CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Boleh bah, kalau kau

 Close [Copy link]
 Author| Post time 19-11-2025 03:23 PM | Show all posts
Calon GRS DUN Kukusan tawar transformasi untuk Kampung Sri Menanti
November 19, 2025, Rabu - 12:53pm

TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, Samsiah Usman, komited membawa perubahan besar kepada kawasan ini sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17.

Menurutnya, taraf infrastruktur asas di Kampung Sri Menanti misalnya akan ditingkatkan dan memperluas projek perumahan termasuklah Rumah Mesra SMJ.

Katanya, lawatan ziarah kasih yang diadakan hari ini melibatkan kira-kira 30 rumah, bertujuan menyantuni penduduk serta meneliti sendiri masalah yang dihadapi kampung berkenaan.

Samsiah berkata, Sri Menanti sebelum ini berstatus penempatan tidak sah, namun pewartaan tanah oleh kerajaan negeri membuka ruang lebih luas untuk pembangunan dirancang secara teratur.

“Banyak perkara boleh dilakukan selepas kampung ini digazetkan. Dahulu tempat ini terbiar kerana dianggap bukan kampung sah, malah ada yang melabel penduduk sebagai Pendatang Tanpa Izin (PTI).

“Sedangkan ramai pengundi DUN Kukusan tinggal di sini, dan Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) sendiri ada dua cawangan aktif,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Sementara itu, Samsiah berkata, aduan paling ketara daripada penduduk ialah keadaan jalan kampung yang sempit, selain masalah perparitan memandangkan rumah-rumah dibina rapat antara satu sama lain.

“Jika diberi mandat, kita akan susun semula penempatan di sini supaya lebih teratur. Pembangunan parit, jalan raya dan kemudahan awam akan menjadi fokus utama,” katanya.

Beliau juga menegaskan beberapa kawasan terutama di bahagian atas kampung sebelum ini langsung tidak diberi perhatian oleh wakil rakyat lama.

“Penduduk sendiri cakap kawasan atas tidak pernah diambil peduli. Selepas saya turun padang, barulah ramai pihak lain datang membantu. Jalan di bahagian atas pun kini telah dibaiki,” katanya.

Mengulas keperluan rumah mampu milik, Samsiah berkata GRS akan memperluaskan pembinaan Rumah Mesra SMJ di seluruh Kukusan sekiranya mendapat sokongan pengundi.

“Perancangan memperbanyakkan rumah SMJ adalah antara agenda utama. Insya-Allah kalau diberi mandat, kita akan perluaskan lagi skim ini untuk memastikan lebih ramai penduduk mendapat kediaman selesa,” katanya.

Sebagai satu-satunya calon wanita GRS bagi Pantai Timur selain Kunak, Samsiah turut membawa aspirasi memperkasa kaum wanita termasuk ibu tunggal.

“Wanita tidak sepatutnya bergantung sepenuhnya kepada suami. Dalam keadaan ekonomi yang keras sekarang, kita mahu mereka berdaya usaha seperti berniaga, menjana pendapatan, dan berdiri sendiri,” katanya.

Ditanya mengenai peluangnya, Samsiah optimis sokongan penduduk semakin meningkat berdasarkan respons yang diterima sepanjang kempen.

“Keyakinan saya bertambah kerana sambutan penduduk sangat baik. Mereka tahu pembangunan yang diperlukan dan mereka lihat usaha kita turun padang dari awal,” katanya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 19-11-2025 03:23 PM | Show all posts
Kekuatan jentera pendorong semangat calon GRS Tanjung Keramat
November 19, 2025, Rabu - 12:58pm

PUTATAN: Keakraban hubungan dengan pasukan jentera pilihan raya sejak dari awal lagi mendorong semangat calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, 39, untuk terus bekerja keras bersama jentera.

Beliau turut menyifatkan kekuatan jentera GRS khususnya di DUN Tanjung Keramat kali ini lebih bersemangat selepas dirinya dipilih menjadi calon GRS.

"Saya sudah lama bekerja bersama dengan jentera di DUN Tanjung Keramat ini dan mereka sememangnya lebih rapat dengan saya.

"Justeru, saya yakin, pemilihan saya sebagai calon GRS di DUN ini menambahkan lagi semangat semua jentera untuk berkempen sebab mereka sudah lama bersama saya," katanya ketika ditemui di sini.

Dalam pada itu jelasnya, sebagai adik kepada penyandang kerusi DUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya, perkara itu tidak pernah dianggap sebagai satu bebanan.

Malah Shah Alfie melihat pemilihannya sebagai calon GRS di DUN berkenaan sebagai satu tanggungjawab dan amanah.

"Ini kerana rakyat yang memilih, jentera yang menyokong dan saya terima dengan lebih semangat lagi," katanya.

Ditanya mengenai persediaan menghadapi saingan 11 penjuru dalam Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) ini, beliau sudah cukup bersedia dan tidak menganggap ia satu masalah.

"Masing-masing kita ada kekuatan sendiri dan kita mampu untuk membawa jentera-jentera ini dan penyokong-penyokong lebih dekat untuk menyokong GRS di Tanjung Keramat.

"Insya Allah momentum kuat jentera dan para penyokong GRS akan terus meningkat dari semasa ke semasa. Saya juga akan bergerak dan berjumpa jentera di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).

"Kita akan cuba membawa momentum ini supaya lagi meriah dari hari penamaan calon hingga hari mengundi nanti," jelasnya.

Beliau berkata, aspirasi sebagai calon GRS di DUN Tanjung Keramat yang paling utama adalah untuk meningkatkan ekonomi setempat, terutama kepada golongan belia.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-11-2025 03:23 PM | Show all posts
Vesel pukat jerut ditahan operasi dekat daratan di Lahad Datu
November 19, 2025, Rabu - 1:58pm

LAHAD DATU: Sebuah vesel pukat jerut bilis yang dikesan beroperasi terlalu hampir dengan daratan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam operasi penguatkuasaan di perairan Telukan, semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata penahanan dilakukan kira-kira jam 1.30 tengah hari pada kedudukan 0.9 batu nautika timur Tanjung Bangkuruan menerusi Op Pluto Timur 2/2023 dan Op Tiris 3.0.

“Pemeriksaan mendapati vesel berkenaan dikendalikan seorang tekong warga asing berusia 37 tahun, bersama tiga kru berusia 23 hingga 36 tahun.

