Ahli Parlimen di kawasan itu.
"Antara bukti pembangunan termasuklah projek infrastruktur mega seperti pembinaan jalan raya dari Kampung Sinaron, Sook ke Kampung Linayukan, Tongod; pembinaan pasar Tamu; pembinaan sekolah rendah dan sekolah menengah serta cawangan Bank pertama (Agrobank) di daerah Sook.
"Sehubungan itu, saya membulatkan tekad untuk bertanding di DUN Sook bagi membawa suara masyarakat di kawasan ini ke peringkat Negeri.
"Ini termasuklah untuk mencari penyelesaian bagi beberapa isu kritikal yang berada di bawah kuasa Kerajaan Negeri seperti isu tanah, air dan jalan kampung yang tidak dapat saya selesaikan di peringkat Persekutuan," katanya ketika melancarkan Manifesto Calon BN DUN Sook.
Arthur mengulas lanjut tentang manifesto BN untuk Sook sempena program itu.
PENERANGAN: Arthur mengulas lanjut tentang manifesto BN untuk Sook sempena program itu.
Mengulas lanjut mengenai 'Manifesto N.45 Sook', Arthur memberikan komitmen untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk serta membawa Sook ke suatu tahap yang lebih baik melalui tiga tekad dan tujuh tawaran utama yang telah digariskan.
Tawaran itu merangkumi mempromosikan pertumbuhan ekonomi tempatan melalui penggalakan perniagaan kecil dan sederhana serta sokongan kepada petani dan pengusaha tempatan melalui program latihan dan bantuan kewangan yang akan membantu rakyat menjana pendapatan tambahan dan meningkatkan taraf hidup.
Selain itu, beliau turut komited untuk melaksanakan program menaiktaraf jalan-jalan kampung dan jalan pertanian dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan untuk memudahkan pergerakan penduduk dan pengangkutan hasil pertanian.
Arthur juga akan berusaha untuk menyelesaikan isu bekalan air bersih yang telah lama tertangguh di kawasan Sook dengan memberikan tumpuan untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Jabatan Air Sabah (JAS) bagi memastikan setiap rumah mendapat akses kepada bekalan air yang bersih dan selamat.
"Saya berani bentang manifesto ini kerana pencapaian yang menyakinkan dalam manifesto PRU16 khususnya di Daerah Sook. Jangan pilih pemimpin yang suka berjanji tetapi pilihlah pemimpin yang sudah terbukti menunaikan janji," katanya.
Arthur berdepan dengan persaingan lima penjuru di kerusi DUN Sook buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU17 Sabah). |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Belia semakin cenderung sokong calon Bebas sebagai platform lebih neutral
November 18, 2025, Selasa - 8:50am
SEMANGAT: Rina (empat kanan) ketika bersama penduduk di Taman Univilla, semalam.
TAWAU: Golongan belia di Kukusan dilihat semakin selesa memilih calon Bebas kerana merasakan platform itu memberi ruang yang lebih bebas, neutral dan tidak terikat dengan kepentingan parti politik.
Perkembangan itu diakui calon Bebas merangkap penyandang ADUN Kukusan, Datuk Rina Haji Jainal, ketika ditemui dalam program Ceramah Umum Bersama Penduduk di Taman Univilla, semalam.
Rina berkata, kecenderungan belia terhadap calon Bebas bukan berlaku secara kebetulan tetapi hasil perubahan sikap dan persepsi yang terbentuk sejak beberapa tahun lalu apabila mereka mula hilang keyakinan terhadap politik ketika ini.
Katanya, ramai anak muda mengakui mereka letih dan kecewa dengan senario politik semasa, namun pada masa sama masih mahu terlibat jika ada ruang yang lebih telus dan berprinsip.
“Platform Bebas memberikan peluang itu kerana belia merasakan keputusan mereka tidak dikongkong, malah lebih dekat dengan perjuangan sebenar yang mendengar aspirasi rakyat tanpa agenda tersembunyi.
“Justeru apabila melihat calon Bebas tampil dengan rekod kerja yang konsisten dan tidak terikat dengan mana-mana parti, mereka mula kembali berminat memahami politik secara lebih matang,” katanya.
