|
Batu Pahat: "Sebaik mahu buka pintu pagar, saya ternampak sebuah kereta terbabas dengan lampu masih menyala.
"Saya terus menghubungi polis memaklumkan perkara itu," kata pengawal keselamatan ladang sawit susulan penemuan mayat seorang lelaki selepas 12 jam terbabit dalam kemalangan di Jalan Kampung Rahmat-Sri Gading di sini, pagi semalam.
Kemalangan dipercayai berlaku 10 malam kelmarin namun mayat mangsa, Lee Wee Sheng, 39, yang pemandu Toyota Corolla hanya ditemukan pada 10 pagi semalam.
Difahamkan, mangsa berseorangan dipercayai terbabas sebelum kereta dipandunya 'melekat' pada tembok simen dalam parit di ladang terbabit.
Pada masa sama, mayat pemandu kereta itu didapati sudah 'keras' selepas pasukan bomba dan penyelamat berjaya mengeluarkannya daripada tersepit di tempat duduk pemandu.
Pengawal keselamatan yang enggan dikenali berkata, dia menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan kerana menyangka ada orang di dalamnya.
"Tidak lama kemudian, polis tiba di lokasi dan mendapati ada mangsa di dalamnya namun sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal mendapati mangsa dari Jalan Kluang menghala ke Jalan Tanjung Laboh, di sini.
Beliau berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit.
"Mangsa parah di kepala serta organ dalaman, meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat.
"Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu atau membahayakan," katanya.
KEADAAN kereta mangsa 'melekat' pada tembok simen selepas terbabas di Jalan Kampung Rahmat-Sri Gading, di Batu Pahat, pagi semalam. FOTO Alias Abd Rani
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... s-12-jam-kemalangan |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|