|
|
[Borneo]
Rumah Borak Borneo~Boleh bah, kalau kau
[Copy link]
|
|
|
Koperasi khusus untuk belia dan wanita Karambunai: Arshad
November 19, 2025, Rabu - 4:13pm
KOTA KINABALU: Satu koperasi khusus untuk golongan belia dan wanita akan ditubuhkan di Karambunai.
Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Karambunai, Datuk Arshad Idris berkata, golongan belia dan wanita di Karambunai kini sedang berusaha mencari peluang untuk menjana pendapatan.
"Ini kerana kehidupan harian mereka di sini sangat susah, oleh itu kita kena usahakan penubuhan satu koperasi agar mereka sama-sama mampu menikmati limpahan ekonomi perniagaan.
"Selain itu, saya mendapati isu-isu berkaitan belia di Karambunai perlu diberi perhatian.
"Setiap pengundi yang saya jumpa, pelbagai aduan masalah yang mereka hadapi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Tinjau Mesra di sekitar Karambunai, di sini hari ini.
Beliau berharap para pengundi Karambunai akan memberikan peluang kepada GRS untuk membentuk semula kerajaan bagi kesinambungan rancangan serta matlamat jangka panjang untuk rakyat.
Dalam pada itu katanya, soal umur dalam arena politik bukan menjadi masalah kepadanya.
"Sering orang muda mempunyai persepsi negatif terhadap calon berumur tetapi saya berjanji kepada mereka kerana saya sudah mulakan tugas saya di kawasan ini selama tiga tahun.
"Tidak ada sebarang kesulitan dan masalah yang ada kita sentiasa selesaikan," katanya.
Menurutnya, sudah banyak rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) telah dibina di kawasan Karambunai.
Dalam pada itu katanya, peluang untuk menang pada DUN Karambunai minggu hadapan adalah 70 peratus berdasarkan usaha yang sudah dilakukan selama ini serta semakin ramai rakyat memberikan sokongan kepada gabungan itu. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Majlis makan malam MCCC Sabah–SME Association perkukuh kerjasama perniagaan
November 19, 2025, Rabu - 4:17pm
KOTA KINABALU: Usaha memperkukuh kerjasama perniagaan antara Sabah dan Semenanjung Malaysia diperkasa melalui majlis makan malam jaringan anjuran Dewan Perniagaan Malaysia–China (MCCC) Sabah bersama 26 wakil Persatuan PKS Malaysia yang mengikuti Eastern Learning Tour.
Majlis menghimpunkan lebih seratus usahawan dan pemimpin perniagaan dari kedua-dua wilayah yang membuka ruang perbincangan serta pertukaran pandangan yang konstruktif.
Pengarah Perhubungan Awam MCCC Sabah, Edmund Goh berkata, makan malam jaringan ini adalah platform penting bagi usahawan kedua-dua negeri membina hubungan secara lebih mendalam, selain memahami keperluan perniagaan masing-masing.
Beliau berkata, interaksi santai seperti ini membantu membentuk kepercayaan yang menjadi asas kepada kerjasama jangka panjang.
Dexter merakamkan gambar kenangan bersama tetamu jemputan yang hadir semasa majlis terbabit.
KENANGAN: Dexter merakamkan gambar kenangan bersama tetamu jemputan yang hadir semasa majlis terbabit.
“Kepimpinan Presiden MCCC Sabah, Datuk Dexter Lau memberi penekanan kepada pengukuhan hubungan antara negeri melalui agenda penghubungan yang lebih tersusun dan berterusan.
“Saya optimis rangkaian dan perbualan yang bermula dalam majlis akan bergerak ke arah lawatan perniagaan, perbincangan rasmi dan pelaksanaan projek bersama,” katanya.
Katanya, sepanjang majlis berlangsung, usahawan Sabah dan Semenanjung Malaysia membincangkan peluang pembangunan rantaian bekalan, peluasan pasaran, keupayaan pengeluaran dan kekuatan pengedaran.
