Edited by pengecattaik at 16-6-2025 05:09 PM
Seorang anggota polis berdepan siasatan selepas dirakam mengajak seorang wanita masuk ke bilik hotel.
Rakaman video itu kini tular di media sosial dan mendorong Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya membuka kertas siasatan terhadap anggota terbabit.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Mohd Azam Ismail, berkata ,anggota tersebut telah dikenal pasti dan siasatan susulan sedang dijalankan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu perkataan dan isyarat dimaksud mengaibkan kehormatan seseorang dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, video berdurasi dua minit 17 saat itu dimuat naik di TikTok sebelum tular di media sosial.
Berdasarkan rakaman insiden dan satu lagi video yang dimuat naik oleh mangsa di akaun TikToknya, kejadian dipercayai berlaku awal pagi Sabtu, berhampiran Balai Polis Pandan Perdana.
Dalam video itu, anggota polis yang lengkap beruniform kedengaran mengajak wanita tersebut "lepak" di rumahnya di Keramat, sebelum mencadangkan supaya mereka "check-in" ke sebuah bilik hotel.
Dalam klip seterusnya, dia turut didengar memujuk wanita itu untuk mengikutnya ke satu lokasi berdekatan yang hanya mengambil masa "10 minit".
Namun, mangsa menolak pelawaan itu dan memberitahu bahawa mereka boleh berjumpa kemudian.
Dakwa diugut, takut bertindak
Menerusi video kedua yang dimuat naik hari ini di TikTok, wanita tersebut mendakwa kejadian berlaku kira-kira jam 3 pagi ketika dia mengambil motosikalnya yang diparkir berhampiran balai polis berkenaan.
Dia mendakwa didekati anggota polis itu dan perbualan bermula dengan topik biasa, sebelum anggota terbabit mengajak dia mengikutnya ke arah sebuah tangga.
"Berkali-kali juga la dia desak aku suruh lepak kat tangga. 10 minit je, janji, 10 minit je. Bila dia desak aku tu, start dari tu la aku tergerak hati nak ambil handphone, aku nak record(rakam).
"Kau tau tak, aku masa tengah bercakap dengan dia pun aku berfikir, apa aku nak buat dengan dia ni. Aku pun ambik la handphone aku, aku record," katanya.
Mangsa menjelaskan dia tidak mahu melayan anggota polis tersebut, tetapi takut untuk melarikan diri atau bertindak kerana hanya mereka berdua sahaja berada di lokasi itu.
Wanita tersebut memaklumkan bahawa dia telah membuat laporan polis, namun kecewa dengan cara pihak polis menerima aduannya.
Tanpa mendedahkan nama balai polis berkenaan, wanita itu mendakwa seorang anggota bertugas menyalahkan dirinya atas kejadian tersebut.
“Dia (Anggota polis itu) cakap normal weh, normal la lelaki ajak check in,” dakwanya.
Wanita itu berkata dia turut dimarahi kerana merakam perbualan berkenaan memandangkan anggota itu sedang bertugas.
MalaysiaKini
|