|
|
[Borneo]
Rumah Borak Borneo~Boleh bah, kalau kau
[Copy link]
|
|
|
Penduduk rumah panjang digesa bantu pantau kegiatan tidak bertanggungjawab
November 16, 2025, Ahad - 4:27pm
SIBU: Penduduk rumah panjang digesa untuk menjadi mata dan telinga kerajaan dalam memantau sebarang kegiatan tidak bertanggungjawab di kawasan mereka.
Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Sempurai Petrus Ngelai berkata, peranan komuniti amat diperlukan dalam memastikan kebersihan dan keselamatan kawasan majlis sentiasa terpelihara.
"Sikap membuang sampah secara sembarangan masih berlaku dan tindakan itu bukan sahaja mencemarkan persekitaran, malah boleh mengundang pelbagai bahaya.
"Jangan hanya tengok sahaja. Ambil gambar, ambil video dan laporkan kepada pihak majlis.
“Ini membantu kami mengambil tindakan cepat terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab," katanya semasa berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Frederick Elizabeth, Emperan Tekalong, Batang Igan di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun kutipan sampah adalah tugas MDLBS, ia dilakukan mengikut jadual.
Laporan daripada penduduk jelasnya, akan membolehkan tindakan penguatkuasaan dilakukan dengan lebih efektif.
Katanya lagi, kesalahan membuang sampah secara haram boleh dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Kebersihan dengan denda sehingga RM2,000.
Dalam perkembangan majlis, Sempurai turut memaklumkan bahawa MDLBS mempunyai 27 zon dan 32 ahli majlis yang dibahagikan mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memudahkan pemantauan serta mempercepatkan proses penerimaan aduan.
“Zon diwujudkan supaya aduan dapat melalui saluran betul, lebih sistematik dan tindakan susulan dapat diambil segera,” tambahnya.
Sementara itu, beliau turut menyeru penduduk menjaga kebersihan kawasan rumah panjang, mengawal pembiakan nyamuk serta memberi perhatian kepada isu rabies.
Katanya lagi, pihaknya banyak menerima aduan berkaitan anjing liar yang terdapat di kawasan tebing barat.
"Sebenarnya ia adalah haiwan peliharaan yang dibiarkan berkeliaran dan bercampur dengan anjing liar yang berisiko pembawa rabies.
“Saya harap kepada mereka yang mempunyai anjing supaya mengurung anjing mereka untuk keselamatan dan hendaklah menvaksinkan anjing mereka melalui kempen-kempen yang kami sering adakan.
"Selain anjing, kucing juga pembawa rabies. Jadi gunakanlah kesempatan kempen-kempen yang diadakan kerana ia adalah percuma," jelasnya.
Hadir sama ialah Ketua Pemuda SUPP Kaunselor Kevin Lau, Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Supritenden Boniface Bajai, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Bawang Assan Kaunselor Johnny Sain, Temenggung Stanley Gramong, Pemanca Paing Tawi, Penghulu Dennis Ansam, Setiausaha MDLBS Ng Siang Wei dan Tuai Rumah Frederick Elizabeth. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Peranan ibu bapa sebagai pendamping anak semakin penting dalam era digital
November 16, 2025, Ahad - 4:39pm
SIBU: Peranan ibu bapa sebagai pendamping utama anak-anak semakin penting dalam era digital, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.
Beliau menegaskan bahawa kesejahteraan emosi serta pembentukan karakter kanak-kanak tetap bertunjangkan didikan di rumah.
"Biarpun peranti elektronik kini menjadi sebahagian besar kehidupan seharian, nilai sahsiah kanak-kanak tetap lahir daripada perhatian, kasih sayang dan masa berkualiti yang diluangkan ibu bapa.
“Walaupun sibuk, luangkan sekurang-kurangnya 10 minit untuk berbual dengan anak. Masa yang singkat itu sudah mampu membuat mereka rasa dihargai dan disayangi,” katanya melalui teks ucapan yang dibacakan Pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian Bukit Assek Joseph Lim pada Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak di Hann’s Esplanade di sini, hari ini.
Tiong menegaskan bahawa kerapuhan komunikasi dalam keluarga sering menjadi pencetus tekanan emosi di sekolah, sekali gus mendorong sebahagian kanak-kanak mencari perhatian di luar rumah dan mudah terpengaruh dengan pengaruh negatif.
Sebaliknya, apabila anak-anak merasakan diri mereka didengar dan diterima, emosi mereka lebih stabil dan mereka lebih terbuka berkongsi masalah, membolehkan isu ditangani lebih awal.
“Rumah ialah sekolah pertama dan ibu bapa adalah guru utama,” ujarnya sambil menekankan bahawa nilai hormat, adab dan tanggungjawab terbina melalui hubungan rapat dalam keluarga.
Beliau turut mengingatkan bahawa kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah perlu diberi perhatian sama rata, kerana mereka berdepan cabaran tambahan dalam kehidupan seharian.
Sementara itu, pengerusi penganjur Sim Ling Kian berkata, sambutan Hari Kanak-Kanak itu dianjurkan bagi menggalakkan ibu bapa meluangkan masa bersama anak melalui aktiviti santai dan penuh interaksi.
“Masa dan kehadiran ibu bapa adalah hadiah paling berharga dalam kehidupan seorang anak.
“Setiap pelukan dan kata-kata dorongan menjadi sumber kekuatan yang membina keyakinan serta kebahagiaan mereka,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penyanyi popular Iban Johnnical Sanggam uzur, perlukan bantuan
November 16, 2025, Ahad - 5:07pm
SIBU: Nasib menimpa penyanyi popular Iban era 90-an, Johnnical Sanggam, 56, benar-benar meruntun hati ramai pihak apabila beliau kini bergelut dengan penyakit parkinson yang dihidapinya sejak lebih sedekad lalu.
