|
|
[Borneo]
Rumah Borak Borneo~Boleh bah, kalau kau
[Copy link]
|
|
|
Charlie suntik semangat calon SPM SMK Medamit menerusi ceramah bertenaga
November 23, 2025, Ahad - 4:11pm
SIBU: Penceramah motivasi tersohor Sarawak Dr Charlie Dudang sekali lagi menjadi tumpuan apabila dijemput menyampaikan ceramah motivasi khas kepada pelajar Tingkatan 5 SMK Medamit di Limbang pada Majlis Restu Ilmu yang diadakan di Dewan Terbuka sekolah itu pada Jumaat.
Kehadiran beliau memberikan suntikan semangat baharu kepada 96 calon SPM yang bakal menduduki peperiksaan minggu hadapan.
Majlis yang turut disertai 75 ibu bapa itu dimulakan dengan ucapan Pengetua Linda Liau yang menekankan kejayaan pelajar merupakan hasil kerjasama erat antara keluarga dan pihak sekolah.
Beliau menegaskan majlis seperti ini penting untuk memperkukuhkan fokus pelajar pada saat-saat kritikal.
Namun, detik paling dinanti-nantikan sudah tentu apabila Charlie naik ke pentas.
Beliau yang dikenali di seluruh Sarawak kerana perjuangan hidupnya yang penuh liku, berjaya memukau hadirin dengan penyampaian penuh energi, humor dan ketulusan.
Kisah beliau lahir di pedalaman tanpa bekalan elektrik dan air terawat, memperoleh keputusan SPM/MCE Gred III serta gagal Bahasa Melayu sebelum bangkit membina kehidupan melalui pendidikan yang menjadi inspirasi besar kepada pelajar.
Bermula sebagai kerani bank, Charlie menempuh perjalanan akademik selama 11 tahun secara jarak jauh sehingga meraih Diploma, Advanced Diploma, MBA dan seterusnya Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan.
Dalam kerjayanya, beliau mencatat lapan kali kenaikan pangkat serta menerima pengiktirafan sebagai Pengurus Jualan No.1 Malaysia.
Setelah bersara awal pada 2015, beliau menubuhkan Charlie Pathway Training Consultant PLT (CPTC) dan kini merupakan antara jurulatih motivasi paling berpengaruh di negeri ini, selain memegang pelbagai pensijilan profesional dan sedang melanjutkan PhD kedua di UNIMAS.
Charlie (tengah) menerima cenderamata daripada Linda selepas selesai mengadakan sesi ceramahnya di SMK Medamit, Limbang pada Jumaat.
Charlie (tengah) menerima cenderamata daripada Linda selepas selesai mengadakan sesi ceramahnya di SMK Medamit, Limbang pada Jumaat.
Dalam sesi ceramah di SMK Medamit, beliau mengetengahkan modul khas berasaskan akronim 'C.H.A.R.L.I.E.S.' yang menekankan pembentukan jati diri, penghapusan sikap negatif, anjakan pemikiran, perancangan hidup, tanggungjawab, inspirasi, pengurusan emosi serta strategi kejayaan selari dengan hala tuju PCDS 2030.
Pendekatan beliau yang menyentuh aspek realiti kehidupan berjaya membuka mata ramai pelajar bahawa kejayaan hanya hadir melalui keberanian dan kerja keras.
Guru Bimbingan dan Kaunseling Syaza Mohd Radzi menyifatkan kehadiran Charlie sebagai sangat bermakna dan memberi impak yang mendalam kepada pelajar.
“Ini kali ketiga beliau dijemput ke sekolah kami. Setiap kali hadir, beliau membawa aura positif yang luar biasa," ujarnya.
Sejak 2005, Charlie telah menyampaikan hampir 400 ceramah di pelbagai institusi termasuk sekolah, IPTA/IPTS, agensi kerajaan, GLC, NGO dan komuniti rumah panjang, menjadikannya figura motivasi yang amat dihormati di Sarawak.
Majlis ditutup dengan pesanan pengetua agar semua calon SPM terbang setinggi helang ketika mengejar impian masing-masing.
Dengan suntikan inspirasi daripada Charlie dan sokongan padu ibu bapa serta guru, pelajar Tingkatan 5 SMK Medamit kini lebih bersedia melangkah ke medan peperiksaan dengan keyakinan yang diperbaharui. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program Jiwa Murni berjaya perkukuh hubungan ATM dan komuniti: Dr Jerip
November 23, 2025, Ahad - 5:18pm
KUCHING: Program Jiwa Murni berjaya memperkukuhkan hubungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama komuniti Kampung Emperoh Giam Bauh, Padawan melalui aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kampung.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Udara dan Jalan) Datuk Dr Jerip Susil dalam laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) berkata, inisiatif tahunan anjuran Rejimen Semboyan Divisyen Pertama Infantri (1 RSD) itu bukan sahaja memupuk semangat kerjasama antara ATM dan penduduk setempat, malah menyemarakkan budaya tradisi gotong-royong dalam kalangan generasi muda.
“Penglibatan ATM dalam program ini bukan sahaja membantu menjaga kebersihan kampung, tetapi juga menyemarakkan semula semangat gotong-royong dalam kalangan generasi muda.
“Kebersihan dan pemeliharaan persekitaran adalah aset penting bagi pembangunan komuniti dan pelancongan khususnya bagi kampung-kampung di sepanjang sungai di kawasan Mambong,” katanya pada Program Jiwa Murni di Kampung Emperoh Giam Bauh, Padawan di sini, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Pemerintah 1 RSD Kolonel Nik Nahar Nik Mohd Isa dalam ucapannya menegaskan bahawa Program Jiwa Murni merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi merapatkan hubungan antara tentera dan penduduk tempatan.
“Interaksi berterusan ini penting bagi memastikan masyarakat lebih mengenali peranan ATM serta dapat berganding bahu menghadapi sebarang bentuk cabaran, termasuk bencana alam,” ujarnya.