“Perbincangan membuka hala tuju jelas ke arah kerjasama yang lebih strategik antara negeri, khususnya dalam meneroka sinergi industri serta model perniagaan baharu.
“MCCC Sabah sedang merancang lebih banyak program pertukaran perniagaan, lawatan syarikat dan aktiviti padanan industri bagi memperluas rangkaian kerjasama dan membantu perusahaan Sabah berkembang di seluruh Malaysia.
“Sabah memiliki nilai strategik sebagai pintu masuk ke Malaysia Timur serta pasaran serantau, sekali gus menawarkan potensi besar kepada pelabur dan rakan dagang dari seluruh negara,” katanya.
Delegasi Persatuan PKS Malaysia tiba di lokasi makan malam, disambut mesra oleh ahli jawatankuasa MCCC Sabah dan pasukan tarian singa.
MESRA: Delegasi Persatuan PKS Malaysia tiba di lokasi makan malam, disambut mesra oleh ahli jawatankuasa MCCC Sabah dan pasukan tarian singa.
Tambahnya, kehadiran persatuan lain seperti PUMM, JCI dan BNI Sabah Chapter turut memperkukuh suasana perbincangan serta membuka peluang kerjasama rentas industri.
Majlis diakhiri dengan pertunjukan bunga api sebagai simbol kepada hubungan jangka panjang yang semakin berkembang antara pemain industri di Sabah dan Semenanjung Malaysia.
Dengan momentum ini, lebih banyak projek kolaborasi dijangka terbentuk dan menyumbang kepada pengukuhan ekosistem perniagaan kedua-dua wilayah. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Inisiatif pembelajaran tambahan keperluan wajar di DUN Bongawan
November 19, 2025, Rabu - 4:39pm
KOTA KINABALU: Inisiatif pembelajaran tambahan sama ada dalam bidang akademik dan juga sukan antara keperluan yang sewajarnya dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan.
Calon Perikatan Nasional (PN) kerusi DUN Bongawan Ridzuan Firdaus berkata, langkah itu dirangka sebagai usaha mengurangkan jurang pendidikan antara pelajar bandar dan luar bandar.
Di samping itu katanya, ia juga bagi membantu keluarga yang berpendapatan rendah menyediakan sokongan akademik dan juga sukan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.
"Melalui program ini, pelajar akan mendapat bimbingan tersusun, persekitaran pembelajaran yang selamat, serta peluang untuk meningkatkan pencapaian akademik secara konsisten dan membuka peluang yang lebih jauh dalam bidang sukan.
"Saya yakin pelaburan dalam pendidikan anak-anak Bongawan hari ini adalah asas kepada pembentukan generasi masa depan yang lebih berdaya saing, yakin diri, dan mampu membawa perubahan positif kepada komuniti," katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata, dengan sokongan ibu bapa, pendidik dan masyarakat setempat, inisiatif berkenaan akan menjadi langkah penting dalam memperkukuh masa depan pendidikan di Bongawan.
Pada masa sama katanya, ia akan menjadi asas utama bagi memperkukuhkan masa depan generasi muda di kawasan DUN Bongawan.
Menurutnya, selain isu pendidikan, masyarakat di DUN Bongawan juga terus menyuarakan kebimbangan terhadap beberapa isu yang memberi kesan langsung kepada kehidupan seharian mereka termasuk pengurusan khairat kematian dan pembangunan setempat.
"Pengurusan skim khairat kematian di masjid dan surau memerlukan penambahbaikan selaras dengan keperluan semasa.
"Keperluan penyelarasan antara masjid dan surau juga dilihat penting supaya wujud keseragaman dalam pelaksanaan skim ini, sekali gus membantu keluarga yang berhadapan situasi kecemasan dengan lebih efektif," katanya.
