CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
Author: Vellfire

[Borneo] Rumah Borak Borneo~Boleh bah, kalau kau

 Close [Copy link]
 Author| Post time 21-11-2025 10:35 AM | Show all posts
Ruslan lancar Manifesto GRS Lumadan
November 20, 2025, Khamis - 3:01pm

BEAUFORT: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam menggariskan lima teras bagi manifesto gabungan itu yang bertemakan 'Lumadan Maju, Rakyat Sejahtera' bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-17 Dewan Undangan Sabah (PRU17 Sabah).


Mengulas lanjut Ruslan berkata, manifesto berkenaan mengandungi misi dan visi untuk menjadikan Lumadan sebagai sebuah kawasan yang maju, makmur dan harmoni dalam semua aspek.


Jelasnya, antara langkah strategik yang terkandung termasuk, pemerkasaan pembangunan ekonomi, pendidikan dan modal insan, agama dan budaya, infrastruktur dan kemudahan asas serta pembangunan sosial masyarakat.


"Usaha di bawah manifesto ini adalah kesinambungan gerak kerja kita sebelum ini khususnya dalam aspek pembangunan yang lebih mapan untuk rakyat dalam semua segi.


"Pada masa sama, ia juga akan dijadikan sebagai garis panduan kita untuk terus memperkasa Lumadan jika diberi mandat selepas ini," katanya di Majlis Pelancaran Manifesto GRS Lumadan, kelmarin. Turut hadir semasa pelancaran itu ialah Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.


Ketika ditanya mengenai cabaran mendapatkan sokongan pengundi 18 tahun, Ruslan yang juga Naib Presiden PBS berkata, beliau yakin sokongan golongan ini akan memihak kepada GRS.


Ini kerana katanya, pihaknya telah membina 12 buah dewan terbuka yang boleh digunakan bukan saja untuk bersukan oleh golongan ini tetapi juga program sosial lainnya.


"Ketika ini anak muda bebas bersukan tanpa mengira keadaan cuaca dengan adanya dewan-dewan terbuka ini yang bukan saja untuk kemudahan sukan tetapi juga program sosial lainnya.


"Justeru, kemudahan ini adalah aspirasi anak muda selain pembangunan lainnya seperti ekonomi dan sebagainya yang akan kita bawa selepas diberi mandat pada PRU17 Sabah ini," katanya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-11-2025 10:35 AM | Show all posts
Jangan guna isu ‘murah’ untuk busukkan nama saya: Fairuz
November 20, 2025, Khamis - 3:03pm

KOTA BELUD: Isu ‘komisyen projek’ dengan mengaitkan nama yang mengaitkan nama Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pintasan Datuk Fairuz Renddan disifatkan sebagai publisiti murahan.

Fairuz yang bertanding sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 (PRU17 Sabah) berkata, ia adalah helah pihak yang busuk hati, tiada modal kempen dan pilih jalan mudah untuk ‘bunuh’ imej beliau dengan isu ‘murah’ seperti itu.

“Sudah kehabisan modal kempen pilihan raya kah, atau memang tidak ada isu yang mahu difokuskan dalam kempen masing-masing, hingga perlu ‘kotorkan’ nama saya.

"Saya tidak usik sesiapa dan saya bertanding atas tiket bebas kerana kehendak saya, saya masih mahu teruskan apa yang sudah saya mulakan untuk rakyat Pintasan khasnya," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurutnya, tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau adalah sebuah tuduhan tidak berasas dan palsu.

“Tuduhan yang mengatakan saya menggunakan kedudukan wakil rakyat sebagai perisai daripada siasatan dan pengawasan adalah tidak benar dan jelas palsu.

“Dakwaan ini sangat berat, busuk dan penuh dengan sentimen untuk memburukkan nama saya, apatah lagi selepas saya letak jawatan sebagai Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan Ketua Gagasan Rakyat Bahagian Pintasan, tidak ada sebarang bukti rasmi pun berkenaan isu yang mereka bangkitkan di laman sosial media ini," katanya.

Menurutnya, suasana kempen pilihan raya yang sihat adalah bukti kematangan politik dan jika ada pihak yang masih tidak mampu untuk merealisasikan budaya berpolitik secara sihat di musim kempen pilihan raya, maka itu adalah masalah dari pihak itu sendiri.

Katanya lagi, wang RM5,000 yang didakwa diterima daripada Albert Tei itu adalah wang sumbangan bakul makanan semasa pandemik COVID-19.

“Saya tidak ada masalah kalau dia mahu saya pulangkan wang itu.

“Semasa wang itu dimasukkan ke akaun Public Bank, ia dinyatakan sebagai sebuah sumbangan, atau bantuan untuk bayaran bakul makanan yang merupakan bantuan yang kita beri kepada rakyat ketika itu," katanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2025 10:36 AM | Show all posts
Thonny yakin menang besar DUN Api-Api
November 20, 2025, Khamis - 4:56pm

KOTA KINABALU: Tidak menguasai Bahasa Mandarin bukan penghalang kepada Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api, Thonny Chee untuk meraih kemenangan besar untuk kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 (PRU17 Sabah).

Thonny berkata, orang ramai jangan memandang rendah kepada masyarakat Cina di Api-Api kerana mereka fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.

"Saya bertutur dalam dua bahasa dan boleh menggunakan kelebihan ini untuk berkomunikasi dengan mereka.

"Saya masih dalam proses menguasai bahasa-bahasa ini, bukan saya tidak mahu belajar tetapi keadaan saya membesar itu, bapa saya selalu tiada di rumah dan emak saya dari suku etnik Rungus.

"Kampung saya semua orang Rungus, tidak ada orang Cina, jadi susahlah saya bercakap bahasa Mandarin," katanya semasa ditemui selepas sesi Tinjau Mesra di Jalan Pantai, di sini hari ini.

Beliau berkata, untuk kawasan DUN Api-Api jumlah pengundi Cina hanya 45 peratus sahaja dan selebihnya adalah bumiputera.

