|
AZEEM akan mengetuai kuartet 4x100m negara di Sukan Asia Hangzhou. FOTO ARKIB NSTP
Hangzhou: Latihan lebih seminggu bersama kuartet 4x100 meter (m) negara sudah cukup buat jaguh pecut, Muhammad Azeem Fahmi mendapatkan keserasian.
Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim berkata, beliau tidak bimbang mengenai keserasian itu kerana masa yang ada sudah cukup buat kuartet negara mempamerkan aksi terbaik di temasya Sukan Asia Hangzhou.
Malah, Poad yakin barisan pelari pecut negara kali ini mampu melakarkan kejutan.
Katanya, biarpun sukar untuk menjelmakan pingat, sasaran mencatatkan rekod baru di bawah 39 saat bukan sesuatu yang mustahil.
"Tak ada masalah untuk Azeem menyesuaikan diri dengan pasukan biarpun dia baru tiba dari Amerika Syarikat (AS) beberapa hari sebelum kami berangkat ke Hangzhou.
"Masih ada masa lagi untuk menjalani latihan bersama sebelum turun beraksi dalam acara 4x100m pada 2 Oktober nanti," katanya.
Azeem tiba dari AS untuk bersama pasukan negara pada 21 September lalu dan mampu melonjakkan kuartet pecut negara.
Bagaimanapun, dia terlebih dahulu akan turun beraksi dalam acara saringan 100m pada Sabtu nanti.
Kuartet 4x100m negara dijangka membabitkan Azeem dan Khairul Hafiz Jantan dengan dua lagi slot bakal menjadi rebutan antara Muhammad Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa, Muhammad Arsyad Md Saat dan Russel Alexander Nasir Taib.
Rekod kebangsaan dalam acara 4x100m adalah 49.09s yang dilakukan sewaktu merangkul perak di Sukan Sea Hanoi di Vietnam, tahun lalu.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... artet-4x100m-negara |
|