Ridzuan turut menekankan isu pembangunan fizikal dan infrastruktur yang mendapat perhatian serius penduduk kerana sudah sekian lama kemudahan terbabit tidak menunjukkan perubahan atau pembaharuan yang ketara.
Menurutnya, kemudahan asas seperti jalan raya, sistem perparitan, pencahayaan awam dan ruang komuniti adalah elemen penting bagi meningkatkan kualiti hidup.
Katanya, ketiadaan perkembangan baharu dalam jangka masa panjang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk mengenai kesan terhadap keselamatan, ekonomi setempat dan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhan.
Sehubungan itu jelasnya, masyarakat berharap agar perancangan pembangunan dapat diberi perhatian semula supaya kawasan ini tidak terus ketinggalan berbanding kawasan lain.
Beliau berharap semua pihak berkaitan supaya meneliti keperluan masyarakat demi memastikan kesejahteraan penduduk Bongawan terpelihara.
"Pendidikan yang berkualiti, sistem khairat kematian yang teratur dan pembangunan setempat yang progresif merupakan elemen penting dalam membentuk komuniti yang harmoni dan berdaya maju," katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Mayat lelaki ditemukan di Empangan Milau
November 19, 2025, Rabu - 6:00pm
KUDAT: Mayat seorang lelaki ditemukan terapung berhampiran tepi sungai di kawasan Empangan Milau petang Rabu.
Pengganti Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat Mohd Saidi Tabin berkata, pihak bomba menerima panggilan berkenaan kejadian pada jam 3.49 petang.
Katanya, sepasukan anggota kemudian digerakkan ke lojasi terletak 45 kilometer dari kawasan balai.
“Setibanya pihak bomba di lokasi, pasukan mengesahkan penemuan mayat lelaki berusia 40 tahun itu.
“Anggota Bomba menjalankan proses mengeluarkan mayat menggunakan stretcher sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Identiti 'DJB Tambalutku' pendekatan mesra rakyat Joniston di Kiulu
November 19, 2025, Rabu - 6:42pm
KIULU: Identiti 'DJB Tambalutku' (DJB Kawanku) terus menjadi pendekatan mesra rakyat yang sudah menjadi kebiasaan penduduk Kiulu kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai yang sentiasa konsisten dalam komuniti setempat.
Beliau yang juga calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Kiulu sentiasa menekankan kepentingan bekerjasama sebagai rakan kongsi dalam pembangunan berterusan di Kiulu.
“Tanggungjawab kita sentiasa berasaskan pendekatan mendengar, berinteraksi, dan bekerjasama rapat dengan masyarakat di semua kampung.
"Ini termasuk penduduk di Kampung Pahu yang konsisten menjadi sebahagian daripada proses kerjasama ini,” katanya pada sesi kempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pahu dekat sini hari ini.
Beliau berkata, walaupun penduduk mungkin mempunyai pandangan politik yang berbeza, mereka berkongsi matlamat yang sama iaitu mahu melihat Kiulu maju secara berterusan dan praktikal.
Joniston turut menjelaskan, asas yang dibina sepanjang penggal terdahulu menyediakan struktur yang jelas untuk fasa pembangunan seterusnya di kawasan DUN Kiulu.
“Walaupun terdapat perbezaan, lihat saya sebagai ‘tambalut’ kamu kerana kita pada dasarnya menginginkan hasil yang sama untuk keluarga dan kampung masing-masing, dan titik persamaan itulah yang penting.
"Asas sedia ada ini membolehkan kita bergerak maju dengan kerjasama berterusan dan perancangan yang realistik.
"Inisiatif baharu dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah) untuk Kiulu bertujuan melengkapkan program sedia ada yang terbukti berkesan," jelasnya.
Beliau juga mahu meneruskan komitmennya untuk berhubung rapat dengan komuniti di seluruh Kiulu bagi memastikan keutamaan setempat sentiasa menjadi fokus dalam perancangan dan pelaksanaan.