“Hasil semakan lanjut mendapati vesel ini melanggar Akta Perikanan 1985 kerana beroperasi kurang daripada jarak ditetapkan dari daratan terdekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha bot yang ingkar syarat lesen, khususnya yang beroperasi di zon larangan.

“Peraturan jarak operasi diwujudkan bagi melindungi ekosistem marin dan memastikan sumber perikanan negara kekal mampan.

“Kesemua kru, vesel dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dzulfikhar berkata, Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim supaya terus mematuhi undang-undang laut dan segera menyalurkan maklumat mengenai aktiviti mencurigakan melalui WhatsApp 016-9305727 atau talian kecemasan 999.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-11-2025 03:24 PM | Show all posts
Pelancaran manifesto PH sabah ditunda Ahad ini
November 19, 2025, Rabu - 2:28pm

KOTA KINABALU: Pengarah Dasar Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Datuk Chan Foong Hin mengesahkan pelancaran manifesto Pakatan Harapan Sabah (PH) ditunda ke Ahad ini.

Beliau berkata, penundaan itu berpunca daripada isu terjemahan dan persediaan dokumen.

“Saya dimaklumkan Pengerusi PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud bahawa manifesto yang dijadualkan hari ini dijadualkan semula ke Ahad.

“Manifesto itu digarap untuk menumpukan isu asas yang dihadapi rakyat Sabah, khususnya perkhidmatan penting seperti bekalan air dan elektrik.

“Semangat di sebalik manifesto ini tentang kembali kepada perkara asas. Rakyat Sabah berdepan cabaran utama yang nyata dan matlamat kami memastikan masalah itu ditangani secara praktikal,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Kampung Torong Logong Pulau Gaya pada Rabu.

Beliau yang terlibat dalam proses menggubal dokumen itu berkata, meskipun gaya bahasa mungkin berbeza sedikit daripada versi terdahulu, mesej teras kekal sama, iaitu menangani keperluan asas serta meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Katanya, manifesto itu dirangka melalui perancangan teliti dan libat urus bagi memastikan kandungannya selari dengan aspirasi masyarakat.

“Kembali kepada asas bukan bermaksud kurang aspirasi. Ia bermaksud meletakkan keperluan rakyat Sabah sebagai keutamaan, memastikan air, elektrik, pendidikan dan perkhidmatan penting lain dapat diakses semua.

“Ini antara bidang yang paling mendesak untuk diperbaiki,” katanya.

Chan berkata, penundaan itu penting bagi memastikan ketepatan terjemahan serta memberi ruang kepada pasukan yang menyediakan pembentangan lebih menyeluruh kepada media dan orang ramai.

“Saya yakin pelancaran pada Ahad akan menyampaikan agenda PH Sabah dengan lebih jelas dan berkesan.

“Manifesto ini mewakili visi kolektif pasukan kami dan penting untuk memastikan ia sampai kepada rakyat tanpa kekeliruan.

“Penjadualan semula memastikan kami dapat membentangkannya dengan baik,” katanya.

Manifesto itu dijangka menggariskan cadangan utama serta inisiatif bagi Sabah sebagai komitmen gabungan menangani cabaran jangka pendek dan jangka panjang di negeri ini.

Pada Selasa, Mustapha memaklumkan PH akan melancarkan manifesto bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) pada Khamis dengan fokus terhadap cadangan penubuhan dana khas untuk rakyat Sabah.

Katanya, manifesto itu akan menangani isu teras negeri dan meneruskan komitmen kerajaan Madani.

Antara cadangan utama ialah penubuhan dana khas bagi mengurus tuntutan 40 peratus hasil Sabah dengan menekankan ketelusan serta keutamaan penyelesaian isu asas negeri.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-11-2025 03:24 PM | Show all posts
Program kesedaran minyak masak terpakai perkukuh kitar semula di Pulau Gaya
November 19, 2025, Rabu - 2:30pm

KOTA KINABALU: Program Taklimat Kesedaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Dewan Serbaguna Kampung Torong Logong menjadi salah satu langkah memperkukuh pelaksanaan ekonomi kitaran dalam sektor agrikomoditi dalam kalangan komuniti Pulau Gaya.

Calon Pakatan Harapan Tanjung Aru Datuk Chan Foong Hin berkata, program berkenaan digerakkan bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kepentingan mengumpul dan mengitar semula minyak masak terpakai atau UCO sekali gus menyokong pembangunan bahan api penerbangan mampan (SAF) untuk kegunaan masa hadapan.

“Minyak masak terpakai bukan sekadar sisa dapur, sebaliknya bahan mentah bernilai yang mampu membantu isi rumah menjana pendapatan sampingan kerana harga pasaran berada pada kadar RM2 hingga RM2.50 sekilogram.

“Pada masa sama, usaha pengumpulan UCO menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon selari sasaran negara mencapai sifar bersih menjelang 2050,” katanya semasa ditemui selepas program berkenaan.

Chan memberikan taklimat Kesedaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Dewan Serbaguna Kampung Torong Logong. Gambar Mohd Faisal Ahmad
TAKLIMAT: Chan memberikan taklimat Kesedaran Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Dewan Serbaguna Kampung Torong Logong. Gambar Mohd Faisal Ahmad
Chan berkata, inisiatif berkaitan UCO bermula melalui kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Petronas Dagangan Berhad, melibatkan sekolah serta stesen minyak sebagai pusat pengumpulan.

“Jika hanya tiga stesen menjadi perintis pada 2023, kini ada 89 stesen di seluruh negara. Di Sabah, tujuh stesen berperanan sebagai pusat pengumpulan termasuk di Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Kota Belud dan Lahad Datu.

“Melihat inisiatif ini sampai ke Pulau Gaya menunjukkan potensi besar komuniti ini menyokong agenda kitar semula negara,” katanya.

Menurutnya, UCO berada dalam senarai bahan utama penghasilan SAF di bawah Dasar Agrikomoditi Negara 2030.

“Permintaan dijangka meningkat apabila loji SAF Ecoceres di Johor mula beroperasi pada Oktober 2025 dengan kapasiti 350,000 tan setahun.

“Menjelang 2028, loji biopenapis Petronas–Enilive–Euglena di Pengerang bakal menambah permintaan dengan kapasiti 650,000 tan setahun,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, tahap pengumpulan UCO di Sabah masih rendah apabila hanya 5,200 tan berjaya dikumpul pada 2024, kira-kira 1.5 peratus daripada keseluruhan 380,000 tan negara.

