KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar diumumkan sebagai pemenang jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu, hari ini.
Keputusan rasmi itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, selepas selesai perasmian Kongres Nasional Keadilan 2025 berlangsung di Johor Bahru.
Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh memperoleh 9,803 undi untuk menewaskan penyandang jawatan itu, Datuk Seri Rafizi Ramli yang meraih 3,866 undi.
Untuk rekod, Rafizi pernah tewas dalam saingan Timbalan Presiden PKR pada 2018 ke atas bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada pemilihan 2018, namun berjaya menang pada pemilihan 2022 menewaskan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - BH ONLINE
|