Lebih menyayat hati, Sanggam baru sahaja kehilangan isteri tercinta dua bulan lalu, sekali gus membuatkan beliau tiada tempat bergantung.
Sejak itu, tugas menjaga beliau dipikul sepenuhnya oleh adiknya, Andy Banyie yang juga merupakan penyanyi Iban.
Keadaan sebenar penyanyi yang pernah mencipta fenomena melalui lagu ‘Karung Surat Berbungai’ itu mula tular selepas rakan artisnya, Casmir Emu, memuat naik sebuah video memaparkan mereka bersarapan bersama sambil Casmir menghulurkan sedikit sumbangan.
Turut kelihatan dalam video tersebut ialah penyanyi Josephine Jalin, yang hadir turut menghulurkan sumbangan serta memberi sokongan moral.
Video berkenaan segera mendapat perhatian ramai warganet termasuk rakan-rakan artisnya yang tidak putus-putus menitipkan doa agar Sanggam kembali kuat dan menerima bantuan sewajarnya.
Rata-rata meluahkan rasa sebak melihat keadaan terkini artis kesayangan mereka itu.
Tersentuh dengan situasi tersebut, Persatuan Kebajikan Masyarakat Iban Sibu (Teresang Dayak Sarawak) yang diketuai Presidennya Robinson Corey, tampil menghulurkan sumbangan kepada Sanggam di kediaman Andy di Jalan Indah, Teku semalam.
“Sejurus menonton video yang dikongsikan Casmir, kami merasakan bertanggungjawab untuk tampil membantu.
“Sanggam sudah lama menyepi daripada dunia hiburan dan ramai peminat tertanya-tanya kehilangannya. Melihat keadaannya kini, ramai yang terkejut dan sedih,” kata Robinson ketika ditemui Utusan Borneo semalam.
Menurutnya, Sanggam kini sukar berjalan dan bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda manakala ahli persatuan pula sepakat mengumpul dana bagi menyediakan barang keperluan untuk meringankan bebannya.
“Kami berharap sumbangan kecil ini dapat membantu Sanggam dan Andy yang setia menjaganya.
“Pada masa sama, kami turut mendoakan agar beliau kembali sihat dan tabah menghadapi ujian ini,” ujarnya.
Robinson turut menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak serta pihak berkaitan tampil membantu memastikan Sanggam menerima bantuan kebajikan yang sepatutnya demi kelangsungan hidupnya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program Santunan Desa KEMAS platform dekati masyarakat
November 16, 2025, Ahad - 5:32pm
KAPIT: Program Santunan Desa Kemajuan Masyarakat (KEMAS) menjadi platform penting untuk mendekati masyarakat setempat dan memastikan mereka sentiasa mengetahui rancangan serta dasar kerajaan.
Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, inisiatif seperti itu turut membolehkan kerajaan mengenal pasti bentuk bantuan yang sesuai untuk disalurkan kepada penduduk luar bandar.
“Program ini berjaya mengukuhkan hubungan antara komuniti dan agensi kerajaan melalui kerjasama erat, yang akhirnya menyumbang kepada keharmonian serta perpaduan sosial,” ujarnya semasa berucap merasmikan majlis penutupan program tersebut di Rumah Jawa, Nanga Sangin, Sungai Amang, hari ini.
Majlis itu turut meriah dengan penyertaan beberapa agensi kerajaan sebagai pempamer dan kehadiran wakil daripada lebih 30 rumah panjang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada KEMAS Sarawak dan KEMAS Kapit atas komitmen menganjurkan program tersebut, yang menurutnya mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap masyarakat luar bandar.
“Kapit telah menikmati pelbagai pembangunan sepanjang tahun hasil usaha kerajaan dahulu dan kini.
“Saya mengingatkan masyarakat tentang kepentingan melengkapkan diri dengan ilmu sebagai benteng daripada pengaruh negatif luar, terutama yang disebarkan melalui media sosial,” jelasnya.
Nanta tertarik melihat pameran pada Program Santunan Desa Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Rumah Jawa, Nanga Sangin, Sungai Amang, hari ini.
Nanta tertarik melihat pameran pada Program Santunan Desa Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di Rumah Jawa, Nanga Sangin, Sungai Amang, hari ini.
Mengimbas perjalanan politiknya, Ahli Parlimen Kapit itu berkata, banyak pencapaiannya bermula daripada penglibatan awal bersama KEMAS, sebuah institusi yang telah lama bertapak di negeri ini namun perlu terus diperkasakan bagi memenuhi keperluan semasa.
Beliau menggesa KEMAS dan agensi berkaitan terus komited meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar, sambil menegaskan bahawa pembangunan bukan sahaja melibatkan infrastruktur fizikal tetapi juga ketahanan mental dan hubungan sosial.
Nanta turut menarik perhatian kepada beberapa projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan, termasuk pembinaan jalan dari Nanga Serau, Rumah Bukit serta jajaran baharu sepanjang 72 kilometer dari Jambatan Batang Rajang berhampiran Nanga Yong menuju Nanga Seranau, yang bakal meningkatkan lagi jaringan perhubungan bagi penduduk Kapit.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
40 kenderaan, 42 individu diperiksa dalam operasi sekitar Pusa, Beladin
November 16, 2025, Ahad - 5:49pm
BETONG: Sebanyak 40 kenderaan diperiksa, merangkumi 35 motosikal dan lima kereta dalam Operasi Bersepadu Motosikal melibatkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Betong dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Betong, malam semalam.
