

Keadaan kereta yang terlibat dalam kemalangan di Jambatan Sungai Batu, Kampung Tapah, hari ini. - Gambar JBPM Sarawak
KUCHING: Tiga individu dilaporkan cedera dalam kemalangan di Jambatan Sungai Batu, Kampung Tapah di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.16 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan terus dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kemalangan, didapati dua mangsa telah keluar sendiri dari dalam kereta, manakala seorang mangsa masih tersepit di bahagian pemandu.
“Pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, ketiga-tiga mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Seterusnya kerja-kerja pembersihan sisa-sisa kemalangan dijalankan hingga selesai,” katanya.
|