CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 22062|Reply: 0

[Sarawak] Perhebat kerjasama strategik upacara naikkan bendera Ibu Pertiwi

[Copy link]
Post time 19-11-2024 12:15 PM | Show all posts |Read mode


Awang Tengah bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan selepas menyempurnakan upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi bagi edisi bulan November di Dataran Ibu Pertiwi hari ini. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi setiap bulan di Dataran Ibu Pertiwi di sini, perlu diperhebat melalui kerjasama strategik dengan pihak hotel dan pemain industri pelancongan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini kerana upacara itu bukan sahaja meningkatkan semangat patriotisme tetapi juga, dapat mempromosikan kebudayaan dan kepelbagaian etnik unik di Sarawak.

Kepelbagaian itu katanya, mampu menarik minat pelancong seperti persembahan tarian hari ini yang melibatkan suku kaum dari Utara Sarawak seperti Kedayan, Bisaya, Tagal, dan Lun Bawang.

“Justeru, saya berpandangan acara ini harus diadakan dengan kerjasama pihak berkepentingan yang ada. Mungkin dengan pihak hotel, supaya pelanggan yang menginap tahu tentang acara ini.

“Malah, kita perlu memastikan acara ini dijadualkan secara tetap, sama seperti upacara pertukaran pengawal atau Changing of the Guards di Istana Buckingham, London, yang menjadi tarikan pelancong setiap hari," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi bagi edisi bulan November di Dataran Ibu Pertiwi di sini, hari ini.

Melalui kerjasama seumpama ini, Awang Tengah yakin, bukan sahaja pelancong bahkan masyarakat tempatan juga dapat menikmati kepelbagaian budaya Sarawak melalui upacara sedemikian.

Sementara itu, beliau mengucapkan tahniah kepada pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) atas inisiatif mereka mengadakan upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi pada hari Ahad pertama setiap bulan.

“Acara ini kita lakukan secara bergilir-gilir dengan penglibatan pelbagai agensi kerajaan dan hari ini, giliran Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) dan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Perindustrian dan Pelaburan (MINTRED) bersama DBKU,” katanya.

Terdahulu, upacara menaikkan bendera kali ini diserikan dengan persembahan khas tarian etnik Kedayan, Lun Bawang, Bisaya, dan Tagal serta seni silat.

Selain itu, tarian tradisional, muzik etnik, dan persembahan seni ini juga mencerminkan kepelbagaian budaya di Sarawak yang sekali gus menggambarkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Upacara menaikkan bendera Ibu Pertiwi yang diadakan setiap bulan ini adalah sebagai tanda menzahirkan rasa hormat terhadap lambang kedaulatan Sarawak.

Negeri ini juga telah melakar sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi Tiang Bendera Ibu Pertiwi yang mencatatkan rekod tertinggi di Asia Tenggara, sekali gus di Malaysia, dengan ketinggian 99.4 meter.

Turut hadir memeriahkan acara itu ialah Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh dan Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.

Hadir sama, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Menteri Tenaga Dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Hipni, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Datuk Bandar DBKU Dato Hilmy Othman dan tetamu kehormat lain.


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

24-11-2024 04:15 AM GMT+8 , Processed in 0.328673 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list