'Tiada siapa pertikai pengorbanan keluarga Lim tapi ramai veteran lain juga berikan segala-galanya untuk parti'
Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Februari 19, 2025 @ 8:06pm [email protected]

Datuk Seri Phee Boon Poh. - Foto ihsan Facebook
GEORGETOWN: Seorang pemimpin veteran DAP Pulau Pinang hari ini menyuarakan pandangan bahawa tiada pihak mempertikaikan pengorbanan 'keluarga Lim', namun menegaskan veteran lain turut berkorban demi kepentingan parti itu.
Datuk Seri Phee Boon Poh yang juga bekas EXCO Pulau Pinang itu berkata, beliau percaya sudah tiba masanya memberi peluang kepada generasi baharu untuk memacu parti ke arah yang baharu pada masa depan.
"Saya sendiri telah melakukan banyak pengorbanan dan sumbangan kewangan untuk memastikan DAP Pulau Pinang terus bertahan pada masa yang paling teruk dan saya melakukannya dengan rela hati tanpa mengharapkan ganjaran atau pengiktirafan.
"Kita mesti menerima parti tidak berhutang dengan kita," katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook beliau, hari ini.
Keluarga Lim merujuk kepada keluarga Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Guan Eng dan bapanya Tan Sri Lim Kit Siang yang mengumumkan persaraan beliau pada 2022 selepas berkecimpung dalam arena politik selama 56 tahun.
Boon Poh berkata, Kit Siang dan veteran lain banyak berkorban untuk parti dan pastinya perkara itu tidak dapat dinafikan dengan kelangsungan DAP melalui masa yang paling sukar adalah hasil usaha kolektif, darah, keringat dan air mata.
"Guan Eng dipenjarakan kerana parti dan kita semua berdiri di sisinya ketika dia melalui ujian dan kesusahan. Segala pengorbanan Guan Eng dan bapanya demi perjuangan tidak akan dilupakan parti.
"Tetapi kita juga harus ingat bahawa selepas dibebaskan, Guan Eng menjadi Setiausaha Agung parti pada 2004 dan terus memegang jawatan itu sehingga 2022. Pada 2008, beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan Ketua Menteri Pulau Pinang.
"Pada 2018, beliau juga menjadi Menteri Kewangan berbangsa Cina pertama yang memegang jawatan itu sejak 1974. Sejak 2022, Lim Hui Ying menjadi Ahli Parlimen Tanjong dan Timbalan Menteri Pendidikan dan kemudiannya Timbalan Menteri Kewangan," katanya.
Terdahulu, Boon Poh, 73, mengumumkan keputusan berundur sebagai calon Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18 akan datang dan berterima kasih atas kepercayaan cawangan DAP yang mencalonkan dirinya.
Menurutnya, beliau pada ketika ini telah mengambil setiap peluang untuk melatih bakat baharu seterusnya menjadikan mereka pemimpin masa hadapan.
"Itulah sebabnya saya tidak mencari jawatan kepemimpinan lebih lanjut dan mahu generasi pemimpin seterusnya menerajui parti pada masa hadapan," katanya.
Katanya, beliau pertama kali dicalonkan sebagai calon DAP pada 1990 dan telah berkhidmat selama lima penggal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dan tiga penggal sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
"Pada tahun 1990-an ketika saya mula-mula bertanding, DAP bukan sahaja berperang pada setiap Pilihan Raya Umum (PRU) tetapi dalam perjuangan harian untuk terus hidup.
"Ramai veteran parti akan mengingati bagaimana kami perlu memastikan obor terus menyala dan jentera parti berfungsi walaupun dana dan tenaga kerja kami terhad pada masa itu," katanya.
https://www.bharian.com.my/berita/politik/2025/02/1363388/tiada-siapa-pertikai-pengorbanan-keluarga-lim-tapi-ramai-veteran-lain
|