TANGKAP layar rakaman video memaparkan motosikal lelaki warga emas yang berteduh di lorong kecemasan dirempuh kereta. FOTO Tular
Kuala Lumpur: Lelaki warga emas yang berteduh di lorong kecemasan di bawah jejambat untuk berlindung daripada hujan, parah selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, selepas Tol Sungai Besi, di sini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata video kejadian membabitkan penunggang motosikal berusia 76 tahun itu tular di media sosial pada 8.40 malam, semalam.
Katanya, pemandu kenderaan berusia 40 tahun juga sudah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
"Siasatan awal mendapati sebuah motosikal berkenaan berhenti di lorong kecemasan di bawah jejambat untuk berteduh sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta.
"Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kemalangan itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun HS Lee di talian 03-2071 9999, Hotline JSPT Kuala Lumpur di 03-2026 0267/0269 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.
Sumber: Harian Metro
|