Operasi itu telah dijalankan pada jam 6.00 petang hingga 10.00 malam di tiga lokasi tumpuan sekitar kawasan Pusa dan Beladin.
Dalam operasi itu juga, seramai 42 individu turut diperiksa, terdiri daripada 32 lelaki dan 10 perempuan.
Hasil pemeriksaan, sebanyak 11 keping saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) (K257) telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk tidak memakai topi keledar iaitu enam kes, tiada lesen memandu (dua), tiada cermin sisi (satu), ubah suai ekzos (satu) dan kesalahan hon (satu).
Pda masa yang sama juga, JPJ telah mengeluarkan 47 notis pelbagai kesalahan, antaranya 40 notis saman P.22, satu notis P.23, tiga notis larangan penggunaan kenderaan (PG.1) serta tiga notis arah periksa di bawah Seksyen 61(1).
Pada keseluruhannya, sebanyak 58 tindakan penguatkuasaan telah diambil dan tiada sebarang tangkapan, rampasan atau sitaan kenderaan direkodkan sepanjang operasi itu. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki maut motosikal langgar lori tanah
November 16, 2025, Ahad - 6:03pm
KUCHING: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebelah kanan sebuah lori tanah di Kampung Muhibbah, Jalan Tanjung Bako di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan itu berlaku pada kira-kira jam 2.30 petang dan mangsanya merupakan seorang lelaki tempatan.
"Kemalangan berlaku dipercayai disebabkan penunggang motosikal yang sedang bergerak lurus telah hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar sebelah kanan sebuah lori tanah yang berhenti di selekoh jalan untuk kerja membuang tanah.
"Mangsa merupakan lelaki tempatan berumur dalam lingkungan 50-an. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan Unit Kecemasan Hospital Umum Sarawak (HUS) di lokasi kejadian lebih kurang jam 3.45 petang," katanya dalam kenyataan akhbar.
Alexson berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Jika sabit kesalahan katanya, pesalah boleh dihukum penjara 10 tahun dan denda RM50,000.
"Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Charlie Aloysius di talian 014-8682068 dan 082-259900 BSPTD Kuching atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bahagian muatan lori bawa bateri kereta dan pakaian musnah terbakar
November 16, 2025, Ahad - 6:05pm
MIRI: Bahagian muatan sebuah lori yang membawa bateri kereta dan pakaian musnah terbakar sepenuhnya dalam kejadian di Jalan Peninjau Beluru, dekat sini, semalam.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada jam 11.21 pagi, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah digerakkan ke lokasi, yang terletak kira-kira 58 kilometer dari balai. Pasukan tiba di lokasi pada 12.19 tengah hari.
Setibanya di tempat kejadian, pihak bomba mendapati kebakaran berlaku pada bahagian belakang lori, membabitkan muatan yang terdiri daripada bateri kereta dan pakaian, yang terbakar 100 peratus.
Struktur hadapan lori tidak terjejas manakala pemandu dan kelindan tidak mengalami kecederaan.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air dari jentera.
Kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.21 tengah hari dan operasi ditamatkan sepenuhnya jam 12.39 tengah hari selepas memastikan keadaan selamat.
Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pokok tumbang halang jalan, APM Marudi segera bertindak
November 16, 2025, Ahad - 6:07pm
MIRI: Sebatang pokok tumbang yang menghalang laluan di Jalan SK Gudang, Marudi pada malam semalam menyebabkan pergerakan pengguna jalan raya terjejas sebelum anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Marudi dikerahkan ke lokasi bagi kerja pembersihan.
Menurut Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Marudi, panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut diterima daripada orang awam pada jam 10.38 malam.
Pasukan Skuad Charlie kemudian bergerak ke lokasi dua minit selepas menerima maklumat dan tiba pada jam 10.58 malam.
Pasukan menjalankan kerja-kerja pemotongan dan pembersihan menggunakan peralatan operasi termasuk sebuah gergaji rantai dan kelengkapan keselamatan.
Operasi pembersihan mengambil masa lebih kurang 12 minit sebelum laluan dapat digunakan semula dengan selamat.
Pasukan operasi kemudian berangkat pulang ke PKOD pada jam 11.13 malam dan tiba pada jam 11.29 malam. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki ditahan kerana disyaki pengedar dadah
November 16, 2025, Ahad - 6:10pm
SARATOK: Seorang lelaki berusia 25 tahun telah ditahan di sebuah ladang kelapa sawit di kawasan Empayar, Kabong, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie berkata, tangkapan tersebut adalah hasil Ops Tapis IPD Saratok.
“Bertindak hasil maklumat awam, pihak polis telah melakukan pemeriksaan ke atas seorang lelaki yang disyaki pengedar dadah.
“Hasil pemeriksaan yang telah dilakukan, polis telah menjumpai dua peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu di dalam beg duit milik lelaki berkenaan yang disimpan di poket kanan seluar lelaki tersebut.
“Anggaran berat dadah yang disyaki jenis syabu tersebut adalah sekitar 0.7 gram,” katanya kepada media hari ini.
Berikutan itu kata Mathew, barang tersebut telah dirampas dan lelaki berkenaan telah dibawa ke Balai Polis Saratok untuk tindakan.
Menurut Mathew, lelaki tersebut turut diarah untuk menjalani ujian saringan air kencing.
“Hasil daripada ujian tersebut telah mendapati lelaki berkenaan positif dadah.
