CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Boleh bah, kalau kau

 Close [Copy link]
 Author| Post time 23-11-2025 12:14 PM | Show all posts
KPWKM minta Kementerian Digital tubuh pasukan pakar AI dan NI, perkukuh advokasi kanak-kanak
November 22, 2025, Sabtu - 2:07pm

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meminta Kementerian Digital menubuhkan pasukan pakar kecerdasan buatan (AI) dan kecerdasan semula jadi (NI) bagi memperkukuh program advokasi kanak-kanak.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri, berkata permintaan itu disampaikan kepada Menteri Digital Gobind Singh Deo dalam mesyuarat Kabinet semalam berikutan keperluan mendesak untuk memberikan pendedahan jelas kepada pelajar mengenai perbezaan antara teknologi AI dan kemampuan NI manusia.

“Kami ada program advokasi kanak-kanak di sekolah, tetapi masih kekurangan topik mengenai AI dan NI. Ramai kanak-kanak terlibat dalam permainan dalam talian dan banyak terpengaruh dengan elemen AI dalam game.

“Kita mahu mereka faham bahawa AI itu buatan dan mereka adalah cerdas secara semula jadi. Jadi kita perlukan pasukan pakar dalam negara yang boleh membantu dalam hal ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Citra Akademik Untuk Komuniti dan Alam (CAKnA) di Kampung Salak, Santubong, hari ini.

Nancy berkata KPWKM melaksanakan program advokasi di sekurang-kurangnya 300 sekolah setiap tahun, namun jumlah itu sering melepasi sasaran berikutan peluasan program ke Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK).

“Walaupun sasaran ialah 300 sekolah setahun, kita sering melepasi angka itu kerana program turut diperluas ke PAKK dan komuniti setempat. Sehingga 3 Okt lalu, sebanyak 327 sekolah telah terlibat,” katanya.

Beliau berkata kerjasama Kementerian Pendidikan, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta rangkaian komuniti setempat juga penting dalam memastikan keberkesanan advokasi.

Mengulas Kempen #ThinkTwice Parental Advisory oleh TikTok, Nancy berkata KPWKM menyokong inisiatif yang dapat memperkukuh kesejahteraan digital keluarga.

Kempen yang dilancarkan semalam itu membantu ibu bapa memantau keselamatan digital remaja melalui kerjasama TikTok, Content Forum dan MCMC, sebagai sebahagian daripada kempen literasi digital #ThinkTwice.

Beliau menambah bahawa KPWKM turut meminta PDRM melalui Bahagian D11 memperkukuh penyampaian berhubung kesalahan rogol statutori bagi memastikan kanak-kanak memahami implikasi undang-undang.

Dalam isu berasingan beliau berkata KPWKM akan terus memantau keluarga adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin selepas mahkamah menyerahkan semula kanak-kanak itu kepada bapanya, Zaim Ikhwan Zahari.

Beliau berkata pemantauan itu penting bagi memastikan 14 syarat ketat ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dipatuhi, termasuk tidak meninggalkan kanak-kanak itu tanpa pengawasan, melindunginya daripada pengabaian atau penderaan serta memastikan pendidikan dan terapi sesuai.

“Pemantauan dilakukan melalui lawatan rumah JKM. Kanak-kanak itu juga dilarang dipaparkan di media sosial, dan keluarga wajib memaklumkan perubahan alamat. Pelanggaran syarat boleh menyebabkan JKM mengambil semula kanak-kanak tersebut, dengan tindakan lanjut perlu dirujuk ke mahkamah,” katanya.

Nancy berkata tiada tempoh pemantauan ditetapkan kerana aspek kebajikan perlu dipantau berterusan.

Semalam, Mahkamah Majistret Shah Alam membenarkan kanak-kanak itu kembali ke pangkuan bapanya selepas 18 bulan di bawah jagaan nenek saudara dan JKM, tertakluk kepada syarat ditetapkan.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 23-11-2025 12:14 PM | Show all posts
Bazar Krismas Tamu Medamit jana ekonomi penduduk setempat: Sufian
November 22, 2025, Sabtu - 2:24pm

LIMBANG: Penganjuran Bazar Krismas Tamu Medamit 2025 pada 5 dan 6 Disember depan dijangka mampu merancakkan ekonomi penduduk setempat.

Pengerusi Majlis Daerah Limbang (MDL) Kaunselor Sufian Mohat berkata, seramai 40 peniaga telah mengesahkan penyertaan merangkumi peniaga makanan dan minuman, produk pertanian serta penternakan termasuk penyertaan peniaga Muslim.

“Bazar ini antara acara yang paling dinantikan oleh orang ramai terutama masyarakat di pekan Medamit dan ia merupakan antara tiga program besar dianjurkan di Medamit tahun ini.