Thonny berkata, PH mempunyai rekod cemerlang di DUN Api-Api yang mana penyandang kerusi sebelum ini, Datuk Seri Panglima Christina Liew sudah melakukan yang terbaik sejak menjadi pembangkang lagi.

"Dengan rekod cemerlang ini dan pada masa sama, kita berperanan sebagai 'jambatan' kepada Putrajaya yang mana Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah Perdana Menteri," katanya.

Dalam pada itu katanya, cabaran besar untuk DUN Api-Api adalah kebanyakkan pengundinya tinggal di luar kawasan.

Oleh itu katanya, sekiranya beliau diberikan mandat selepas PRU17 Sabah. Semua pengundi DUN Api-Api yang tinggal di luar kawasan tidak akan dilupakan.

"Antara rungutan penduduk di sini adalah berkaitan dengan masalah jalan raya, jambatan kampung yang usang. Macam di Pulau Gaya dan sekitarnya, jambatan dan rumah mereka usang serta perlu dibaiki.

"Bandaraya ini juga boleh diindahkan lagi sebagai satu destinasi pelancongan. Kita juga mahu pemilik premis bekerjasama nanti untuk sama-sama mengindahkan kedai mengikut konsep yang lebih menarik," katanya.

Katanya, sebagai seorang yang berasal dari etnik Sino, beliau yakin mampu mengadakan kerjasama dengan pertubuhan Sino yang ada agar etnik itu diperkasakan lagi.

Menurutnya, hak sebagai etnik Sino juga akan diperjuangkan kerana etnik itu juga adalah Bumiputera Sabah.

Katanya, itu adalah identiti etnik Sino dan mustahil untuk etnik itu sendiri untuk memilih salah satu kaum sebagai identiti.

"Macam saya, ayah adalah orang Cina dan emak adalah Rungus, mustahil untuk memilih satu kaum saja, sebab itu akan menolak etnik atau kaum salah satu orang tua saya.

"Oleh itu, jalan terbaik adalah untuk memartabatkan etnik Sino itu sendiri, jadi apabila orang tanya apa bangsa kau, saya boleh cakap Sino," katanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2025 10:37 AM | Show all posts
Jelajah kebangsaan MCCC BSC perkukuh sinergi antara negeri
November 20, 2025, Khamis - 5:14pm

KOTA KINABALU: Jelajah kebangsaan anjuran Jawatankuasa Sektor Perniagaan (BSC) Dewan Perniagaan Malaysia–China (MCCC) dipimpin Pengerusinya yang juga Presiden MCCC Sabah, Datuk Dexter Lau, bertujuan menyatukan kekuatan setiap cawangan melalui integrasi sumber serantau dari perspektif kebangsaan agar semua cawangan mampu berfungsi sebagai nod penting dalam rangkaian nasional yang lebih tersusun dan berkesan.

Dexter bersama Timbalan Pengerusi BSC, Coral Chia, tiba di Kuantan bagi hentian kelapan jelajah kebangsaan dan mengadakan perbincangan dengan MCCC Cawangan Pahang mengenai usaha memperkukuh hubungan ekonomi antara Semenanjung Tengah dan Pantai Timur, memperluas kerjasama antara negeri serta membantu lebih banyak perusahaan berkembang ke peringkat nasional melalui platform BSC.

Beliau berkata, misi MCCC bukan sekadar membina hubungan, tetapi mengaktifkan sumber dan mewujudkan sinergi kebangsaan.

Dexter berkongsi tujuan dan hala tuju jelajah MCCC BSC bersama wakil MCCC Cawangan Pahang.
KONGSI: Dexter berkongsi tujuan dan hala tuju jelajah MCCC BSC bersama wakil MCCC Cawangan Pahang.
Katanya, sebuah cawangan mempunyai kekuatan terhad, namun apabila sepuluh cawangan saling melengkapi, negara memperoleh sinergi sebenar.

“Matlamat BSC ialah membolehkan sumber, maklumat dan rangkaian beredar secara bebas untuk meruntuhkan tembok tidak kelihatan antara wilayah.

“Semangat jelajah kebangsaan konsisten dengan prinsip MCCC, pusat prihatin terhadap akar umbi dan akar umbi turut serta dalam pusat,” katanya.

Beliau berkata, MCCC bukan pakatan longgar, tetapi dewan kebangsaan yang bersatu, ditadbir oleh satu perlembagaan dan satu sistem.

“Melalui dialog bersemuka, BSC dapat memahami secara lebih tepat landskap industri, peluang dan cabaran setiap cawangan.

“MCCC bukan sistem arahan, ia sistem jambatan, tugas kita membawa suara tempatan ke peringkat pusat dan menyalurkan sumber kebangsaan kembali ke akar umbi.

“Inilah yang menjadikan sebuah dewan bermakna, mesra dan berorientasikan tindakan,” katanya.

Tambahnya, antara tujuan utama jelajah kebangsaan BSC ialah mempromosikan desentralisasi yang sesuai, agar platform kebangsaan dibina dan dimiliki bersama oleh semua cawangan.

Beliau menggesa Cawangan Pahang supaya menamakan dua wakil ke BSC Kebangsaan iaitu langkah yang digambarkan sebagai pemindahan kuasa penyertaan yang bermakna bagi membuka akses kepada maklumat, saluran kerjasama dan peluang perniagaan.

Menurutnya, lawatan terdahulu ke Sarawak, Terengganu dan Perak menunjukkan hasil kukuh apabila cawangan-cawangan berkenaan melantik wakil mereka dan kerjasama antara negeri mula terbentuk secara rasmi.

“Pengalaman turun padang melawat dan mendengar sendiri aspirasi negeri-negeri di seluruh negara diyakini membantu merapatkan jurang komunikasi yang wujud sebelum ini antara Pusat dan beberapa cawangan.