“Kes ini telah disiasat di Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952,” ujar Mathew. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Warga emas rentung dalam kebakaran rumah kayu dua tingkat
November 16, 2025, Ahad - 7:32pm
SARIKEI: Seorang lelaki warga emas, Teng King Kai yang berusia 97 tahun, ditemui rentung dalam satu kebakaran rumah dua tingkat binaan kayu di Batu 2 1/2 Jalan Repok, Sarikei, awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Sarikei Superintenden Aswandy Anis berkata, pihak polis menerima makluman berkaitan kebakaran rumah tersebut sekitar jam 2.30 pagi.
“Sejurus menerima laporan berkaitan insiden tersebut, sepasukan anggota polis telah bergegas ke lokasi kebakaran dan pihak bomba turut memaklumkan terdapat satu mayat telah dijumpai di bawah timbunan sisa rumah terbakar.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat.
“Kes ini masih dalam siasat selanjutnya pihak polis dan diklasifikasi sebagai kematian mengejut,” kata Aswandy kepada media hari ini.
Menurut Aswandy, terdapat lima orang yang berada di rumah tersebut termasuk mangsa pada waktu kejadian tersebut berlaku.
“Empat daripada penghuni rumah tersebut berjaya menyelamatkan diri manakala mangsa dilaporkan terperangkap.
“Kesemua penghuni yang terselamat hanya mengalami kesesakan nafas akibat terhidu asap dan telah diberi rawatan oleh pihak Hospital Sarikei.
“Dalam kejadian ini rumah tersebut telah musnah 100 peratus dan turut dilaporkan musnah dalam kebakaran tersebut ialah dua buah kenderaan milik penghuni rumah berkenaan,” Aswandy lagi.
Satu mayat ditemui rentung dalam satu kebakaran rumah di Batu 2 1/2 Jalan Repok, Sarikei.
Satu mayat ditemui rentung dalam satu kebakaran rumah di Batu 2 1/2 Jalan Repok, Sarikei.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei Arrahman Chik pula berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berkaitan kebakaran tersebut pada jam 12.33 tengah malam.
“Sebaik sahaja menerima panggilan tersebut, sepasukan anggota bomba bersama sebuah jentera pemadam telah dikerahkan ke lokasi kebakaran yang terletak lima kilometer dari balai.
“Ketika sampai di lokasi, bomba mendapati sebuah rumah kategori tidak kekal sedang terbakar.
“Berdasarkan situasi tersebut, pihak bomba terus bertindak memadam kebakaran dengan menggunakan sumber air dari pili bomba dan usaha memadam kebakaran tersebut turut dibantu oleh pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintangor,” kata Arrahman.
Tambahnya, usaha memadam kebakaran tersebut telah mengambil masa dua jam lebih.
Hingga kini kata Arrahman lagi, punca kebakaran dan jumlah kerugian yang ditanggung oleh mangsa masih lagi dalam siasatan. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki melakukan amang seksual terhadap anak tiri ditahan
November 16, 2025, Ahad - 7:39pm
SARATOK: Seorang lelaki warganegara Indonesia telah ditahan kerana dipercayai telah melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar perempuan tingkatan empat dari sebuah sekolah menengah dekat sini.
Ketua Polis Daerah Saratok DSP Mathew Manggie berkata, lelaki tersebut juga merupakan bapa tiri kepada mangsa.
“Dalam kes tersebut, pada 12 Oktober 2025 bertempat bilik tidur mangsa, suspek telah dilaporkan masuk ke bilik tidur mangsa dan mencium mangsa tetapi tidak berjaya kerana telah ditepis oleh mangsa.
“Pada 19 Oktober 2025 suspek sekali lagi cuba memeluk mangsa secara paksa dan mangsa meronta sehingga berjaya melepaskan diri.
“Sehubungan itu, pada 13 November 2025 mangsa menghubungi bapa kandungnya dan mangsa telah disuruh membuat laporan polis kerana perkara ini sudah melampau dan siasatan untuk pihak polis,” katanya kepada media hari ini.
Berdasarkan laporan yang dibuat oleh mangsa, kata Mathew, pihak polis telah bertindak menahan suspek yang berusia 55 tahun tersebut.
Menurut Mathew, hasil siasatan awal telah mendapati mangsa tinggal bersama ibu kandung dan bapa tiri.
MATHEW
MATHEW
“Bapa tiri mangsa bekerja mencari sayuran hutan untuk dijual di Pasar Awam Roban setiap hari.
“Setelah ditangkap dan hasil soal siasat mendapati tiada pengakuan daripada suspek dan melalui pemeriksaan lanjut ke atas telefon bimbit milik mangsa mendapati terdapat komunikasi seksual mesej suara yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp seperti yang dinyatakan mangsa yang dihantar oleh suspek kepada mangsa.
“Berikutan itu, suspek telah ditahan reman di Balai Polis Saratok bagi proses siasatan dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (AKSTK) 2017 dan Seksyen 11 (1) AKSTK 2017,” kata Mathew lagi. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
DET fahami isu ketidakupayaan OKU, sikap, struktur dan persekitaran tidak responsif
November 16, 2025, Ahad - 8:13pm
SANTUBONG: Disability Equality Training (DET) bukan sekadar memahami isu ketidakupayaan orang kurang upaya (OKU) tetapi pada sikap, struktur dan persekitaran yang tidak responsif, kata Dato Sri Nancy Shukri.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, masyarakat kini harus mengubah bukan sahaja cara melihat sebaliknya merangkumi cara bertindak dalam menyantuni golongan istimewa ini.
