|
MANGSA yang tidak sedarkan diri dibawa pulang ke rumahnya sebelum dibawa ke hospital di Kampung Sungai Sekin di Lipis, hari ini.
LIPIS – Hasrat seorang pemuda orang asli untuk menjual rotan bagi membeli barangan dapur yang sudah habis tidak kesampaian apabila dia maut selepas ketika dalam perjalanan membawa rotan pulang ke rumahnya di Kampung Sungai Sekin, di sini hari ini.
Tok Batin Kampung Sungai Sekin, Atong Manis berkata, mangsa Johan Les,37, bersama isterinya serta enam orang penduduk keluar berjalan kaki ke dalam hutan bagi mencari rotan pada pukul kira-kira pukul 8.30 pagi.
“Saya diberitahu oleh isterinya, suaminya cuma menebang sebanyak lima batang rotan sahaja dan mengheret keluar dengan mendaki bukit pulang ke rumah.
“Seorang rakannya memberitahu Johan mengadu sangat letih dan berasa sakit bahagian dada lantas mahu berehat di sebuah tempat semasa dalam perjalanan pulang lalu meminta isterinya pulang dahulu.
“Sampai di rumah, isterinya tunggu agak lama tapi Johan belum muncul dan dia mula berasa tak sedap hati lalu bersama penduduk menyusuri semula ke tempat Johan berehat sebelum nampak Johan tak sedarkan diri,” katanya.
Menurutnya penduduk kampung kemudian membawa mangsa pulang ke rumahnya sebelum mereka membuat aduan kepada pihak polis.
Dalam pada itu, katanya kali terakhir bertemu dengan mangsa adalah pada sebelah malam apabila mangsa memberitahu mahu masuk hutan kerana sudah tidak ada wang untuk membeli barang dapur.
“Saya sudah lihat perangai dia yang tidak banyak bercakap dan muram seperti selalunya ketika berbual kadang-kadang sehingga lewat tengah malam seolah-olah ada sesuatu yang bakal dihadapinya,”katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man berkata pemeriksaan awal polis ke atas tubuh mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan tiada kesan serangan atau gigitan haiwan.
Katanya berdasarkan bedah siasat mendapati sebab kematian mangsa adalah akibat jangkitan kuman pada paru-paru. – KOSMO! ONLINE
https://www.kosmo.com.my/2024/04 ... -beli-barang-dapur/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|