Chan menggesa masyarakat Sabah meningkatkan penyertaan dalam program itu kerana manfaatnya meliputi aspek ekonomi dan alam sekitar.

Dalam ucapannya, Chan turut menyentuh aspirasi yang ingin dibawa khusus untuk Pulau Gaya, termasuk penyediaan perkhidmatan bot percuma bagi pelajar SK Pulau Gaya dan SMK Pulau Gaya sepanjang musim persekolahan bagi memastikan akses pendidikan lebih mudah dan selamat.

Beliau berkata, kerajaan meluluskan RM260 juta bagi pemindahan kedua-dua sekolah ke kawasan daratan melalui pembinaan kompleks pendidikan baharu yang merangkumi 36 bilik darjah untuk setiap sekolah, dewan besar dan padang sukan.

Lawatan tapak bersama Kementerian Pendidikan sudah dilakukan awal bulan ini sebagai persediaan projek itu.

Menurutnya, pembangunan berkenaan akan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat kepada murid dan guru tanpa risiko ribut serta ombak besar yang sering mengganggu sekolah atas air.

Chan turut mengumumkan pembinaan menara telekomunikasi setinggi 30 meter dengan liputan 5G di Kampung Kasupan bagi mengatasi masalah liputan internet di Pulau Gaya.

Perkara itu dipersetujui selepas perjumpaannya dengan Timbalan Menteri Komunikasi minggu lalu, diikuti tinjauan segera oleh MCMC ke lokasi cadangan.

Katanya, penduduk Pulau Gaya berhak menikmati kemudahan asas setara kawasan lain termasuk capaian internet yang stabil bagi tujuan pendidikan, keselamatan dan ekonomi.

Chan merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program itu dan berharap pengumpulan UCO menjadi budaya baharu dalam kalangan komuniti yang mampu membawa manfaat besar serta menyokong masa depan agrikomoditi negara yang lebih mampan.

Program berakhir dengan sesi penerangan teknikal mengenai pengurusan minyak masak terpakai serta penyerahan tong pengumpulan kepada komuniti setempat.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-11-2025 03:24 PM | Show all posts
Penduduk mahu kerajaan lebih peka kebajikan rakyat
November 19, 2025, Rabu - 2:32pm

KOTA MARUDU: Penduduk di daerah ini menzahirkan harapan kuat supaya kerajaan yang memimpin selepas ini lebih stabil agar kebajikan rakyat dapat dijaga dengan lebih berkesan dan pembangunan daerah dapat dilaksanakan tanpa gangguan.

Pemaju Mukim Kampung Kandawayon, Jackson Modusik berkata, masyarakat kini semakin peka terhadap kesan pentadbiran kerajaan terhadap kehidupan harian mereka.

“Penduduk ingin melihat kerajaan yang mampu berfungsi secara konsisten kerana kestabilan memberi ruang untuk setiap program, perancangan dan projek dilaksana mengikut jadual tanpa perubahan mendadak.

“Ramai penduduk bergantung sepenuhnya pada kemudahan dan perkhidmatan dasar kerajaan, terutama di kawasan luar bandar yang masih memerlukan peningkatan prasarana.

“Kerajaan yang stabil mampu memberi tumpuan terhadap pembaikan kemudahan asas, memperluas peluang sokongan ekonomi dan meningkatkan akses perkhidmatan kepada komuniti,” katanya.

Katanya, penduduk mahu kepimpinan yang tidak hanya menumpukan agenda politik, tetapi benar-benar turun memahami isu masyarakat seperti kesukaran mobiliti, terbatasnya peluang ekonomi dan keperluan sokongan sosial.

“Kestabilan politik membuka laluan kepada pentadbiran yang lebih kemas, membolehkan kerajaan menyalur bantuan dan peruntukan dengan lebih sistematik.

“Ia juga memberi keyakinan kepada rakyat untuk melihat perubahan yang lebih teratur dan menyeluruh seterusnya dapat mencapai sasaran dengan lebih pantas dan berimpak,” katanya.

Pendapat sama diutarakan salah seorang penduduk Sani @ Simon Gaidin yang melihat kestabilan tidak bermakna apa-apa jika nasib rakyat masih berada pada tahap sama tanpa penambahbaikan dari segi bantuan sosial, pembangunan infrastruktur dan peluang ekonomi.

“Saya berharap kerajaan yang stabil mampu memberikan tumpuan terhadap isu prasarana, jalan raya yang lebih baik, air bersih dan rangkaian telekomunikasi yang stabil serta mengurangkan pertelagahan politik dan memastikan pembangunan daerah disalurkan secara berterusan.

“Kita mahukan kerajaan yang memimpin dengan sikap prihatin bagi membantu memajukan pelbagai bidang termasuklah pertanian mahupun penternakan kerana bidang ini menjadi antara sumber pendapatan utama ramai penduduk di sini.

“Ramai penduduk bergantung pada sektor pertanian dan perniagaan kecil, maka kestabilan kerajaan menjadi faktor penting untuk mereka merancang ekonomi keluarga serta kehidupan harian tanpa kebimbangan politik berulang,” katanya.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 19-11-2025 03:25 PM | Show all posts
Cadangan tubuh UniKL di Sandakan, strategi transformasi agenda pendidikan
November 19, 2025, Rabu - 2:52pm

KOTA KINABALU: Cadangan penubuhan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Sandakan bukan sekadar penambahan institusi pendidikan, tetapi sebagai satu intervensi struktur yang mampu mencipta gelombang baharu mobiliti sosial, kemajuan ekonomi, dan transformasi modal insan.

Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga Datuk Suhaimi Nasir berkata, sekarang bukan masanya untuk menunggu limpahan pembangunan dari luar, tetapi masa untuk mengemudi sendiri agenda pendidikan dan transformasi wilayah.

Ahli Parlimen Libaran ini berkata, penubuhan UniKL juga wajar memandangkan Sandakan adalah hab pendidikan di negeri ini.

"Cadangan ini turut diperakui sebagai langkah tepat oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menyokong penuh hasrat ini semasa majlis ramah mesra bersama pemimpin di PPR Taman Murni Sandakan sempena kempen Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah).

"Kesediaan MARA mempertimbangkan cadangan ini memberi isyarat jelas Sandakan berada pada landasan strategik untuk menjadi pusat kecemerlangan akademik serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi Sabah Timur," katanya pada majlis ramah mesra itu hari ini.