“Kita berharap ia dapat menarik pengunjung dari dalam dan luar Limbang termasuk negara jiran Brunei Darussalam,” katanya kepada media hari ini.

Sufian berkata, bazar tersebut dijangka menjadi tumpuan utama apabila penganjur menyasarkan kehadiran sekitar 10,000 pengunjung sepanjang ia berlangsung.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti Pertandingan Dart, Pertandingan Miss Kebaya Christmas 2025, persembahan artis jemputan, pertandingan mewarna kanak-kanak serta pertandingan menghias pokok Krismas.

Katanya, Jawatankuasa Tamu Medamit yang merupakan penganjur utama program itu melakukan beberapa penambahbaikan bagi memastikan penganjuran kali ini lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.

“Selain aktiviti jualan, kaunter pembayaran akan dibuka oleh MDL bagi memudahkan urusan orang ramai,” katanya lagi.

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Hasbollah dijangka merasmikan bazar tersebut yang bakal dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-11-2025 12:15 PM | Show all posts
150 sertai March For Life, tingkat kesedaran lindungi kesucian hidup
November 22, 2025, Sabtu - 2:26pm

SIBU: Seramai kira-kira 150 orang menyertai March For Life pada Jumaat sebagai usaha meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mempromosi dan melindungi kesucian hidup manusia.

Kumpulan berkenaan diketuai oleh pengerusi penganjur Kongres Human Life International Asia Pacific (HLI ASPAC) Ke-24 mengenai Iman, Kehidupan dan Keluarga Eta Ting yang juga Presiden PKDKSS (Caritas Sibu).

Perarakan bermula sekitar jam 6 petang dari Hotel RH melalui Jalan Bujang Suntong menuju ke lokasi ikonik, Pasar Malam Sibu.

Sebelum perarakan bermula, hujan lebat melanda kawasan tersebut, namun cuaca kembali cerah sekitar jam 6 petang.

Perarakan itu merupakan sebahagian daripada program tiga hari Kongres Human Life International Asia Pacific (HLI ASPAC) Ke-24 mengenai Iman, Kehidupan dan Keluarga yang bermula pada Jumaat.

“Ini merupakan acara March For Life sulung kami, di mana kami bersatu bukan sahaja dalam kalangan komuniti Kristian, tetapi turut mengundang masyarakat lain untuk bersama-sama menonjolkan betapa berharganya kehidupan,” kata Ting kepada pemberita ketika ditemui sebelum perarakan.

“(Ia adalah) satu anugerah yang diberikan kepada kita untuk saling membantu, menghormati dan melindungi mereka yang tidak memiliki suara yang kita rujuk sebagai golongan tidak bersuara, seperti bayi dalam kandungan.

“Apa yang ingin kami sampaikan ialah kita ingin bersama-sama meningkatkan kesedaran bahawa kita semua harus belajar mengasihi kehidupan kerana kehidupan amat berharga,” tambahnya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-11-2025 12:16 PM | Show all posts
Nasib Farid, 14, yang lumpuh selepas kemalangan dapat perhatian Hope Place
November 22, 2025, Sabtu - 2:36pm

KUCHING: Nasib Mohammad Farid Amirul Kounen, 14, yang lumpuh selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada Mac lalu, mendapat perhatian Persatuan Kebajikan Harapan Kuching (Hope Place) dalam kunjungan mereka ke Kampung Sungai Bandung, baru-baru ini.

Farid, yang kini hanya terlantar di katil dan bergantung kepada mesin sedutan serta makanan melalui tiub, disahkan mengalami kecederaan otak traumatik (TBI).

Walaupun tidak lagi mampu bertutur atau bergerak, Farid masih sedar dan peka terhadap keadaan sekeliling.

Farid tinggal bersama ibu bapanya dan dua adik berusia lima dan sembilan tahun dan kehidupan keluarga kecil ini berubah sepenuhnya sejak kejadian itu.

Ibunya, Norizan, 40, menjaga Farid sepenuh masa, manakala bapanya Kounen, 48, bekerja sebagai buruh binaan bergaji harian.

Menurut Norizan, kemalangan berlaku ketika Farid membonceng motosikal dalam perjalanan ke solat Jumaat.

“Hati saya sangat sedih melihat keadaan Farid sekarang. Saya risau jika keadaannya kekal begini sepanjang hayat,” luahnya.

Bagi memudahkan penjagaan harian, datuk dan bapa Farid mengubah suai rumah mereka bagi menempatkan katil hospital dan mesin sedutan yang diperlukan.

Kehadiran Hope Place bukan sahaja untuk menziarahi, tetapi turut menyalurkan bantuan berupa susu formula khas yang diperlukan Farid.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berkata mereka dimaklumkan mengenai keadaan keluarga terbabit melalui pegawai kerja sosial Hospital Serian.