“Kekuatan terbesar MCCC terletak pada cawangannya iaitu berakar umbi di setiap negeri, rapat dengan kerajaan tempatan, persatuan klan dan komuniti perniagaan. Itulah kuasa sebenar kita,” katanya.

Dexter berharap BSC berkembang menjadi platform hidup yang membolehkan ahli dari seluruh negara berhubung, bekerjasama dan bertukar sumber secara bebas.

“Apabila platform menjadi hidup, rangkaian turut hidup dan peluang perniagaan hadir secara semula jadi.

“BSC kini rasmi dibuka untuk perniagaan, kami mengalu-alukan setiap cawangan menyertai keluarga besar ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden MCCC Pahang, Datuk Simon Wong menyokong penuh lawatan iyi dan memaklumkan keberanian Dexter bersuara di peringkat kebangsaan mencerminkan sentimen akar umbi di seluruh negara dan memberikan dorongan yang amat diperlukan kepada Pahang.

Turut hadir dalam mesyuarat itu ialah Timbalan Presiden Tay Yap Seng, Naib Presiden Wee Kiat Siang, Timbalan Bendahari Saw Meng Sun, Timbalan Pengarah Perdagangan Lim Chee Wye, serta ahli Tan Boon Chan, Liau Thiam Hee, Tan Wee Khoon, Liau Thiam Guan dan Setiausaha Eksekutif Wong yang mewakili kepimpinan serta komuniti perniagaan Cawangan Pahang.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2025 10:41 AM | Show all posts
Teras utama manifesto GRS menepati konteks pembangunan rakyat
November 20, 2025, Khamis - 6:39pm

PUTATAN: Empat teras utama dalam manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertepatan dengan konteks pembangunan dan peningkatan tahap sosial rakyat Sabah khususnya di daerah ini.

Calon GRS kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, kesinambungan empat teras utama GRS iaitu keutamaan kepada Sabah (Sabah First), membawa Sabah melangkah ke hadapan (Sabah Forward), Sabah maju dan jaya (Sabah Prosper) dan Sabah bersatu hati (Sabah United) mampu meyakini para pengundi.

Menurutnya, berdasarkan empat teras utama itu, GRS wajar diberi kredit kerana menyediakan tawaran yang lebih relevan dan sewajarnya kepada para pengundi.

Katanya, ia sekali gus memperlihatkan keperihatinan Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan barisan kepimpinan GRS mampu menawarkan elemen yang menepati citarasa masyarakat setempat serta menambah nilai prestasi kerajaan GRS.

Beliau turut melihat, teras utama dalam manifesto GRS sinonim dengan pengundi di DUN Tanjung Keramat.

Warga Tanjung Keramat menyambut mesra dan bersalaman dengan Shah Alfie semasa program itu.
MESRA: Warga Tanjung Keramat menyambut mesra dan bersalaman dengan Shah Alfie semasa program itu.
"Ini bahkan bersesuaian dengan tiga aspirasi yang saya bawa bagi DUN ini iaitu aspirasi meningkatkan kualiti hidup masyarakat, aspirasi membangunkan sumber manusia berasaskan ilmu dan memperkasa belia lestari," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program walkabout dan ziarah komuniti di Taman Pantai Lok Kawi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shah Alfie menyifatkan program-program kempen yang dijalankan sempena Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) adalah satu pendekatan terbaik untuk lebih mengenali para pengundi.

Tambahnya, meskipun terikat dengan jadual kempen yang padat, namun usaha itu mampu menjadi tunjang utama untuk mendekati rakyat selain mempromosikan aspirasi GRS ke peringkat akar umbi.

"Ini satu pendekatan yang amat efisyen selain dapat mengenali mereka secara lebih rapat lagi.

"Berbekalkan pengalaman sebagai Pegawai Khas Parlimen Putatan dan DUN Tanjung Keramat dahulu, ia memainkan peranan yang amat besar untuk saya dan jentera bergerak secara lebih efisyen dalam menyantuni para pengundi di sini," jelasnya.

Hadir sama, Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Keramat, Ummar Ariff Abu Bakar dan rombongan jentera GRS Tanjung Keramat.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2025 10:41 AM | Show all posts
Pembangunan, kesejahteraan masyarakat Bandau perlu seimbang
November 20, 2025, Khamis - 8:40pm

KOTA MARUDU: Aspek kebajikan dan kesejahteraan komuniti tidak dipinggirkan Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, Datuk Redonah Bahanda.

Katanya, selain memastikan pembangunan kawasan Bandau diperkasa, kedua-dua aspek itu penting dan menjadi keutamaan agar masyarakat kawasan itu terus terbela.

Menurutnya, menerusi Program Ziarah Kasih ia memberi fokus kepada pendekatan menyantuni rakyat di peringkat akar umbi melalui lawatan kampung ke kampung bagi mendengar keperluan serta suara masyarakat secara langsung.

“Pimpinan mesti sentiasa dekat dengan rakyat. Ziarah seperti ini bukan hanya ketika kempen, tetapi adalah budaya kita untuk bersama masyarakat dalam setiap keadaan,” katanya.

Dalam ziarah ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bintasan Laut, Redonah turut menghadiri kenduri 40 Hari Allahyarham Salomah Asik, isteri kepada Ajim Awang.

Selain itu katanya, program itu akan diteruskan ke beberapa kampung lain dalam tempoh kempen bagi memastikan setiap suara rakyat Bandau diberi perhatian sewajarnya.
Reply

Use magic Report

Follow Us
 Author| Post time 21-11-2025 10:41 AM | Show all posts
Thonny pemimpin berjiwa rakyat, harapan baharu DUN Api-Api
November 20, 2025, Khamis - 10:44pm

KOTA KINABALU: Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api, Thonny Chee semakin diterima rakyat.

Beliau dikenali dengan sifat keprihatinan, kerendahan hati dan kesungguhan membantu rakyat.

