PETALING JAYA – Ramai yang meluahkan perasaan berdepan pengalaman perit berurusan dengan pejabat tanah kerana didakwa perlu mengambil masa lama termasuk berbulan-bulan, namun urusan masih tidak selesai.
Pengalaman tersebut dikongsikan oleh pengguna selepas seorang pegawai perubatan dikenali sebagai Dr. Alpha Zaki memuat naik kandungan video parodi pada TikTok mengenai situasi berurusan di pejabat tanah.'
“Maaf tapi antara tempat paling perit nak berurusan,” katanya pada kapsyen video itu.
Dr. Alpha Zaki turut membalas komen salah seorang pengguna TikTok mengenai pengalamannya berurusan di pejabat tanah.
“Saya masih tunggu tarikh bicara pusaka arwah ayah. Dah 10 bulan tak ada tarikh,” katanya.
Seorang pengguna TikTok dikenali sebagai @syazaizyaniemohd turut memberitahu urusan harta pusaka suaminya yang hampir setahun masih tiada penyelesaian.
“Urusan harta pusaka suami dekat setahun tak selesai. Sibuk sangat barangkali,” katanya kesal.
“Ya Allah boleh sakit jiwa berurusan dengan pejabat tanah. Orang bawah cakap lain, bila telefon jawab lain. Pergi pejabat tanah lain, cakap lain. Jangan sampai aku tabur tanah kubur depan pejabat,” komen @Julzen Iskandar berseloroh.
“Dia orang suka buat kita ulang-alik. Contoh, datang situ nak minta dokumen A, lepas tu dia orang cakap tak perlu pun untuk urusan pusaka. Kita pergi pejabat pusaka, pejabat pusaka minta dokumen A dari pejabat tanah. Lepas tu kena pergi balik minta dengan dia orang. ‘Menyirap’ saja lah,” luah @Aquarium Lady.
Sumber – KOSMO! ONLINE