
Pengerusi penganjur bagi lawatan NSJA siri kedua tahun ini, Noriza Jau (empat kiri) menyerahkan surat cadangan lawatan kepada Chiew sambil disaksikan Chai (tiga kiri) dan ahli jawatankuasa NSJA yang lain.
MIRI: akil rakyat bertanggungjawab mendekatkan rakyat dengan Parlimen, terutama bagi generasi muda, dengan mengalakkan mereka mengadakan lawatan sambil belajar ke Parlimen negara, kata Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man.
Beliau berkata dengan melihat sendiri perjalanan sidang Dewan Rakyat dan suasana kerja ahli-ahli Parlimen, maka lawatan seumpama itu mampu menyemai kefahaman, meningkatkan minat terhadap hal ehwal negara serta memupuk rasa tanggungjawab sivik di kalangan rakyat.
“Saya percaya pendedahan secara langsung kepada proses demokrasi ini dapat menyuburkan kesedaran politik yang sihat dan memperkasakan rakyat dalam menyuarakan pandangan mereka secara lebih berinformasi dan berstruktur.
“Sebagai Ahli Parlimen Miri, saya sentiasa mengalu-alukan mana-mana organisasi, institusi pendidikan mahupun persatuan dari Miri yang ingin mengunjungi Parlimen semasa persidangan berlangsung.
“Pejabat saya bersedia untuk membantu dari segi penyelarasan dan komunikasi dengan pihak pentadbiran Parlimen.
“Tahun lalu, saya turut membantu beberapa rombongan pelajar dan sekolah dari Miri yang mengadakan lawatan sambil belajar ke universiti-universiti di Lembah Klang dengan memasukkan sesi lawatan ke Parlimen sebagai sebahagian daripada pengalaman mereka,” katanya.
Terdahulu, beliau menerima kunjungan beberapa ahli jawatankuasa Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) ke pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Miri di sini, semalam.
Kunjungan itu yang diketuai Presiden NSJA Chai Chon Chin, bertujuan menyerahkan surat jemputan kepada Chiew bagi menghadiri majlis makan malam gala sempena sambutan ulang tahun ke-50 atau jubli emas penubuhan NSJA.
Selain itu, kunjungan tersebut turut membincangkan mengenai lawatan NSJA ke Parlimen, iaitu siri kedua pada tahun ini.
Lawatan siri pertama telah diadakan pada Mac tahun lalu.
“Saya berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada NSJA bagi membincangkan cadangan lawatan mereka ke Parlimen Malaysia yang dijadualkan pada hujung tahun ini.
“Saya menyambut baik hasrat murni ini dan akan membantu memudahkan segala urusan yang diperlukan termasuk mendapatkan kebenaran lawatan, penyelarasan lawatan berpandu sekitar bangunan Parlimen serta pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen dan menteri yang berkaitan,” katanya.
Menurut Chiew lagi, Parlimen merupakan institusi tertinggi demokrasi di negara ini dan merupakan milik rakyat.
“Maka, menjadi tanggungjawab kita (wakil rakyat) untuk mendekatkan Parlimen kepada masyarakat, terutama generasi muda dan pemain media tempatan seperti NSJA.
“Inilah aspirasi Yang Dipertua Dewan Rakyat yang komited untuk menjadikan Parlimen sebagai rumah rakyat yang terbuka dan inklusif.
“Lawatan ke Parlimen membuka peluang kepada rakyat untuk memahami proses penggubalan dasar, peranan wakil rakyat serta keunikan sistem demokrasi berparlimen di Malaysia,” tambahnya.
|