Selain itu, Farid menerima bantuan bulanan RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta sumbangan sekali daripada Baitulmal.

Hope Place menyeru orang ramai yang ingin meringankan beban keluarga ini agar menghubungi mereka di talian 082-505987 atau 013-5672775.

Sumbangan juga boleh dibuat ke akaun Maybank 511289001160 dan resit disediakan atas permintaan. Kod QR S Pay Global boleh didapati di laman Facebook mereka.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-11-2025 12:16 PM | Show all posts
Disiplin, ketabahan bawa pelajar melangkah jauh dalam kehidupan: Tiang
November 22, 2025, Sabtu - 2:47pm

SIBU: Disiplin dan ketabahan yang ada pada seorang pelajar akan membawa mereka melangkah lebih jauh dalam kehidupan walaupun setelah sekian lama meninggalkan alam persekolahan.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, disiplin dan ketabahan juga memastikan pengorbanan mereka selama ini menerima balasan yang sewajarnya.

"Apabila saya melihat anda semua, pelajar lelaki dan wanita muda dengan pakaian seragam sambil duduk di sebelah ahli keluarga dengan rasa bangga, saya bukan hanya melihat seorang pelajar.

"Saya melihat seorang jurutera, guru, usahawan, artis dan pemimpin masyarakat masa depan.

"Hari ini bukan sekadar tentang menerima anugerah, malah tentang mengenali potensi yang terserlah pada semua pelajar di dewan ini," ujarnya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rosli Dhoby di Dewan MUC, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan merangkap ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) Kaunselor Kevin Lau Kor Jie.

Menurut Tiang, pelajar yang menerima anugerah pada majlis itu dan nama mereka dipanggil bukan kerana mereka mendapat markah yang baik dalam peperiksaan, tetapi kerana mereka telah menunjukkan bahawa mereka belajar hingga larut malam, mengharungi cabaran dan tidak pernah berputus asa.

Beliau memberitahu, kejayaan seseorang pelajar juga atas sokongan guru yang telah memainkan peranan sebagai arkitek yang tidak pernah penat mendidik, memberi inspirasi, membetulkan dan mengambil berat.

Hipnee (dua kiri) menyampaikan Anugerah Khas Rosli Dhoby kepada Mohamad Alif sambil diperhatikan kedua-dua orang tuanya.
Hipnee (dua kiri) menyampaikan Anugerah Khas Rosli Dhoby kepada Mohamad Alif sambil diperhatikan kedua-dua orang tuanya.
"Kepada ibu bapa, sokongan anda adalah segala-galanya. Dari makanan yang diberikan, kata-kata semangat dan pengorbanan yang dilakukan, mereka adalah insan disebalik bagi setiap anugerah yang diberikan hari ini," jelasnya.

Dalam pada itu, Tiang turut menekankan bahawa pendidikan adalah pelaburan yang paling penting yang harus dilakukan untuk masa depan.

Beliau juga komited untuk memastikan setiap anak muda di Sarawak berpeluang untuk belajar, berkembang dan berjaya, sebagaimana yang semua pelajar lakukan hari ini.

"Jadi, ketika kita meraikan kecemerlangan anda pada pagi ini, harus ingat ini bukan garisan penamat.

"Ini adalah detik permulaan untuk teruskan belajar, memburu impian dan teruskan membanggakan SMK Rosli Dhoby serta Sibu," ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Alif Aiman Abdul Manap menerima Anugerah Khas Rosli Dhoby, manakala Muhamad Haqimie Abdullah menerima Anugerah Kokurikulum Pendidikan Khas.

Anugerah Pencapaian Cemerlang Kokurikulum Olahragawan dan Olahragawati masing-masing diterima Cassidy Bentley John dan Jeannette Loo Ae Jea, manakala Reiko Wong Ke Shin pula menerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengetua SMK Rosli Dhoby Hipnee Piee, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Christcharlynn Anthony serta Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) ASP Sakius Linggang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-11-2025 12:17 PM | Show all posts
Sokong, sedia platform untuk anak OKU kembangkan bakat
November 22, 2025, Sabtu - 3:24pm

LIMBANG: Masyarakat perlu terus memberikan sokongan padu dan menyediakan infrastruktur yang sesuai untuk memastikan bakat-bakat istimewa anak-anak orang kurang upaya (OKU) dapat diasah dan dikembangkan.

Timbalan Residen Bahagian Limbang Marie Cotilla Louise@rosita Kulai berkata, inisiatif penganjuran Program OKU Got Talent Peringkat Bahagian Limbang dilihat sebagai platform tepat dalam menyerlahkan bakat, kelebihan serta memperkasakan komuniti OKU sejajar aspirasi negara mewujudkan masyarakat yang inklusif.

