|
|
[Borneo]
Rumah Borak Borneo~Boleh bah, kalau kau
[Copy link]
|
|
|
26 peserta ikuti Kursus Asas Mengurus Koperasi Baharu
November 21, 2025, Jumaat - 8:42pm
SIBU: Seramai 26 peserta mengambil bahagian dalam Kursus Asas Mengurus Koperasi Baharu anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak yang diadakan di sini dari 18 hingga 19 November lalu.
Kursus tersebut menghimpunkan individu yang baru menubuhkan koperasi dalam tempoh satu hingga dua tahun, dengan matlamat memperkenalkan mereka kepada asas pengurusan, kaedah membuat keputusan, pengetahuan asas perniagaan serta pengenalan kepada elemen pendigitalan dalam koperasi.
Dua pensyarah kanan IKMa, Mohamad Suandi Mortadza dan Frank Meol Abdullah, berperanan sebagai tenaga pengajar utama sepanjang program dua hari itu.
Menurut Mohamad Suandi yang juga penyelaras program, penganjuran kursus ini diharap dapat membantu para peserta mempraktikkan ilmu dan kemahiran yang dipelajari bagi mengukuhkan pentadbiran serta operasi koperasi masing-masing.
Beliau turut berkata, program berkenaan merupakan kursus berjadual terakhir IKMa Zon Sarawak yang diadakan di Sibu bagi tahun 2025.
Katanya lagi, pihak IKMa berharap lebih ramai anggota koperasi akan terus mengambil peluang menyertai siri latihan yang dirancang untuk tahun 2026. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
120 murid Tahun Enam SK Encik Buyong sertai Perkhemahan Unit Beruniform
November 22, 2025, Sabtu - 9:09am
KUCHING: Seramai 120 murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Encik Buyong menyertai program Perkhemahan Unit Beruniform dengan tujuan memupuk semangat berpasukan, disiplin diri dan kemahiran asas.
Guru Besar SK Encik Buyong, Rosnah Posa berkata, kehadiran murid menujukkan kesungguhan yang tinggi dalam melaksanakan setiap tugasan dan aktiviti yang diberikan.
“Saya amat berbangga melihat kesungguhan anak-anak dalam melaksanakan semua aktiviti.
“Harapan saya program ini bukan sahaja memberi ilmu, tetapi juga menjadi pengalaman yang menyeronokkan untuk semua peserta,” katanya pada majlis penangguhan program itu di sini, baru-baru ini.
Beliau turut berharap agar program pada tahun hadapan dapat dirancang dengan lebih meriah lagi.
Terdahulu, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk asas ikatan dan simpulan, latihan pertolongan cemas asas serta masakan rimba yang dikendalikan guru-guru sekolah sebagai fasilitator.
Semua murid menunjukkan kesungguhan tinggi sepanjang melaksanakan tugasan program.
Majlis penangguhan turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada kumpulan yang mencatat prestasi terbaik sepanjang aktiviti.
Majlis itu juga menyaksikan penyerahan ‘banner’ daripada wakil Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) kepada wakil Persatuan Puteri Islam sebagai simbolik penyerahan tugas penyelaras utama program bagi tahun 2026.
Program berkenaan disifatkan berjaya mencapai objektif untuk melahirkan murid yang berdisiplin, berkemahiran dan holistik. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
25 pintu rumah pekerja di Jalan Sendayan Baru, Sibu Jaya musnah terbakar
November 22, 2025, Sabtu - 9:13am
SIBU: Seramai 28 penghuni rumah pekerja di Jalan Sendayan Baru, Sibu Jaya kehilangan tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran malam tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu, Andy Alie berkata, kebakaran membabitkan 25 pintu rumah pekerja jenis tidak kekal telah terbakar 100 peratus.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 9.20 malam.
Pasukan bomba menjalankan operasi mengawal dan memadam kebakaran rumah pekerja di di Jalan Sendayan Baru, Sibu Jaya, malam tadi.
Pasukan bomba menjalankan operasi mengawal dan memadam kebakaran rumah pekerja di di Jalan Sendayan Baru, Sibu Jaya, malam tadi.
“Seramai tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya dan tujuh anggota dari BBP Sibu Sentral bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian.
“Anggota pemadaman membentang 1 aliran 800 kaki , 2 nozel 1 cabang pembahagi sumber air dari jentera sehingga api berjaya padam sepenuhnya.
