|
|
STB raih dua anugerah pada GAGA 2025
November 23, 2025, Ahad - 1:13pm
LANGKAWI: Sabah Tourism Board (STB) menerima dua anugerah pada Green and Geopark Excellence Awards (GAGA) 2025 sebagai pengiktirafan terhadap usaha berterusan dalam mempromosikan pelancongan lestari, pemasaran inklusif serta pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi impak kepada masyarakat.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyampaikan anugerah Best Sustainable and Inclusive Marketing Campaign dan Best Corporate CSR Project kepada Ketua Pegawai Eksekutif STB Julinus Jeffery Jimit.
Majlis anugerah terbabit dianjurkan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dengan kerjasama Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Langkawi International Convention Centre pada Sabtu.
Bagi kategori Best Corporate CSR Project, STB diiktiraf melalui inisiatif Lampoopalooza yang dijalankan tahun ini iaitu program kerjasama dengan Sabah Society for the Deaf bagi meningkatkan kefahaman dan komunikasi antara petugas barisan hadapan pelancongan dan komuniti pekak.
Sepanjang program berkenaan, kakitangan STB mempelajari bahasa isyarat asas sebagai langkah awal mewujudkan persekitaran pelancongan yang lebih mesra, inklusif dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.
STB memenangi Anugerah Best Sustainable and Inclusive Marketing Campaign serta Best Corporate CSR Project Award pada GAGA 2025.
CEMERLANG: STB memenangi Anugerah Best Sustainable and Inclusive Marketing Campaign serta Best Corporate CSR Project Award pada GAGA 2025.
Pada masa sama, kemenangan STB dalam kategori Best Sustainable and Inclusive Marketing Campaign mencerminkan usaha agensi itu memastikan setiap promosi pelancongan Sabah disampaikan secara lebih bertanggungjawab, mudah difahami dan memberi ruang sama rata kepada semua kumpulan pelancong.
Julinus berkata, pengiktirafan ini amat bermakna kerana menggambarkan komitmen STB untuk menjadikan sektor pelancongan lebih bertanggungjawab, inklusif dan berorientasikan masyarakat.
“STB akan terus memperkukuh inisiatif yang menyokong kelestarian dan keterangkuman dalam pelancongan selain memastikan pendekatan pemasaran agensi ini memenuhi keperluan sebenar komuniti dan industri.
“Kami mahu membentuk pelancongan yang memberikan lebih manfaat, membolehkan lebih ramai penglibatan dan usaha ini akan diteruskan bersama rakan strategik serta masyarakat,” katanya. |
|