Turut hadir ialah Penolong Pegawai Memerintah 1 RSD Leftenan Kolonel Marvine Gep, Penolong Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Kecil Padawan Paul Mathieus Akin, Pemanca Bidayuh Daerah Kuching Raymond Jihap dan Pegawai Penyelaras Program Jiwa Murni 1 RSD Mejar Kencha Dewok. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
92 saman dikeluar, 24 motosikal dirampas dalam Ops Samseng Jalanan di Pangkalan Sapi
November 23, 2025, Ahad - 5:25pm
KUCHING: Polis mengeluarkan 92 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas serta merampas 24 motosikal yang telah diubah suai dalam Operasi Samseng Jalanan yang dilancarkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 22 hingga 23 November 2025.
Menurut satu kenyataan dikeluarkan di Facebook Polis Daerah Kuching, sepanjang operasi yang bermula jam 9 malam hingga 4 pagi di sekitar kawasan Pangkalan Sapi, Jalan Astana itu, seramai 70 individu diperiksa.
"Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching melaksanakan operasi penguatkuasaan motosikal bagi membanteras kegiatan samseng jalanan dan modifikasi motosikal berbahaya.
"Sepanjang operasi, 62 motosikal diperiksa, 70 individu diperiksa, 92 saman dikeluarkan dan 24 motosikal dirampas (ubah suai serius di bawah Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987)," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, kesalahan utama dikesan ialah tiada lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh, ubah suai ekzos serta struktur kenderaan, nombor plat tidak mengikut spesifikasi ditetapkan dan tiada cermin sisi atau tidak mematuhi piawaian.
Katanya, IPD Kuching akan terus mempergiat usaha memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan mengekang aktiviti samseng jalanan di bandar ini. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sejarah lebih seabad Kuil Da Wang Gong boleh jadi rujukan akademik: Tiong
November 23, 2025, Ahad - 5:39pm
SIBU: Sejarah kewujudan Kuil Da Wang Gong Salim yang kini dalam proses pembinaan di Jalan Kong Yit Khim di sini berpotensi menjadi sumber rujukan dunia akademik, selain berperanan sebagai tarikan pelancongan baharu di Sibu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing berkata, dengan sejarah yang mencecah 112 tahun, kuil berkenaan mampu muncul sebagai salah satu mercu tanda penting Sibu yang sarat dengan nilai seni bina dan budaya.
“Saya berpendapat adalah wajar untuk mempertimbangkan pembinaan ‘Dinding Sejarah’ atau ‘Koridor Budaya’ bagi memaparkan secara menyeluruh perjalanan perkembangan kuil ini sepanjang lebih seratus tahun.
“Usaha ini bukan sahaja dapat membantu industri pelancongan, malah menyediakan sumber rujukan berharga kepada dunia akademik,” ujarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong itu berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC Chua Choon Hwa yang mewakilinya pada Majlis Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-112 Da Wang Gong di sini, hari ini.
Mengimbas perjalanan lebih satu abad itu, Tiong berkata kuil berkenaan berkembang sebagai sebuah platform penting dalam memartabatkan budaya Cina serta mengukuhkan perpaduan dan keharmonian komuniti setempat.
Justeru, beliau berharap semua pihak dapat memanfaatkan khazanah budaya yang begitu bernilai ini untuk terus memelihara, menghidupkan dan menyerlahkan sejarahnya, sekali gus menjadikannya keunikan yang mampu menarik lebih ramai pengunjung.
Chua (enam kanan), (empat kiri) Chiew, Theng dan yang lain bersama-sama melakukan simbolik perasmian Majlis Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-112 Da Wang Gong di Sibu, hari ini.
Chua (enam kanan), (empat kiri) Chiew, Theng dan yang lain bersama-sama melakukan simbolik perasmian Majlis Sempena Sambutan Ulang Tahun ke-112 Da Wang Gong di Sibu, hari ini.
“Kuil Da Wang Gong dapat berdiri teguh lebih seratus tahun kerana adanya generasi demi generasi ahli jawatankuasa, sukarelawan serta para penganut yang setia menjaganya.
“Saya ingin merakamkan penghargaan dan setinggi-tinggi penghormatan kepada anda semua kerana memastikan pengurusan kuil sentiasa teratur dan tradisi ini terus diwarisi,” ujarnya.
Menyentuh mengenai penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), Tiong menyifatkannya sebagai detik penting untuk memperkenalkan lagi keunikan Malaysia kepada dunia.
Katanya, inilah masa terbaik untuk mengundang sahabat dari serata pelosok bagi merasai kepelbagaian budaya, keistimewaan kulinari dan keindahan alam tropika negara ini.
“Sama ada hutan hujan Sarawak yang menakjubkan, kemeriahan pelbagai perayaan tradisional, keindahan seni budaya masyarakat Cina menerusi kuil seperti ini, mahupun keramahan rakyat Malaysia yang sentiasa menganggap ‘datang sebagai tetamu, pulang sebagai kawan’, semuanya membentuk identiti paling mempesona negara.
“Oleh itu, saya berharap kita semua dapat menjadi duta terbaik Malaysia. Sama ada di dalam komuniti, ketika menganjurkan program atau ketika berinteraksi dengan rakan dari luar, marilah kita berkongsi keindahan Malaysia dengan cara kita sendiri,” katanya.
Hadir sama ialah Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Lanang Stanley Chiew dan Pengerusi Persatuan Penganut Da Wang Gong Salim Sibu Theng Swee Ming. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki Indonesia ditemui maut di tepi jalan
November 23, 2025, Ahad - 6:35pm
KUCHING: Seorang lelaki warganegara Indonesia ditemui maut dengan kesan kecederaan pada bahagian dahi di tepi Jalan Lumba Kuda Penrissen Lama di sini, pagi Ahad.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata, Balai Polis Kota Sentosa menerima laporan daripada orang awam memaklumkan penemuan mayat berkenaan sekitar jam 8.05 pagi.