“Operasi memadam kebakaran tamat pada jam 11.30 malam, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,”ujarnya menerusi kenyataan hari ini. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Program OSC MIDS Daerah Kanowit 2025 berjaya himpunkan 150 peserta
November 22, 2025, Sabtu - 9:27am
KANOWIT: Program One Stop Committee (OSC) Bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Daerah Kanowit 2025 anjuran OSC MIDS Kanowit bersama Majlis Pembangunan Sosial Sarawak semalam berjaya menghimpunkan kira-kira 150 peserta di Dewan Serbaguna Lipus, Kanowit.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Perpaduan Dr Stephen William, wakil Pegawai Daerah Kanowit Casseylia Benet, ketua-ketua kaum serta penduduk rumah panjang sekitar Melipis dan Lipus. Program turut disertai pegawai dan anggota IPD Kanowit.
Siri ceramah pada Program One Stop Committee (OSC) Bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Daerah Kanowit 2025 di Dewan Serbaguna Lipus, Kanowit.
Siri ceramah pada Program One Stop Committee (OSC) Bagi Menangani Isu Dadah dan Substance (MIDS) Daerah Kanowit 2025 di Dewan Serbaguna Lipus, Kanowit.
Melalui siri ceramah oleh wakil PEMADAM, pegawai perubatan serta pegawai-pegawai IPD Kanowit, peserta diberi pendedahan mengenai pencegahan penyalahgunaan dadah, rawatan dan pemulihan penagihan, situasi semasa isu dadah di komuniti, kuasa menahan oleh orang awam serta peranan VSP dalam penyaluran maklumat jenayah.
Program yang berlangsung lancar ini bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap bahaya dadah, memaklumkan trend terkini penyalahgunaan, memperkasa penyaluran maklumat kepada AMANITA dan balai berhampiran, serta mengukuhkan pencegahan jenayah melalui VSP.
Polis Daerah Kanowit komited meneruskan usaha memupuk komuniti bebas dadah demi keselamatan dan kesejahteraan bersama. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Kesulitan mangsa kebakaran Rumah James Khalid di Sungai Semanok dapat perhatian Teresang Dayak Sarawak
November 22, 2025, Sabtu - 9:37am
SIBU: Kesulitan mangsa kebakaran Rumah James Khalid di Sungai Semanok, Jalan Pesisir Jepak-Kuala Tatau terus mendapat perhatian apabila Persatuan Kebajikan Masyarakat Iban Sibu (Teresang Dayak Sarawak) tampil menghulurkan bantuan.
Presidennya Robinson Corey berkata, sumbangan berupa barangan makanan harian itu dikumpulkan hasil kutipan ahli-ahli Teresang Dayak Sarawak bagi membantu meringankan beban mangsa yang kehilangan tempat tinggal dalam kejadian tersebut.
Penyerahan bantuan disempurnakan oleh Pengerusi Teresang Dayak Sarawak Bahagian Bintulu Dazrin Jubin kepada Tuai Rumah James pada Jumaat.
Dazrin turut diiringi tiga ahli persatuan sewaktu penyerahan itu.
Robinson berharap agar sumbangan tersebut dapat membantu mangsa meneruskan kehidupan harian sementara menunggu bantuan seterusnya.
"Kami turut menzahirkan harapan agar semua mangsa diberi ketabahan menghadapi dugaan tersebut," katanya.
Kebakaran yang berlaku sekitar jam 11 pagi pada 10 November lalu memusnahkan keseluruhan Rumah James sepanjang 20 pintu, namun semua 120 penghuni dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tiga lelaki didenda selepas mengaku salah jual rokok tidak patuhi peruntukan pembungkusan, pelabelan
November 20, 2025, Khamis - 8:40pm
SIBU: Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menjual produk merokok yang tidak mematuhi peruntukan pembungkusan dan pelabelan amaran kesihatan sebagaimana yang ditetapkan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Ketiga-tiga tertuduh yang mengaku bersalah, dijatuhkan hukuman denda masing-masing RM3,500 dan RM3,000 atau penjara empat dan tiga bulan, selain waran levi akan dikeluarkan atas kesalahan di bawah Seksyen 15(2)(a) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.
Mereka membuat pengakuan bersalah itu setelah pertuduhan dibaca dan diadili oleh Majistret Oon Kork Joon dan Majistret Romario Jonoi.
Mengikut fakta kes, kejadian berlaku pada bulan Julai di mana ketika itu Pasukan Penguatkuasaan iaitu Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dari Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu telah menjalankan Operasi Penguatkuasaan di Premis Makanan sekitar Bandar Sibu.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan dibawah Seksyen 15(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 iaitu Menjual Produk Tembakau yang tidak mematuhi peruntukan pembungkusan dan pelabelan amaran kesihatan sebagaimana yang ditetapkan.