“Saya menyeru rakyat Kiulu untuk terus melihat perjalanan ini sebagai tanggungjawab bersama. Saya sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memajukan kawasan ini,” katanya. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Pelan Tindakan Likas untuk manfaat bersama: SAPP
November 20, 2025, Khamis - 12:00am
KOTA KINABALU: Satu Pelan Tindakan Likas telah disediakan dan akan dilaksanakan dalam usaha menyediakan suasana kehidupan kondusif kepada penduduk kawasan itu.
Calon Parti Maju Sabah (SAPP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas, Yong Yit Jee berkata, pelan berkenaan dapat direalisasikan sekiranya beliau diberi mandat serta menjadi sebahagian dalam kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 (PRU17 Sabah).
"Kita akan memperkasakan prasarana dan perkhidmatan awam dengan membaiki serta menaik taraf jalan raya, sistem perparitan, lampu jalan serta kemudahan awam.
"Usaha pencegahan banjir di Likas dan Kota Kinabalu akan diambil bagi melindungi rumah dan perniagaan," katanya pada Majlis makan malam persahabatan SAPP bersama Persatuan Wanita Cina, pada Rabu.
Beliau berkata, SAPP akan merancakkan ekonomi tempatan dengan menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menggalakkan bakat Sabah pulang berkhidmat.
Katanya, tempoh hak milik tanah akan dipanjangkan selama 999 tahun bagi rumah dan kedai, sekali gus memberikan jaminan warisan keluarga dan keselamatan tanah jangka panjang untuk penduduk Likas dan Sabah.
"Bekalan air dan elektrik yang boleh diandalkan melalui kerjasama rapat dengan agensi utiliti. Penambahbaikan sistem pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan dan meningkatkan ketersambungan.
"Pembinaan tempat letak kereta bertingkat baharu di Hospital Queen Elizabeth 1 dan 2 serta Klinik Luyang, dengan kerjasama pihak hospital," katanya.
Menurutnya, SAPP juga akan memperkasakan keselamatan dan kesejahteraan komuniti dengan menambah jumlah rondaan polis dan langkah pencegahan jenayah di kawasan Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.
Jelasnya, peniaga kecil juga akan menerima manfaat bergerai secara percuma semasa pesta atau acara anjuran kerajaan bagi menyokong pendapatan dan semangat komuniti. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Parkir percuma 24 jam, janji Gee kepada pengundi Luyang
November 20, 2025, Khamis - 12:04am
KOTA KINABALU: Parkir percuma 24 jam di tempat letak kereta bertingkat Foh Sang menjadi janji calon Parti Maju Sabah (SAPP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang, Gee Tien Siong.
Gee berkata, perkara itu akan dilaksanakan sekiranya beliau diberi mandat serta menjadi sebahagian dalam kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 (PRU17 Sabah).
"Selama ini, kutipan bayaran parkir diserahkan kepada syarikat dari Semenanjung, dan hasilnya tidak memberi manfaat kepada penduduk tempatan.
"Kini sudah tiba masanya untuk mengembalikan manfaat itu kepada rakyat Luyang," katanya pada Majlis makan malam persahabatan SAPP bersama Persatuan Wanita Cina, di sini pada Rabu.
Beliau juga memberikan jaminan bahawa semua gerai penjaja semasa acara perayaan anjuran kerajaan akan diberikan secara percuma dengan kerjasama peniaga sedia ada.
Pihaknya juga akan melaksanakan pembangunan yang seimbang agar seluruh kawasan Luyang mendapat layanan yang adil.
Dalam konteks ini katanya, selama ini, tumpuan pembangunan di Luyang banyak diberikan kepada kawasan komersial Foh Sang, manakala komuniti lain seperti Lintas, Borneon, Lido dan Damai, Market 88 dan kampung Kopungit sering terpinggir.