"Siasatan di lokasi kejadian oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak mendapati mangsa seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 37 tahun serta terdapat kesan kecederaan pada bahagian dahi dan kematian disahkan oleh pegawai perubatan di lokasi.
"Punca kematian dalam siasatan. Kes diklasifikasikan kematian mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat diperoleh," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Irwan berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi terus pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Hafizin di talian 019-5040810 atau Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan ASP Sylvarius Gopog (013-8637241). |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Penemuan bunga rafflesia dekat Kg Belimbing buka potensi pelancongan: Minos
November 23, 2025, Ahad - 6:41pm
PADAWAN: Penemuan bunga rafflesia di sebuah kawasan berbukit berhampiran Kampung Belimbing dekat sini serta kampung-kampung Bidayuh di sekitarnya membuka potensi baharu untuk pembangunan ekopelancongan di daerah ini.
Rafflesia, yang terkenal sebagai bunga terbesar di dunia dan sangat jarang ditemui, sebelum ini hanya direkodkan di Gunung Pueh dan Gunung Gading di Lundu.
Penemuan terbaharu ini menunjukkan bunga tersebut turut wujud secara semula jadi di kawasan pergunungan dari Lundu hingga Serian.
Pengerusi Majlis Daerah Serian (MDS) Dato Peter Minos berkata, Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah bertahun-tahun menjalankan kajian dan pemantauan terhadap kewujudan rafflesia di sepanjang banjaran pergunungan berkenaan.
Kajian lanjut katanya, akan diteruskan bagi memahami taburan, habitat dan potensi konservasi bunga ikonik tersebut.
"Kewujudan rafflesia boleh menjadi rahmat kepada komuniti tempatan kerana bunga itu memiliki nilai tarikan pelancongan yang tinggi, terutama dalam sektor ekopelancongan dan pelancongan komuniti.
"Jika kampung mempunyai rafflesia, ia satu petanda baik. Bunga ini mampu menarik pelancong tempatan dan luar negara.
"Dengan usaha membangunkan inap desa, laluan hutan serta aktiviti kebudayaan, kampung terbabit boleh menjana pendapatan baharu," katanya.
Beliau berkata, sekiranya JHS selesai melaksanakan kajian terperinci mengenai penemuan di kawasan Kampung Belimbing dan terdapat inisiatif serta sokongan daripada komuniti tempatan, pihak majlis bersedia membantu merangka pendekatan pembangunan pelancongan di kawasan berkenaan.
Katanya, MDS akan meneliti bentuk kerjasama yang sesuai melibatkan JHS, FELCRA serta kepimpinan kampung bagi memastikan pembangunan yang dirancang sejajar dengan aspek pemuliharaan alam sekitar.
"Rafflesia sangat unik dan amat jarang ditemui. Kehadirannya di kawasan ini harus dipelihara dan pada masa yang sama dimanfaatkan dengan cara yang terancang," tambah beliau.
Minos turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Kampung Belimbing dan jawatankuasa kampung kerana mengadakan pertemuan bersama pihak majlis, JHS dan FELCRA bagi membincangkan potensi pembangunan berdasarkan penemuan bunga tersebut.
Dengan penemuan terbaharu ini, kawasan Padawan sekali lagi menarik perhatian dalam peta biodiversiti Sarawak, khususnya bagi peminat flora, penyelidik dan penggemar ekopelancongan.
Penemuan rafflesia di kawasan ini turut dianggap sebagai satu peluang baharu untuk mempromosikan keunikan flora Sarawak selain menjadi pemangkin pembangunan ekonomi komuniti luar bandar secara mampan. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Sarawak terus maju dengan perpaduan, pembangunan belia: Abdul Karim
November 23, 2025, Ahad - 7:07pm
ASAJAYA: Sarawak terus berada di landasan pembangunan mantap dengan menekankan perpaduan masyarakat, pendidikan dan pembangunan belia.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembangunan pesat negeri ini telah meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Beliau mengimbau keadaan kampung pada era 1970-an dan 1980-an yang hanya boleh diakses melalui jalan air atau motor, situasi hari ini jauh berbeza apabila dilengkapi infrastruktur moden, termasuk jalan dari Serian ke Gedong.
“Hari ini rakyat menikmati perjalanan lebih mudah dan selesa hasil pembangunan pesat Kerajaan Sarawak,” katanya ketika merasmikan Program Reach Out SABERKAS Cawangan Asajaya dan Komuniti di Dewan Masyarakat Kampung Tambirat, Asajaya hari ini.
Memetik Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu menegaskan Sarawak kekal sebagai masyarakat majmuk yang hidup harmoni tanpa perpecahan, sambil menyeru kepimpinan yang sederhana dan inklusif.
Beliau optimis projek pembangunan berskala besar termasuk lapangan terbang baharu, pelabuhan terbesar dan rangkaian jalan raya moden bakal memastikan Sarawak terus maju untuk generasi akan datang.
Sementara itu, beliau yang juga Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) menyokong inisiatif SABERKAS dan program jangkauan luar yang mendekati belia serta menyediakan bantuan pendidikan dan kemahiran.
“Program ini penting untuk memastikan anak muda mendapat peluang belajar dan sokongan yang diperlukan untuk berjaya,” ujarnya lagi.
Program itu turut menampilkan ceramah kepimpinan, perkongsian ikon belia dan ekspresi komuniti bersama Majlis Belia Malaysia.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Sarawak Lamat Nyalau, Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin, Pengerusi SABERKAS Cawangan Asajaya Mohd Iskandar Junaidi, Temenggung Masyarakat Melayu Bahagian Samarahan Chek Bujang dan Penghulu Kampung Tambirat Tamel Mohamad. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
25 peserta tamat latihan Perguruan Muntat Gamang
November 24, 2025, Isnin - 8:15am
KANOWIT: Seramai 25 peserta berjaya menamatkan latihan Perguruan Muntat Gamang pada majlis penamatan yang diadakan di Rumah Panglima Bulang Verra, Jih, di sini, baru-baru ini.
