Kepala Batas: "Semua orang pun dia (Tun Abdullah) sama-sama hati (menjaga perasaan). Dia tidak cakap ini Cina, itu Melayu dan India. Dia takdak (tiada) macam tu punya sebab dia memang (orang) baik," kata Leong Juat Gnoh.
Juat Gnoh, 73, anak jati yang membesar di Kepala Batas menyifatkan, bekas Perdana Menteri Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai individu yang amat disegani dan menghormati semua penduduk tanpa mengira kaum serta agama.
Menurutnya, pemergian Tun Abdullah yang mesra dengan gelaran Pak Lah amat dirasai meskipun dia berbangsa Tionghua.
"Siapa tak kenal dengan Pak Lah. Semua orang tua dan muda (Kepala Batas) tahu siapa dia (yang banyak berjasa tanpa pilih kaum)," katanya kepada media, di sini, hari ini.
Bagi Mohd Fauzi Puteh, 63, Allahyarham Tun Abdullah turut dikenali sebagai ulama dalam kalangan penduduk di Kepala Batas.
"Dia (Pak Lah) ikut macam arwah tok wan dia (Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim), bapa dia (Allahyarham Datuk Ahmad Badawi) yang kita tahu mereka ulama dan dia macam itu juga.
"Bila balik sini (Kepala Batas), dia mesti melawat kawan-kawan yang mana uzur (tidak mengira kaum) kerana sifatnya yang ambil berat dengan semua penduduk," katanya.
Bagi Ayoob Sheik Dawood, 62, kelembutan dan tutur kata sopan yang diungkapkan Allahyarham Tun Abdullah terhadap penduduk di Kepala Batas masih diingati hingga kini.
"Pak Lah bila dia cakap (dengan sesiapa sahaja) tutur katanya sangat lembut dan sopan, sebab itu penduduk (tidak kira kaum) akan ingat sampai bila-bila," katanya.
Tun Abdullah menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas selama lapan penggal berturut-turut sejak 1978 hingga 2013.
Sepanjang khidmatnya, beliau mengubah wajah Kepala Batas daripada 'pekan koboi' kini menjadi bandar baharu pesat membangun, selain masih mengekalkan kampung tradisional.