|
M Kumar menunjukkan dadah yang diseludup dalam paket minuman 3in1 berjenama pada sidang media di IPK Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan.
Johor Bahru: Lima individu termasuk dua beranak ditahan dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini, selepas disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, dalam tiga serbuan antara 12 tengah malam hingga 9.30 pagi, 31 Julai lalu, polis turut merampas sejumlah dadah bernilai lebih RM1.85 juta.
Katanya, sindiket yang aktif sejak sebulan lalu itu mendapatkan bekalan dadah dari negara jiran sebelum membungkusnya semula ke dalam pek minuman berjenama terkenal untuk diedar ke pasaran tempatan.
"Kita telah menyerbu tiga rumah teres yang disewa ahli sindiket dan berjaya menahan tiga lelaki tempatan serta dua wanita yang berusia antara 28 hingga 59 tahun.
"Dalam serbuan pertama, dua suspek dipercayai sepasang kekasih ditahan yang mana mereka adalah 'runner' kepada tangkapan di serbuan kedua, iaitu ibu dan anak yang juga 'supervisor' dalam sindiket ini, manakala seorang lagi ahli sindiket ditahan dalam serbuan ketiga.
"Kita syak kepakaran sindiket ini adalah dalam pengedaran ekstasi dan sasarannya adalah pasaran tempatan serta pusat-pusat hiburan.
"Jika dulu, ada sindiket membungkus semula dadah dalam pek minuman jus, sindiket kali ini pula menggunakan pek minuman tiga dalam satu (3 in 1) yang berjenama untuk mengaburi mata pihak berkuasa," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Menurut Kumar, pihaknya kini giat mengesan seorang lelaki tempatan yang sudah dikenal pasti dan dipercayai ketua sindiket yang masih bebas.
Katanya, hasil serbuan, polis merampas 10,920 gram ekstasi, 95 gram ketamin, 3.45 gram syabu, 24.12 gram pil ekstasi dan 155 gram pil erimin 5 yang keseluruhannya bernilai RM1,857,019.
"Semua dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 37,496 orang penagih, jika terlepas ke pasaran," katanya.
Selain itu katanya, polis menyita empat kereta, sebuah motosikal, wang tunai RM75,506, not mata wang asing Dolar Singapura dan Hong Kong serta Yuan China, selain pelbagai jenis barang kemas dan jam tangan.
"Jumlah nilai rampasan dan sitaan adalah sebanyak RM2,388,335," katanya.
Kumar berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada suspek positif dadah benzodiazepines, manakala dua daripada mereka ada rekod kesalahan lampau berkait dadah.
"Mereka telah ditahan reman selama tujuh hari dan reman itu disambung tiga hari lagi mulai hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
sumber
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|