Acara itu turut menarik kehadiran lebih 200 ahli perguruan dari pelbagai daerah termasuk Miri, Bintulu, Selangau, Kuching, Serian, Sarikei dan Kapit.
Walaupun ruang yang agak sempit serta cuaca hujan, majlis tetap berjalan lancar dengan penuh adat istiadat, sekali gus mempamerkan komitmen tinggi para ahli dalam memelihara warisan budaya Dayak.
Majlis kali ini juga mencatat sejarah sebagai pengambilan pertama yang diadakan di Kanowit dalam bahagian Sibu selepas sekian lama tidak dianjurkan sejak edisi ketiga, kelima dan keenam.
Pengambilan Muntat Gamang ke-34 (MG34) ini menyaksikan sokongan padu ahli-ahli lama yang turun padang memberikan dorongan kepada peserta baharu.
Seperti tradisi perguruan, majlis dimulakan dengan upacara 'miring' bagi memohon restu daripada nenek moyang dan petara.
Ahli-ahli Perguruan Muntat Gamang menjalankan upacara 'miring' semasa menamatkan ilmu mereka di Kanowit, baru-baru ini.
Ahli-ahli Perguruan Muntat Gamang menjalankan upacara 'miring' semasa menamatkan ilmu mereka di Kanowit, baru-baru ini.
Sebelum upacara tersebut berlangsung, para peserta yang menamatkan latihan bersama ahli-ahli lama mengadakan perarakan serta upacara 'mancak babi' diketuai oleh Panglima Bulang Verra selaku Penasihat Muntat Gamang Bahagian Sibu.
Majlis penamatan yang berlangsung penuh adat itu turut diserikan dengan amanat Mahaguru Ugik Jalit, yang mengingatkan para peserta agar sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan perguruan.
"Ingat, ilmu yang kita tuntut bukan untuk menindas golongan lemah, tetapi untuk membela dan mempertahankan hak, adat, budaya serta masyarakat Dayak.
"Sekuat mana pun kita, utamakan undang-undang dan jauhi perbuatan jenayah serta penyalahgunaan dadah," tegas beliau.
Perguruan Muntat Gamang turut mengumumkan bahawa pengambilan seterusnya, MG35, akan diadakan pada 20 Disember ini di Kelang Muntat Gamang, Tukau di Miri.
Mereka yang berminat untuk menyertai perguruan ini boleh menghubungi talian 015-96102062 untuk maklumat lanjut. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Terabai Menua Cawangan Bintulu hulur sumbangan kepada mangsa kebakaran
November 24, 2025, Isnin - 8:37am
SIBU: Persatuan Kebajikan Tunjang Masyarakat Sarawak (Terabai Menua) Cawangan Bintulu terus memperkukuh peranan dalam bidang kebajikan dengan menyerahkan bantuan kepada mangsa kebakaran rumah setinggan di Sungai Plan, yang berlaku pada 15 Oktober lalu.
Penyerahan bantuan tersebut pada Ahad disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Terabai Menua Cawangan Bintulu Muli Tujoh sebagai wakil rasmi persatuan.
Menurut pihak persatuan, bantuan itu disalurkan untuk meringankan beban keluarga yang terkesan akibat kehilangan tempat tinggal serta barang keperluan asas dalam kejadian berkenaan.
Persatuan turut merakamkan penghargaan kepada semua ahli dan penyumbang yang menyokong serta membantu menjayakan misi kebajikan ini.
"Setinggi-tinggi terima kasih kepada semua ahli yang sentiasa prihatin dan sanggup berganding bahu membantu mereka yang ditimpa musibah.
"Semoga Tuhan memberkati setiap usaha kita," ujar wakil persatuan.
Usaha itu mencerminkan komitmen berterusan Terabai Menua dalam menyokong masyarakat setempat dan memastikan kebajikan ahli serta komuniti sentiasa menjadi keutamaan. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
hehe tu dulu tempat menolak tak hingat
awal 10x then tukar 5x
now hentam sajalah 
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bekas ADUN Kiulu terus beri sokongan kepada Joniston
November 22, 2025, Sabtu - 9:10pm
KIULU: Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Louis Rampas terus memberikan sokongan kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai sekali gus mencerminkan kesinambungan kepimpinan di kawasan itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) kali ini.
Louis, 74, sentiasa hadir memberikan sokongan dan dorongan kepada Joniston sejak penggantinya itu menjadi wakil rakyat Kiulu buat pertama kalinya pada 2013.
Beliau yang menjadi ADUN Kiulu dari 1999 hingga 2013 pernah menjadi pegawai kanan kerajaan termasuk sebagai Pegawai Daerah.
Pengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan politik membentuk asas pembangunan dan perancangan awal yang penting untuk kawasan Kiulu.
Perancangan berkenaan diteruskan oleh Joniston dalam semangat kesinambungan dan kerjasama kepimpinan.
Keterlibatan kedua-dua pemimpin dari Parti Bersatu Sabah (PBS) ini yang juga parti komponen dalam GRS, memperlihatkan hubungan politik yang stabil serta berfokus kepada pembangunan kawasan.
Joniston ketika ditemui amat menghargai sokongan berterusan Louis yang dianggap sebagai 'lelaki budiman sebenar' sejak hari pertama dicalonkan sebagai wakil rakyat.
"Beliau meninggalkan asas yang kukuh, dan menjadi tanggungjawab saya untuk meneruskan perancangan itu demi memastikan Kiulu terus maju dengan cara yang tersusun dan menyeluruh,” katanya dalam kempen ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tomis di sini hari ini.
Rakyat sentiasa menyambut mesra kehadiran Joniston semasa turun padang.
MESRA: Rakyat sentiasa menyambut mesra kehadiran Joniston semasa turun padang.
Dalam pada itu, di bawah pentadbirannya, Kiulu menyaksikan pelaksanaan pelbagai usaha pembangunan yang tersusun, termasuk mengukuhkan inisiatif terdahulu sambil memperkenalkan program baharu bagi memenuhi keperluan penduduk.
