View: 8549|Reply: 0
|
[Terengganu]
Ingatkan kerja ular sawa, rupanya harimau kumbang
[Copy link]
|
|
Seekor lembu ternakan Suhaiman yang mati dipercayai akibat dibaham harimau kumbang.
DUNGUN – Dua penternak berputih mata apabila lapan ekor lembu ternakan mereka mati dibaham haiwan buas dipercayai harimau kumbang di Kampung Bukit Beruk, Lintang di sini sejak dua minggu lalu.
Salah seorang penternak terbabit dikatakan trauma apabila menyaksikan sendiri seekor anak lembu peliharaannya dibaham oleh harimau kumbang pada Selasa lalu.
Suhaiman Mohamad, 67, berkata, sebelum ini, seekor demi seekor lembu ternakan penduduk hilang tanpa diketahui puncanya sejak akhir bulan lalu.
“Pada mulanya, kami mengesyaki haiwan ternakan yang hilang itu ditelan ular sawa.
“Kami mengambil inisiatif memasang pukat untuk menangkap ular sawa, namun semua tanda tanya itu akhirnya terjawab pada Selasa lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Beruk, Lintang di sini semalam.
Suhaiman membersihkan kandang lembu selepas berlaku ancaman harimau kumbang di Kampung Bukit Beruk, Lintang, Dungun.
Suhaiman memberitahu, rakannya melihat sendiri seekor harimau kumbang menerkam anak lembu sebelum membaham haiwan tersebut.
Dia berkata, bangkai lembu itu kemudiannya ditinggalkan dalam kawasan ladang kelapa sawit yang merupakan lokasi mereka menternak haiwan tersebut.
“Ini pertama kali harimau kumbang mengganas menyerang haiwan ternakan sejak lima tahun kami mula mengusahakannya.
“Serangan ini menakutkan kami bukan sahaja bimbang keselamatan lembu ternakan malah kami sendiri,” katanya.
Suhaiman berharap pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera menangkap harimau kumbang yang sedang mengganas tersebut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah melakukan siasatan dan akan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera.
https://www.kosmo.com.my/2023/12 ... -baham-lapan-lembu/ |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|