Edited by JoyahMengayah at 14-6-2025 01:12 AM
Seremban: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) berhubung kes saman fitnah Fara Mendoza terhadap pelakon, Zarina Anjoulie.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Norina Zainol Abidin selepas perbicaraan kes itu bermula dengan dua saksi dipanggil memberi keterangan termasuk Fara Mendoza atau nama sebenar Norfaralinah Md Yunus, 37.
Bagaimanapun, prosiding perbicaraan yang bermula sekitar jam 10 pagi dan berakhir pada jam 4.30 petang tadi berlangsung secara tertutup.
Sebelum itu, Zarina Anjoulie atau Anju, 38, ketika ditemui di luar mahkamah berharap kes itu yang sudah berlarutan sejak empat tahun lalu dapat diselesaikan segera.
"Dah empat tahun kes ini dan kita pun nak ia berakhir, kita tengok macam mana dan berdoa yang terbaik," katanya.
Fara Mendoza turut kelihatan hadir ke mahkamah.
Perbicaraan kes itu akan bersambung pada 24 Julai dan 4 Ogos depan.
Media sebelum ini melaporkan, Anju berjaya membatalkan penghakiman yang dimasukkan Fara Mendoza di Mahkamah Tinggi Seremban di sini.
Ia susulan dakwaan bahawa Anju tidak menerima salinan saman secara peribadi dan menyangka peguam terdahulu yang dilantik membela nasibnya kerana difahamkan peguam terbabit diserang angin ahmar dan firma guamannya sudah ditutup.
Anju kemudian membuat tuntutan balas terhadap saman Fara Mendoza dengan menuntut ganti rugi RM3 juta, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan perintah injunksi menghalang Fara Mendoza daripada membuat kenyataan fitnah pada masa hadapan.
Anju turut menuntut supaya Fara Mendoza menarik balik kenyataan fitnah yang dibuat dan membuat permohonan maaf selain menuntut kos tindakan dan relif yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Disiarkan pada: June 12, 2025 @ 6:22pm
|