Menurutnya, peruntukan ADUN yang lebih tinggi di bawah kerajaan GRS pula membolehkan projek pembangunan berjalan lebih progresif.
Sementara itu, Louis berkata, Joniston sentiasa menunjukkan kesungguhan dan integriti sejak mengambil alih tanggungjawab sebagai pemimpin di kawasan DUN Kiulu pada 2013.
“Saya melihat sendiri bagaimana perancangan lama diperkukuh dengan inisiatif baharu.
"Itulah sebabnya saya terus berdiri bersama beliau untuk masa depan Kiulu,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Manifesto BN ambil kira hasrat, impian rakyat Sabah: Wanita UMNO Sabah
November 22, 2025, Sabtu - 9:13pm
KOTA KINABALU: Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 adalah dokumen perancangan pembangunan yang disusun rapi, setelah mengambil kira semua hasrat dan impian masyarakat di negeri itu.
Ketua Wanita UMNO Sabah Datuk Noraini Idris, berkata manifesto berkenaan juga merupakan manifestasi hasrat rakyat Sabah yang dahagakan pembangunan bagi kehidupan lebih sejahtera.
“Manifesto ini mengandungi tawaran-tawaran yang akan BN laksanakan, insya-Allah, apabila Barisan Nasional mendapat mandat menjadi kerajaan semula pada 29 Nov ini,” katanya pada sidang media selepas pelancaran manifesto itu di Bangunan UMNO Sabah hari ini.
Mengambil contoh rancangan untuk mewujudkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Sabah yang diterajui oleh Menteri Wanita, Noraini berkata ia dilakukan untuk memastikan negeri itu turut mempunyai kementerian seumpama di peringkat Persekutuan.
“Di Sarawak pun ada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, tetapi di Sabah kita tiada. Di sini, ia hanya berpayung di bawah Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang menterinya tidak semestinya wanita.
“Jadi, kita mahu mempunyai kementerian sendiri dan menterinya seorang wanita supaya fokus dapat diberikan kepada isu wanita, kanak-kanak dan masyarakat,” katanya.
Noraini turut berkata, berbanding manifesto pihak lawan, beliau percaya tawaran BN adalah realistik dan mampu dilaksanakan apabila diberi mandat.
“Kita tidak menjanjikan bulan dan bintang. Semua apa yang kita tawarkan boleh dicapai, insya-Allah bila kita diberikan mandat.
“…dan sudah tentu kita ada kelebihan berbanding lawan kerana kita juga merupakan sebahagian daripada Kerajaan MADANI di peringkat Persekutuan,” katanya.
Manifesto BN yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini menawarkan enam teras utama menerusi Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1).
Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Mokhtar Radin, berkata RPS1 merangkumi aspek Kemakmuran Ekonomi dan Kesejahteraan Hidup, Wanita dan Orang Muda sebagai Tonggak Negara, serta penyediaan pendidikan berkualiti untuk semua.
Selain itu, manifesto itu turut menekankan agenda transformasi politik dan tadbir urus, pembinaan masyarakat sihat dan negeri berkebajikan, serta pemeliharaan kelestarian alam.-- BERNAMA |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Peranan NADI terus diperkukuh, bantu pembangunan belia Sabah
November 22, 2025, Sabtu - 9:17pm
PUTATAN: Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terus memainkan peranan penting dalam membentuk masa depan serta pembangunan golongan belia di Sabah.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul berkata NADI kini bukan sekadar tempat untuk mengakses Internet, sebaliknya menjadi ruang pembelajaran kondusif, serta tempat anak muda memperoleh bimbingan, membina kemahiran, dan membuka peluang kerjaya baharu.
“Penglibatan belia Sabah dalam program Perkhidmatan Pintar anjuran NADI seperti pertandingan keselamatan siber, penyertaan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kreatif, serta kejayaan usahawan muda negeri mengembangkan produk tempatan melalui latihan keusahawanan NADI, membuktikan impak positif NADI.
“Kisah kejayaan ini menunjukkan potensi besar belia Sabah apabila diberikan ruang, sokongan, dan persekitaran pembelajaran yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di NADI Kampung Kopimpinan di sini hari ini.
Johari turut menyatakan hasrat beliau untuk melihat NADI berkembang sebagai platform utama melatih generasi muda memahami demokrasi dan proses membuat keputusan negara.
“Saya difahamkan setakat September 2025, sebanyak 131 Pusat NADI kini beroperasi di seluruh Sabah dengan jumlah kos operasi kira-kira RM210 juta bagi tempoh lima tahun.
“Melalui inisiatif seperti Program Sekolah Parlimen, Parlimen Belia, dan kerjasama dengan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), saya yakin NADI mampu menjadi pusat rujukan kepimpinan yang melahirkan belia berani bersuara, berfikir secara kritikal, dan mampu mewakili masyarakat pada masa hadapan,” tambahnya.
Johari menekankan bahawa pembangunan belia mesti seimbang antara penguasaan teknologi dengan pembentukan nilai diri, etika digital, serta tanggungjawab sebagai warganegara.-- BERNAMA |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program Jelajah TVET MARA Sabah meriah
November 22, 2025, Sabtu - 9:25pm
KINABATANGAN: Program Jelajah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA Negeri Sabah yang berlangsung di Dataran Bukit Garam, Kinabatangan hari ini mencatat kehadiran menggalakkan apabila ratusan pengunjung, terutama golongan belia, hadir bagi mendapatkan maklumat mengenai peluang latihan dan pendidikan teknikal yang ditawarkan melalui inisiatif TVET MARA.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid dalam ucapannya menegaskan komitmen kerajaan untuk memperluas akses TVET di seluruh Sabah sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan mobiliti sosial, menyediakan peluang pekerjaan berkualiti dan membangunkan tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan industri masa hadapan.
MUHAMMAD ZAL HIRZI
MUHAMMAD ZAL HIRZI
Beliau turut menekankan bahawa Sabah mempunyai potensi besar untuk menjadi hab kemahiran serantau sekiranya pembangunan infrastruktur TVET diperkukuhkan secara berterusan.