"Dari 2010 hingga 2024 seramai 7,426 peserta telah mengikuti DET dan sasaran perluasan program ini menunjukkan betapa pentingnya membina masyarakat yang lebih peka, inklusif dan bersedia merancang intervensi yang lebih berkesan," kata Nancy.
Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena perasmian Seminar Disability Equality Training (DET) serta Program Perkhidmatan Job Coach 2025 yang diadakan di Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak di Santubong hari ini.
Hadir sama pada program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak dan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya itu ialah Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Norhayati Abdul Rahman, Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak Edmund Shah Tambi, wakil Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya Dr Yusnita Ibrahim serta tetamu jemputan lain.
"Saya difahamkan seminar DET telah dianjurkan di lima negeri tahun ini termasuk di Sarawak. Ini menunjukkan komitmen berterusan untuk memastikan kefahaman tentang ketidakupayaan terus diperkukuh hingga ke peringkat akar umbi.
Tegas beliau, program Perkhidmatan Job Coach pula menjadi jambatan penting supaya OKU dapat memasuki dunia pekerjaan dengan sokongan yang betul.
"Sehingga kini, sejumlah 976 OKU telah dibimbing dan telah bekerja dengan 664 majikan di seluruh negara...ini satu pencapaian yang wajar kita banggakan," katanya.
Di Sarawak setakat Oktober ini ujar Nancy, sebanyak 3,477 penerima menerima Elaun Pekerja OKU (EPOKU) melibatkan RM15.28 juta dengan setiap mereka menerima elaun RM450.
Begitupun kata Nancy, kadar penggunaan perkhidmatan Job Coach masih rendah kerana kurang pendedahan.
"Untuk memupuk masyarakat inklusif, semua pihak perlu bergandingan dari peringkat kementerian, agensi kerajaan, majikan, NGO, komuniti dan keluarga.
"Kita berpendapat bahawa setiap individu OKU berhak menikmati peluang pendidikan, latihan, pekerjaan, kesihatan dan keusahawanan seperti orang lain.
Tambahnya, kerajaan MADANI terus komited memperkasa OKU dan pada Belanjawan 2026 dengan memperuntukkan hampir RM1.4 bilion untuk bantuan OKU merangkumi bantuan penjagaan, elaun ketidakupayaan bekerja dan Elaun Pekerja OKU.
"Di samping itu, terdapat Skim Bantuan Galakan Perniagaan OKU (SBGP-OKU) membantu OKU memulakan dan mengembangkan perniagaan," katanya sambil menambah, pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar OKU di IPT di negara ini.
"Ini secara tidak langsung menggambarkan pendekatan menyeluruh kerajaan dari pendidikan hingga pekerjaan, dari bantuan asas hingga peluang berdikari.
"Saya berharap semua peserta hari ini memperoleh ilmu baharu dan membawa pulang semangat untuk memperkukuh ekosistem sokongan OKU di komuniti masing-masing," katanya.
Sehubungan itu, Nancy menghargai penyertaan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Tenaga Kerja (JKT), PERKESO, NGO, institusi pendidikan dan PPDK yang menjadi rakan kolaboratif utama program kali ini. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sarawak perkukuh tenaga hijau menerusi kerjasama strategik dengan GRA dan IHA
November 16, 2025, Ahad - 8:16pm
KUCHING: Sarawak menuju masa depan tenaga hijau dengan menjalinkan kerjasama lebih erat dengan Global Renewable Alliance (GRA) dan International Hydropower Association (IHA), sekali gus membuka lebih banyak peluang dalam pembangunan tenaga diperbaharui di rantau ini.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), perbincangan tiga hala antara Kementerian Tenaga dan Kemampanan Alam Sekitar Sarawak (MEESty), GRA dan IHA berlangsung di Global Renewable Hub Pavilion sempena COP30 di Belém, Brazil.
“Ia memberi tumpuan kepada potensi projek tenaga hijau baharu di Sarawak, termasuk peningkatan keupayaan tenaga hidro, hidrogen hijau dan penyimpanan tenaga jangka panjang,” kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kemampanan Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Beliau mengetuai delegasi Sarawak bersama pegawai MEESty Sharifah Mordhiah Syeed Mohd Hussien dan Nadzirah Bujang.
Menurut beliau, kerjasama tersebut membuka pintu lebih luas hasil pemeteraian Perjanjian Grid Kuasa antara negara ASEAN yang dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur.
Sarawak turut dijemput menyertai Global Alliance for Pumped Storage, sebuah platform antarabangsa yang akan membantu memperkukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab tenaga bersih serantau.
“Kerjasama ini bukan hanya mengenai perkongsian teknologi tetapi juga usaha memastikan Sarawak terus mara sebagai peneraju tenaga boleh baharu di ASEAN,” tambahnya.
Sarawak turut menerima jemputan rasmi menyertai World Hydropower Congress di Australia pada April 2027, sebagai kesinambungan penyertaan aktif negeri ini pada kongres sebelum ini.
GRA menerusi Ketua Serantau Asia Pasifik Rex Amancio serta IHA melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya Eddie Rich dan Pengurus Dasar Tenaga Kanan Debbie Gray menyatakan komitmen untuk menyalurkan kepakaran teknikal, teknologi baharu dan sokongan rangkaian global bagi membantu Sarawak mencapai sasaran sifar bersih.
Kerjasama ini dijangka membawa pelbagai manfaat kepada Sarawak termasuk meningkatkan kapasiti penjanaan tenaga boleh baharu, menarik lebih banyak pelaburan asing ke sektor tenaga hijau, mengembangkan teknologi hijau seperti penyimpanan tenaga dan hidrogen hijau, membantu Sarawak mencapai sasaran eksport tenaga bersih, mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai ‘Battery of ASEAN’.
