|
|
Bukan tak sayang Malaysia!
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
[email protected]
ZATUL IFFAH dan keluarga berhijrah ke Melbourne, Australia sejak Jun lalu.
Kuala Lumpur: Sanggup berkorban menahan rindu berjauhan berpuluh ribu batu dengan keluarga tersayang demi mencari rezeki di negara orang.
Malah, lebih 'gila' ada yang sanggup meninggalkan kerjaya yang sudah berada di kemuncak dan gaji lumayan di tanah air semata-mata untuk membina kehidupan baharu di negara luar.
Apabila menyentuh mengenai isu berani berhijrah untuk mencari rezeki di luar negara, pasti ramai yang akan mengaitkan dengan pepatah 'hujan emas di negara orang, hujan batu di negeri sendiri.'
Namun setiap daripada individu ini mempunyai impian dan cita-cita masing-masing dan bukan hanya atas faktor tarikan wang semata-mata.
Apa yang membezakan hanyalah sejauh mana seseorang itu mampu dan mahu berkorban demi menggapai impian berkenaan.
Ini dibuktikan pasangan Zatul Iffah Fakharuldin, 30, dan suami, Mohd Azmeer Faiq Mohd Rusli yang sanggup berhenti kerja serta meninggalkan kehidupan selesa di Kuala Lumpur untuk memulakan kehidupan baharu di bumi Melbourne, Australia.
Zatul Iffah melepaskan jawatan sebagai ketua jabatan media kreatif dan pemasaran digital dengan gaji lumayan di sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) demi merealisasikan impiannya memulakan kehidupan di luar negara.
Ia bukan keputusan yang mudah namun Zatul Iffah mengakui, itulah pengorbanan yang perlu dilakukan.
Katanya, sebelum berkahwin, suaminya pernah menerima tawaran kerja di Australia namun terpaksa menolak kerana mereka akan mendirikan rumahtangga selain penularan wabak Covid-19 baru sahaja bermula.
"Pada tahun 2021, saya juga mendapat tawaran menyambung pengajian di peringkat sarjana di United Kingdom (UK) namun disebabkan mengandung, saya tidak mendapat biasiswa.
"Kemuncaknya, Oktober tahun lalu, suami sekali lagi mendapat tawaran kerja di Australia. Selepas berbincang, kami membuat keputusan sudah tiba masanya untuk berhijrah memulakan kehidupan baharu sambil saya turut mengambil peluang menyambung pelajaran dalam bidang pemasaran di sini, " katanya kepada Harian Metro.
Menurut anak kelahiran Ipoh, Perak itu lagi, dia sebelum ini pernah sembilan tahun menetap di UK kerana ibu bapanya melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah doktor falsafah di sana.
Katanya, kehidupan di ibu kota Kuala Lumpur yang sentiasa sibuk juga antara faktor mengapa dia dan suami mengambil keputusan untuk berhijrah.
"Akhir Jun lalu akhirnya saya, suami dan anak perempuan berhijrah ke Melbourne.
"Cabaran utama kami ketika itu adalah mencari rumah sewa dan Alhamdulillah, Allah SWT mudahkan kerana tidak berapa lama kemudian, kami berjaya menemui rumah sewa yang sesuai dan dekat dengan pengangkutan awam," katanya.
Menurut Zatul Iffah lagi, mereka memilih Melbourne kerana bandaraya itu tenang dan situasi bekerja di sana juga menyeronokkan.
Kata Zatul Iffah, suaminya bekerja dari jam 9 hingga 5 petang dan selepas itu masa hanyalah untuk keluarga tanpa gangguan daripada majikan.
Selain itu, kos sara hidup, harga barangan dan makanan di bandaraya itu juga berpatutan.
Katanya, jika tiada aral, mereka sekeluarga merancang mahu menetap di Melbourne sehingga mendapat taraf permastautin tetap (PR), sambil memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dalam talian bagi mengisi masa terluang ketika belajar.
"Memang diakui, untuk memulakan hidup baharu di tempat orang bukanlah mudah tetapi jika kena dengan caranya, ia juga tidaklah sesukar mana.
"Bohonglah kalau kata tidak rindu pada tanah air dan keluarga tercinta namun teknologi komunikasi hari ini sudah canggih, kami boleh membuat panggilan video kepada keluarga setiap masa.