Unit Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu seterusnya mengeluarkan Notis Memerintahkan Kehadiran Di Mahkamah (Notis di Bawah Seksyen 47) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 kepada tertuduh atas kesalahan dibawah Seksyen 15(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dimana ianya adalah kesalahan tidak boleh dikompaun.
Pegawai Penyiasat, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Nurhana Johari dan Chieng Mee Tang dari Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu seterusnya membuka kertas siasatan dan membuat siasatan susulan untuk Kesalahan dibawah Seksyen 15(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan mendaftarkan kes tersebut di Mahkamah Majistret Sibu setelah mendapat izin untuk mendakwa dari Timbalan Pendakwa Raya.
Kes telah dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Maswel Lenard Thomas, Khoo Ai Yuan dan Andy Yet Yew Huat dari Unit Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
Pegawai Pendakwa telah membuat pemberatan bagi kes ini dengan hujahan bahawa sabitan terhadap kes ini adalah mencerminkan keseriusan kesalahan dan kepentingan awam dalam kawalan produk tembakau.
Kedua, ia hendaklah berfungsi sebagai pencegah am kepada pengusaha perniagaan lain yang mungkin terdorong untuk melanggar kawalan penjualan dalam pembungkusan dan pelabelan produk tembakau demi keuntungan komersial.
Ketiga, ia hendaklah secara khusus menghalang tertuduh daripada mengulangi perbuatan ini dan keempat, ia hendaklah mempertahankan kepentingan awam dan menunjukkan bahawa pematuhan peraturan adalah wajib dan bukan pilihan. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Dua lelaki, dua wanita berdepan tuduhan edar dan miliki dadah
November 20, 2025, Khamis - 7:48pm
SIBU: Dua lelaki dan dua wanita dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dan dua pertuduhan memiliki dadah berbahaya termasuk syabu, pil ekstasi dan pil kuda, 3 September lepas.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh ketika prosiding kes di hadapan Majistret Romario Jonoi.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 Disember ini untuk sebutan lanjut kes sementara menunggu laporan kimia kes dan keempat-empat tertuduh diperintah ditahan reman lanjut di Penjara Pusat Sibu.
Bagi pertuduhan pertama, Wong, 48, dan Ting, 34, didakwa bersama mengedar 3,4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 14,372.78 gram (g) di sebuah rumah di Lorong Ulu Sungai Merah 31A2 pada 3 September 2025, kira-kira jam 11.10 pagi.
Untuk pertuduhan ini, mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, kedua-dua mereka turut didakwa memiliki 126.84g Nimetazepam dan 149.70g Ketamine pada tarikh, masa dan tempat yang sama, satu kesalahan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Wong turut berhadapan dengan satu pertuduhan mengedar 219.20g MDMA di sebuah rumah di Jalan Lilin pada 3 September 2025, kira-kira jam 10 pagi.
Untuk pertuduhan ini, dia didakwa melakukan kesahalan di bawah Seksyen 39B(1)(A) ADB 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2), akta sama.
Sementara itu, dua lagi tertuduh, Ming, 34, dan Kong, 27, didakwa bersama mengedar 2,168.74g Methamphetamine di sebuah kenderaan di hadapan rumah di Lorong Ulu Sungai Merah pada 3 September 2025, kira-kira jam 11.30 pagi.
Dua suspek wanita diiringi keluar setelah dihadapkan di Mahkamah Majistret Sibu, hari ini.
Dua suspek wanita diiringi keluar setelah dihadapkan di Mahkamah Majistret Sibu, hari ini.
Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Haris Danial Mohamed Hassan sementara Wong diwakili oleh Darren Ling manakala yang lain oleh Yap Hoi Leong.
Berdasarkan laporan media sebelum ini, pihak polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah di sini pada 3 September lepas dengan rampasan dadah bernilai RM479,506.12 dan sitaan harta bernilai RM387,534.20.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Saifullizan Ishak berkata, terdahulu sekitar jam 10 pagi hari berkenaan, seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun ditangkap hasil maklumat risikan di hadapan sebuah rumah di Jalan Lilin, Sibu.
Dengan berpandukan suspek tersebut katanya, polis telah merampas 100 biji pil disyaki dadah ekstasi di rumah tersebut dan turut memberkas seorang wanita tempatan berusia 34 tahun.
Katanya, polis kemudian pergi ke sebuah rumah di Lorong Ulu Sungai Merah, Sibu juga berpandukan suspek dan seterusnya merampas dadah disyaki MDMA, Nimetazepam dan Ketamine.