Beliau juga menjadi simbol kepimpinan generasi baharu yang dekat dengan denyut nadi masyarakat.

Thonny tegas bahawa seorang pemimpin tidak boleh hanya hadir ketika keadaan selesa, tetapi mesti berada di sisi rakyat ketika mereka paling memerlukan.

Prinsip inilah yang menjadikannya disenangi masyarakat sebagai pemimpin yang benar-benar turun padang.

Beliau memberikan jaminan, di bawah pengawasannya, pembangunan fizikal seperti jalan akan bertambah lebih baik, sistem perparitan efisien dan kemudahan komuniti inklusif diberi perhatian.

Selain itu, Thonny turut tumpu kepada pembangunan ekonomi rakyat melalui program keusahawanan, latihan kemahiran dan inisiatif komuniti yang membantu peniaga kecil serta belia usahawan menjana pendapatan sendiri.

Baginya, pendidikan adalah kunci. Beliau menegaskan bahawa masa depan Api-Api terletak di tangan anak muda yang berilmu, berdisiplin dan berwawasan.

Atas dasar itu, Thonny aktif menganjur program motivasi, sumbangan pendidikan serta aktiviti kemahiran kepimpinan bagi belia.

Keikhlasan, kesungguhan dan semangat berkhidmat yang ditunjukkan oleh Thonny membuktikan bahawa kepimpinan berjiwa rakyat masih subur di Sabah.

Beliau bukan sahaja dilihat sebagai pemimpin yang dinamik, tetapi juga sebagai sahabat dan pelindung kepada masyarakat.

Dengan visi yang jelas dan semangat perjuangan yang tinggi, Thonny terus melangkah ke hadapan demi membawa perubahan ke arah masa depan yang lebih makmur, maju dan harmoni bagi Api-Api.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2025 10:43 AM | Show all posts
Sudah sampai masanya anak muda pimpin perjuangan politik – Nazri Aziz
November 21, 2025, Jumaat - 8:45am

TAWAU: Kehadiran ramai golongan muda pada program ceramah Barisan Nasional (BN) di sini semalam membuktikan sokongan generasi baharu terhadap parti itu masih kukuh, sekali gus menepis tanggapan bahawa BN semakin jauh daripada hati anak muda.

Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas merangkap bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, berkata kehadiran itu menunjukkan bahawa anak muda bukan sahaja mengenali BN, malah bersemangat bersama parti dalam perjuangan politik hari ini.

Menurutnya, kesinambungan politik hanya mampu dipertahankan sekiranya lebih ramai anak muda diberi ruang mengetuai barisan kepimpinan.

“Ramai orang muda datang malam ini. Kalau orang kata anak muda tak kenal BN, tak sokong BN, itu tidak betul.

“Kita mesti ramaikan orang muda kerana mereka ini penyambung perjuangan. Yang tua akan pergi, yang muda akan datang,” katanya ketika ditemui selepas ceramah berkenaan di Kampung Batu Payung, di sini.

Nazri menegaskan bahawa budaya politik hari ini menuntut pembaharuan dan pendekatan lebih segar, justeru BN perlu terus membuka peluang kepada muka baharu.

“Saya sendiri umur 36 sudah berada dalam kerajaan. Jadi kenapa anak muda hari ini tidak boleh? Sudah 40 tahun berlalu, pendekatan politik pun berbeza. Kita perlu pembaharuan dan pimpinan baharu,” katanya.

Mengulas perkembangan Tawau, Nazri berkata daerah itu mengalami perubahan ketara berbanding ketika beliau mula mengenalinya empat dekad lalu.

“Kalau bandingkan Tawau 40 tahun lalu dengan sekarang, memang banyak perubahan. Dan kita kena ingat, sebahagian besar tempoh itu dipimpin pemimpin BN,” katanya.

Beliau yakin kestabilan politik Sabah akan membuka lebih banyak ruang pembangunan, terutama jika generasi muda berperanan lebih besar dalam pentadbiran negeri.

Sementara itu, Nazri menolak slogan ‘Sabah for Sabahan’ yang didakwanya bercanggah dengan semangat perpaduan negara.

“Saya tidak setuju. Ini bercanggah dengan undang-undang dan boleh memecahbelahkan negara. Kita orang Sabah ramai di Semenanjung.

“Kalau kita kata Sabah untuk Sabah, maknanya kita pemimpin yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata, slogan itu tidak sepatutnya digalakkan kerana hanya menimbulkan jurang antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah Ke-17, BN mengetengahkan 80 peratus calon muda dan muka baharu sebagai komitmen parti memperkukuh pembaharuan.

Ceramah itu turut dihadiri calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Dr Elmiariezan Ardan, bersama penyokong termasuk ramai anak muda.

Nazri menegaskan parti perlu berani mengangkat kepimpinan baharu untuk memastikan perjuangan politik terus relevan.

“Kita mesti beri ruang kepada orang muda. Masa depan politik ini milik mereka,” katanya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-11-2025 10:43 AM | Show all posts
GRS rancang bandar baharu di Tawau jika terus diberi mandat - Nizam
November 21, 2025, Jumaat - 9:38am

TAWAU: Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas dijangka menyaksikan pembangunan sebuah bandar baharu sekiranya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya kali ini.

Calon GRS merangkap Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata tapak untuk projek bandar baharu itu telah dikenal pasti di kawasan Apas, dan pihaknya akan merangka pelan pembangunan dengan kerjasama pihak berkaitan.

Katanya, ia dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi, membuka peluang pekerjaan serta menyediakan kemudahan moden kepada penduduk setempat.

“Kita sudah mengenal pasti satu kawasan untuk dijadikan bandar baharu. Projek ini bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi turut memberi impak kepada pembangunan sosial, pendidikan dan ekonomi penduduk Tawau,” katanya selepas menyantuni penjaja di Tamu Mingguan Taman Sawit Balung, semalam.

