KUALA TERENGGANU: Paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu terus menunjukkan trend peningkatan akibat hujan berterusan sejak semalam.
Empat sungai merekodkan bacaan melepasi paras bahaya, tujuh sungai lagi lepasi paras amaran dan lima sungai pada paras waspada.
Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, dua sungai di Setiu serta satu masing-masing di Hulu Terengganu dan Kemaman direkodkan melepasi paras bahaya.
Ia membabitkan Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu yang merekodkan bacaan 21.74 meter (m) dan Sungai Setiu di Kampung Besut dengan bacaan 17.73 m.
Di Hulu Terengganu, Sungai Telemong di Kuala Ping berada pada paras 20.11 m berbanding paras normal 16.5 m.
Turut mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya adalah Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman dengan bacaan 18.66 m.
Sementara itu, tujuh sungai yang melepasi paras amaran membabitkan dua di Besut, dua di Hulu Terengganu serta masing-masing satu di Setiu, Dungun dan Kemaman.
Sungai Besut di Jambatan Keruak dan Sungai Besut di Kampung La di Besut masing-masing berada pada paras 34.69 m dan 20.98 m.
Di Setiu, ia membabitkan Sungai Nerus di Kampung Bukit dengan bacaan 12.05 m manakala Sungai Berang di Kampung Menerong (24.23 m) dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu (20.10) di Hulu Terengganu juga melepasi paras amaran.
Turut melepasi paras amaran adalah Sungai Dungun di Jambatan Jerangau , Dungun yang berada pada paras 12.13 m manakala di Kemaman, Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik pula mencatatkan bacaan 2.07 m.
Lima lagi sungai yang merekodkan bacaan melepasi paras waspada adalah dua sungai di Setiu, satu di Kuala Nerus, satu di Marang dan satu di Kemaman.