"Kita juga akan membina dan memperkasan kemudahan parkir di Hospital Queen Elizabeth 1 dan 2 dan Klinik Kesihatan Luyang.
"Membina cawangan baharu Sekolah Menengah Kota Kinabalu, membina stadium sukan bola keranjang profesional yang baharu serta melanjutkan tempoh pajakan tanah Sabah dari 99 tahun kepada 999 tahun," katanya.
Beliau juga menegur penyandang kerusi DUN Luyang sebelum ini yang hanya tahu berjanji dan tidak menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk kawasan berkenaan.
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
SAPP ada formula atasi banjir di Likas dan Luyang
November 20, 2025, Khamis - 9:25am
KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) mempunyai formula mengatasi masalah banjir yang dihadapi penduduk Luyang dan Likas.
Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee berkata, khususnya di kawasan Dah Yeh Likas, masalah banjir kerap berlaku tanpa usaha dilakukan oleh penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas serta Ahli Parlimen di sini.
"Kawasan ini pernah mengalami banjir besar pada 1988, kerajaan ketika itu membelanjakan sejumlah wang untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
"Pada 1990, sistem mitigasi banjir dan stesen pam Likas berjaya disiapkan. Sejak itu, Dah Yeh Villa tidak lagi dilanda banjir.
"Ramai penduduk masih mengekalkan benteng simen yang dibina di pintu rumah sebagai langkah pencegahan.
"Siapa sangka selepas 35 tahun, kawasan itu kembali mengalami banjir," katanya pada Majlis makan malam persahabatan SAPP bersama Persatuan Wanita Cina, di sini kelmarin.
Sebagai Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas katanya, selama beberapa dekad, kawasan itu tidak mengalami banjir disebabkan semua ADUNnya melaksanakan tanggungjawab dengan baik khususnya setiap kali pada waktu hujan.
Katanya, wakil rakyat Likas perlu kerap berhubung dengan Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah untuk memastikan pam air di stesen berkenaan berfungsi.
"Kejadian banjir besar pada September lepas di Dah Yeh Villa adalah disebabkan pam berkenaan rosak disebabkan tanpa pengurusan yang cemerlang.
"Ini bukti Ahli Parlimen dan ADUN kawasan itu sejak kebelakangan ini tidak menjalankan tanggungjawab mereka," katanya.
Beliau berkata, pemimpin berkenaan hanya turun memeriksa keadaan pam selepas tiga hari banjir besar berlaku.
"Ini bukan kali pertama mereka menjadi wakil rakyat kawasan itu, bukan tidak tahu di mana lokasi stesen pam tetapi sehingga tersilap pergi memeriksa pam di Kampung Likas (Sungai Likas) yang bukan stesen pam yang menghubungkan kawasan Dah Yeh Villa," katanya.
Oleh itu katanya, pengundi Likas dan Luyang perlu memberikan sokongan kepada calon SAPP pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17 (PRU17 Sabah).
Hadir sama calon SAPP DUN Luyang, Gee Tien Siong dan calon SAPP DUN Likas, Yong Yit Jee. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Tzu Chi Miri santuni mangsa kebakaran Long Loyang
November 19, 2025, Rabu - 3:11pm
MIRI: Yayasan Buddha Taiwan Tzu Chi Cawangan Perhubungan Miri (Tzu Chi Miri) semalam tampil menghulurkan bantuan kecemasan kepada mangsa kebakaran di Long Loyang, Tinjar, Baram di mana sebuah blok rumah panjang hangus pada malam 10 November sekali gus menyebabkan 22 keluarga hilang tempat tinggal.
Dalam usaha penuh keprihatinan itu, sukarelawan dari Stesen Kitar Semula dan Perlindungan Alam Sekitar Tzu Chi beberapa hari kemudian mengagihkan periuk memasak, barangan keperluan asas rumah serta sayur-sayuran segar kepada mangsa.