Nizam berkata, pembangunan bandar baharu itu akan melibatkan kerjasama strategik bersama Kementerian Belia dan Sukan bagi membina kompleks mini sukan untuk penduduk khususnya golongan muda di kawasan DUN Apas.

Selain itu, beliau juga menjelaskan bahawa cadangan untuk mewujudkan fakulti baharu di Universiti Malaysia Sabah (UMS) adalah sebahagian daripada usaha menjadikan bandar baharu itu sebagai pusat pendidikan dan latihan yang seiring dengan potensi ekonomi tempatan.

“Tawau terkenal dengan sektor pertanian, perikanan dan agrokultur. Oleh itu, fakulti yang akan diwujudkan kelak akan menumpukan kepada bidang yang bersesuaian dengan potensi ini.

“Selain itu, ada cadangan untuk menubuhkan fakulti pengajian Islam memandangkan majoriti penduduk di sini beragama Islam,” katanya.

Beliau menambah bahawa usaha untuk pembangunan bandar baharu ini turut merangkumi projek perumahan rakyat (PPR) bagi menampung keperluan penduduk yang tinggal di pesisir pantai, dengan anggaran antara 500 hingga 1,000 unit.

“Cadangan ini telah dikemukakan ke peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan, dan sedang menunggu kelulusan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Ekonomi,” katanya.

Menurutnya, bandar baharu itu juga seiring dengan pelaksanaan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang menumpukan pembangunan sektor ekonomi biru, pelancongan, industri, serta peluang pekerjaan untuk belia tempatan.

“Jika GRS terus diberi mandat, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan akan memastikan projek ini dapat direalisasikan dengan lebih cepat dan berkesan,” katanya.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas kelulusan menaik taraf Lapangan Terbang Tawau kepada standard antarabangsa, yang akan memberi limpahan ekonomi besar kepada penduduk melalui peningkatan penerbangan domestik dan antarabangsa.

“Bila lapangan terbang dinaik taraf, lebih banyak penerbangan antarabangsa dapat mendarat di Tawau.

“Ini akan membuka peluang pelancongan dan perniagaan baharu yang memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat,” katanya.

Mengulas mengenai strategi kempen, Nizam menekankan bahawa pendekatan beliau untuk turun padang dan mendekati rakyat akan diteruskan setiap minggu, bukan hanya ketika musim pilihan raya.

“Sejak pertama kali bertanding pada 2018, saya tidak pernah berhenti turun padang. Ini bukan sekadar kempen pilihan raya, tetapi amanah sebagai wakil rakyat untuk membantu dan berada dekat dengan rakyat,” katanya.

Beliau yakin rekod perkhidmatan yang konsisten, perancangan pembangunan bandar baharu, serta usaha meningkatkan ekonomi dan pendidikan di Tawau akan meyakinkan pengundi untuk terus memberi mandat kepada GRS pada 29 haribulan ini.

“Ini adalah peluang untuk kita membawa perubahan nyata kepada Tawau, menjadikan kawasan DUN Apas lebih maju dan memberi manfaat kepada seluruh penduduk,” katanya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2025 10:46 AM | Show all posts
Skuad Kasih Sayang Pergerakan Wanita PBB Cawangan Machan santuni tiga penduduk di Kanowit
November 20, 2025, Khamis - 10:36am

KANOWIT: Skuad Kasih Sayang Pergerakan Wanita PBB Cawangan Machan menyantuni tiga penduduk di sini melalui program ziarah, baru-baru ini.

Pasukan itu menyumbangkan sebuah kerusi roda kepada Caroline Tibu yang penghidap sindrom Down dari Rumah Tibu, Nanga Bukong bagi membantu pergerakan hariannya.

Samsudin Sani yang kehilangan kedua-dua kakinya akibat kencing manis dan bapa mentuanya Nyambong Tamba yang uzur kerana faktor usia, juga menerima sumbangan.

Caroline menerima sumbangan kerusi roda daripada Skuad Kasih Sayang Pergerakan Wanita PBB Cawangan Machan.
Caroline menerima sumbangan kerusi roda daripada Skuad Kasih Sayang Pergerakan Wanita PBB Cawangan Machan.
Kedua-duanya berasal dari rumah panjang Simpang Jagoi/Lesih.

Setiausaha Pergerakan Wanita PBB Cawangan Machan Temenggung Madeline Bembang Lanting berkata pihaknya sebak melihat keadaan Samsudin yang kini tidak mampu bekerja.

Katanya, Samsudin bergantung sepenuhnya kepada isterinya untuk menyara keluarga termasuk lima anak masih bersekolah, selain menjaga ibu bapa yang uzur.

Majlis penyerahan bantuan di kedua-dua rumah panjang itu disempurnakan Bendahari Pergerakan Wanita PBB Cawangan Machan Kaunselor Belala Empawie.

Beliau mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan Allan Siden Gramong serta Ketua Wanita PBB Cawangan Machan Datin Sri Dato Catherine Gramong.

Program berkenaan turut disertai Exco Pergerakan Wanita PBB Cawangan Machan bersama wakil Ranting Machan, Ranting Bukong dan Ranting Germai.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2025 10:47 AM | Show all posts
Polis gempur sarang penagih dadah di Kelupu, 15 individu ditangkap
November 20, 2025, Khamis - 11:08am

BINTANGOR: Serbuan pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong terhadap satu lokasi kawasan hutan yang dipercayai sarang penagih dadah di Jalan Hing Kwong, Kelupu, dekat sini, telah membawa kepada penangkapan 15 individu.

Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, operasi tersebut telah dilancarkan pada jam 11.30 pagi Rabu.

“Hasil intipan dan serbuan tersebut, pihak polis telah menahan 14 lelaki warga tempatan dan seorang warga Indonesia.

“Kesemua yang ditahan tersebut adalah berusia dalam lingkungan 19 hingga 40 tahun.

