View: 9312|Reply: 0
|
[Kelantan]
Banjir: Penduduk empat kampung guna bot tambang
[Copy link]
|
|
PENDUDUK dari empat kampung terpaksa menggunakan bot tambang selepas jambatan utama kampung mereka ditenggelami air sedalam lebih dua meter berikutan limpahan air Sungai Nal sejak beberapa hari lalu. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Kuala Krai: Hujan lebat sejak dua hari lalu menyebabkan 500 penduduk dari empat kampung iaitu Kampung Pasir Jering, Kampung Dusun Ban, Kampung Dusun Bunut dan Kampung Batu Pagar, terpaksa menggunakan bot tambang selepas jambatan utama kampung mereka ditenggelami air sedalam lebih dua meter berikutan limpahan air Sungai Nal.
Apabila jambatan utama berkenaan ditenggelami air, penduduk tidak mempunyai jalan alternatif lain dan perlu menggunakan bot tambang, sekiranya mereka mahu keluar untuk melakukan urusan masing-masing.
Pemandu bot tambang, Mohd Azrul Mat Noor, 30, berkata, perkhidmatan bot tambang yang hanya muncul ketika musim banjir seakan menjadi 'talian hayat' kepada penduduk yang terkesan dengan bencana untuk meneruskan rutin harian.
"Saya yang sebelum ini bekerja sebagai buruh mengambil inisiatif dengan menyediakan khidmat bot tambang kepada penduduk sejak awal November lalu ketika bermulanya musim tengkujuh.
"Apabila khidmat diperlukan, saya akan mengemudi bot merentasi Sungai Nal sejauh satu kilometer untuk membawa penduduk yang mahu keluar membeli keperluan dan bayaran yang dikenakan pula bergantung kepada keikhlasan hati mereka.
"Wang tambang diberikan penduduk digunakan untuk membeli dan mengisi minyak petrol setiap kali berulang-alik mengambil penumpang yang memerlukan khidmat bot tambang," katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Jering di sini.
Bapa kepada dua anak berusia dua hingga lapan tahun ini berkata, dia yang memiliki tiga tahun pengalaman mengakui berhadapan dengan cabaran ketika musim tengkujuh berikutan arus sungai yang deras dan perlu sentiasa berwaspada bagi memastikan keselamatan penumpang.
"Selain saya, terdapat seorang lagi bot tambang yang beroperasi dan turut sama membantu memudahkan urusan penduduk," katanya.
Penduduk, Mohd Khairi Yusof, 41, berkata, dia bersyukur kerana ada individu yang menyediakan perkhidmatan bot tambang untuk memudahkan urusan penduduk di sini yang akan terperangkap setiap kali musim banjir.
"Pada petang semalam, saya terpaksa menggunakan khidmat bot tambang untuk menjenguk keadaan ibu, Nik Yam Nik Mat, 73, yang tinggal di Kampung Kebun Pisang.
"Dengan adanya perkhidmatan bot tambang ini, saya dan penduduk yang terperangkap tidak akan berasa gusar untuk keluar ke bandar sekiranya mempunyai urusan penting," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ng-guna-bot-tambang |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|