PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Dua Waktu Doa Tidak Ditolak
عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : ثِنْتَانِ لاَ تُرَدَّانِ اَلدُّعَاءُ عِنْدَ النِّدَاءِ وَتَحْتَ الْمَطَرِ
Daripada Sahl bin Sa’ad RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: Dua doa yang tidak pernah ditolak; doa ketika azan atau selepas azan dan doa pada waktu hujan turun. (HR al-Hakim, No: 2534) Status: Hadis Sahih.
Pengajaran:
1. Doa adalah ibadah yang dituntut kepada setiap Muslim melakukannya.
2. Dua waktu yang sesiapa berdoa kepada Allah pada waktu tersebut, doanya tidak ditolak iaitu:
a. Doa ketika azan atau selepas azan – waktu azan dianggap waktu yang paling dekat antara hamba dengan Penciptanya dan waktu Rahmat Allah turun.
b. Doa pada waktu hujan mula turun – waktu Rahmat Allah sedang turun.
3. Imam An-Nawawi berkata bahawa penyebab doa pada waktu turun hujan tidak ditolak atau jarang ditolak kerana pada waktu tersebut, sedang turun rahmat khususnya curahan hujan pertama di awal musim. (Fathul Qadir 3/340).
4. Ambil peluang ketika Azan dan sebelum Iqamah serta permulaan hujan turun untuk membanyakkan berdoa memohon keampunan, rahmat, atau permintaan hajat kita.
24hb Zulhijjah 1446H 21hb Jun 2025
|