Rina berkata bahawa penerimaan positif belia terhadapnya amat menyentuh hati, lebih-lebih lagi apabila mereka menyatakan bahawa usaha dan program yang dijalankan selama ini benar-benar selari dengan keperluan mereka.
Katanya, daripada bantuan pendidikan, sokongan keusahawanan, hinggalah kepada penglibatan aktif dalam program sukan dan komuniti, semuanya dilakukan secara berterusan dan bukan sekadar pendekatan bermusim.
“Hubungan yang terjalin dengan anak muda juga semakin kukuh kerana mereka melihat saya sebagai seseorang yang dekat dengan generasi mereka, mudah didekati dan selesa untuk berkongsi pandangan serta keperluan.
“Ia bukan sekadar persepsi politik tetapi keterikatan antara seorang wakil rakyat dan kelompok yang saya perjuangkan sejak hari pertama diberi mandat,” katanya.
Beliau turut menyentuh penglibatan wanita, khususnya ibu tunggal dan golongan wanita muda, yang semakin selesa berada di sekelilingnya kerana melihat ruang kebebasan untuk bersuara tanpa rasa kekangan atau jurang perbezaan.
Menurutnya, sebagai seorang wanita dalam politik, beliau memahami sepenuhnya beban dan keperluan golongan itu, justeru mereka merasakan lebih mudah menyalurkan pandangan dan isi hati.
Rina berkata, isu perumahan untuk pasangan muda dan ibu bapa baharu juga harus menjadi keutamaan kerana ramai belia masih bergelut mendapatkan rumah kos rendah atau rumah PPR.
“Perkara ini sudah beberapa kali saya bawa dalam Dewan Undangan Negeri dan akan terus diperjuangkan sehingga mendapat tindakan yang jelas dan segera.
“Saya mahu keperluan asas belia disantuni, minat mereka difahami dan aspirasi mereka dihargai,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan untuk belia tidak akan berhenti di sini, malah akan diperluas agar Kukusan terus melahirkan generasi berdaya saing, berfikiran terbuka dan mampu berdiri sebagai tulang belakang masa depan negeri.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pentadbiran stabil bawa manfaat untuk orang Sabah: PH
November 18, 2025, Selasa - 12:32pm
KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) yakin kemenangan calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) bawa manfaat kepada rakyat Sabah.
Calon PH kerusi DUN Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin berkata, kemenangan calon PH juga menjadi faktor utama bagi memastikan Sabah mendapat limpahan kemajuan di peringkat tempatan.
Menurutnya, Sabah memerlukan sebuah kerajaan yang mendukung tadbir urus yang bersih, pentadbiran cekap dan reformasi menyeluruh, bukan politik persepsi bagi memecahbelahkan komuniti setempat.
“Saya orang Sabah, yang bertanding pun semua orang Sabah. Saya pasti tiada siapa meragui keikhlasan sesiapa dalam memperjuangkan nasib rakyat di wilayah ini.
“Kini, bukannya soal siapa lokal atau tidak, yang penting adalah integriti, rekod, dan keupayaan seseorang calon untuk membawa perubahan yang nyata untuk pengundi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, Sabah tidak boleh membiarkan insiden perebutan kuasa kerajaan berlaku berulang kali demi kepentingan politik sesetengah pihak.
Katanya, Sabah sudah ada 16 Ketua Menteri, sedangkan Sarawak cuma enam kali namun negeri itu maju kerana stabil, bukan kerana mereka parti lokal semata-mata.
"Sabah perlu keluar daripada kitaran politik tidak stabil ini. Matlamat PH kali ini bukanlah untuk merebut jawatan Ketua Menteri, tapi untuk memastikan kestabilan pentadbiran yang akan datang supaya agenda orang Sabah dapat ditumpukan.
"PH adalah satu-satunya gabungan politik yang dapat membawa Sabah ke arus pembangunan MADANI, yang menekankan nilai-nilai integriti, kecekapan dan kesejahteraan inklusif.