Sumbangan sayur-sayuran segar tersebut disediakan hasil kemurahan hati seorang penjual sayur tempatan yang tampil secara senyap menyumbang dalam jumlah besar selama dua hari berturut-turut.
Wakil penduduk merangkap guru bersara, Michael Sabang yang menerima bantuan bagi pihak keluarga terjejas, menzahirkan rasa syukur dan penghargaan atas keprihatinan serta bantuan segera yang dihulurkan.
Kebakaran yang dipercayai berpunca daripada dapur gas itu turut meragut satu nyawa dan mencederakan seorang mangsa.
Insiden berkenaan menyebabkan seramai 191 penduduk, termasuk kanak-kanak dan warga emas, hilang tempat berlindung.
Blok rumah panjang yang musnah itu merupakan salah satu daripada tiga blok rumah panjang komuniti Kenyah di Kampung Long Loyang yang mempunyai lebih 1,000 penduduk. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
18 gereja bakal sertai Perarakan Krismas Kota Sentosa 3.0
November 19, 2025, Rabu - 3:14pm
KUCHING: Sejumlah 18 gereja bakal menyertai Perarakan Krismas Kota Sentosa 3.0 yang akan berlangsung pada 29 November ini.
Acara pembuka keraian Krismas itu akan bermula jam 6 petang di Dewan Perniagaan Batu 7, Kota Sentosa di sini dengan perarakan dimulakan jam 7.45 malam.
Ia disusuli dengan acara perarakan meliputi jarak sejauh 1.5 kilometer mengelilingi kawasan komersial Kota Sentosa.
Pengerusi Persatuan Kristian Evangelikal Sarawak (SECA) Reverend Greman Ujang berkata, program anjuran SECA dan Persatuan Gereja-Gereja di Sarawak (ACS) itu bakal menarik sejumlah lebih 2,000 peserta berbanding 1,000 tahun lepas.
Mengangkat tema ‘Jesus, the Light of the World,’ program diharap dapat menggalakkan masyarakat mengambil bahagian dalam acara penuh gilang gemilang itu.
"Tema tahun ini mengingatkan kita bahawa di tengah-tengah kegelapan dan cabaran, Yesus terus menjadi cahaya terang yang membimbing, memulih dan menyatukan kita bersama sebagai tubuh Kristus.
"Sehubungan itu, kami menjemput semua umat Kristian dan masyarakat sekitar Kota Sentosa untuk menyertai perarakan dan marilah kita bersinar bersama untuk Kristus," katanya.
Greman yang juga pengerusi penganjur Perarakan Krismas 2025 turut menekankan langkah keselamatan dengan mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Padawan (MPP) dan pihak berkuasa.
“Polis, MPP, Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) termasuk Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) akan hadir sepanjang majlis itu berlangsung,” katanya.
Katanya, dijangka hadir menyertai perarakan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa Wilfred Yap serta tetamu kehormat lain.
"Acara akan turut dimeriahkan dengan persembahan lagu-lagu Krismas termasuk lagu pujian dan penyembahan menandakan semangat Krismas dalam perpaduan dan iman," katanya.
Dalam pada itu, antara gereja yang mengambil bahagian ialah Gereja Christ Baptist, BEM Olive Garden, First Baptist Church, Emmanuel Baptist Church, New Generation Church, Gereja Injil Sepenuh, Excel Point Baptist Church dan Calvary Family Church.
Gereja lain ialah Sacred Heart Kota Sentosa, Grace Levites Sanctuary, BEM Kota Padawan, Assemblies of God Church, Phaneroo Malaysia, Gereja Familyship Worship Gi 1 dan Gereja Apostolik Sarawak, Gereja 1 Gereja Kerasulan dan Gereja 1 Sarawak Bathany Kuching.