Dengan sumber semula jadi yang melimpah seperti hidro dan potensi besar tenaga solar serta hidrogen hijau, Sarawak dilihat berada pada landasan kukuh untuk menjadi peneraju utama tenaga hijau di rantau ini. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua lelaki miliki dadah ditahan di Kuching
November 17, 2025, Isnin - 8:35am
KUCHING: Dua lelaki ditangkap kerana memiliki dadah jenis methamphetamine atau syabu oleh sepasukan polis dari Balai Polis Sungai Maong di persimpangan Lorong Stampin, di sini pada Sabtu lepas.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek berusia 23 dan 31 tahun, pihaknya menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan anggaran berat 5.57 gram serta satu lagi peket plastik lutsinar mengandungi dadah sama seberat kira-kira 1.47 gram.
Beliau berkata dadah-dadah berkenaan mempunyai nilai pasaran kesuruluhan dianggarkan RM774.
"Ujian saringan awal kencing terhadap kedua-dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
"Hasil semakan rekod jenayah lampu ke atas kedua-dua suspek mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau," jelasnya dalam satu kenyataan.
Alexson berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun, serta sebatan tidak kurang tiga kali dan tidak lebih sembilan kali, jika disabit kesalahan.
Kedua-dua suspek kini direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tiga hari bermula 17 hingga 19 November 2025 bagi membantu siasatan.
"Kejayaan ini adalah hasil risikan berterusan dan kerjasama orang ramai. Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah.
"Memilki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sini undang-undang," tegasnya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kebakaran kecil di luar kilang berjaya dipadam
November 17, 2025, Isnin - 9:18am
SIBU: Kebakaran kecil yang berlaku di luar bangunan sebuah kilang di Jalan Lanang di sini pada Ahad berjaya dipadamkan serta dikawal daripada merebak ke bahagian lain.
Jurucakap Pusat Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.57 petang.
Susulan itu, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah ambulans Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 10 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, setibanya pasukan di lokasi, kebakaran didapati melibatkan kawasan luar premis berkenaan.
Kawasan tersebut difahamkan digunakan untuk aktiviti memproses botol arak.
“Kebakaran tidak melibatkan struktur bangunan utama,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, insiden itu hanya membabitkan keluasan kira-kira 10 x 10 kaki persegi dengan anggaran kemusnahan sekitar 15 peratus.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian berkenaan.
Untuk operasi pemadaman, pasukan bomba menggunakan satu aliran salur bantu mula bersama satu nozel.
Selain itu, satu aliran sepanjang 200 kaki dengan satu nozel tambahan turut digunakan dengan sumber air daripada pam jentera.
“Setelah pemeriksaan lanjut dilakukan dan tiada lagi punca api dikesan, keadaan disahkan selamat,” jelasnya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SCWA perkukuh peranan advokasi melalui program komuniti di Rh Monica Jelira
November 17, 2025, Isnin - 9:32am
SIBU: Pertubuhan Kebajikan Pengguna Sarawak (SCWA) terus memperkukuh peranan advokasinya apabila mengambil bahagian dalam Program Bersama Komuniti dan Pendidikan Kesihatan yang berlangsung di Rumah Monica Jelira Jugah, Nanga Salim pada Sabtu lepas.
Melalui jemputan daripada Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Timbalan Presiden SCWA Daren Ling Hang Hui telah menyampaikan ceramah berkaitan kesedaran pengguna dan kepentingan pendidikan komuniti.
Program berkenaan menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dan badan profesional seperti Jabatan Kesihatan Bahagian Sibu, Pejabat Perkhidmatan Veterinar Bahagian Sibu, Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Persatuan Peguam Bela Sarawak (Cawangan Sibu).
Penglibatan menyeluruh ini mencerminkan usaha bersama dalam meningkatkan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat luar bandar.
Dalam program tersebut, SCWA turut mengambil kesempatan memperkenalkan penganjuran Karnival Kebajikan, Kesihatan & Kerjaya Pengguna Sarawak, sebuah inisiatif bersepadu yang menyatukan pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat.
Karnival itu dirangka bagi memperluaskan akses rakyat terhadap perkhidmatan kesihatan, peluang kerjaya dan pendidikan pengguna, sekaligus meningkatkan taraf hidup masyarakat Sarawak.
Setiausaha Agong SCWA Jimmy Ling Yee Kung, memaklumkan bahawa karnival tersebut akan dianjurkan secara berterusan di setiap daerah.
Antara tumpuan utama ialah Program Latihan Industri & Kerjaya, yang menawarkan latihan percuma selama 12 bulan dalam bidang Hospitaliti, Kecantikan dan Teknikal.
Program ini turut menyediakan Sijil Profesional Antarabangsa, elaun bulanan, kemudahan asrama serta jaminan pekerjaan selepas tamat latihan — satu langkah penting dalam memperkasa belia dan pencari kerja di negeri ini.
Selain itu, karnival berkenaan juga bakal menyediakan perkhidmatan Pemeriksaan Kesihatan Percuma serta pendaftaran Kenyalang Gold Card (KGC) dan Skim Faedah Kesihatan Warga Emas (SCHB) bagi memudahkan warga emas mendapatkan manfaat yang disediakan kerajaan negeri.