Menurutnya, Sandakan memerlukan pusat pendidikan tinggi berskala nasional bagi menutup jurang akses pendidikan berkualiti. Tanpa institusi seperti UniKL, bakat-bakat muda Sandakan terus berhijrah, dan ekonomi tempatan kekal tersekat dalam kitaran tenaga kerja sederhana.

Selain itu katanya, Sabah Timur memiliki sektor-sektor strategik perladangan, perikanan, agroteknologi, logistik dan biodiversiti yang memerlukan tenaga mahir, berpensijilan profesional dan berupaya memimpin industri.

Justeru jelasnya, kehadiran UniKL akan membentuk hubungan simbiotik antara akademia dan industri, mewujudkan sebuah ekosistem pendidikan berasaskan permintaan, bukan sekadar kampus yang mengeluarkan graduan tanpa hala tuju.

"Cadangan ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI dan agenda memperkukuh TVET nasional. UniKL, sebagai institusi MARA yang mempunyai reputasi antarabangsa, berpotensi menjadi pusat rujukan pendidikan teknikal dan profesional di Borneo.

"Dengan adanya kampus di Sandakan, Sabah tidak lagi hanya menjadi penerima dasar, tetapi pencipta nilai pendidikan untuk rantau ini.

"Saya percaya Sandakan harus berfikir dengan keberanian dan visi jangka panjang. Kita tidak boleh terperangkap dengan naratif pembangunan hanya berlaku di pantai barat atau di ibu negeri.

"Jika kita mahu masa depan yang lebih adil dan seimbang, kita mesti menyediakan prasarana pendidikan berkualiti tinggi di Sabah Timur," jelasnya.

Dalam pada itu Suhaimi mengulangi komitmennya untuk memacu usaha penubuhan kampus UniKL di hab pendidikan Sandakan sebagai keutamaan dasar.

Katanya, perkara itu juga bukan janji politik, tetapi strategi pembangunan berasaskan data, rasional dan keperluan sebenar wilayah.

“Wilayah yang tidak mempunyai institusi ilmu adalah wilayah yang tidak mempunyai masa depan. Dengan UniKL di Sandakan, kita membina masa depan yang lebih besar daripada diri kita sendiri," katanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-11-2025 03:25 PM | Show all posts
Lelaki memandu mabuk dipenjara tiga bulan, denda RM10,000
November 19, 2025, Rabu - 2:59pm

TAWAU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini kerana kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kemalangan, pada 28 Julai lepas.  

Tertuduh, Veron Baxter, 21, dikenakan hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut kertas pertuduhan, kenderaan Veron didakwa hilang kawalan lalu terbabas ke pembahagi tengah jalan dan terlanggar sebatang tiang lampu, di Batu 9 Jalan Apas, Tawau, kira-kira jam 5.30 pagi.

Siasatan awal di lokasi kejadian, kemalangan berpunca disebabkan kecuaian tertuduh yang memandu kereta disyaki dibawah pengaruh alkohol.

Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah tertuduh sebanyak 136 miligram etil dalam 100 mililiter darah.

Kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Joan Lee dalam hujahnya meminta supaya mahkamah menjatuhkan hukuman yang berat demi kepentingan awam serta pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat awam.

Katanya, sistem keadilan tidak boleh bertolak ansur terhadap pemandu mabuk dan mahkamah perlu menghantar mesej bahawa perbuatan tertuduh tidak boleh diberi ruang toleransi.  

Majistret kemudian menjatuhi hukuman penjara selama tiga bulan dan denda RM10,000 atas kesalahan yang dilakukan tertuduh.

Tertuduh juga akan dipenjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan, selain tertuduh hilang kelayakan memegang lesen memandu selama dua tahun.

Veron terpaksa menjalani hukuman penjara tambahan selama tiga bulan lagi selepas gagal membayar denda berkenaan.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 19-11-2025 03:27 PM | Show all posts
PPS terima lawatan berkala daripada SUHAKAM
November 19, 2025, Rabu - 10:40am

SIBU: Penjara Pusat Sibu (PPS) telah menerima lawatan berkala daripada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), pada Selasa.

Lawatan ini melibatkan rombongan seramai enam orang yang diketuai oleh Persuruhjaya SUHAKAM Dahim Nadot serta Abdul Kadir Jailani Ismail.

Ketibaan rombongan disambut oleh Pengarah PPS Celestine Jubang Paul bersama barisan pegawai kanan institusi berkenaan.

Tujuan lawatan ini adalah untuk meninjau secara langsung keadaan persekitaran, kebajikan banduan serta pelaksanaan hak asasi manusia dalam kalangan penghuni penjara selaras dengan peranan SUHAKAM dalam memastikan hak setiap individu dipelihara.

Sepanjang lawatan, rombongan telah dibawa meninjau beberapa blok penempatan, fasiliti rawatan, bengkel vokasional dan kemudahan asas lain.

Taklimat ringkas berkaitan operasi serta amalan terbaik penjara juga telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah PPS Ku Hakimi Ku Halim.

Lawatan pihak SUHAKAM ini juga dapat meninjau secara menyeluruh komitmen berterusan pihak PPS dalam memastikan pengurusan institusi berjalan selaras dengan prinsip hak asasi dan standard antarabangsa.

Pihak SUHAKAM turut merakamkan penghargaan atas kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan sepanjang lawatan berlangsung.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-11-2025 03:28 PM | Show all posts
Kerajaan Sarawak salur bantuan RM70,000 kepada mangsa kebakaran di Kampung Long Loyang
November 19, 2025, Rabu - 12:16pm

MIRI:  Kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan berupa bahan binaan berjumlah RM70,000 untuk membantu mangsa kebakaran di Kampung Long Loyang, yang rumah panjang mereka musnah sepenuhnya dalam kebakaran minggu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Datuk Dennis Ngau berkata bantuan itu akan disalurkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian.

"Sebaik sahaja kembali ke Miri daripada lawatan rasmi, saya terus ke Long Loyang untuk menziarahi mangsa kebakaran baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan.

Semasa lawatan itu, beliau menasihati ketua kampung supaya menubuhkan jawatankuasa penyelarasan dan membuka akaun bank khas bagi memudahkan sumbangan untuk membina semula rumah panjang.

Beliau menekankan bahawa tragedi ini bukan sahaja melibatkan kehilangan rumah, malah turut meragut nyawa seorang mangsa.