"Apapun Malaysia sememangnya sentiasa di hati dan penghijrahan ini hanyalah untuk mencari kelainan dalam kehidupan kami," katanya.
Sementara itu, Nor Azira Abdul Aziz, 40, pula sudah 12 tahun berhijrah ke Oslo, Norway kerana mengikuti suaminya, Faizul Akmal Ahmad Rodi yang mendapat pekerjaan sebagai jurutera di sebuah syarikat minyak di sana.
Katanya, selain mencari rezeki yang lebih baik, kelahiran dua anak istimewa, Nur Fazera Akmal, 12, (autisme) dan Nur Firzanah Akmal, sembilan tahun, dengan kecacatan fizikal serta penyakit Juvenile Systemic Arthritis, turut mendorong mereka untuk kekal menetap di negara itu sehingga hari ini.
"Ini kerana hak keistimewaan untuk golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bagus di negara ini, mereka mendapat terapi secara percuma manakala kanak-kanak juga menikmati rawatan perubatan tanpa perlu mengeluarkan bayaran.
"Selain itu, pengangkutan seperti teksi pergi dan balik disediakan oleh pihak sekolah secara percuma manakala alatan bantuan untuk pergerakan juga disediakan secara percuma.
"Malah bantuan seperti shadow aid, home relief, bantuan kewangan dan sebagainya juga disediakan kepada anak-anak istimewa di sini," katanya ketika dihubungi.
Nor Azira yang kini bekerja sebagai pembantu tadika mengakui, pada awal penghijrahan bukanlah sesuatu yang mudah dan dia juga mengambil masa kira-kira enam bulan untuk menyesuaikan diri dengan cuaca, bahasa serta budaya masyarakat negara berkenaan.
Namun dia bersyukur kerana penerimaan masyarakat di sana untuk orang Islam lebih terbuka.
"Kira-kira 50 peratus penduduk Oslo adalah orang luar dengan pelbagai agama serta budaya. "Jadi, penerimaan rakyat tempatan terhadap orang Islam juga sangat baik dan sehingga kini, terdapat 220 masjid di seluruh Norway," katanya.
Nor Azira berkata, jika anak muda mempunyai peluang untuk berhijrah, bermusafirlah demi mencari pengalaman dan mengenali negara orang.
Katanya, hijrah bukanlah disebabkan faktor tawaran gaji yang lebih tinggi semata-mata sebaliknya peluang untuk membina kerjaya lebih luas dan pengalaman yang diperolehi boleh untuk menyumbang kepada tanah air kelak.
Mula jadi 'kuli', kini miliki restoran di Australia
sKuala Lumpur: Siapa menyangka bermula sebagai 'kuli' pemetik buah di ladang Australia selama tiga tahun, wanita gigih, Wan Siti Hajar Wan Yaacob, 35, akhirnya kini mampu memiliki perniagaan restoran di negara asing berkenaan.
Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, kos sara hidup di Kuala Lumpur yang tinggi menyebabkan keluarganya mencuba nasib berhijrah ke Melbourne, Australia pada tahun 2017.
"Namun sebelum berjaya membuka restoran Malaysia di sana (Melbourne), saya bekerja keras dan sanggup menjadi pemetik buah anggur," katanya kepada Harian Metro.
Anak kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berkata, majikannya menyambut baik pekerja asing kerana kebanyakan orang Australia tidak mahu bekerja dalam bidang pertanian dan buruh kasar.
Tambahan pula, dia tertarik dengan disiplin serta keseimbangan di antara kerja dan kehidupan yang ditawarkan.
Menurutnya, negara berkenaan membayar gaji pekerja berdasarkan jam serta dibayar setiap dua minggu sekali tanpa mengira buruh atau pekerja profesional.
"Waktu bekerja memetik buah bermula jam 8 pagi namun persediaan bermula seawal jam 7:55 pagi dan tamat pada jam 5 petang.
"Syarikat atau pemilik ladang buah juga akan membayar sekiranya mereka bekerja lebih masa," katanya.
Mengulas lanjut, majoriti yang bekerja di ladang buah di sana adalah warga asing.
"Walaupun saya mendapat bantahan daripada keluarga pada awal penghijrahan namun persepsi itu berubah apabila sumber kewangan kami kian kukuh.