Lokasi  sarang penagih dadah di Jalan Hing Kwong, Kelupu, Bintangor yang telah diserbu oleh pihak polis. – Gambar IPD Meradong
Lokasi sarang penagih dadah di Jalan Hing Kwong, Kelupu, Bintangor yang telah diserbu oleh pihak polis. – Gambar IPD Meradong
“Hasil ujian air kencing telah mendapati 13 orang telah positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine, manakala seorang lagi negatif,” katanya kepada media, hari ini.

Menurut Tansli, lelaki yang negatif dadah dilepaskan, manakala yang lain telah ditahan bagi proses siasatan.

“Hasil semakan rekod lampau, pihak polis telah mendapati tujuh orang yang ditangkap pernah ditahan atas kesalahan yang sama.

“Kes ini telah disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.

“Operasi sebegini akan diteruskan dengan lebih giat dan diperhebatkan lagi bagi mengekang dan membendung gejala dadah di daerah Meradong dan pihak polis ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang undang dan dadah serta menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak polis di talian 084-693222, “ tegasnya lagi.

Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2025 10:48 AM | Show all posts
Enam premis makanan di Sibu kena notis amaran kebersihan
November 20, 2025, Khamis - 11:19am

SIBU: Enam premis makanan di sekitar Jalan Cross, Jalan Kampung Nyabor, Jalan Hua Kiew dan Jalan Keranji telah dikenakan notis amaran kebersihan oleh Unit Makanan, Bahagian Kesihatan Awam Majlis Perbandaran Sibu (MPS), semalam.

Semua premis terlibat diarahkan melakukan pembersihan serta memperbaiki tahap sanitasi dalam tempoh 14 hari.

Dua premis turut diarahkan melupuskan peralatan dapur yang usang.   

Selain itu, sebuah premis makanan turut dikompaun RM100 kerana melakukan aktiviti memasak di kaki lima.  

Pemeriksaan diketuai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan Awam, Persekitaran dan Perkhidmatan Perbandaran MPS Kaunselor Yiing Sy Huat disertai ahli majlis MPS, kakitangan dan pegawai penguatkuasa MPS serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, pegawai KKM yang menyertai pemeriksaan tersebut memberikan pendidikan kesihatan kepada pengendali dan pekerja makanan bagi meningkatkan kesedaran kepentingan kebersihan makanan.  

MPS memaklumkan bahawa pemeriksaan susulan akan dijalankan bagi memastikan semua premis mematuhi syarat kebersihan dan keselamatan makanan seperti ditetapkan.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2025 10:48 AM | Show all posts
JPKS adakan kunjungan hormat ke atas TPM Fadillah
November 20, 2025, Khamis - 11:50am

SIBU: Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Sekuau (JPKS) mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof di Parlimen, semalam.

Deligasi tersebut diketuai oleh Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) (kawasan Sekuau dan Ulu Oya) Kaunselor Henry Kanyan Vincent Rawing dan disertai oleh Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta serta beberapa orang tuai rumah dari kawasan Sekuau.

Henry Kanyan berkata, kunjungan tersebut bagi membincangkan perkembangan pelaksanaan projek-projek rakyat yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri semasa lawatan beliau ke Sekuau pada 17 Mei lalu.

“Antara projek utama yang dibincangkan termasuk pembinaan sebuah dewan baharu bernilai RM1.3 juta, kerja-kerja pendawaian semula rumah panjang lama yang belum pernah dinaik taraf, serta bantuan geran projek kecil luar bandar (MRP) sebanyak RM20,000 kepada setiap rumah panjang berdaftar serta mempunyai Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sah," jelasnya.

Fadillah (tiga kanan), Henry Kanyan (dua kanan), Edwin (tiga kiri) merakam kenangan di Parlimen semalam.
Fadillah (tiga kanan), Henry Kanyan (dua kanan), Edwin (tiga kiri) merakam kenangan di Parlimen semalam.
Katanya, isu paling penting yang dibawa kepada Timbalan Perdana Menteri adalah berhubung status tanah Skim Penempatan Semula Sekuau yang merupakan tanah milik Kerajaan Persekutuan.

“Selagi status tanah ini tidak diputuskan sama ada diserahkan kepada Kerajaan Sarawak atau kekal di bawah Kerajaan Persekutuan, ia akan memberi kesan terhadap pelaksanaan mana-mana pembangunan di kawasan Sekuau.

“Tanah berkenaan merupakan kawasan skim penempatan semula 'resettlement scheme' (RASCOM) dan kini memerlukan penyelarasan semula bagi memastikan pembangunan dapat dilaksanakan,”ujarnya.

Selain isu tanah, katanya, pihaknya turut membangkitkan beberapa projek lain termasuk pembinaan Balai Polis Stapang, cadangan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di persimpangan Sekuau, serta potensi pembangunan industri pertanian yang dapat memberi manfaat kepada penduduk Sekuau, Ulu Oya dan Pakoh.

“Hasil perbincangan kami sangat positif dengan Timbalan Perdana Menteri mengarahkan beberapa agensi berkaitan untuk bekerjasama rapat dengan JPKS serta wakil rakyat kawasan Selangau dan Tamin bagi memantau dan mempercepatkan pelaksanaan projek yang telah diumumkan.

“Ini adalah pertemuan kali ketiga kami dengan Timbalan Perdana Menteri berhubung pembangunan Sekuau. Harapan kami, semua pengumuman dapat dilaksanakan mengikut perancangan,” jelasnya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2025 10:49 AM | Show all posts
Lelaki cedera dalam kemalangan dekat klinik di Jalan Saradise
November 20, 2025, Khamis - 1:29pm

KUCHING: Seorang lelaki cedera dalam kemalangan jalan raya yang berlaku berhampiran sebuah klinik di Jalan Saradise, malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.13 malam.

Sejurus itu katanya, anggota dari BBP Tabuan Jaya dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.