Dennis turut merakamkan penghargaan kepada jabatan kerajaan, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan, individu dan sukarelawan yang tampil memberikan bantuan segera termasuk makanan, pakaian dan barangan asas rumah tangga.

"Apa yang paling penting adalah kehadiran anda telah memberi sedikit kedamaian hati kepada mangsa pada waktu sukar ini,” katanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-11-2025 03:28 PM | Show all posts
Kuasai pengetahuan asas CPR, AED, tindakan awal penentu kelangsungan hidup mangsa: Winny
November 19, 2025, Rabu - 12:20pm

MIRI: Lebih ramai orang awam diseru menguasai pengetahuan asas Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) dan penggunaan Defibrilator Luar Automatik (AED) kerana tindakan awal di lokasi kejadian sering menjadi faktor penentu kelangsungan hidup mangsa yang mengalami henti jantung.

Seorang jurulatih di Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Miri, Winny Sia Zi Ying berkata tempoh emas untuk menyelamatkan mangsa hanya beberapa minit dan tindakan pantas melakukan CPR serta menggunakan AED mampu meningkatkan peluang mangsa untuk hidup.

Beliau berkata demikian ketika memberikan penerangan serta latihan praktikal kepada peserta Kursus Asas Pertolongan Cemas 2025 anjuran Sayap Belia Persatuan Hakka Miri (PHM) di sini pada Ahad lalu.

Sesi latihan turut merangkumi langkah penilaian kecemasan termasuk memastikan kawasan selamat, memeriksa respon dan pernafasan mangsa serta memulakan CPR tanpa berlengah jika mangsa tidak bernafas.

Winny turut menjelaskan bahawa teknik CPR yang betul, meliputi kedudukan tangan, kedalaman tekanan, ritma serta perbezaan prosedur bagi orang dewasa, kanak-kanak dan bayi.

"CPR tanpa bantuan pernafasan iaitu menggunakan tangan sahaja merupakan alternatif berkesan bagi penyelamat yang tidak terlatih," jelasnya.

Pada program sama, para peserta juga diberikan tunjuk ajar jelas mengenai penggunaan AED, antaranya meletakkan pad elektrod di posisi yang betul, mendengar arahan suara peranti serta memberikan kejutan elektrik apabila diarahkan.

Menurutnya, AED direka mesra pengguna dan keberanian orang awam untuk bertindak merupakan kunci utama dalam menyelamatkan nyawa.

Selain CPR dan AED, peserta turut mempelajari teknik menghentikan pendarahan, kaedah balutan, penggunaan anduh dan bidai serta cara mengangkat dan mengusung mangsa tanpa mencederakan tulang belakang bagi memastikan pengendalian yang selamat dalam situasi kecemasan.

Kursus itu dirasmikan Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Presiden PHM, Datuk Sri Lee Kim Shin bersama pengerusi penganjur, Liew Li Choo dan Ketua Sayap Belia, Andy Jong Wan Joon.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-11-2025 03:29 PM | Show all posts
MPS tingkatkan penguatkuasaan kebersihan premis makanan, tumpu keselamatan makanan serta kawalan tikus: Jackleen
November 19, 2025, Rabu - 12:37pm

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) meningkatkan penguatkuasaan kebersihan premis makanan melalui pemeriksaan menyeluruh yang menumpukan aspek keselamatan makanan serta kawalan tikus di kawasan tumpuan.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MPS Jackleen Apek berkata, pemeriksaan memberi fokus kepada tahap kebersihan dalaman premis termasuk dinding, lantai serta peralatan penyediaan makanan bagi memastikan semuanya berada pada keadaan memuaskan.

“Semua peralatan seperti sudu, garpu, papan pemotong, botol dan mangkuk mesti berapa dalam keadaan baik, tanpa sebarang keretakan atau sumbing.

“Papan pemotong juga tidak boleh digunakan secara bercampur untuk pelbagai jenis makanan, manakala kuali mesti bebas karat," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas operasi pemeriksaan kebersihan ke atas kedai kopi di sekitar kawasan Pasar Malam Sibu, hari ini.

Yiing (kiri) bersama ahli majlis MPS ketika memeriksa dapur salah sebuah kedai kopi di sekitar kawasan Pasar Malam Sibu.
Yiing (kiri) bersama ahli majlis MPS ketika memeriksa dapur salah sebuah kedai kopi di sekitar kawasan Pasar Malam Sibu.
Beliau berkata, susun atur peti sejuk dan cara penyimpanan makanan turut diperiksa bagi memastikan makanan ditutup rapi dalam bekas yang sesuai serta dilabel bagi tujuan penyimpanan yang selamat.

“Rak penyimpanan pula tidak boleh berada terlalu rendah supaya tidak terdedah kepada risiko pencemaran dari lantai.

“Kami juga memastikan semua peralatan dan kemudahan di premis berfungsi dengan baik seperti paip air, sistem flush tandas, kabel serta sinki yang mencukupi.

“Kipas pula perlu dalam keadaan bersih, tidak berdebu dan tidak meninggalkan kesan kotor pada dinding, manakala pintu yang rosak perlu dibaiki segera. Selain itu, pencahayaan premis juga mesti mencukupi dan terang,” jelasnya.

Jackleen berkata, antara isu yang sering dikesan semasa pemeriksaan ialah kehadiran najis atau tanda-tanda tikus di premis makanan.

“Dalam keadaan tersebut, pemilik premis akan diarahkan melaksanakan kawalan serangga dan tikus (pest control) melalui syarikat kawalan serangga bertauliah serta menyimpan rekod pest control sebagai bukti pemantauan berkala.

“Jika terlalu banyak tanda kehadiran tikus dikesan, kekerapan pest control akan ditingkatkan kepada dua kali sebulan, manakala jika hanya satu atau dua kes, pemantauan sekali sebulan sudah memadai,” ujarnya.

Setakat ini, katanya, MPS tidak mengenakan penalti kepada peniaga, namun notis dan pemantauan adalah tindakan standard yang dilaksanakan.

Pemeriksaan keadaan dapur di salah sebuah kedai kopi berada pada tahap kurang memuaskan.
Pemeriksaan keadaan dapur di salah sebuah kedai kopi berada pada tahap kurang memuaskan.
“MPS tidak mempunyai kuasa untuk menutup premis sepenuhnya, tetapi kami boleh mengarahkan premis ditutup selama sehari untuk kerja-kerja pembersihan menyeluruh,” jelasnya.