SCWA menegaskan komitmen mereka untuk terus memperkukuh pendidikan masyarakat, advokasi pengguna dan kerjasama strategik demi kesejahteraan rakyat Sarawak secara menyeluruh. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Terabai Menua sumbang keranda kepada keluarga mendiang Thomson Bujo Julin
November 17, 2025, Isnin - 9:43am
SIBU: Persatuan Kebajikan Tunjang Masyarakat Sarawak (Terabai Menua) Cawangan Sibu mengambil inisiatif menyampaikan sebuah keranda kepada keluarga mendiang Thomson Bujo Julin pada Ahad, sebagai tanda keprihatinan dan sokongan moral kepada keluarga yang sedang berduka.
Simbolik penyerahan keranda telah disempurnakan oleh ahli-ahli persatuan bagi mewakili pengerusi mereka.
Inisiatif itu sebahagian daripada usaha persatuan untuk membantu dan meringankan beban keluarga dalam menghadapi kehilangan serta menzahirkan solidariti kepada komuniti setempat.
Pihak persatuan berharap sumbangan itu dapat memberi ketenangan dan sokongan emosi kepada keluarga mendiang, sekali gus menggalakkan semangat bantu-membantu dalam kalangan masyarakat Sarawak. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Forum WEFT 2025 berjaya himpun 12 pereka berbakat dari sembilan negara
November 17, 2025, Isnin - 3:06pm
KUCHING: Forum Tekstil dan Ekofiber Dunia (WEFT) ke-12 2025 berjaya menghimpunkan sejumlah 12 pereka berbakat dari sembilan negara.
Kesemua mereka telah memperagakan rekaan fesyen hasil tenunan tangan dan cetusan idea mereka pada satu majlis pertunjukan fesyen penuh verstil di sebuah hotel di sini malam kelmarin.
Terdahulu dalam ucapan alu-aluan, Presiden Persatuan Atelier Sarawak Melinda Omar melahirkan rasa kagum serta bangga dengan sambutan terhadap forum serta komitmen bersama untuk mempromosikan serat asli dan warisan tekstil Sarawak.
Forum yang berlangsung dari 14 hingga 16 November itu telah menghimpunkan peserta dari lebih 20 negara untuk menyertai forum, bengkel dan bazar kraf antarabangsa.
Antara pereka antarabangsa yang mengambil bahagian dalam pertunjukan itu ialah Myra Widiono dari Indonesia, Maheen Khan (Bangladesh), Kashmir Loom (India), Yntyish Yntymak (Kyrgyzstan), Kongthong Of Phaengmai Gallery (Loas), Narda's (Filipina) dan Yuan Guo Xiang (China.
Peserta lain ialah Rahul Vinayak Salvi dari India, FTCDC (Thailand), Pua Borneo by J Zaini (Malaysia), Melinda Omar (Malaysia) dan seorang lagi pereka juga dari Malaysia selaku tuan rumah iaitu Edric Ong.
"Forum selama tiga hari tersebut telah menghimpunkan para pereka dan sarjana antarabangsa selain pelajar, penggubal dasar serta pemimpin budaya dari lebih 20 negara.
"Ingin saya nyatakan bahawa Majlis Makan Malam Gala dan Pertunjukan Fesyen Antarabangsa ini adalah kemuncak forum termasuk pertunjukan fesyen yang mengetengahkan karya kreatif tenunan tangan dan buatan tangan oleh 12 pereka tersohor," katanya.
Lebih istimewa kata Melinda, majlis turut meraikan ulang tahun ke-40 persatuan.
"Ditubuhkan pada 1985, pertubuhan itu bertujuan mempromosikan seni dan kraf negeri dengan Allaharyarmah Datuk Patinggi Puan Sri Laila Taib sebagai penaung kehormatnya.
“Penubuhan Atelier Sarawak berdasarkan tiga matlamat utama iaitu memartabat dan menyampaikan pengetahuan pasukan tentang seni dan kraf negeri,” katanya.
Ia kata Melinda, termasuk mempromosi pertukaran budaya dengan negara lain serta untuk menyokong penyelidikan dan kajian dalam sejarah dan revolusi budaya, seni dan kraf.
Beliau turut mengumumkan 20 perwakilan akan menyertai lawatan ke Rumah Gareh, Sungai Kain di Kapit untuk menyaksikan pembuatan tenunan dan 'ikat' pua kumbu oleh masyarakat Iban di situ.
Hadir sama ke majlis itu ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan serta tetamu jemputan lain. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kerajaan komited perluas jaringan jalan darat
November 17, 2025, Isnin - 3:22pm
KUCHING: Kerajaan Sarawak komited memperluaskan jaringan jalan darat ke seluruh pelosok wilayah ini bagi memastikan pembangunan dan kemajuan dapat dinikmati secara inklusif, khususnya masyarakat di kawasan luar bandar.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menambah bahawa kerajaan negeri kini sedang mempergiatkan pelaksanaannya secara besar-besaran termasuk pembinaan rangkaian jalan darat ke kawasan yang selama ini hanya boleh dihubungi melalui sungai dan perjalanan jauh.
“Sarawak merupakan negeri terbesar di Malaysia dan sebahagian masyarakat pernah berdepan kesukaran untuk ke kawasan bandar kerana ketiadaan rangkaian jalan, namun kini kerajaan telah mengatur perancangan menyeluruh bagi memastikan semua kawasan mempunyai akses jalan darat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Hari Bersama Komuniti Zon 4 Rangawan anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang berlangsung di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Bulu Senangeh, Sadong Jaya hari ini.
Dr Abdul Rahman turut mendedahkan bahawa salah satu projek terbesar yang disifatkan sebagai pemangkin pembangunan adalah pembinaan jalan darat baharu sepanjang 142 kilometer di Baram, yang akan melalui kawasan hutan dan paya, bermula tahun ini dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa empat tahun.