“Setibanya di tempat kejadian, pihak bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah kenderaan dan mangsa telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan penyelamat tiba.

“Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan mengalami kecederaan ringan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambahnya, mangsa diserahkan kepada petugas ambulans KKM untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan pada jam 9.44 malam setelah memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2025 10:50 AM | Show all posts
Maritim Malaysia tahan bot penumpang disyaki tidak lapor pertukaran nakhoda
November 20, 2025, Khamis - 1:41pm

BINTULU: Sebuah bot penumpang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu susulan disyaki tidak melaporkan kepada pegawai pelabuhan tentang pertukaran nakhoda.

Pengarah Zon Maritim Bintulu Kapten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot tersebut ditahan pada kedudukan 1.5 batu nautika barat laut muara Sungai Kemena di sini, petang Rabu.

Katanya, penahanan itu dilakukan oleh bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan rondaan Ops Permai 01/2019 dan Ops Tiris 3.0 semasa bot penumpang berwarna putih tersebut sedang belayar menuju ke muara Sungai Kemena.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati bot tersebut dikendalikan oleh dua kru warga tempatan masing-msing berumur 22 dan 50 tahun," ujarnya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Kru bot penumpang yang ditahan untuk tindakan lanjut.
Kru bot penumpang yang ditahan untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, bot tersebut disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 477 (2) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu tidak melaporkan kepada pegawai pelabuhan tentang pertukaran nakhoda yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda atau kompaun.

"Bot berserta kru yang telah ditahan itu diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut," tambahnya.

Tegasnya, Maritim Malaysia mengingatkan agar semua komuniti maritim sentiasa mematuhi segala peraturan atau undang-undang serta mengamalkan prosedur keselamatan semasa ke laut bagi mengelak dan mengurangkan risiko berlakunya insiden yang tidak diingini.

Katanya, sebarang maklumat, aduan serta insiden kecemasan di laut boleh dilaporkan ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) untuk maklum balas segera.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2025 10:50 AM | Show all posts
Kemudahan di premis BSMM Bintulu siap dinaik taraf
November 20, 2025, Khamis - 1:46pm

BINTULU: Kemudahan gelanggang badminton baharu, kawasan parkir dan tingkap gelongsor di sekitar premis Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Bintulu yang telah siap dinaik taraf akan membantu operasi pertubuhan tersebut dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang berkata, projek naik taraf di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Batu itu amat penting untuk kakitangan pertubuhan tersebut.

Katanya, BSMM bukan sahaja memainkan peranan dalam tindak balas kemanusiaan semasa kecemasan bahkan berperanan memberi latihan pertolongan cemas dan pendidikan berasaskan sekolah menjadikannya sebagai organisasi barisan hadapan penting di Bintulu.

"Kemudahan yang semakin usang di bangunan ini menjejaskan kecekapan menyelamat kakitangannya serta mengehadkan keupayaan untuk melatih sukarelawan dalam respons awal untuk tugas menyelamat," katanya.

Pang (tiga kanan) mendengar penerangan mengenai penyiapan projek naik taraf gelanggang badminton baharu BSMM Cabang Bintulu hari ini.
Pang (tiga kanan) mendengar penerangan mengenai penyiapan projek naik taraf gelanggang badminton baharu BSMM Cabang Bintulu hari ini.
Beliau berkata demikian semasa lawatan ringkas dan penyerahan rasmi projek tersebut oleh agensi kerajaan di BSMM Cabang Bintulu hari ini.

Begitupun katanya, dengan menyokong organisasi seperti ini dan menambah baik kemudahannya akan memastikan sukarelawan, pelatih dan semua pengguna mempunyai persekitaran yang lebih kondusif untuk belajar tentang ilmu kecemasan dan berkhidmat kepada komuniti.

"Saya berharap naik taraf ini akan mengukuhkan operasi BSMM dan membawa impak positif kepada komuniti Bintulu," ujarnya.
Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


 Author| Post time 21-11-2025 10:50 AM | Show all posts
PDP Marudi tidak sokong tindakan ahli ke Sabah berbaju GPS
November 20, 2025, Khamis - 2:17pm

MIRI: Parti Demokratik Progresif (PDP) Bahagian Marudi menegaskan bahawa ia sama sekali tidak terlibat dan tidak menyokong tindakan seorang ahlinya yang bertindak pergi ke Sabah pada hari penamaan calon pilihan raya negeri sambil memakai baju berlogo Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan lambang parti.

Pengerusinya Datuk Dr Penguang Manggil berkata, mereka terkejut apabila video lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai 'Datuk' dari PDP Marudi tular sedangkan tindakannya tidak pernah dirujuk atau dipersetujui parti.

“Saya tegaskan bahawa PDP Marudi tidak menyokong perbuatannya itu, dia bertindak sendiri dan tidak mewakili pandangan atau pendirian parti,” katanya kepada Utusan Borneo.

Beliau menambah bahawa PDP sebagai parti komponen GPS kekal teguh menyokong kepimpinan Premier Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Pendirian GPS adalah pendirian PDP.

“Tindakan Ah Sio (‘Datuk’ Kho) ke Sabah dibuat tanpa pengetahuan atau persetujuan saya sebagai Pengerusi PDP N.76 Marudi dan tanpa merujuk kepimpinan parti yang diketuai Presiden kami, Datuk Seri Tiong King Sing,” ujar beliau lanjut.

Menurut Penguang, beliau telah menasihati individu itu agar tidak mencampuri atau menyebelahi mana-mana pihak dalam politik Sabah kerana ia bertentangan dengan prinsip kepimpinan PDP dan GPS.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan, Kesihatan Awam dan Kerajaan Tempatan berkata, pada hari kejadian tumpuan seharusnya diberikan kepada pelancaran projek mega Miri-Marudi-Mulu-Long Panai-Long Lama (MMMLL) di Marudi oleh Premier, iaitu projek jalan raya sepanjang 142 kilometer bernilai RM3.8 bilion yang bakal memberi manfaat kepada hampir 75,000 penduduk Baram.