"Boleh dikatakan pencapaian diperoleh ketika berhijrah dan bekerja di luar negara membolehkan kami bebas daripada hutang serta dapat menjalani kehidupan seimbang," katanya.
Pemilik restoran itu berkata, pendapatan diperoleh dengan bekerja sebagai pemetik buah membolehkan dia kini membuka restoran Warong Mummy yang menjamu pelbagai masakan Malaysia.
"Kami berjimat cermat berkaitan kewangan sebelum dapat memiliki perniagaan restoran di negara berkenaan yang kian berkembang maju.
"Saya kini fokus menguruskan restoran terletak di Melbourne bersama keluarga. InsyaAllah saya mempunyai perancangan untuk kembali ke Malaysia semula suatu hari nanti," katanya.
Rezeki Amirul hantar 'resume' di Itali
Kuala Lumpur: Berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan tidak menghalang Mohd Nur Amirul Suradi, 29, berhijrah dan mengejar cita-citanya di luar negara.
Anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu mempunyai impian bekerja di luar negara sejak kecil dan ia tercapai tahun lalu apabila dia berhijrah ke Itali.
Selesa dengan panggilan Amirul, dia berkata, rancangan untuk berpindah ke luar negara sudah dilakukan pada tahun 2020 iaitu selepas tamat diploma.
"Walaupun simpanan sudah mencukupi namun disebabkan penularan wabak Covid-19, rancangan itu terpaksa dibatalkan," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, impian itu kembali bermain di fikiran Amirul pada awal tahun lalu dan mendorongnya membeli tiket penerbangan untuk melancong ke Itali.
Katanya, dia terbang ke Itali pada April tahun lalu dan ternyata pilihannya tidak salah kerana tertarik dengan kehidupan masyarakat di negara ini.
"Selepas menimbang semua perkara, akhirnya saya bertekad untuk berhijrah dan bekerja di sini.
"Saya mencuba nasib dengan menghantar resume ke beberapa syarikat, Alhamdulillah mendapat tawaran di salah sebuah syarikat dalam bahagian perancangan pemasaran," katanya yang mengakui keluarganya turut terbuka dengan keputusan berkenaan.
Graduan dalam bidang rekaan fesyen itu berkata, industri berkenaan masih sukar untuk diceburi menyebabkan dia beralih arah mencuba bidang pemasaran sebagai pekerjaan utama.
Katanya, dia menjalankan review di aplikasi TikTok dan menggunakan simpanan semasa bagi menampung kos kehidupan semasa mula menapak di sana.
"Sekarang saya fokus bekerja dan pada masa sama belajar memahirkan lagi bahasa Itali kerana penduduk di sini majoritinya tidak bertutur dalam Bahasa Inggeris.
"Awalnya memang sukar untuk berkomunikasi dengan masyarakat di sini, saya mengambil masa hampir 10 bulan untuk mempelajari dan memahami bahasa mereka, " katanya.
Menurut Amirul lagi, semua urusan penghijrahan itu diuruskan dia sendiri tetapi komuniti di sana turut membantu warga asing untuk mendapatkan permit secara sah.
Katanya, pengangkutan awam di negara itu juga mudah dan makanan halal juga senang diperolehi.
"Jika ada rezeki, saya mahu terus menetap dan berkahwin dengan penduduk tempatan di sini," katanya.
Dalam pada itu, Amirul turut merancang membuka perniagaan restoran di negara itu apabila simpanannya sudah mencukupi.
Ini kerana rakyat Malaysia ramai melancong ke negara itu dan memudahkan mereka untuk mendapatkan makanan halal.
"Selain memudahkan rakyat Malaysia yang datang ke sini mendapatkan makanan halal, restoran itu juga kelak dapat memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk bekerja di negara ini.
"Apapun, jangan terburu-buru berpindah ke luar negara tanpa memiliki ilmu yang cukup kerana cabaran yang menanti tiada siapa yang tahu," katanya.
Sementara itu bagi bekas pensyarah, Norazryana Mat Dawi, 38, keputusannya untuk berhijrah ke Toronto, Kanada, bukanlah bermakna dia tidak menyayangi tanah air.
Sebaliknya ia adalah peluang untuk memperbaiki kehidupan selain dapat menimba pengalaman baharu.
