Antara yang diperiksa dalam Operasi Samseng Jalanan di Sibu, malam Jumaat.
SIBU: Dua remaja lelaki masing-masing berusia 18 tahun ditahan polis dalam Operasi Samseng Jalanan yang dijalankan oleh sepasukan polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu malam Jumaat.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata, dalam operasi yang dijalankan antara jam 5 petang hingga jam 3 pagi Sabtu, turut ditahan ialah lima motosikal untuk tujuan dokumentasi.
"Operasi dijalankan di sekitar Taman Permai, Jalan Bujang Suntong dan Jalan Ramli Amit di sini.
"Dalam operasi itu, dua lelaki tempatan masing-masing berumur 18 tahun ditahan kerana telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam operasi tersebut katanya, sejumlah lapan lelaki tempatan telah diperiksa dan 26 keping saman dikeluarkan.
"Saman yang dikeluarkan adalah atas pelbagai kesalahan, antaranya kesalahan tiada lesen memandu, ubah suai struktur, ubah suai ekzos, tiada cermin sisi, nombor plat ranggi, tiada plat nombor, lesen kenderaan motor tamat tempoh dan aksesori tidak sempurna," tegasnya.
Justeru, Zulkipli menasihatkan orang awam supaya mematuhi undang-undang jalan raya.
"Ibu bapa juga disaran supaya pantau dan peka dengan aktiviti anak mereka agar tidak terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang," tambahnya.
|