Untuk maklumat lanjut berhubung perarakan, hubungi Benny Hinn di talian 013-8070643 atau Greman (013-8089947). |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
PBSM Cawangan Stampin anjur program saringan kesihatan komuniti ‘Jejak Kanser’
November 19, 2025, Rabu - 3:16pm
KUCHING: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) Cawangan Stampin dengan kerjasama National Cancer Society Malaysia (NCSM) dan Deemcee Saradise Kuching akan menganjurkan program saringan kesihatan komuniti bertemakan ‘Jejak Kanser’ pada 22 November ini.
Pengerusi Derma Darah dan Organ mewakili Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia Cawangan Stampin Wendy Tan berkata, saringan akan diadakan bermula dari jam 9 pagi hingga 1 petang sahaja di Tropics City, Jalan Tabuan Dayak (hadapan Doremart).
Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko kanser serta menyediakan peluang pengesanan awal bagi mengurangkan kadar komplikasi dan kematian akibat penyakit tersebut.
Antara saringan yang disediakan termasuk penilaian risiko kanser paru-paru, penilaian risiko kanser hati, saringan kanser payudara dan saringan kesihatan asas.
“Melalui saringan ini, orang ramai digalakkan untuk lebih peka terhadap tahap kesihatan masing-masing dan mengambil langkah pencegahan awal, termasuk rawatan awal sekiranya dikesan berisiko,” katanya.
Pada masa yang sama, Pengerusi PBSM Cawangan Stampin Chew Kim Soon berkata, program tersebut diadakan bagi memastikan masyarakat mendapat akses mudah kepada pemeriksaan kesihatan yang penting.
“Pengesanan awal dapat menyelamatkan nyawa. Menerusi ‘Jejak Kanser’, kami berharap dapat mendekati lebih ramai masyarakat dan memberi peluang saringan yang mudah diakses serta mampu memberi perbezaan besar dalam perjalanan kesihatan mereka,” katanya.
Sebaranng pertanyaan boleh diajukan terus kepada Imelda Kumang di talian 019-8476542 atau Wendy (019-8182244). |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
LPKP Sarawak berharap dapat bekerjasama dengan SOSDA anjur lebih banyak aktiviti
November 19, 2025, Rabu - 4:55pm
KUCHING: Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak berharap dapat bekerjasama rapat dengan Persatuan Pembangunan Kemahiran Orang Kurang Upaya Sarawak (SOSDA) bagi menganjurkan lebih banyak aktiviti untuk golongan berkenaan.
Pengerusinya Michael Kong berkata, kerjasama itu penting bagi membolehkan golongan berkenaan mendapat akses kepada perkhidmatan Bas.MyKuching.
Beliau menambah, komitmen itu diperkukuhkan selepas mendengar kisah Mohd Shahril dari Serian yang bergantung kepada perkhidmatan Bas.MyKuching untuk ke SOSDA yang terletak di pusat beli-belah Boulevard di sini.
Menurut Kong, baru-baru ini beliau telah mengadakan pertemuan dengan ahli SOSDA iaitu Dunstan dan Mohd Shahril yang berkongsi aspirasi mereka mengenai impak positif pengangkutan awam apabila ia bersifat inklusif serta mengenakan caj berpatutan.
Beliau berkata, Mohd Shahril pada usia 16 tahun terselamat dalam kemalangan motosikal tragis yang mengorbankan rakannya, merupakan penunggang dalam kejadian tersebut.
Kemalangan itu menyebabkan beliau hilang upaya kekal di sebelah kirinya dengan masalah pertuturan, memaksanya untuk menghentikan pendidikan sekolah menengahnya.
"Nasib baik dengan adanya perkhidmatan Bas.My Kuching, beliau (Mohd Shahril) menemui jalan untuk berhubung semula dengan komuniti," katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Beliau menambah perkhidmatan itu membolehkan Mohd Shahril ke pejabat SOSDA, kemudiannya diberi panduan untuk mendaftar di GIATMARA, sebuah institusi latihan vokasional di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Melalui latihan itu, Mohd Shahril kini melengkapkan dirinya dengan kemahiran praktikal yang membuka pintu kepada peluang lebih baik dan membolehkannya menyumbang kepada komuniti.