Katanya, acara itu bukan sekadar satu pertandingan, malah platform yang menyediakan ruang dan peluang kepada murid-murid OKU untuk memperaga, menonjol dan membuktikan bakat serta kebolehan mereka.

“Ketidakupayaan fizikal atau mental tidak sesekali menjadi penghalang kepada bakat yang terpendam, semangat yang kental dan keazaman untuk berjaya.

“Di sini, kita dapat menyaksikan bahawa setiap golongan OKU mempunyai keistimewaan, potensi dan kualiti diri yang unik yang kadang kala mengatasi kemampuan orang lain.

“Selari dengan aspirasi negara untuk mewujudkan masyarakat yang inklusif, program seperti ini adalah cerminan kepada pemerkasaan komuniti OKU,” ujarnya pada Majlis Perasmian Program OKU Got Talent Peringkat Bahagian Limbang Tahun 2025 semalam.

Turut hadir ialah wakil Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Limbang Norlia Othman, wakil Pegawai Pendidikan Daerah Limbang Mahani Montel, Timbalan Pengerusi Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Sarawak Bahagian Limbang (MAKSAK) Wanita Dayang Diyana Abang Ibrahim dan Penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Limbang Lorah Balang.

Marie berkata, melalui program itu ia dapat memberi keyakinan diri yang tinggi kepada para peserta bahawa mereka dihargai dan diiktiraf sebagai sebahagian daripada masyarakat.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 23-11-2025 12:18 PM | Show all posts
Kejohanan serlah bakat pemanah Miri diteruskan
November 22, 2025, Sabtu - 3:26pm

MIRI: Persatuan Memanah Bahagian Miri menganjurkan Kejohanan Memanah Antara Sekolah Miri sempena ulang tahun ke-25 penganjurannya, berlangsung dari 21 hingga 23 November dan menghimpunkan penyertaan pemanah muda dari sekolah-sekolah sekitar bandar raya ini.

Pembantu Khas kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting, Chia Kah Furng hadir mewakili beliau pada majlis berkenaan petang Jumaat.

Dalam ucapannya, Chia terlebih dahulu menyampaikan permohonan maaf bagi pihak Datuk Sebastian Ting yang tidak dapat hadir ke kejohanan tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Memanah Bahagian Miri atas usaha berterusan menganjurkan kejohanan itu sejak 25 tahun lalu.

Beliau berkata, kejohanan tersebut bukan sahaja membuka ruang kepada atlet-atlet muda untuk menonjolkan bakat, malah menjadi platform memupuk disiplin, semangat kesukanan dan persediaan menghadapi pertandingan lebih besar pada masa hadapan.

“Latihan bukan sekadar untuk menang, tetapi merupakan perjalanan meningkatkan motivasi diri, memperbaiki kemampuan dan membina keyakinan menghadapi cabaran akan datang,” jelasnya.

Menurut beliau, pemanah Miri telah mencatat pelbagai kejayaan cemerlang sepanjang tahun ini dan beliau berharap lebih ramai atlet tempatan akan terus berkembang serta mengharumkan nama Miri dan Sarawak di peringkat lebih tinggi.

“Saya berharap suatu hari nanti pemanah kita bukan sahaja dikenali di Miri atau Sarawak, tetapi juga di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya.

Beliau turut menyarankan agar lebih ramai atlet diberi peluang menjalani latihan di Sarawak, seterusnya mewakili negeri dan negara.

“Bukan sahaja mewakili Miri, tetapi mewakili Sarawak, Malaysia, dan mengharumkan nama negara,” katanya lagi.

Menekankan aspek tumpuan dalam sukan memanah, beliau mengingatkan para peserta bahawa fokus adalah elemen terpenting sebelum melepaskan anak panah.

“Tanpa fokus, panah tidak akan menghala ke sasaran yang kita mahu. Dengan fokus, disiplin, stamina dan kekuatan mental, setiap panahan akan mencerminkan usaha gigih anda,” tambahnya.

Chia turut menegaskan kemenangan bukan sekadar mengatasi pihak lawan, tetapi juga bermaksud memperbaiki diri dari sehari ke sehari.

Katanya, setiap peningkatan kecil sudah dianggap satu kemenangan dan harus dijadikan motivasi untuk terus maju.

Beliau menzahirkan keyakinan bahawa lebih ramai pemanah Miri akan melakar kejayaan lebih besar pada masa akan datang, seterusnya mengangkat nama Miri, Sarawak dan Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Beliau mengakhiri ucapan dengan menyampaikan sokongan penuh kepada semua peserta dan mendoakan kejayaan mereka dalam kejohanan ini.

