Edited by Vellfire at 15-4-2025 05:19 PM

Abdul Ghani
KOTA KINABALU: Kerajaan diminta senarai projek pembersihan, pendalaman serta pelebaran Sungai Nabawan yang semakin cetek akibat saluran tersumbat dan kejadian runtuhan di sungai berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata kerajaan perlu memberikan perhatian serius terhadap isu ini.
Katanya, terdapat keperluan untuk pembinaan tebing sungai di sepanjang Sungai Loggongon dari Pagalungan hingga ke Kampung Bantul, yang berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia, ketika ini.
“Laporan menunjukkan lebih 30 kampung terlibat dan seramai 687 orang terjejas akibat bencana banjir di Nabawan baru-baru ini.
“Kita melihat ramai keluarga terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ketika berlakunya bencana berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perbahasan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, kerajaan perlu menyediakan aset logistik yang mencukupi termasuk helikopter, bot dan kenderaan pacuan empat roda yang sesuai untuk operasi bantuan bencana di kawasan pedalaman.
“Agensi-agensi penting seperti PDRM, BOMBA, APM dan RELA di Nabawan wajar dibekalkan dengan peralatan serta aset yang bersesuaian agar lebih bersedia menghadapi bencana banjir,” katanya.
Abdul Ghani turut menyuarakan keluhan masyarakat mengenai keperluan pembangunan infrastruktur asas seperti bekalan air bersih, elektrik, jalan perhubungan serta kemudahan lain yang masih belum mencukupi.
“Sampai hari ini masih banyak kampung di pedalaman Nabawan yang belum menikmati akses kepada bekalan air bersih dan elektrik.
“Saya berharap perkara ini akan diberi perhatian sewajarnya oleh kementerian berkaitan supaya masyarakat di pedalaman juga mendapat manfaat daripada peruntukan negeri,” katanya.
Sementara itu, beliau menuntut penjelasan daripada kementerian mengenai beberapa projek pembangunan yang tertangguh di kawasan Nabawan.
Beliau mempersoalkan mengapa selepas lebih setahun, kerja-kerja pembinaan dua jambatan utama ke Pekan Nabawan masih belum bermula.
“Status yang saya perolehi adalah masih menunggu pihak utility iaitu SESB dan JANS megalihkan tiang elektrik dan paip jabatan air.
“Saya ingin bertanya mengapa perkara sebegini memakan masa yang lama untuk dibuat tindakan?” katanya.
|