Turut hadir dalam program itu ialah Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Kehadiran beliau menunjukkan komitmen BN Sabah dalam menyokong pembangunan modal insan dan memperjuangkan agenda TVET sebagai antara fokus utama kepada anak muda di kawasan luar bandar.
MUHAMAD FAIRUZ
MUHAMAD FAIRUZ
Dalam sesi interaksi dan temu bual bersama para belia Kinabatangan, rata-rata mereka menyuarakan sokongan penuh terhadap manifesto BN Sabah yang dilancarkan hari ini, khususnya janji untuk menubuhkan Pusat Latihan Teknologi Tinggi bertaraf antarabangsa serta memperkenalkan Skim Skill TVET Sabah (SKIVETS) sebagai laluan kerjaya terancang untuk golongan muda.
Mereka menyifatkan langkah itu sebagai satu keperluan mendesak kerana ia bukan sahaja mampu menyediakan latihan kemahiran berkualiti tinggi, malah membuka lebih banyak peluang pekerjaan hasil kerjasama dengan syarikat antarabangsa, syarikat tempatan, pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Antara belia yang ditemui, termasuk Muhammad Zal Hirzi Mohammad Rizal, Muhamad Fairuz Muhamad Ali dan Mohammad Qais Quzami Laji.
Kesemua mereka menyatakan harapan agar sebuah pusat TVET bertaraf antarabangsa dapat diwujudkan di daerah Kinabatangan sendiri bagi memudahkan pelajar tempatan mengikuti latihan tanpa perlu berpindah ke daerah lain.
Mereka juga berharap agar lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan melalui usaha sama dengan industri, selain mengemukakan cadangan agar sebuah kolej khas pra-Universiti Tingkatan 6 ditubuhkan di Kinabatangan bagi memastikan kesinambungan pendidikan untuk pelajar lepasan sekolah menengah di kawasan tersebut.
MOHAMMAD QAIS
MOHAMMAD QAIS
Melalui kerjasama dengan pelbagai syarikat antarabangsa, tempatan, swasta dan GLC, inisiatif tersebut dijangka dapat melahirkan tenaga kerja mahir yang memenuhi keperluan industri moden.
Program Jelajah TVET MARA Sabah di Kinabatangan ini secara keseluruhannya menunjukkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan belia terhadap pendidikan teknikal dan vokasional, sekali gus mencerminkan keinginan mereka untuk mengejar peluang yang lebih luas dalam sektor kemahiran.
Program ini turut memperlihatkan usaha berterusan kerajaan dan BN Sabah dalam memastikan daerah Kinabatangan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan pendidikan serta peluang kerjaya masa depan. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
KPT sokong hasrat pelajar untuk pulang mengundi
November 22, 2025, Sabtu - 9:55pm
KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak pernah menghalang hasrat para pelajar untuk pulang ke kawasan masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 (PRU17 Sabah).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, mengundi adalah hak dalam perlembagaan dan ia mesti dihormati.
Semasa ditemui pemberita pada sesi libat urus bersama media hari ini, Zambry membincangkan isu terkini mengenai situasi pelajar yang menuntut di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan institusi pendidikan di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata, isu berkenaan pertama kali dibangkitkan dua bulan lalu oleh UMS yang mana sejumlah 60 peratus pelajarnya adalah penduduk Sabah.
Menurutnya, UMS pada awalnya sudah mencadangkan perubahan pada tarikh untuk majlis konvokesyen bagi memudahkan para pelajarnya untuk pulang bagi menunaikan hak masing-masing.
“Walaupun terdapat kebaikan dan keburukan pada peringkat awal, setengah pihak bersetuju dan setengah lagi tidak bersetuju, tetapi akhirnya isu berkenaan sudah diselesaikan.
"Universiti faham keperluan itu dan kita tidak mahu KPT dilihat menghalang pelajarnya untuk mengundi," katanya.
Zambry menegaskan hak untuk mengundi adalah termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan dan KPT akan membantu memudahkan perjalanan para pelajar sebaik mungkin.
“Kami akan memudahkan mereka untuk pergi mengundi dan balik. Apa yang penting ialah hak mereka untuk mengundi tetap terjamin,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa KPT belum mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung perkara itu kerana perkara tersebut tertakluk sepenuhnya kepada kriteria SPR.
"SPR mempunyai syarat tersendiri dalam menentukan siapa yang layak untuk kategori pengundian khas. Buat masa ini, tiada peruntukan ditetapkan untuk pelajar.
"Kami menyerahkan sepenuhnya keputusan itu kepada SPR," katanya.
Zambry memberi jaminan bahawa kementerian tetap komited menyokong kebajikan pelajar sambil menghormati semua prosedur pilihan raya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Thonny sedia bantu penuhi keperluan pelajar menerusi TCI
November 22, 2025, Sabtu - 10:31pm
KOTA KINABALU: Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api, Thonny Chee menegaskan komitmennya untuk memperkukuh sokongan terhadap pelajar universiti melalui Program Thonny Chee Initiative (TCI) yang ditubuhkan antara lain membantu generasi muda memahami dasar kerajaan dan memenuhi keperluan semasa.
Beliau berkata, inisiatif itu menumpukan sesi libat urus bersama pelajar dan masyarakat setempat bagi mendapatkan maklum balas mengenai cabaran harian selain menyampaikan maklumat berkaitan dasar kerajaan Madani dengan lebih jelas dan teratur.
“Hari ini saya adakan pertemuan dengan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan pertemuan ini amat penting berikutan mereka sering berdepan isu kemudahan asas, antaranya bekalan air dan elektrik yang tidak konsisten di kampus.
“Beberapa bentuk bantuan dalam TCI juga disediakan khusus untuk pelajar memandangkan ramai yang bergelut menampung keperluan asas sepanjang pengajian.
