Ada lipas di ruang dapur, premis makanan ditutup 14 hari
Oleh Zuhainy Zulkiffli - Disember 20, 2024 @ 4:26pm
[email protected]
Penemuan lipas di ruang dapur menyebabkan sebuah premis makanan di Bukit Jambul, di sini, diberi notis penutupan selama 14 hari. - Foto NSTP/ ihsan MBPP
GEORGETOWN: Sebuah premis makanan di Bukit Jambul di sini, diberi notis penutupan 14 hari berkuat kuasa semalam, susulan penemuan lipas di ruang dapur.
Ketika diperiksa menerusi Operasi Kebersihan Establisymen Makanan, ruang dapur premis berkenaan berada dalam keadaan tidak memuaskan.
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan berkata, operasi yang dikendali Jabatan Pelesenan dan Unit Tred, Industri dan Establisymen Makanan Zon Selatan itu berlangsung hampir lima jam.
"Lapan premis di kawasan itu diperiksa dan satu daripadanya diberi notis penutupan.
"Arahan penutupan dibuat berdasarkan penemuan lipas dan ruang dapur yang tidak memuaskan," katanya.
MBPP berkata, lima notis tawaran kompaun (NTK) dikeluarkan dalam operasi itu berdasarkan pelbagai kesalahan.
Antaranya meletak bahan makanan kurang 20 sentimeter dari lantai, tandas tidak bersih dan tidak mengambil langkah sesuai bagi mengelak makanan tercemar.
"Pemantauan dan pemeriksaan mengejut ke semua premis makanan di bahagian pulau negeri ini diteruskan bagi memastikan kebersihannya dan mencapai piawaian pemarkahan ditetapkan.
"Selain mengenai aspek kebersihan, peringatan juga diberi kepada peniaga mengenai larangan penggunaan penyedut minuman plastik di premis makanan dan minuman yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober lalu," katanya.
|