Penyanyi rock, Zul Handy Black mengakui belum bersedia kembali ke dunia lakonan meskipun ada menerima tawaran tersebut.
Zul atau nama sebenarnya, Nurzul Suphia’an Sa’aban, 48, berkata ketika ini dia mengubati kerinduan terhadap bidang seni dengan mempromosikan medium dakwah buat rujukan masyarakat.
"Masa saya hijrah dulu, kalau ikutkan nak tarik diri dari dunia mainstream, tapi pandangan ustaz-ustaz yang kita rujuk kata boleh teruskan bidang nyanyian dalam menyebarkan dakwah.
"Memang saya ada terima tawaran berlakon tahun ini untuk watak ustaz tapi buat masa ini belum bersedia, tetapi akan datang kita tak tahu," ujarnya.
Ketika ditanya mengenai pandangan dirinya berkaitan pelakon melakonkan babak panas yang tular baru-baru ini, penyanyi lagu terkenal, Kau Yang Bernama Seri itu menjelaskan matlamat tidak menghalalkan cara.
“Untuk mereka yang masih aktif dalam bidang ini, mungkin jawapan itu boleh di guna pakai. Bagi saya pula mungkin itu alasan untuk saya menangguhkan penglibatan semula ke dunia lakonan.
"Saya bukan siapa-siapa untuk beri nasihat. Cuma apa yang saya faham selepas merujuk kepada ahli ulama dan ustaz, dalam usaha kerja kita ini, matlamat tidak menghalalkan cara.
“Dengan teguran dan pandangan macam itu, buatkan saya banyak menapis untuk kembali ke bidang seni,” tambahnya.
Dalam perkembangan sama, Showcase Ulang Tahun ke 10 Zul Handy Black & Assalam Buskers dilaksanakan bagi meraikan kejayaan mereka dalam bidang nyanyian dakwah.
Sumber: Utusan
|