CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 29559|Reply: 0

[Kelantan] Pertembungan dua sungai punca banjir di Rantau Panjang

[Copy link]
Post time 8-12-2023 03:37 PM | Show all posts |Read mode
Pertembungan dua sungai punca banjir di Rantau Panjang

oleh ADILA SHARINNI WAHID   08 Disember 2023    03:12pm





Pengangkutan bot digunakan ketika banjir. - Foto Sinar Harian



RANTAU PANJANG - Pertembungan dua sungai antara Sungai Lanchang dan Sungai Golok di Tersang menyebabkan lebih 1,000 penduduk setempat berdepan banjir sedalam hingga lebih tiga meter (m) sejak dua minggu lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, keadaan bertambah buruk apabila berlaku banjir termenung kerana hujan dan limpahan sungai ke kampung-kampung yang mengambil masa hampir sebulan untuk surut.



Seorang kontraktor, Sabri Mohamad, 55, berkata, keadaan bentuk muka bumi kawasan itu yang lebih rendah juga menyebabkan banjir kerap berlaku pada setiap tahun termasuk dua kali dalam tempoh terdekat pada penghujung bulan lalu dan awal bulan ini.

“Kawasan ini sememangnya rendah dan ada pula pertembungan Sungai Lachang dan Sungai Golok.


“Apabila hujan, air dari kawasan Tok Uban penuh dan tidak boleh keluar ke Sungai Golok yang juga penuh mengakibatkan beberapa kampung di pinggir sungai seperti di Kampung Tersang, To’Deh dan Banggol Ubi Keling serta sebahagian di Lanchang ditenggelami air hingga 3m,” katanya ketika ditemui di Kampung Tersang di sini, pada Jumaat.


Hamidin menunjukkan tandas yang hanya kelihatan bumbung kerana ditenggelami banjir. - Foto Sinar Harian




Ujar Sabri, pihak kerajaan membina pembentung di Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1 namun tidak mencukupi untuk menampung aliran air yang terlalu banyak.

“Sebanyak 10 pembentung sahaja tidak memadai memandangkan air sungai melimpah terlalu cepat apabila hujan dan air pula terperangkap di kampung-kampung menjadi banjir termenung.




“Saya mohon pihak berwajib mengambil langkah alternatif untuk menyelamatkan keadaan kerana penduduk terpaksa berdepan banjir termenung yang mengambil masa hingga lebih tiga minggu untuk pulih,” ujarnya.

Sementara itu, seorang penoreh getah, Abdul Rahman Awang Senik, 55, berkata, banjir terburuk pernah berlaku pada Disember tahun lalu apabila rumah ditenggelami air sedalam lebih 7m dengan hanya menampakkan bumbung.

“Saya kerugian lebih RM10,000 selepas harta benda seperti peti sejuk, almari dan katil musnah banjir.



“Sejak kejadian itu, sudah tidak membeli apa-apa perabot di rumah dan banjir kali ini pula setinggi 0.6 meter di dalam rumah manakala di luar rumah cecah 3m,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Hamidin Omar, 57, berkata, walaupun keadaan rumahnya sudah dibina dengan lebih tinggi, air tetap memasuki ruangan dalam rumah menyebabkan dia bersama isteri dan dua anak berpindah ke pusat pemindahaan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan To’Deh.

“Rumah saya sudah berketinggian lebih 2m tetapi tetapi dimasuki air kerana banjir yang sangat dalam manakala tandas terletak bersebelahan rumah tenggelam sepenuhnya.

“Ketika mangsa lain sudah boleh balik, kami masih di PPS kerana keadaan berbahaya untuk berada di rumah kerana air lebih 4m di kawasan sekeliling rumah,” katanya.



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-11-2024 09:45 PM GMT+8 , Processed in 0.074425 second(s), 13 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list