|
GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mencabar institusi dan perlembagaan negara.
Anwar berkata, ini kerana kerajaan tidak boleh bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang bertindak sedemikian.
“Jadi saya telah tegaskan dan tekankan, kita tidak akan tolak ansur. Tidak peduli siapa, kedudukan dia, parti mana.
”Jangan diugut sekiranya diambil tindakan, apalagi kalau menyentuh 3R (agama, kaum dan raja-raja),” katanya selepas menghadiri taklimat Pembangunan Pulau Pinang di Komtar di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, tonggak institusi negara ini perlu dipertahankan termasuk prinsip Perlembagaan, hak Islam dan bukan Islam.
“Jika menyentuh kedudukan Raja-Raja terutamanya (itu yang dibangkitkan oleh Majlis Raja-Raja), jangan kita bertolak ansur.
“Institusi negara tonggaknya mesti dipertahankan, termasuk prinsip Perlembagaan, hak islam, hak bukan Islam, semua itu tertera dalam Perlembagaan.
“Sekiranya mencabar, kita akan ambil tindakan tegas dan kalau disiasat, ditangkap, didakwa dan dihukum, itu jangan pertikai,” katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, beliau percaya Akmal dipanggil untuk siasatan dan bukannya ditahan polis.
”Saya rasa itu bukan tangkapan, dia (Akmal) dipanggil untuk disiasat,” katanya.
Sumber -KOSMO! ONLINE. |
|