Operasi kesan kenderaan lepas asap tak patuh standard, motosikal bunyi bising
Nur Izzati Mohamad - November 17, 2024 @ 11:57am [email protected]
Pengarah JAS Pulau Pinang, Norazizi Adinan melihat anggotanya melakukan pemeriksaan paras bunyi motosikal di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, malam tadi. - NSTP/Danial Saad
BUTTERWORTH: Sebanyak 370 kenderaan berenjin diesel, termasuk bas kilang dan 271 motosikal diperiksa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang menerusi Ops Gerak Kenderaan, bermula Rabu lalu.
Daripada jumlah itu, 39 kenderaan berenjin diesel dan 38 motosikal telah diuji sebelum 28 notis arahan ujian semula dikeluarkan terhadap 28 kenderaan berenjin diesel dan tujuh motosikal.
Pengarah JAS negeri, Norazizi Adinan, berkata sebanyak 17 kompaun bernilai RM34,000 turut dikeluarkan kepada pemilik kenderaan berenjin diesel terbabit, manakala enam kompaun terhadap pemilik motosikal.
"Kompaun ke atas pemilik motosikal bernilai keseluruhan RM1,800," katanya yang ditemui media ketika menyertai operasi berkenaan Jambatan Pulau Pinang, di sini malam tadi.
Katanya, operasi sempena Hari Ozon Sedunia itu bertujuan meningkatkan penguatkuasaan dan pemeriksaan bagi memastikan kenderaan mematuhi standard pelepasan asap supaya tidak mengakibatkan pencemaran alam sekitar.
"Gerakan ini juga fokus kepda bunyi bising motosikal dan operasi kenderaan perdagangan bagi memastikan motosikal tidak melepaskan bunyi melebihi paras maksimum yang dibenarkan," katanya.
Selain Jambatan Pulau Pinang, operasi turut diadakan di tiga lagi lokasi, iaitu Plaza Tol Sungai Dua (arah selatan), Stesen Penguatkuasaan Valdor (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan Lebuhraya Dr Lim Chong Eu berhampiran Seagate.
Sementara itu, Norazizi berkata, pihaknya mengeluarkan 187 tawaran kompaun bernilai RM374,000 terhadap pemilik kenderaan atas pelbagai kesalahan berkait pencemaran bunyi dan asap sejak Januari hingga semalam.
"Kompaun dikeluarkan menerusi 57 operasi penguatkuasaan pelepasan asap kenderaan berenjin diesel dan petrol serta kawalan pelepasan bunyi bising serta gas daripada motosikal.
"JAS Pulau Pinang turut membuka 170 kertas siasatan, 69 Notis Arahan di bawah Seksyen 31, 209 Notis Arahan Seksyen 48A serta 33 Perintah Larangan sepanjang tempoh pelaksanaan operasi penguatkuasaan terbabit," katanya.
Beliau juga meminta kerjasama orang awam melaporkan kes berkait pencemaran alam sekitar dengan menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui portal aduan JAS di laman [email protected].
https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2024/11/1324979/operasi-kesan-kenderaan-lepas-asap-tak-patuh-standard-motosikal-bunyi
|