KUALA LUMPUR – “Keputusan DNAA semalam untuk suami saya adalah benar-benar satu rahmat daripada ALLAH, yang dimakbulkan melalui doa dan harapan yang berterusan daripada anda semua.” Demikian luahan Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, susulan keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) suaminya daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM27 juta dana SRC International Sdn. Bhd. Dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi media sosial pada Sabtu, Rosmah melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada semua pihak yang sentiasa menyokong dan mendoakan kesejahteraan Najib. “Kami berdoa agar ini menjadi permulaan kepada hari-hari yang lebih baik. Terima kasih khas kepada mereka yang hadir di mahkamah untuk berdiri teguh menyokong beliau, serta kepada semua yang berkongsi kegembiraan dan rasa syukur melalui komen dan hantaran anda yang penuh kebaikan,” katanya.
Menurut Rosmah, beliau juga menghargai usaha orang ramai yang telah menulis surat terbuka, berkongsi hantaran serta menghasilkan video-video menyentuh hati yang menggambarkan kerinduan terhadap kepimpinan Najib. “Sokongan anda semua sangat bermakna bagi kami, memberi gambaran bahawa legasinya masih hidup dalam hati anda,” katanya lagi. Mengulas ketidakhadirannya ke mahkamah pada hari keputusan, Rosmah memaklumkan bahawa beliau terpaksa menjaga cucunya yang jatuh sakit pada malam sebelumnya. “Malangnya, saya tidak dapat bersama suami pada pagi yang penuh bermakna itu kerana malam sebelumnya, cucu saya jatuh sakit dengan demam tinggi, dan kami terpaksa menjaganya sepanjang malam. Oleh itu, saya benar-benar keletihan pada pagi berikutnya,” jelasnya
|