Jackleen berkata, selepas notis dikeluarkan, pemilik premis akan diberikan tempoh 14 hari untuk melakukan pembersihan premis dan penambahbaikan.

“Pemeriksaan susulan pula akan dilakukan dalam tempoh tujuh hingga 14 hari mengikut kesesuaian.

“Jika premis gagal mematuhi arahan selepas tiga kali pemeriksaan, kes berkenaan akan dirujuk kepada pihak atasan untuk tindakan lanjut,” tegasnya.

Operasi tersebut diketuai oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS Kaunselor Yiing Sy Huat.

Turut serta ialah ahli majlis MPS dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-11-2025 03:29 PM | Show all posts
JKR diminta aktifkan semula lampu isyarat di laluan keluar Meridian Central
November 19, 2025, Rabu - 2:50pm

BINTULU: Jabatan Kerja Raya (JKR) harus mempertimbang pengaktifan semula lampu isyarat di laluan keluar Meridian Central bagi meningkatkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang.

Menurutnya, bagi tujuan itu keputusan mengaktifkan semula lampu isyarat di pusat komersial terbabit harus dilaksanakan segera bagi menyelamatkan persekitaran perniagaan yang sedang rancak berkembang di kawasan berkenaan.

"Langkah menutup lampu isyarat di laluan keluar Meridian sebelum ini dilaporkan telah menjejaskan perniagaan di situ sehingga 50 peratus yang mana langkah terbaik adalah membuka semula laluan bagi memudahkan semua pihak yang hendak mendapatkan barangan keperluan seharian serta urusan perniagaan yang lain di situ," ujarnya.

Beliau berkata demikian sejurus selesai menghadiri sesi dialog bersama para peniaga dari Pusat Komersial Meridian dan JKR di sini Isnin lalu.

Menurutnya, penutupan lampu isyarat di pintu keluar kawasan komersial itu menyebabkan pelanggan sukar memasuki premis perniagaan, sekali gus mengurangkan jumlah kunjungan.

"Peniaga memaklumkan bahawa perniagaan mereka terjejas teruk dan merosot sehingga 50 peratus kerana kesukaran pelanggan untuk masuk ke kawasan premis," jelasnya.

Beliau berkata, JKR meminta pemilik premis menandatangani surat sokongan sebelum mempertimbangkan semula cadangan untuk membuka kembali lampu isyarat berkenaan.

"JKR meminta semua pemilik premis menandatangani surat rayuan dan saya sebagai wakil rakyat akan menyokong keperluan rakyat demi memudahkan urusan mereka," tambah beliau.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-11-2025 03:31 PM | Show all posts
Pengurusan kewangan bijak kekal tonggak kesejahteraan ekonomi golongan muda
November 19, 2025, Rabu - 2:57pm

KOTA SAMARAHAN: Pengurusan kewangan bijak kekal sebagai tonggak kesejahteraan ekonomi golongan muda ketika mereka melangkah ke alam pekerjaan.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn menekankan golongan muda perlu mempunyai ilmu pengurusan kewangan bijak bagi memahami hak, pendedahan kepada risiko sistemik dan implikasi jangka panjang setiap keputusan kewangan.

"Pengetahuan kewangan moden mesti seiring dengan etika digital kerana dalam dunia digital tanpa sempadan, satu klik cuai sama ada transaksi penipuan atau terlalu komited kepada skim 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian' (BNPL) boleh memberi kesan kepada skor kredit dan kestabilan masa depan selama bertahun-tahun.

"Ia seperti yang pernah ditegaskan oleh Benjamin Franklin yang menyebut 'pelaburan dalam pengetahuan membayar faedah terbaik’," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan dibacakan wakilnya yang juga Timbalan Menteri Datuk Francis Harden Hollis pada perasmian Konvensyen Kewangan Siswazah Sarawak 2025 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UNIMAS Profesor Dr Siti Noor Linda Taib, Ketua Bank Negara Malaysia Cawangan Kuching Rantai Naga, Strategi Pasaran Pelaburan, Prudential Assurance Malaysia Berhad Esther Ong Chen Woon serta tetamu jemputan dan para graduan.

Konvensyen yang mengangkat tema 'Wang dan Risiko Dalam Era Digital' anjuran Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) dengan kerjasama UNIMAS itu telah menghimpunkan lebih 1,000 pelajar daripada 15 institusi pengajian tinggi di seluruh Sarawak.

Ujar beliau, menurut Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan Dari Segi Permintaan Bank Negara Malaysia (BNM) 2024, mendapati indeks literasi kewangan negara berada pada tahap 59 peratus.

"Daripada jumlah itu terdapat kira-kira 61 peratus rakyat negara ini termasuk kita di Sarawak menghadapi kesukaran untuk mengumpul RM1,000 bagi dana kecemasan.

"Ini menunjukkan keperluan mendesak bagi melengkapkan golongan muda hari ini dengan pengetahuan dan kemahiran mengurus kewangan secara berkesan demi masa depan yang lebih terjamin.

"Justeru saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak UNIMAS dan Prudential Assurance Malaysia Berhad kerana mengambil inisiatif untuk menganjurkan Konvensyen Kewangan Siswazah Sarawak 2025 kali ini,” katanya.

Tambahnya, program itu bukan sekadar perhimpunan akademik sebaliknya platform penting menghubungkan ahli akademik, institusi pengajian tinggi, pemain industri dan kerajaan untuk mengukuhkan kesedaran kewangan atau kecerdasan kewangan (FQ) dalam kalangan generasi muda.

Ujarnya lagi, pilihan Sarawak sebagai tuan rumah sangat sesuai kerana negeri kini memacu kemajuan dalam pendidikan tinggi, inovasi dan ekonomi digital ke arah mencapai wawasan Sarawak Advance Economy menjelang 2030.

"Konvensyen ini selaras dengan Strategi Kebangsaan Untuk Celik Kewangan (NS2) 2026–2030 yang telah dilancarkan pada 3 Oktober yang antara lain memberi tumpuan terhadap pengukuhan kerjasama antara kerajaan, pemain industri dan komuniti untuk mengembangkan pendidikan kewangan ke seluruh negara.

"Di samping itu untuk meningkatkan celik kewangan digital supaya rakyat lebih peka terhadap penipuan dan hutang mikro serta memupuk budaya kewangan yang beretika dan bertanggungjawab terutama dalam kalangan generasi muda," katanya.