Hadir sama ialah Presiden Persatuan David Ting.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-11-2025 12:20 PM | Show all posts
Gereja Long Julan Pelutan terima geran RM250,000 daripada UNIFOR
November 22, 2025, Sabtu - 3:29pm

MIRI: Gereja Long Julan Pelutan, Ulu Baram menerima geran berjumlah RM250,000 daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi tujuan pembangunan rumah ibadat di rumah panjang berkenaan.

Cek disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato  Dennis Ngau kepada jawatankuasa gereja yang diwakili oleh Simon Lenjau.

Dennis memberitahu, ia merupakan sumbangan kali kedua oleh UNIFOR untuk gereja tersebut, selepas sumbangan pertama berjumlah RM70,000 yang diterima lebih setahun lalu.

Menurut Dennis, rekod perbelanjaan yang baik terhadap dana pertama menjadi faktor utama permohonan kali kedua diluluskan.

“Adalah penting untuk mempunyai rekod perbelanjaan yang baik,” tegas beliau.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 23-11-2025 12:21 PM | Show all posts
BCFM meriah, sarat aktiviti disertai masyarakat setempat
November 22, 2025, Sabtu - 3:36pm

BINTULU: Program Bintulu Car Free Morning (BCFM) anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) meriah dengan penganjuran pelbagai aktiviti yang disertai masyarakat setempat di kawasan parkir kenderaan di Pantai Tanjung Batu di sini, hari ini.

Jurucakap BDA berkata, antara pengisian program itu ialah senamrobik, pameran, permainan interaktif serta aktiviti riadah yang menarik minat para pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.

"Program ini bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, malah menggalakkan kesedaran komuniti terhadap amalan mesra alam selaras dengan usaha menjadikan Bintulu sebuah bandar rendah karbon," katanya.

Justeru, BDA menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam memastikan kelancaran program tersebut.

"Momen-momen ini dirakam dan disimpan sebagai kenangan berharga dalam usaha memperkukuh semangat kekitaan serta kerjasama komuniti Bintulu," jelasnya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-11-2025 12:22 PM | Show all posts
Pendidikan seni membentuk kepekaan jiwa, pemahaman terhadap kehidupan: Lau
November 22, 2025, Sabtu - 3:50pm

SIBU: Pendidikan seni bukan sekadar latihan menghasilkan karya, tetapi juga wadah penting untuk membentuk kepekaan jiwa dan pemahaman terhadap kehidupan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Sekolah Menengah (SM) Wong Nai Siong Temenggung Dato Vincent Lau berkata, pertandingan lukisan misalnya menyediakan ruang dan peluang kepada pelajar menerapkan sudut pandangan tersendiri, sekali gus menyerlahkan potensi besar mereka.

"Bimbingan dan sokongan yang diberikan oleh guru serta ibu bapa telah membantu para pelajar melangkah lebih yakin dalam dunia kreatif.

"Mungkin ada antara kamu pada masa depan bakal bergelar pelukis, pereka bentuk, arkitek atau profesional dalam pelbagai bidang seni.

"Namun, apa jua pilihan kerjaya, kemampuan memerhati dengan teliti, merasai dengan hati dan meluahkan kreativiti adalah anugerah yang amat bernilai," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Melukis dan Mewarna Landskap Antara Sekolah-sekolah Menengah Persendirian Cina Sibu anjuran Institut Wartawan Rejang (IRJ) dengan kerjasama Persatuan Alumni SM Wong Nai Siong di sini, hari ini.

Beliau menegaskan pertandingan ini bukan sekadar medan persaingan, tetapi juga platform penting untuk remaja tempatan mengetengahkan bakat serta mengangkat martabat pendidikan seni.

Lau (barisan depan, tengah), Yiing (barisan depan, lima kiri) dan Chia (barisan depan, lima kanan) merakamkan kenangan bersama pihak penganjur dan peserta yang mengambil bahagian.
Lau (barisan depan, tengah), Yiing (barisan depan, lima kiri) dan Chia (barisan depan, lima kanan) merakamkan kenangan bersama pihak penganjur dan peserta yang mengambil bahagian.
Lau menambah seni lukisan landskap menuntut ketelitian, kesabaran dan keberanian mencuba dan hasil karya para peserta merupakan bukti jelas usaha tersebut.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur merangkap Pengerusi Persatuan Alumni SM Wong Nai Siong Kaunselor Yiing Sy Huat berkata, penganjuran pertandingan ini berteraskan matlamat untuk membuka ruang kepada pelajar keluar dari lingkungan kelas dan mendekati alam, agar seni dapat benar-benar dihayati dalam rutin seharian.

Menurutnya, melukis di ruang terbuka memberi peluang kepada pelajar merasai sendiri proses pemerhatian dan pengalaman visual, selain menjadi cara untuk mentafsir dunia melalui ekspresi kreatif.