“Apabila siap kelak, projek ini dijangka membuka Baram sepenuhnya dan menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi, akses perkhidmatan sosial serta peluang pembangunan masyarakat setempat,” ujarnya.
Beliau pada masa yang sama, menegaskan bahawa pelaburan kerajaan dalam projek tersebut melibatkan kos yang besar namun sangat penting untuk masa depan Sarawak.
Selain itu, Dr Abdul Rahman juga menegaskan bahawa pembangunan negeri hanya mampu dilaksanakan secara teratur apabila perpaduan rakyat terus dipelihara, selari dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan Sarawak secara seimbang dan inklusif.
“Rakyat Sarawak terkenal dengan semangat perpaduan. Walaupun berbeza kaum dan budaya, kita tidak terpisah.
“Perbezaan itu menjadi kekuatan dan inilah yang memudahkan agenda pembangunan negeri,” jelasnya.
Dalam ucapan sama, beliau turut memuji inisiatif UKAS menganjurkan program seumpamanya yang berperanan menyebarkan maklumat rasmi Kerajaan Sarawak kepada komuniti melalui pendekatan lapangan yang lebih dekat dengan rakyat.
Hadir sama, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan Awla Dris, Pengarah UKAS Awang Putrayusrie Awang Redzuan, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Pengerusi Persatuan Komuniti Zon 4 Rangawan Rafendy Ariffen dan Temenggung Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SCOPE meterai MoU dengan PERKESO bagi memperkasa program GETS-WRP
November 17, 2025, Isnin - 3:29pm
KUCHING: Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi meningkatkan keberkesanan Program Latihan Peningkatan Graduan – Program Kesiapsiagaan Bekerja (GETS-WRP), dalam usaha membantu graduan Sarawak mendapatkan padanan pekerjaan.
Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE Joseph Lim berkata, kerjasama strategik itu memberi fokus kepada padanan terbaik antara pelatih GETS-WRP dan keperluan industri melalui platform MyFutureJobs milik PERKESO.
“Kerjasama ini memastikan industri dapat menyatakan keperluan mereka, contohnya berapa ramai akauntan, pakar ekonomi atau tenaga pemasaran digital diperlukan.
“Dari situ, kami padankan pelatih GETS yang mempunyai kemahiran bersesuaian,” katanya semasa ditemui pemberita hari ini.
Beliau sebelum itu telah merakam kenangan bersama dan bertukar dokumen MoU dengan Pengarah PERKESO Negeri Sarawak Tan Phang Chia sambil disaksikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Bahagian Pentadbiran) Datu Buckland Bangik di pejabat SCOPE, hari ini.
Menurut Joseph, GETS-WRP merupakan program latihan satu tahun khusus untuk graduan yang belum bekerja.
Pelatih bakal menjalani latihan kemahiran insaniah selama tiga bulan di SCOPE sebelum ditempatkan di syarikat-syarikat selama sembilan bulan bagi mendapatkan pengalaman sebenar bekerja.
Kerajaan Sarawak menyediakan elaun RM1,500 setiap bulan sepanjang tempoh 12 bulan program.
Sementara majikan mempunyai pilihan untuk memberi tambahan atau tidak elaun tambahan bagi tempoh sembilan bulan penempatan industri.
“Jika majikan mendapati pelatih mempunyai prestasi cemerlang dalam tempoh tiga bulan pertama, mereka boleh terus menawarkan pekerjaan tanpa menunggu program tamat. Tiada klausa keluar dan pelatih tidak perlu membayar apa-apa jika mereka menerima tawaran kerja,” jelasnya.
Program ini terbuka kepada graduan Sarawak yang memiliki ijazah dengan CGPA minimum 2.8, sama ada daripada IPTA atau IPTS.
Penempatan lebih banyak dibuat ke sektor swasta berbanding awam bagi memenuhi keperluan tenaga kerja semasa.
Mengulas lanjut, Joseph berkata SCOPE turut membawa pengamal industri, LHDN, PERKESO, KWSP serta agensi berkaitan untuk memberi pendedahan kepada pelatih mengenai ekosistem pekerjaan sebenar, termasuk hak pekerja, caruman keselamatan sosial dan cukai.
Setakat ini, program GETS mencatatkan kadar penempatan dan perolehan pekerjaan sekitar 60 peratus.
Bagaimanapun, SCOPE mengambil sekitar 1,000 peserta setiap tahun dan latihan dijalankan hampir setiap bulan.
“Sejak 2025, kami menukar model GETS untuk memberi lebih tumpuan kepada permintaan majikan. Sebelum ini, program tersebut lebih tertumpu kepada agensi kerajaan.
“Sekarang, kami mahu graduan benar-benar bersedia memasuki pasaran kerja,” katanya.
Joseph turut menjelaskan bahawa semua pelatih GETS dilindungi insurans termasuk perlindungan perubatan sepanjang tempoh 12 bulan program.
Program GETS bermula sekitar 2017 dan kemudian diambil alih serta diperkasakan oleh SCOPE.
Tahun 2025 menandakan rombakan menyeluruh model GETS agar lebih berfokus kepada keperluan industri dan peluang pekerjaan.
Beliau menegaskan bahawa pengambilan GETS WRP berjalan sepanjang tahun dan graduan yang berminat boleh memohon melalui laman web rasmi SCOPE.
Hadir sama, Ketua Wilayah Unit Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO Negeri Sarawak Dr Belinda Lim Kim Moi, Ketua Penolong Kanan Bahagian Latihan, Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia Dr Intan Rahmah Mohd Tajuddin dan Pengarah Bahagian Kewangan dan Pentadbiran Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri Noor Rasyidah Abdullah. |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|