Abang Johari menerima cenderamata daripada Dr Azman pada majlis perasmian Persidangan Serantau Kedua mengenai Pemuliharaan Agrobiodiversiti dan Penggunaan Lestari 2024 di Kuching, hari ini.
KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat Jepun untuk meneroka kemungkinan menghasilkan produk farmaseutikal menggunakan alga yang ada di negeri ini. Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, syarikat yang terlibat dikenali sebagai Chitose Group. "Sarawak kini bekerjasama dengan Chitose Group untuk menghasilkan produk farmaseutikal berdasarkan penyelidikan logik melalui alga kita," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Serantau Kedua mengenai Pemuliharaan Agrobiodiversiti dan Penggunaan Lestari (RAC2) 2024 di sebuah hotel di sini, hari ini. Selain itu, Abang Johari berkata, Sarawak juga telah menjalankan penyelidikan mengenai alga dan berjaya menghasilkan bahan api berasaskan alga yang merupakan bahan api penerbangan mampan (SAF) untuk kegunaan pesawat. "Ini (kejayaan) jelas membuktikan banyak perkara kita dapat bangunkan dengan teknologi, biodiversiti dan kelestarian. "Maka, saya sarankan agar kita terus membuat penyelidikan misalnya dalam bidang agrobiodiversiti. "Tambahan pula, kita (Sarawak) mempunyai Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) di mana kita memulihara biodiversiti kita yang kaya selain melakukan penyelidikan dan produk untuk kegunaan ramai," katanya. Beliau turut menekankan peranan penting penyelidikan dan teknologi dalam pertanian dan industri makanan. "Teknologi adalah penting dan Malaysia terkenal akan perkara itu serta mempunyai budaya penyelidikan yang baik. "Himpunan daripada hasil kajian adalah penting untuk meningkatkan pengeluaran dan hari ini ia harus lestari menerusi pembangunan dan penyelidikan," katanya. Terdahulu, Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Dr Azman Ismail dalam ucapannya berharap persidangan itu akan memberi peluang kepada peserta meneroka jalan baharu untuk kerjasama dan inovasi dalam bidang agrobiodiversiti. RAC2 yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini dianjurkan oleh MARDI dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta kerajaan Sarawak. Seramai 185 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, penggubal dasar, ejen pengembangan, penyelidik, usahawan, ahli akademik, pelajar, pengurus ladang dan anggota sektor swasta. Persidangan itu memberi tumpuan kepada tema dan topik kritikal seperti Mengurus Agrobiodiversiti dalam Perubahan Iklim, Kawalan Biologi dan Kejuruteraan Ekologi, Penggunaan Sumber Agrobiodiversiti dan Alternatif dan Tanaman Berpotensi untuk Keselamatan Makanan.
|