“Sokongan menyeluruh kepada pelajar universiti penting bagi memastikan mereka dapat menamatkan pengajian tanpa terbeban oleh masalah kewangan atau kekurangan kemudahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengiringi Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Dr. Johari Abdul pada Program Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kupi-kupi Dulu Bah Kita di sini.
Thonny mengiringi Johari semasa Program NADI Kupi-kupi Dulu Bah Kita di sini.
NADI: Thonny mengiringi Johari semasa Program NADI Kupi-kupi Dulu Bah Kita di sini.
Semasa berkongsi pengalamannya, Thonny berkata, kefahamannya terhadap tekanan pelajar hari ini lahir daripada pengalaman hidup sendiri yang dibesarkan dalam keluarga kurang berkemampuan.
“Saya pernah berjalan kaki hampir sejam setiap hari untuk ke sekolah, bekerja sambilan demi kelangsungan hidup dan berdepan kekangan kewangan yang membataskan pergerakan dan pembelajaran.
“Pendidikan menjadi jalan keluar daripada kemiskinan dan keyakinan itu mendorong saya memperkukuh peranan TCI untuk membantu pelajar yang benar-benar memerlukan.
“Oleh itu, saya menasihatkan pelajar supaya tidak malu mendapatkan bantuan dan menghubungi pegawai berkaitan atau pasukan TCI sekiranya memerlukan sokongan, sama ada dalam bentuk bimbingan mahupun bantuan kebajikan,” katanya.
NADI berfungsi sebagai inisiatif utama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi merapatkan jurang digital dan memperkukuh pembangunan komuniti luar bandar melalui program Pemberian Perkhidmatan Sejagat.
Inisiatif ini menyediakan capaian Internet kolektif kepada kawasan kurang liputan serta memperkasakan komuniti melalui empat fokus utama iaitu keusahawanan, e-pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri dan kematangan penggunaan Internet.
NADI juga menjadi saluran maklumat tepat mengenai inisiatif kerajaan seperti Padu, Manfaat Madani dan Budi Madani.
Dalam aspirasi 1 DUN 1 NADI, sebanyak 188 pusat baharu sedang dibangunkan, dengan 154 siap beroperasi setakat 31 Disember 2024 dan 34 dalam pelaksanaan, kini 1,065 NADI beroperasi di seluruh negara, dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 1,099 menjelang suku pertama 2025. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Bekas ADUN Tanjung Batu restu calon GRS, Dr. Andi
November 23, 2025, Ahad - 6:38am
TAWAU: Kehadiran bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy dalam kempen calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Dr. Andi Mohd Shamsureezal Mohd Sainal, menarik perhatian apabila beliau tampil memberikan restu terhadap pencalonan tokoh muda itu.
Dalam ucapan beliau, Suryady menegaskan bahawa pencalonan Dr. Andi adalah pilihan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, sekali gus menunjukkan keyakinan kepimpinan tertinggi parti terhadap keupayaan profesional kesihatan itu.
“Sebagai mantan ADUN, sudah tentu kita mahu melihat pembangunan dan kemajuan terus berlaku di kawasan ini.
“Dr. Andi mempunyai rekod cemerlang, termasuk menjadi pengarah hospital termuda pada usia 32 tahun. Saya merestui pencalonan beliau,” katanya
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kalabakan berkata demikian dalam ucapan selepas menjadi jemputan khas dalam siri kempen berkenaan, malam tadi.
Dr. Andi bersama-sama jentera dan penyokong melaungkan kata-kata semangat dalam program berkenaan.
SEMANGAT: Dr. Andi bersama-sama jentera dan penyokong melaungkan kata-kata semangat dalam program berkenaan.
Sementara itu, Dr. Andi menyifatkan restu daripada mantan ADUN Tanjung Batu sebagai satu pengiktirafan besar kepada perjuangannya.
“Beliau merupakan tokoh berpengalaman luas dalam tadbir urus Dewan Undangan Negeri. Restu berkenaan amat bermakna dan menjadi pendorong kepada saya.
“Sudah tentu pengalaman beliau akan saya jadikan panduan dalam perjuangan ini,” katanya.
Walaupun Tanjung Batu dilihat sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN), Dr. Andi menegaskan bahawa tumpuannya kini adalah memperkemas perjalanan kempen dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan.
“Keutamaan saya ialah turun ke kampung-kampung, bertemu masyarakat dan mendengar permasalahan mereka secara langsung,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa hampir 60 peratus pengundi di kawasan itu terdiri daripada golongan muda, menjadikan penggunaan platform digital sebagai salah satu kaedah penting untuk memperluaskan capaian kempen.
Dr. Andi turut mengakui terkejut dengan sambutan positif yang diterima daripada anak-anak muda, termasuk mereka yang sebelum ini cenderung menyokong BN.