“Ketika para pelajar memburu cahaya, warna dan ilham di Taman Peringatan Kutien, Bukit Lima, sebenarnya mereka sedang merakam keindahan Sibu dari perspektif remaja. Itulah nilai paling berharga daripada pertandingan ini,” ujarnya.

Pertandingan tersebut menyaksikan Penny Chung dari SM Wong Nai Siong diumumkan sebagai johan, diikuti Edwin Lu dari SM Tinggi Katolik sebagai naib johan dan Bryan Wong juga dari SM Tinggi Katolik, di tempat ketiga.

Lima penerima sagu hati ialah Janice Lau dan Elaine Tang dari SM Wong Nai Siong, Katie Yap dari SM Citizen serta Joey Chou dan Geraldine Chiong dari SM Tinggi Katolik.

Seramai 15 peserta dari tiga sekolah telah mengambil bahagian dalam pertandingan itu.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi IRJ Chia Shu Kiong.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-11-2025 12:23 PM | Show all posts
Sektor maritim akan terus jadi tulang belakang perdagangan global
November 22, 2025, Sabtu - 3:56pm

SIBU: Sektor maritim akan terus menjadi tulang belakang perdagangan global dan kestabilan ekonomi dunia amat bergantung pada pelaut yang terlatih dan cekap.

Pengarah Jabatan Laut Wilayah Sarawak Bianus Muyou berkata, lebih 90 peratus perdagangan dunia diangkut melalui laluan laut, justeru menjadikan peranan pelaut bukan sekadar satu profesion.

"Ia adalah satu tanggungjawab besar kepada keselamatan pelayaran, perlindungan alam marin serta reputasi negara di peringkat antarabangsa," ujarnya ketika berucap pada Majlis Tamat Kursus dan Penyampaian Sijil Marin Dek dan Enjin yang dianjurkan oleh Kumpulan Pelita Mas Laut di sini, hari ini.

Seramai 63 graduan daripada pelbagai program latihan maritim menerima sijil mereka pada majlis yang berlangsung di Dewan Kompleks Islam.

Bianus turut merakamkan penghargaan kepada para pengajar dan kakitangan Pelita Mas Laut atas komitmen mereka dalam menyediakan pelatih untuk menghadapi cabaran profesion maritim.

“Ketabahan yang ditunjukkan oleh para pelatih dalam menyelesaikan program-program ketat ini mencerminkan disiplin, keazaman dan kesediaan mereka untuk berkhidmat,” katanya.

Bianus seterusnya mengetengahkan dua pengumuman utama yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah semasa sambutan Hari Pelaut dan Rumah Api Kebangsaan pada 8 November lalu.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan sedang memuktamadkan garis panduan gaji minimum baharu untuk pelaut Malaysia, yang akan dikeluarkan pada suku pertama tahun 2026 melalui Notis Perkapalan Malaysia.

“Kadar ini akan diselaraskan mengikut jenis dan had pelayaran kapal supaya ia lebih adil dan jelas untuk semua," katanya.

Selain itu katanya, tempoh latihan perkhidmatan laut untuk kadet enjin dikurangkan daripada 12 bulan kepada enam bulan.

“Ini satu langkah besar untuk memeprcepatkan laluan kerjaya pelaut muda tanpa menjejaskan standard kompetensi di bawah Piawaian Latihan, Pensijilan dan Pengawasan untuk Pelaut (STCW).

“Perubahan ini akan membantu meningkatkan kebolehpasaran dan peluang pekerjaan pelaut di peringkat antarabangsa," jelasnya.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah (Pendidikan) Yayasan Sarawak Watson Chunggat Leonard Doo, Pengarah Urusan Kumpulan Pelita Mas Laut Masni Amit, Naib Canselor Universiti Teknologi Sarawak Prof Datuk Dr Khairuddin Ab. Hamid, Pengurus Besar Kumpulan Pelita Mas Laut Mohamad Nazim Masni dan Pengarah Operasi Kumpulan Pelita Mas Laut Mohamad Safrin Masni.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-11-2025 12:24 PM | Show all posts
Media arus perdana kekal penting sampaikan maklumat tepat: Lau
November 22, 2025, Sabtu - 4:07pm

SIBU: Organisasi media arus perdana kekal penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada orang ramai, khususnya ketika masyarakat berdepan dengan isu maklumat palsu serta pengaruh teknologi kecerdasan buatan (AI) dan media sosial yang semakin meningkat.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan KTS Temenggung Dato Vincent Lau berkata, pada masa kini sesiapa sahaja boleh bertindak sebagai ‘wartawan’ kerana mereka mempunyai telefon pintar yang membolehkan mereka mengambil gambar dan berkongsi di platform media sosial.

Beliau menegaskan media arus perdana seperti Kumpulan See Hua tetap penting dalam era digital hari ini untuk terus menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat.

