|
TFC gigih jalani latihan di bawah kendalian Steinbruckner. FOTO Terengganu FC
Kuala Terengganu: Bekas kapten skuad Terengganu yang menjulang trofi Piala Malaysia 2001, Zulharisham Awang menitipkan pesanan buat pemain skuad Penyu menjelang pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT), di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jumaat ini.
Jelasnya, pemain usah gentar dan berjuang habis-habisan hingga ke wisel penamat biarpun bakal berdepan dengan gergasi Liga Malaysia (Liga M) itu.
Menurut pemain berusia 48 tahun itu, skuad kendalian Tomislav Steinbruckner juga berpeluang untuk mengulangi pencapaian sebagaimana musim 2001 kerana pernah menumpaskan kelab itu sebelum ini dalam aksi Liga Super.
Namun katanya, pemain perlu beraksi sebagai satu pasukan selain mengikut perancangan barisan kejurulatihan.
"Bagi saya kedua-dua pasukan berpeluang untuk muncul juara biarpun skuad Harimau Selatan itu sebagaimana kita tahu serba lengkap di setiap posisi selain bertaraf Asia.
"Tapi aksi final adalah perkara berbeza, setiap langkah juga berbeza, lagipun masing-masing bermain dengan 11 pemain, jadi tiada yang mustahil, malah TFC juga ada kualitinya yang tersendiri sehingga kini menghuni di tangga kedua Kumpulan G saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
"Namun pesanan saya buat pemain TFC usah gentar berdepan pihak lawan, sebaliknya berjuang sehingga minit terakhir perlawanan, lagipun 'pemain ke-12' sentiasa memberikan tonik tambahan buat mereka.
"Saya harap trofi itu dapat dibawa balik semula ke bumi Terengganu selepas kali terakhir pada 22 tahun lalu selepas menumpaskan Perak 2-1," kata kapten yang dilabel 'kereta kebal' itu.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... h-gentar-gempur-jdt |
|