SUSULAN video tular memaparkan pelakon Beego dikhabarkan menyertai kumpulan tabligh, isterinya iaitu Linda Hashim berharap ia bukan hanya sekadar lakonan.
Linda atau Norhazlinda Hashim, 41, sebaliknya mengingatkan suaminya itu menjalankan tanggungjawab termasuk dalam urusan memberi nafkah kepada anak-anak mereka.
“Tabligh tu dah betul dah, takut dia yang tak betul. Harap-harap istiqamah, jangan wayang (lakonan) sahaja.
“Nafkah anak-anak, tanggungjawab pada anak-anak mana tak selesai lagi?” katanya.
Linda berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instastory miliknya pada malam Isnin.
Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video memaparkan Beego atau Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, 45, dipercayai mengikuti kumpulan tabligh untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Menerusi video di TikTok itu, Beego dilihat berada di jeti Pulau Perhentian, Terengganu sambil dadanya dipegang oleh seorang ustaz disertai dengan bacaan doa.
Video tersebut juga turut mendapat pelbagai reaksi netizen yang sayu melihat wajah aktor berkenaan dikatakan kelihatan sedih dan hiba.
Pada awal Januari llau, Linda memfailkan cerai terhadap Beego dengan alasan mereka sudah tiada persefahaman.
Sebelum itu, pada 27 Mac 2023, pasangan ini pernah bercerai talak satu sebelum sepakat kembali rujuk pada 9 April 2023.
Linda bagaimanapun mendedahkan mereka kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk namun kembali bersama tidak lama selepas itu.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia yang kini berusia enam tahun. - mStar
|