|
Artis versatil, Zizan Razak menegaskan dia belum terfikir untuk bersara dari dunia seni namun mengakui lebih selektif memilih projek.
Katanya, sehingga ke hari ini, dia masih mencintai dunia seni yang diceburinya namun semakin matang membuat pilihan.
"Saya masih aktif dalam industri hiburan. Buat masa ini, saya gembiralah terutama dalam bidang lakonan kerana itu karier disukai sejak kecil.
"Meskipun ketika itu, tidak terfikir bergelar artis, namun, Allah sudah tulis jalan hidup saya. Apabila dapat peluang, saya tidak mahu mensia-siakannya.
"Kesimpulannya, saya belum puas lagi sehingga tahap saya hendak berhenti. Saya masih mahu terus menjadi anak seni yang mengharumkan nama Malaysia pada peringkat antarabangsa," katanya.
Tambahnya lagi, dalam lakonan dan nyanyian, dia sangat berhati-hati dalam pemilihan watak, skrip dan lagu kerana enggan melakukan perkara sama berulang kali.
"erkara ini juga untuk kebaikan diri. Saya cari projek yang lebih menunjukkan lakonan saya semakin 'stail' dan bagus.
"Kematangan membuatkan saya berhati-hati ketika bekerja. Mungkin dahulu saya ambil sahaja tawaran berlakon yang ada.
"Namun, apabila sudah keluar di pawagam, ada kalanya, saya bertanya sendiri, sebenarnya, saya boleh buat lebih daripada apa yang dihasilkan.
"Selain itu, setiap orang yang datang membeli tiket adalah peminat. Semestinya, saya hendak mereka keluar pawagam dengan rasa puas, bukannya perasaan tidak puas hati dengan hasil kerja ditunjukkan.
"Begitu juga dengan kerjaya nyanyian. Masalah sama saya hadapi untuk pilih lagu kerana karya sekarang semakin hebat dan bagus," katanya.
Sumber: BH Online |
|