Justeru, tindakan ahli PDP Marudi terbabit telah menimbulkan persoalan di Sarawak serta Sabah dan parti kini meneliti tindakan disiplin terhadapnya.

Dalam video berkenaan, individu tersebut mendakwa hadir sebagai rakan GRS untuk membantu kempen namun kepimpinan PDP memandang serius perbuatan tidak berdisiplin itu.

Timbalan Presiden PDP Datuk Henry Harry Jinep menegaskan, GPS tidak terlibat dalam kempen pilihan raya negeri Sabah dan mana-mana ahli komponen yang melanggar arahan akan dikenakan tindakan disiplin.

Beliau berkata, individu dari Marudi itu bertindak sepenuhnya atas inisiatif sendiri tanpa sebarang nasihat, arahan atau maklumat daripada parti.

Majlis tertinggi PDP dijangka membincangkan perkara itu sebelum jawatankuasa disiplin menentukan tindakan seterusnya.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2025 10:50 AM | Show all posts
Mangsa kebakaran Kampung Wireless terima sumbangan daripada PJMM
November 20, 2025, Khamis - 2:20pm

MIRI: Persatuan Jatti Miriek Miri (PJMM) turut tampil menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung  Wireless ketika kunjungan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bulan Sabit Merah Miri (BSMM) petang Selasa lalu.

Derma diagihkan Naib Presiden Datuk Safri Datuk Abdillah yang diharap dapat membantu meringankan beban perbelanjaaan harian mangsa.

Hadir sama Timbalan Presiden Ketua Kaum Usman Sulaiman dan Pemanca Ujut  Rahman yang juga Setiausaha Kehormat PJMM bersama ahli-ahli jawatankuasa.

Sebuah kedai dan empat rumah ranap dalam kejadian kebakaran di kampung itu pada 15 November lalu.

Tiga rumah lagi mengalami kebakaran 25 peratus.

Kejadian melibatkan tujuh keluarga yang kini ditempatkan di PPS terbabit.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2025 10:56 AM | Show all posts
20 pemilik tanah terlibat Skim Penanaman Padi Tg Purun terima pampasan RM2.7 juta
November 20, 2025, Khamis - 4:08pm

KUCHING: Kerajaan Sarawak menerusi Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak pada Rabu menyerahkan cek pampasan berjumlah RM2.7 juta kepada 20 pemilik tanah yang terlibat dalam Skim Penanaman Padi Tanjung Purun, Lundu Fasa 1, membabitkan 30 lot tanah.

Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) melaporkan majlis penyerahan cek pampasan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan di Pejabat Pusat Khidmat Tanjong Datu.

Dalam ucapannya, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerja keras merealisasikan usaha tersebut, khususnya JTS Sarawak.

Sementara itu, Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Kuching Awang Nazri Awang Sap memaklumkan penyerahan tersebut hanya melibatkan Fasa 1, manakala Fasa 2 dan Fasa 3 akan menyusul.

Menjelas lanjut, Awang Nazri berkata, 187 hektar tanah di Tanjung Purun telah diperuntukkan di bawah projek bernilai RM50 juta yang bakal membuka jalan menjadikan kawasan itu sebagai salah satu pengeluar beras utama di Sarawak.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pegawai Daerah Lundu Awang Yusup Awang Mostapha, wakil Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD) Diana Pellipus serta ketua-ketua masyarakat termasuk Pemanca Jumahdi Sabian dan Penghulu Jamer Katai.
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 21-11-2025 10:58 AM | Show all posts
Pertandingan video pupuk kreativiti, zahir aspirasi masa depan Miri
November 20, 2025, Khamis - 4:20pm

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengumumkan pemenang Pertandingan Video Pendek 2025 yang membawa tema 'Bandar Peranginan Antarabangsa Hijau, Pintar dan Paling Berdaya Huni', sekali gus menyerlahkan kreativiti anak-anak muda tempatan dalam mengetengahkan aspirasi pembangunan bandar raya ini.

Pertandingan anjuran MBM itu menampilkan dua kategori utama iaitu Video Korporat dan Video Pendek bertemakan Bandar Raya Hijau, Pintar dan Paling Berdaya Huni Antarabangsa.

Bagi kategori Video Pendek, Justin Stephen Antau diumumkan sebagai pemenang utama.

Sementara itu, kategori Video Korporat MBM dimenangi oleh kumpulan yang dianggotai Jacob Aaron Haley Justin dan Ivan Haley Justin.

Majlis penyampaian hadiah diadakan pagi Khamis di Dewan Bandaraya Miri dan disempurnakan Datuk Bandar Adam Yii Siew Sang.

Dalam ucapan beliau, Yii menegaskan bahawa pertandingan tersebut bukan sahaja bertujuan memupuk kreativiti malah menggalakkan masyarakat untuk menzahirkan visi dan aspirasi terhadap masa depan Miri melalui medium penceritaan visual.

"Pertandingan ini mencerminkan komitmen MBM untuk memupuk inovasi, mengukuhkan penglibatan komuniti serta mempromosikan Miri sebagai bandar raya progresif, lestari dan diiktiraf antarabangsa.

"Penyertaan yang diterima amat menggalakkan terutama daripada bakat tempatan yang tampil menterjemahkan masa depan Miri dari sudut pandangan mereka sendiri," katanya.

Pemenang bagi setiap kategori menerima hadiah utama bernilai RM5,000.

Proses penjurian dibuat secara telus dan profesional melalui gabungan undian umum di Facebook rasmi MBM serta penilaian panel juri luar.

Yii turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta atas kreativiti dan semangat mereka, sambil berharap lebih banyak karya baharu dapat dihasilkan bagi terus menonjolkan keunikan bandar raya ini.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

17-2-2026 01:36 AM GMT+8 , Processed in 0.457536 second(s), 31 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list