Sagah percaya inisiatif pendidikan kewangan yang dianjurkan oleh Prudential Assurance Malaysia Berhad sejak 2014 telah banyak menyokong usaha kerajaan dalam menyampaikan pengetahuan pengurusan kewangan kepada belia dan komuniti di negeri ini.

"Saya berharap rakan kongsi industri akan terus melihat Prudential sebagai penanda aras amalan terbaik dalam mempromosikan pendidikan pewangan yang komprehensif di kalangan orang ramai," ujarnya.

Dalam pada itu, konvensyen turut menampilkan wakil daripada Bank Negara Malaysia (BNM), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Eastspring Investments serta organisasi kewangan utama lain.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-11-2025 03:31 PM | Show all posts
Yap sifatkan mendiang Lim baik hati, sentiasa layan tetamu dengan mesra
November 19, 2025, Rabu - 3:00pm

KUCHING: Pengerusi SUPP Cawangan Kota Sentosa Wilfred Yap menyifatkan mendiang Puan Sri Datin Amar Lim Su Kheng sebagai seorang yang baik hati dan sentiasa melayan tetamu dengan mesra.

Beliau berkata demikian ketika mengenang hubungan awal beliau dengan keluarga Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, lebih sedekad lalu.

Yap berkata, walaupun beliau tidak begitu rapat dengan mendiang namun hubungan yang terjalin melalui aktiviti parti menyebabkan pemergian itu cukup dirasai.

“Tidaklah begitu rapat, tetapi saya sudah lama bersama Dr Sim... jadi saya ingin mengucapkan takziah kepada Timbalan Premier dan presiden parti SUPP atas kehilangan ini,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri upacara penghormatan terakhir di sini, semalam.

Mengimbau kembali kenangan sekitar 10 hingga 15 tahun lalu, Yap berkata kediaman keluarga Dr Sim sering menjadi lokasi pertemuan pemimpin-pemimpin muda parti.

“Dahulu, sekitar tahun 2012, 2013, kami selalu datang ke sini setiap hari Jumaat, mendiang sangat baik hati dan sering menghidangkan makanan kepada kami.

"Mendiang sentiasa menyambut kami dengan layanan baik dan ramah mesra,” ujarnya.

Yap hadir bersama rombongan SUPP Cawangan Kota Sentosa terdiri daripada ahli jawatankuasa yang berkesempatan hadir di kediaman keluarga di Jalan Wan Abdul Rahman, Kenyalang Park, di sini.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-11-2025 03:31 PM | Show all posts
PBDS gesa kerajaan teliti semula sistem klasifikasi etnik
November 19, 2025, Rabu - 3:09pm


MIRI: Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) menggesa kerajaan persekutuan meneliti semula sistem klasifikasi etnik yang digunakan dalam borang serta pangkalan data rasmi bagi memastikan komuniti peribumi Sarawak tidak lagi disatukan di bawah label umum 'lain-lain'.

Ketua Penerangan PBDS Sigie Badang (gambar) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam berkata, isu tersebut kembali mendapat perhatian susulan insiden tular baru-baru ini melibatkan seorang pelanggan dari Sarawak yang didakwa disoal mengenai status Bumiputeranya.

Walaupun siasatan terhadap insiden itu masih berjalan, PBDS berpandangan ia membuka ruang penting untuk perbincangan mengenai keperluan mengiktiraf identiti etnik Sarawak secara lebih tepat di peringkat nasional.

Menurut PBDS, Sarawak merupakan negeri yang mempunyai kepelbagaian etnik peribumi termasuk Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau, Penan dan lain-lain, yang kesemuanya membentuk asas populasi Bumiputera di negeri ini.

Bagaimanapun, komuniti-komuniti ini masih dikategorikan sebagai 'lain-lain' dalam banyak sistem pentadbiran persekutuan, sesuatu yang menurut PBDS tidak mencerminkan identiti budaya serta sejarah masyarakat Dayak dan etnik peribumi lain.

PBDS turut menegaskan bahawa penggunaan kategori generik itu membawa beberapa implikasi besar, antaranya, menjejaskan ketepatan data demografi etnik Bumiputera Sarawak, menyukarkan dasar bersasar berdasarkan keperluan komuniti, mengelirukan kefahaman mengenai definisi Bumiputera terutama di Semenanjung dan mengurangkan keterlihatan masyarakat Dayak di peringkat kebangsaan.

PBDS menekankan, isu tersebut bukan soal konfrontasi politik sebaliknya keperluan untuk mewujudkan sistem pentadbiran lebih adil dan tepat bagi semua rakyat Malaysia.

Bagi menangani isu tersebut, PBDS mencadangkan beberapa langkah konkrit, iaitu dengan pengiktirafan terhadap etnik Dayak Sarawak, dengan mengemas kini borang dan pangkalan data rasmi agar etnik peribumi ini disenaraikan secara jelas, bukannya digabungkan dalam kategori umum.

PBDS turut menyarankan agar klasifikasi persekutuan diselaraskan dengan sistem pengiktirafan etnik yang sudah lama diamalkan Kerajaan Sarawak.

PBDS juga mencadangkan untuk menyediakan latihan kepada kakitangan barisan hadapan di institusi kewangan, agensi kerajaan dan sektor lain bagi meningkatkan kefahaman mengenai konteks etnik Malaysia Timur serta mengadakan dialog dengan agensi persekutuan di mana PBDS turut sedia berdaya usaha mengadakan perbincangan dengan kementerian terlibat bagi merangka penambahbaikan praktikal.

Parti itu turut menegaskan komitmennya mahu terus memperjuangkan maruah, pengiktirafan dan hak komuniti Bumiputera Sarawak, sambil bekerjasama dengan pihak berkuasa negeri dan persekutuan.

“Malaysia kuat kerana kepelbagaian. Pengiktirafan tepat terhadap semua komuniti adalah asas kepada keharmonian dan perpaduan nasional,” kata Sigie sambil menyeru agar proses penambahbaikan dilakukan secara hormat, inklusif dan berasaskan dialog terbuka demi memastikan keadilan untuk semua kumpulan etnik.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 19-11-2025 03:32 PM | Show all posts
Tzu Chi Miri santuni mangsa kebakaran Long Loyang
November 19, 2025, Rabu - 3:11pm

MIRI: Yayasan Buddha Taiwan Tzu Chi Cawangan Perhubungan Miri (Tzu Chi Miri) semalam tampil menghulurkan bantuan kecemasan kepada mangsa kebakaran di Long Loyang, Tinjar, Baram di mana sebuah blok rumah panjang hangus pada malam 10 November sekali gus menyebabkan 22 keluarga hilang tempat tinggal.