“Saya merupakan calon baharu dan kawasan ini pula kubu BN. Namun dalam tempoh 6 hingga 7 hari berkempen, sokongan yang diterima sangat menggalakkan. Ini satu perkembangan yang amat positif,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Edited by Vellfire at 24-11-2025 10:48 AM
Joachim optimis pertahan Kundasang
- November 23, 2025, Ahad - 12:51pm
RANAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam optimis dengan peluangnya walaupun berhadapan persaingan 10 penjuru di kawasan itu. Beliau berkata, pengalaman dan rekod kejayaannya merupakan asas kepimpinan yang akan merealisasikan perkara itu. “Manifesto kami sederhana dan realistik, menyambung pembangunan yang sudah berjalan dan memberi manfaat terus kepada rakyat Kundasang,” katanya. Dengan pengalaman luas sebagai pemimpin senior dalam GRS, komitmen berterusan terhadap pembangunan fizikal, ekonomi dan kesejahteraan penduduk terus menjadi fokus beliau. Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Mirumo-Rumo Masyarakat PDM Kaingaran dan PDM Timbua di sini, kelmarin Joachim menegaskan komitmennya untuk memperkukuh pembangunan dan kesejahteraan penduduk sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 (PRU17 Sabah). Beliau menekankan potensi Kundasang sebagai destinasi pelancongan utama di Sabah, terkenal dengan keindahan alam semula jadi, cuaca sejuk serta peluang pelancongan ekologi, termasuk sungai besar yang sesuai untuk aktiviti rekreasi. Selain itu katanya, pembangunan infrastruktur bukan hanya tertumpu di pekan utama tetapi turut meliputi perkampungan terpencil bagi memastikan akses kemudahan asas kepada semua penduduk. "Jalan dari Pekan Ranau ke kampung-kampung besar telah dinaik taraf, sementara pembangunan diteruskan ke Kaingaran termasuk pusat kesihatan dan sekolah. “Penduduk DUN Kundasang tersebar luas, jadi pembangunan mesti menyeluruh supaya semua pihak mendapat manfaat,” katanya. Sepanjang lebih 20 tahun mewakili kawasan ini, beliau mencatat beberapa pencapaian penting antaranya memperluas bekalan elektrik ke kawasan pedalaman dan membina loji rawatan air untuk memenuhi keperluan asas rakyat. Katanya, projek naik taraf jalan raya turut memudahkan pengangkutan hasil pertanian, sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk secara semula jadi. Bagi golongan belia, Joachim menekankan peluang membuka tanah sendiri dan menyertai aktiviti ekonomi tempatan sebagai langkah membina masa depan mampan. "Kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan untuk menyokong pembangunan projek belia dan infrastruktur yang boleh dimanfaatkan seluruh masyarakat. "Pelancongan turut menjadi fokus utama. Beberapa zon sungai dipelihara dan dibangunkan sebagai tarikan pelancongan, manakala projek jambatan gantung dirancang untuk memudahkan akses penduduk kawasan terpencil," katanya. Beliau memberi jaminan setiap peruntukan dan projek pembangunan diagihkan secara adil mengikut keperluan kawasan dan sumber yang tersedia, dengan pendekatan realistik dan berperingkat bagi memastikan pelaksanaan berkesan.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dewan serbaguna dicadang dibina di Taman Kuala Menggatal
November 23, 2025, Ahad - 12:53pm
KOTA KINABALU: Sebuah dewan serbaguna dicadangkan dibina Taman Kuala Menggatal oleh Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai, Datuk Arshad Idris sekiranya diberi mandat selepas 29 November ini.
Beliau berkata, dewan berkenaan adalah untuk manfaat bersama penduduk di sini.
Katanya, kemudahan itu adalah bagi menyenangkan penduduk di taman itu untuk melakukan aktiviti riadah, majlis perkahwinan dan banyak lagi.
Menurutnya, terdapat ruangan yang boleh dijadikan tapak dewan itu dan cadangan itu hanya boleh direalisasikan sekiranya diberi mandat nanti.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Program Ziarah Kasih di Taman Kuala Menggatal, di sini hari ini.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu-isu penduduk yang tidak mempunyai saluran bekalan air di sekitar Karambunai.
Arshad menjelaskan Kerajaan GRS menerusi Jabatan Air Negeri Sabah mempunyai jalan penyelesaian.
Katanya, Prosedur Standard Operasi (SOP) untuk tujuan itu sudah pun dikeluarkan.
Beliau berkata, pemohon hanya perlu membawa dokumen diri yang sah dan seterusnya hadir ke jabatan air bagi mengisi borang permohonan.
Dalam pada itu, semasa dalam program berkenaan, beliau menyeru penduduk Karambunai agar turun beramai-ramai pada 29 November untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Undilah GRS, undilah saya...teruskan kerajaan GRS agar pembangunan yang dirancang akan diteruskan.
"Tunaikan tanggungjawab anda untuk masa depan seisi keluarga," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
BN Sabah tawar harapan baharu untuk anak muda
November 23, 2025, Ahad - 12:54pm
SANDAKAN: Manifesto 'Orang Muda Pemangkin Perubahan' yang dibentangkan Barisan Nasional (BN) Sabah disifatkan sebagai suntikan harapan baharu kepada generasi muda negeri itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, manifesto itu bukan sekadar rangka dasar, tetapi cerminan impian dan keperluan anak muda yang selama ini menunggu peluang lebih adil serta masa depan yang lebih stabil.
Mohd Zaidy turut menyatakan sokongan penuh terhadap penegasan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengenai komitmen BN untuk melaksanakan pembangunan terarah melalui enam tonggak Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1).
"Kita tidak mahu lagi mendengar rakyat Sabah hidup dengan air tidak menentu, elektrik sering terputus dan jalan yang tidak sempurna.
"Enam tonggak RPS1 akan menjadi asas perubahan dalam satu penggal," kata Ahmad Zahid ketika berucap semasa pelancaran manifesto BN Sabah, kelmarin.
Mengulas intipati manifesto, Zaidy berkata, Program Peneroka Muda (PEMUDA) melalui akses tanah TOL akan memberi peluang kepada anak muda membina kehidupan lebih kukuh, manakala Koperasi Usahawan Anak Muda pula menyediakan sokongan bimbingan untuk mereka memulakan perniagaan.
Beliau berkata, Dana Khas Sukan dan e-Sukan jelas menunjukkan pengiktirafan terhadap bakat anak muda dalam sukan fizikal dan digital, selain cadangan pembinaan Hub Sukan Permotoran Moden yang dilihat sebagai platform baharu pencungkil bakat dalam dunia permotoran.
Manifesto itu turut memperkenalkan Port Aspirasi Anak Muda di 10 daerah sebagai ruang pembangunan diri dan latihan kemahiran, serta pemberian lesen GDL percuma kepada belia B40 bagi membuka peluang mereka memasuki sektor logistik.
Menurutnya, manifesto berkenaan membuktikan komitmen BN Sabah untuk memastikan anak muda terus dibimbing dan diberi sokongan sewajarnya.
"Ini merupakan huluran tangan kepada generasi yang selama ini menjadi harapan negeri.
"Dengan pelaksanaan RPS1 dan sokongan tepat, anak muda Sabah mampu membina masa depan lebih cerah,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|