"Kita masuk perang politik ini dengan agenda yang jelas iaitu untuk membawa Sabah ke hadapan, menjadikan negeri ini lebih stabil, berdaya saing, dan seiring dengan Kerajaan MADANI," jelasnya.
Chan berkata, tiada seorang pun wakil rakyat PH di Sabah terpalit dalam rakaman video skandal rasuah kerana pemimpin PH konsisten dengan agenda reformasi dan tadbir urus yang baik.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah untuk memilih calon-calon PH sebagai jaminan masa depan yang bersih, stabil dan progresif. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pegawai, anggota PDRM bebas pilih calon PRU DUN Sabah – KPN
November 18, 2025, Selasa - 1:09pm
TAWAU: Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai kebebasan penuh untuk memilih mana-mana calon atau parti politik pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DUN) Sabah Ke-17 ini.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Haji Ismail, berkata walaupun beliau menekankan aspek kestabilan politik dan ekonomi dalam ucapannya, ia bukan arahan untuk mana-mana pegawai memilih atau menyokong pihak tertentu.
“Tidak. Kita percaya bahawa kestabilan itu penting, tetapi terpulanglah kepada pegawai dan anggota untuk memilih.
“Saya percaya mereka bijak menggunakan hak masing-masing. Ia bukan arahan daripada saya atau mana-mana pihak,” katanya.
Mohd Khalid berkata, kebebasan memilih adalah hak asasi setiap anggota polis, termasuk mereka yang bertugas sepanjang tempoh pilihan raya.
“Ya, kebebasan itu adalah hak masing-masing,” katanya
Beliau berkata demikian ketika sidang media dalam Majlis Perjumpaan Khas bersama warga PDRM sempena persiapan PRU DUN Sabah Ke-17 di sini, hari ini yang menghimpunkan kira-kira 600 pegawai dan anggota daripada pelbagai batalion yang bertugas di Tawau.
Mohd Khalid menyampaikan sumbangan kepada Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin yang mewakili petugas PDRM – OP PRU DU Sabah.
BANTUAN: Mohd Khalid menyampaikan sumbangan kepada Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin yang mewakili petugas PDRM – OP PRU DU Sabah.
Mohd Khalid turut memaklumkan bahawa persiapan dan penugasan PDRM bagi menghadapi PRU DUN Sabah berada pada tahap sangat memuaskan, termasuk semasa proses penamaan calon baru-baru ini.
“Alhamdulillah, beberapa hari lalu semua keadaan berjalan dengan baik. Penamaan calon di 25 pusat penamaan berjalan lancar tanpa insiden luar jangka,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Pengarah Cawangan Khas serta Ketua Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun atas komitmen memastikan keseluruhan operasi pilihan raya berada dalam keadaan terkawal.
“PDRM menggerakkan seramai 9,200 pegawai dan anggota di seluruh Sabah, termasuk bantuan kontinjen dari Semenanjung,” katanya.
Mengulas aspek keselamatan, Mohd Khalid berkata PDRM telah mengenal pasti 15 kawasan hotspot berdasarkan rekod pilihan raya terdahulu, namun setakat ini keadaan adalah stabil.
“Setakat ini tiada isu besar di Sabah Timur termasuk di Tawau. Semua penugasan CID, Narkotik dan Cawangan Khas berjalan baik. Individu yang berpotensi menimbulkan masalah juga telah dikenal pasti,” katanya.
Beliau turut menafikan wujud sebarang maklumat berkaitan dakwaan pengundi hantu, termasuk kemungkinan kemasukan warga asing dari luar.
“Setakat ini tiada maklumat mengenai pengundi hantu. Tiada laporan polis yang diterima. Saya percaya SPR melaksanakan sistem yang utuh dan baik untuk pilihan raya di Sabah,” katanya.
Mohd Khalid menzahirkan keyakinan bahawa PRU DUN Sabah Ke-17 akan berlangsung dengan aman dan lancar sekiranya semua pihak memainkan peranan masing-masing.
“Rakyat Sabah menunggu pilihan raya ini. Insya-Allah semuanya berjalan baik dan sempurna,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|