Dalam usaha penuh keprihatinan itu, sukarelawan dari Stesen Kitar Semula dan Perlindungan Alam Sekitar Tzu Chi beberapa hari kemudian mengagihkan periuk memasak, barangan keperluan asas rumah serta sayur-sayuran segar kepada mangsa.

Sumbangan sayur-sayuran segar tersebut disediakan hasil kemurahan hati seorang penjual sayur tempatan yang tampil secara senyap menyumbang dalam jumlah besar selama dua hari berturut-turut.

Wakil penduduk merangkap guru bersara, Michael Sabang yang menerima bantuan bagi pihak keluarga terjejas, menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas keprihatinan serta bantuan segera yang dihulurkan.

Kebakaran yang dipercayai berpunca daripada dapur gas itu turut meragut satu nyawa dan mencederakan seorang mangsa.

Insiden berkenaan menyebabkan seramai 191 penduduk, termasuk kanak-kanak dan warga emas, hilang tempat berlindung.

Blok rumah panjang yang musnah itu merupakan salah satu daripada tiga blok rumah panjang komuniti Kenyah di Kampung Long Loyang yang mempunyai lebih 1,000 penduduk.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-11-2025 03:32 PM | Show all posts
18 gereja bakal sertai Perarakan Krismas Kota Sentosa 3.0
November 19, 2025, Rabu - 3:14pm

KUCHING: Sejumlah 18 gereja bakal menyertai Perarakan Krismas Kota Sentosa 3.0 yang akan berlangsung  pada 29 November ini.

Acara pembuka keraian Krismas itu akan bermula jam 6 petang di Dewan Perniagaan Batu 7, Kota Sentosa di sini dengan perarakan dimulakan jam 7.45 malam.

Ia disusuli dengan acara perarakan meliputi jarak sejauh 1.5 kilometer mengelilingi kawasan komersial Kota Sentosa.

Pengerusi Persatuan Kristian Evangelikal Sarawak (SECA) Reverend Greman Ujang berkata, program adalah anjuran SECA dan Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak (ACS) itu, bakal menarik sejumlah lebih 2,000 peserta berbanding 1,000 tahun lepas.

Mengangkat tema ‘Jesus, the Light of the World,’ program diharap dapat menggalakkan masyarakat mengambil bahagian dalam acara penuh gilang gemilang itu.

"Tema tahun ini mengingatkan kita bahawa di tengah-tengah kegelapan dan cabaran, Yesus terus menjadi cahaya terang yang membimbing, memulih dan menyatukan kita bersama sebagai tubuh Kristus.

"Sehubungan itu, kami menjemput semua umat Kristian dan masyarakat sekitar Kota Sentosa untuk menyertai perarakan dan marilah kita bersinar bersama untuk Kristus," katanya.

Greman yang juga pengerusi penganjur Perarakan Krismas 2025 turut menekankan langkah keselamatan dengan mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan pihak berkuasa.

“Polis, MPP, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) termasuk Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) akan hadir sepanjang majlis itu berlangsung,” katanya.

Katanya, dijangka hadir menyertai perarakan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap serta tetamu kehormat lain.

"Acara akan turut dimeriahkan dengan persembahan lagu-lagu Krismas termasuk lagu pujian dan penyembahan menandakan semangat Krismas dalam perpaduan dan iman," katanya.

Dalam pada itu, antara gereja yang mengambil bahagian ialah Gereja Christ Baptist, BEM Olive Garden, First Baptist Church, Emmanuel Baptist Church, New Generation Church, Gereja Injil Sepenuh, Excel Point Baptist Church dan Calvary Family Church.

Gereja lain ialah Sacred Heart Kota Sentosa, Grace Levites Sanctuary, BEM Kota Padawan, Assemblies of God Church, Phaneroo Malaysia, Gereja Familyship Worship Gi 1 dan Gereja Apostolik Sarawak, Gereja 1 Gereja Kerasulan dan Gereja 1 Sarawak Bathany Kuching.

Untuk maklumat lanjut berhubung perarakan, hubungi Benny Hinn di talian 013-8070643 atau Greman (013-8089947).
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 19-11-2025 03:32 PM | Show all posts
PBSM Cawangan Stampin anjur program saringan kesihatan komuniti ‘Jejak Kanser’
November 19, 2025, Rabu - 3:16pm

KUCHING: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cawangan Stampin dengan kerjasama National Cancer Society Malaysia (NCSM) dan Deemcee Saradise Kuching akan menganjurkan program saringan kesihatan komuniti bertemakan ‘Jejak Kanser’ pada 22 November ini.

Pengerusi Derma Darah dan Organ mewakili Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Stampin Wendy Tan berkata, saringan akan diadakan bermula dari jam 9 pagi hingga 1 petang sahaja di Tropics City, Jalan Tabuan Dayak (hadapan Doremart).

Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko kanser serta menyediakan peluang pengesanan awal bagi mengurangkan kadar komplikasi dan kematian akibat penyakit tersebut.

Antara saringan yang disediakan termasuk penilaian risiko kanser paru-paru, penilaian risiko kanser hati, saringan kanser payudara dan saringan kesihatan asas.

“Melalui saringan ini, orang ramai digalakkan untuk lebih peka terhadap tahap kesihatan masing-masing dan mengambil langkah pencegahan awal, termasuk rawatan awal sekiranya dikesan berisiko,” katanya.

Pada masa yang sama, Pengerusi PBSM Cawangan Stampin Chew Kim Soon berkata, program tersebut diadakan bagi memastikan masyarakat mendapat akses mudah kepada pemeriksaan kesihatan yang penting.

“Pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa. Menerusi ‘Jejak Kanser’, kami berharap dapat mendekati lebih ramai masyarakat dan memberi peluang saringan yang mudah diakses serta mampu memberi perbezaan besar dalam perjalanan kesihatan mereka,” katanya.

Sebaranng pertanyaan boleh diajukan terus kepada Imelda Kumang di talian 019-8476542 atau Wendy (019-8182244).
Reply

Use magic Report

Post time 19-11-2025 05:48 PM From the mobile phone | Show all posts
Selamat petang semua
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-1-2026 01:14 AM GMT+8 , Processed in 0.288020 second(s), 31 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list