"Saya fikir kerja anda masih relevan kepada komuniti kerana masyarakat kini berdepan dengan pelbagai sumber maklumat.

"Dengan begitu banyak sumber berita yang datang dari setiap arah, kadang kala kita tidak tahu sama ada apa yang kita lihat itu benar atau tepat," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Tengah Hari anjuran Kelab KTS Sibu di sebuah hotel di sini, hari ini.

Lau berkata, dengan kemunculan AI serta alat seperti ChatGPT, ada masanya sukar untuk menentukan sama ada apa yang dilihat itu tulen atau tepat.

Menurutnya, kadang kala sukar untuk membezakan sama ada maklumat itu benar atau hanya sesuatu yang direka oleh seseorang untuk disajikan kepada kita.

"Oleh itu, saya percaya kumpulan akhbar kita (Kumpulan See Hua) atau mereka yang bekerja dalam bidang berita maklumat yang disampaikan kepada orang ramai adalah tepat.

"Dalam hal ini, saya percaya apa yang anda semua lakukan dengan menyediakan berita kepada masyarakat akan terus relevan," tegasnya.

Beliau yakin dan percaya bahawa akhbar Kumpulan See Hua akan terus memainkan peranannya terhadap masyarakat dengan menyediakan wadah berita yang tepat meskipun menghadapi pelbagai cabaran.

Katanya, perubahan teknologi yang pesat juga memberi kesan kepada perniagaan lain, selain organisasi media.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan untuk menerima dan menyesuaikan diri dengan perubahan.

"Apa yang penting ialah kita semua berharap, tanpa mengira bidang yang kita ceburi atau kerja yang kita lakukan, agar kita mampu berdepan dengan perubahan sebegini," tegasnya.

Ketika tahun 2025 semakin menghampiri penghujungnya, Lau merakamkan penghargaan kepada semua kakitangan di bawah Kumpulan See Hua atas ketekunan, komitmen dan usaha mereka sepanjang tahun ini.

Beliau menggalakkan para kakitangan untuk menilai semula aspek-aspek yang belum dilaksanakan dengan cukup baik dan mengenal pasti cara untuk memperbaikinya sebagai persediaan menghadapi cabaran tahun 2026.

"Kita mesti menilai kembali apa yang telah kita lakukan dan melihat apa yang kita boleh memperbaiki, supaya kita lebih bersedia untuk menghadapi cabaran yang bakal datang," katanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-11-2025 12:45 PM | Show all posts
Dua cedera dalam kemalangan kereta, lori di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri
November 22, 2025, Sabtu - 4:34pm

BINTULU: Dua lelaki cedera dalam kemalangan sebuah kereta dan lori sarat muatan sisa kelapa sawit di hadapan sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri, awal pagi tadi.

Jurucakap Pasukan Alfa Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Samalaju berkata, sepasukan angggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong bergegas ke lokasi setelah menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu sekitar jam 5.50 pagi.

"Sejurus tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati berlaku kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori membawa muatan sisa kelapa sawit.

"Kedua-dua mangsa bagaimanapun didapati tidak berada di dalam kenderaan kerana sudah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba," ujarnya.

Pihak bomba katanya, turut dimaklumkan bahawa kedua-dua mangsa yang cedera sudah dihantar ke Hospital Bintulu bagi diberikan rawatan lanjut.

Setelah menjalankan pemeriksaan dan keadaan didapati selamat, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 6.34 pagi sebelum bertolak balik ke balai.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-11-2025 12:57 PM | Show all posts
Lelaki positif dadah ditahan di bandar Lawas
November 22, 2025, Sabtu - 4:44pm

LAWAS: Seorang lelaki ditahan selepas didapati positif dadah dalam satu operasi di bandar Lawas semalam.

Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah dalam operasi sekitar jam 3 petang.

“Pemeriksaan badan tiada menjumpai apa-apa barang salah.

“Namun, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, semakan kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai dua kesalahan lampau berkaitan kes dadah.

Kes disiasat mengikut seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-11-2025 12:58 PM | Show all posts
Kemalangan maut pekerja, JKKP keluar tiga notis larangan terhadap majikan
November 22, 2025, Sabtu - 4:59pm


KUCHING: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Sarawak mengeluarkan tiga notis larangan terhadap satu majikan selepas berlakunya kemalangan maut melibatkan seorang pekerja di sebuah 'batching plant' di kawasan Batu Kawa, semalam.

Menurut kenyataan Pejabat Pengarah JKKP Sarawak, pegawai penyiasat JKKP Sarawak segera turun ke lokasi dan mengeluarkan tiga notis larangan kepada majikan berkenaan.

“Ia bagi menghentikan semua kerja berkaitan serta-merta sehingga langkah keselamatan sewajarnya dilaksanakan.

“Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514),” katanya.

Menurutnya, JKKP menegaskan tindakan undang-undang akan diambil terhadap pihak yang didapati melanggar peruntukan akta tersebut.

Ujarnya, di bawah akta berkenaan, majikan yang sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM500,000.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.24 pagi semalam, mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 73 tahun, dilaporkan sedang menjalankan kerja pemindahan muatan simen kering dari lori tangki simen yang dipandunya.

Menurut siasatan awal, kejadian berlaku apabila mangsa naik ke atas lori tangki simen tersebut untuk membuka penutup 'manhole.'

Penutup tersebut tiba-tiba terpelanting ke udara sebelum menghentam kepala mangsa, menyebabkan beliau rebah di atas tangki.

Pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian kemudian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan lanjut.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-11-2025 12:59 PM | Show all posts
Lelaki miliki dadah ditahan dalam operasi IPD Meradong
November 22, 2025, Sabtu - 5:01pm

BINTANGOR: Seorang lelaki telah ditahan kerana disyaki memiliki dadah dalam operasi bersepadu di simpang Jalan Bakong-Meradong di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Merong berkata, penahanan lelaki tersebut dibuat sekitar jam 9.20 pagi ketika sekatan dan pemeriksaan jalan raya dilakukan oleh polis IPD Meradong.

“Lelaki berusia 31 tersebut dilihat dalam keadaan mencurigakan dan hasil pemeriksaan, pihak polis telah menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis Methamphetamine (syabu).

“Berikutan itu, suspek telah dibawa ke IPD Meradong dan seterusnya menjalani saringan ujian air kencing,” kata Tansli dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Tansli, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.

Namun demikian katanya, hasil semakan suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Tansli berkata, IPD Meradong memandang serius kesalahan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak berkompromi dengan gejala tersebut.

"Kita merayu masyarakat agar menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan dadah di daerah Meradong.

"Maklumat boleh disalurkan ke Balai Polis Bintangor di talian 084-693222," tegas Tansli lagi.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 23-11-2025 01:00 PM | Show all posts
80 kenderaan diperiksa dalam Ops Bersepadu IPD Meradong
November 22, 2025, Sabtu - 5:05pm

BINTANGOR: Sebanyak 80 kenderaan diperiksa dalam operasi pencegahan jenayah yang dilancarkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong, semalam.

Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Merong berkata, Ops Bersepadu IPD Meradong itu turut menyaksikan seramai 88 individu telah diperiksa.

“Hasil operasi tersebut sebanyak 13 keping saman telah dikeluarkan.

“Pada masa yang sama, satu tangkapan berkaitan kes dadah telah direkodkan.

“Antara lokasi yang menjadi tumpuan dalam operasi ini ialah Jalan Kelupu, Jalan Bakong, Taman Bintang, Kampung Melayu dan laluan masuk dari Sibu dan Sarikei,” katanya kepada media, hari ini.

Menurut Tansli, operasi yang bermula jam 8 pagi hingga 5 petang itu bertujuan membanteras jenayah, dadah, judi dan maksiat di lokasi berkenaan.

“Inisiatif ini juga untuk meningkatkan kehadiran pihak polis di lokasi berisiko.

“Pihak polis akan terus mempergiatkan usaha pencegahan demi keselamatan komuniti.

“Justeru, orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis jika ada aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing,” katanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 23-11-2025 01:01 PM | Show all posts
Program AADK tingkat kesedaran murid terhadap bahaya dadah
November 22, 2025, Sabtu - 5:07pm

SIBU: Program Institusi Pendidikan Bebas Dadah sempena Program Sekolahku Bebas Dadah dan Jenayah Peringkat Sekolah Tahun 2025 telah dianjurkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Penghulu Imban, Selangau pada Khamis lepas.

AADK Daerah Sibu dalam kenyataan di Facebook rasminya berkata, seramai 250 murid, guru dan kakitangan sekolah hadir bagi menjayakan program berkenaan.

"Program bertujuan meningkatkan kesedaran murid tentang bahaya penyalahgunaan dadah serta kepentingan pendidikan pencegahan sejak di bangku sekolah.

"Ia sekali gus diharap dapat mewujudkan persekitaran pendidikan yang selamat, sihat dan bebas daripada ancaman dadah," ujarnya.

Selain ceramah, murid-murid juga diberi pendedahan tentang kesan buruk penyalahgunaan dadah melalui mini pameran antidadah yang diadakan sepanjang program berlangsung.
Reply

Use magic Report

Post time 23-11-2025 08:15 PM | Show all posts
...

This post contains more resources

You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register

x

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 24-11-2025 08:18 AM | Show all posts
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

20-4-2026 08:04 AM GMT+8 , Processed in 0.958420 second(s), 35 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list