"Saya mula berpindah ke Kanada pada 2019 bersama suami dan kini menjadi penduduk tetap (permanent resident) di negara ini.
"Kanada kaya dengan pemandangan yang menarik, sesuai dengan kami berdua yang gemarkan keindahan alam semula jadi," katanya.
Norazryana yang kini bekerja sebagai penganalisis data berkata, faktor suami yang bukan warganegara Malaysia juga menjadi dorongan untuk dia berhijrah.
Kata Norazyana, proses untuk menjadi penduduk tetap di negara itu bagaimanapun bukan mudah, dia mengambil masa hampir setahun untuk menguruskan urusan imigresen, penyediaan dokumen dan juga visa yang semuanya diuruskan sendiri.
Katanya, dia juga berdepan dengan cabaran untuk mencari pekerjaan yang sesuai kerana masyarakat di sana kebanyakannya masih mempunyai pandangan skeptikal terhadap orang Asia.
Lambakan graduan dorong golongan muda hijrah ke luar
Kuala Lumpur: Malaysia ketika ini mengalami lambakan graduan justeru keberanian golongan muda berhijrah ke luar negara untuk bekerja dan membina kehidupan baharu wajar diberi pujian.
Jika dibandingkan 10 hingga 15 tahun dahulu, tujuan generasi muda ke luar negara ketika itu adalah semata-mata untuk menyambung pelajaran.
Namun kini, sudah ramai berani meninggalkan keluarga dan negara tersayang demi mencari rezeki di rantau orang.
Pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya, Prof Madya Dr Melati Sumari berkata, usaha golongan muda itu sememangnya disokong atas pelbagai faktor, salah satunya adalah kerana sumber pekerjaan di negara ini semakin berkurangan dan Malaysia juga sedang mengalami lambakan graduan.
"Jika dilihat pada tahun 1990-an, graduan boleh mendapatkan pekerjaan dalam masa singkat iaitu kira-kira sebulan selepas tamat pengajian, tetapi keadaan itu sudah tidak berlaku lagi pada hari ini.
"Jadi, berhijrah mencari pekerjaan di luar negara adalah perkara yang bagus bagi generasi muda untuk mencuba nasib.
"Namun proses penghijrahan itu mestilah dilakukan dengan mengikut syarat dan prosedur undang-undang yang ditetapkan oleh negara yang dituju bagi mengelakkan kesulitan," katanya kepada Harian Metro.
Mengulas lanjut Melati berkata, apabila berhijrah ke negara asing, seseorang itu berpeluang mempelajari dan menerokai lebih banyak perkara baharu, bukan sekadar untuk bekerja semata-mata.
Kata Melati, anak muda juga berpeluang mempelajari bagaimana untuk menghormati perbezaan dan meraikan kelainan gaya hidup serta budaya masyarakat di sesebuah negara.
Katanya, penghijrahan sebenarnya bertujuan untuk menambah pengalaman seseorang individu itu.
"Kita tidak boleh melihat pekerjaan di negara barat seperti United Kingdom, Amerika Syarikat atau di Eropah sahaja, tetapi perlu melihat secara lebih meluas.
"Contohnya, budaya masyarakat Timur Tengah jauh berbeza dengan budaya kita, budaya yang kita rasa kasar itu adalah perkara biasa bagi mereka.
"Di situlah kita akan dapat mempelajari banyak benda dan budaya baharu, ia akan membuka minda kita," katanya.
Dalam pada itu, Melati turut berpesan kepada golongan muda yang mahu berhijrah supaya menggunakan saluran yang sah.
Katanya, pelajar postgraduate di sesetengah negara turut ditawarkan graduate assistantship bagi mereka yang ingin menyambung pengajian ke luar negara.
Disebabkan itu, mereka berani memohon untuk menyambung pengajian ke luar negara dan menerokai perkara yang membolehkan mereka mendapat peluang bekerja di negara terbabit.
Katanya, ia bukan sahaja menambahkan lagi pengalaman seseorang itu dari sudut kemanusiaan malah turut meningkatkan kecerdasan emosi kerana bukan sahaja belajar memahami diri, tetapi juga memahami orang lain.
Disiarkan pada: October 29, 2023 @ 12:01pm |
This post contains more resources
You have to Login for download or view attachment(s). No Account? Register
x
|