Kong berkata kisah-kisah sedemikian menonjolkan tujuan Bas.My Kuching bukan sahaja untuk membawa penumpang tetapi mewujudkan peluang, memupuk inklusiviti dan menyokong transformasi peribadi.
"Kami (LPKP) berharap dapat bekerjasama rapat dengan SOSDA menganjurkan lebih banyak aktiviti untuk komuniti berkeperluan khas dan memastikan system pengangkutan awam kami terus berfungsi sebagai jambatan ke arah pemerkasaan serta kemajuan sosial," tambah Kong. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Projek RM200,000 hubungkan PPR Bandaria Park-SK Ulu Segan
November 19, 2025, Rabu - 5:41pm
BINTULU: Kerja-kerja pembinaan pondok menunggu dan bumbung laluan pejalan kaki yang menghubungkan PPR Bandaria Park ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Segan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee berkata, projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2024 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak itu akan menelan kos peruntukan RM200,000.
"Kemudahan ini amat penting untuk memastikan anak-anak kita tidak terkena hujan (panas dan hujan) serta dapat berjalan dengan lebih selamat tanpa risiko tergelincir atau terjatuh ketika ke sekolah lebih-lebih lagi pada musim hujan," ujarnya.
Iskandar mengulas mengenai tinjauan ke atas projek tersebut hari ini yang diwakili Pegawai Khasnya Shahrezy Sulaiman.
Beliau berkata, apabila siap kelak projek tersebut akan memberi manfaat kepada murid-murid dan penduduk setempat yang menggunakan laluan tersebut pada setiap hari untuk ke sekoloh dari penempatan mereka.
Katanya, beliau amat menghargai semua pihak yang terlibat dalam melaksanakan projek itu dengan baik demi kesejahteraan rakyat di kawasan Jepak. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Warga asing dilihat mencurigakan dicekup sorok syabu
November 19, 2025, Rabu - 5:58pm
LAWAS: Tingkah laku seorang lelaki warga asing yang dilihat mencurigakan akhirnya membongkar kegiatannya menyorok syabu dalam satu operasi bersepadu di bandar ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Liong Tindan berkata, suspek yang ditahan dalam keadaan mencurigakan disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam operasi pada jam 1.40 petang itu.
“Semasa pemeriksaan tubuh dilakukan ke atas suspek yang bekerja sebagai buruh, kita menemui satu peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu.
“Anggaran berat kasar dadah disyaki syabu yang dirampas itu adalah 0.36 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
Beliau berkata, semakan lanjut mendapati suspek tiada kesalahan lampau justeru kes disiasat mengikut seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama. |
|
|
|
|
|
|
|
|
|
|
Motosikal ditunggang terbabas, calon SPM maut
November 19, 2025, Rabu - 7:09pm
MIRI: Seorang pelajar lelaki tidak sempat menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas lalu melanggar pembahagi jalan dalam kemalangan di jalan lingkaran berhampiran Emart Riam di sini awal pagi tadi.
Mangsa yang berusia 17 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialaminya.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang tadi mengesahkan kemalangan itu.
Menurutnya, kemalangan berlaku sekitar jam 5.30 pagi apabila mangsa yang menunggang motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.
“Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Taman Tunku menuju ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baru dengan melalui jalan lingkaran berhampiran Emart Riam di Jalan Miri-Bypass di sini.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal yang ditungganginya terbabas ke kanan jalan lalu melanggar pembahagi jalan menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Faizul Abdul Rahim di talian 014-8582582 atau 085-430479 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Sementara itu, pengguna jalan raya turut dinasihatkan agar sentiasa memandu dan menunggang secara berhemah serta mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan sebarang risiko kemalangan yang boleh mengancam keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain. |
|
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|