"Sejurus kemudian, polis telah menangkap seorang lagi lelaki tempatan berusia 34 tahun yang sedang menunggang motosikal dan pemboncengnya seorang wanita tempatan berusia 27 tahun, sekali gus turut merampas dadah disyaki syabu seberat 2,168.74 gram," ujarnya pada sidang media di Dewan Serba Guna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu.
Pihak polis juga telah menyita harta bernilai RM387,534.20 iaitu sebuah kereta Lexus RX 350, sebuah kereta Perodua Axia, wang tunai berjumlah RM34,796 dan barang kemas bernilai RM268,738.20.
Menurutnya, sindiket itu mula aktif sejak pertengahan tahun 2024 dan modus operandi mereka adalah mendapatkan bekalan dadah dari pembekal di Miri dengan menempah melalui WeChat.
Dadah tersebut kemudiannya dihantar dari Miri ke Sibu menggunakan perkhidmatan kiriman bas ekspres, selain menjadikan rumah sebagai stor penyimpanan dan pembungkusan semula dadah.
"Dadah yang ditempah oleh pelanggan melalui panggilan telefon, WhatsApp dan WeChat pula dihantar menggunakan penghantar dengan cara meletakkannya di lokasi tertentu di sekitar Sibu," jelasnya.
Dengan tangkapan itu katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki, 48, dan wanita, 34, positif Amphetamine/Methamphetamine/Ketamin/Benzo dan dua suspek lagi didapati negatif dadah. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tiga lelaki didenda kerana merokok di kawasan larangan merokok
November 20, 2025, Khamis - 1:32pm
KUCHING: Tiga lelaki masing-masing didenda oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah merokok di kawasan larangan merokok iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dan di sebuah premis makanan pada Mei lalu.
Majistret Ling Hui Chuan menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau tiga bulan penjara setiap seorang terhadap dua daripada lelaki berkenaan kerana merokok di LTAK.
Sementara Majistret Mason Jaro Lenya Barayan menjatuhkan hukuman denda RM500 atau lima bulan penjara terhadap seorang lagi lelaki yang mengaku bersalah merokok di sebuah kedai makanan di Kuching.
Menurut Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching, ketiga-tiga lelaki itu sebelum ini telah diberikan notis kesalahan dan diberi tempoh dua bulan untuk menyelesaikan kompaun mereka di mana-mana pejabat kesihatan.
Kesemua lelaki terbabit bagaimanapun gagal menghadirkan diri sehingga tamat tempoh dua bulan tersebut, menyebabkan kes telah difailkan di mahkamah untuk tindakan lanjut.
Kesalahan-kesalahan itu dilakukan mereka semasa Ops Rokok yang dijalankan oleh Pasukan Penguatkuasaan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching di sekitar Kuching pada bulan Mei.
Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa Mohd Fairos Ibrahim dari Unit Inspektorat dan Perundangan, Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching menggesa mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang sewajarnya bagi memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai, sambil menekankan kepentingan mematuhi Zon Larangan Merokok yang telah lama diwartakan.
Tegas beliau, hukuman itu bertujuan untuk mengingatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang yang digubal bagi menjaga kesihatan awam.
Dalam pada itu, individu yang telah dikeluarkan notis semasa operasi penguatkuasaan merokok dinasihatkan untuk menyelesaikan kompaun mereka di pejabat kesihatan terdekat dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengelakkan pendakwaan sebaik sahaja tarikh akhir pembayaran tamat. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Lelaki didakwa miliki 0.79 gram syabu, 16 Dis sebutan lanjut kes
November 20, 2025, Khamis - 11:15am
MIRI: Mahkamah Majistret menetapkan 16 Disember depan untuk sebutan lanjut kes seorang lelaki yang menghadapi pertuduhan memiliki dadah jenis syabu.
Manakala tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan RM2,500 berserta dua penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.
Penetapan tarikh itu dibuat Majistret Ashok Linggam selepas mendengar permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Syafiq Samry yang memohon tarikh baharu untuk sebutan lanjut sementara menunggu laporan kimia berhubung barang kes siap.
Tertuduh, Gavin Pui Chia Long, 33, dari Long Lama didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurut pertuduhan kes, tertuduh bukan sebagai seorang yang diberi kuasa di bawah ADB 1952, didapati memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine (syabu) seberat 0.79 gram.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.10 malam, 15 November lalu di sebuah premis hiburan di Pusat Bandar Baru Permyjaya di sini.
Tertuduh hadir tanpa diwakili peguam bela. |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|