Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (dua dari kiri). FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Johor Bahru : Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih meneruskan siasatan membabitkan kes serangan simbah asid terhadap pemain bola sepak, Faisal Halim.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) PDRM, Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain berkata, risikan berterusan pihak polis masih lagi berjalan berhubung insiden itu.
Katanya meskipun tanpa perkembangan terbaru, tidak bermakna, pihak polis berhenti membuat siasatan.
"Belum ada perkembangan terbaru tetapi saya hendak tekankan di sini, tiada perkembangan bukan bermaksud kita berhenti menyiasat kes ini.
"Dengan segala komitmen yang dilakukan pegawai saya, kita tidak pernah berhenti mencuba. Perkembangan mungkin tidak seperti mana yang kita harapkan, buat masa ini kita bergantung kepada risikan.
"Bila kita merisik kita berhubung dengan 'dark side of society' orang yang melakukan perkara sedemikian, kalau kita beri perkembangan bermaksud memberikan mereka cahaya terang," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pasukan Polis Singapura (SPF) di Bangunan Sultan Iskandar di sini, hari ini.
Bulan lalu, Peguam Selangor FC Haijan Omar dilaporkan mendedahkan, anak guamnya yang juga tonggak Harimau Malaya Faisal Halim tidak dimaklumkan perkembangan siasatan kes simbah asid yang berlaku pada 5 Mei lalu.
Namun begitu, pihaknya yakin polis sedang melakukan siasatan secara profesional dalam usaha mengheret pelaku ke muka pengadilan.
Pada 5 Mei lalu, Pemain Selangor FC dan Harimau Malaya itu disimbah asid oleh individu tidak dikenali dan mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan.
|