Edited by pengecattaik at 16-6-2025 04:32 PM
Kuala Lumpur: Seleweng sumbangan orang ramai dengan memindahkan dana pertubuhan ke akaun peribadi dan membeli barang kemas, kereta, tanah serta rumah termasuk mata wang kripto bernilai RM26 juta.
Itu modus operandi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengutip sumbangan orang ramai malah wang lebihan projek pembinaan telaga bagi misi kemanusiaan di Syria turut 'digelapkan' untuk kegunaan sendiri.
Kegiatan NGO terbabit bagaimanapun terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat tangkapan lima suspek termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan NGO itu menerusi Op Serantau dijalankan SPRM Selangor.
Sumber berkata, serbuan dibuat di beberapa lokasi di sekitar Selangor, Melaka dan Pulau Pinang bermula Khamis lalu.
"Lima suspek terbabit kini direman tujuh hari iaitu empat daripadanya direman sehingga Rabu dan seorang lagi sehingga Khamis ini.
"Modus operandi menyeleweng dana ini hampir sama seperti yang berlaku dengan pertubuhan Aman Palestin apabila mereka memindahkan wang ke dalam akaun peribadi, selain bagi membeli barang kemas, kereta, tanah, dan mata wang kripto.
"Mereka juga dipercayai memindahkan dana pertubuhan ke akaun peribadi bagi memberi pinjaman kepada kakitangan pertubuhan terbabit, selain menggelapkan wang lebihan projek pembinaan telaga bagi misi kemanusiaan di Syria untuk kegunaan sendiri," katanya.
Menurut sumber, kegiatan menyeleweng dana hasil sumbangan orang ramai itu dipercayai berlaku sejak 2015 hingga sekarang.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi, mengesahkan penangkapan itu.
Beliau berkata, SPRM sudah menyita pelbagai aset berjumlah lebih RM8 juta iaitu wang tunai lebih RM1 juta, barang kemas dianggarkan bernilai kira-kira RM100,000, akaun kripto bernilai kira-kira RM650,000 dan empat unit rumah dianggarkan bernilai lebih RM1.4 juta dalam operasi berkenaan.
"SPRM juga sudah membekukan 14 akaun perbankan membabitkan jumlah hampir RM5 juta bagi tujuan siasatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Harian Metro sebelum ini melaporkan SPRM menahan empat individu termasuk tiga ahli jawatankuasa sebuah NGO kerana disyaki bersubahat menyeleweng dana milik NGO di tempat mereka bekerja.
Menurut sumber, suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan antara 4 petang hingga 7 malam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Melaka.
Susulan itu, SPRM menahan pengerusi NGO berusia 30-an itu kerana disyaki menyalah guna kuasa dengan menyeleweng dana milik NGO di tempatnya bekerja.
|