Pencetus Ummah (PU) Syed tampil memberikan teguran kepada kumpulan Dolla terutama dua anggota iaitu Sabronzo dan Syasya berkenaan pemakaian mereka dalam muzik video single berjudul Damelo.
Menerusi hantaran di Instagram (IG), Syed mempertikaikan imej digayakan Sabronzo dan Syasya yang beragama Islam.
"Semakin hari semakin rancak dan bebas tanpa segan silu memakai pakaian mengikut kehendak pasaran.
"Dalam carian google ambe dapati, dua daripada empat ahli kumpulan ini rupanya adalah muslim. Kenapa mereka berani berpakaian seperti yang dinyatakan oleh insan yang PM ambe itu?" katanya.
Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak, kecewa apabila garis panduan dalam pemakaian cara Islam seringkali tidak dipatuhi.
"Garis panduan pemakaian khasnya buat umat Islam di Malaysia sering dilanggari dan penguatkuasaan yang sangat lemah yang ‘mungkin’ berharap hanya kepada laporan pihak berkuasa.
"Apa yang menyedihkan peraturan dan undang-undang seolah telah dibangkul sampahkan, sedangkan setiap negeri mempunyai enakmen sendiri dalam isu pemakaian serta khasnya buat yang mencemarkan imej Islam," kata lagi.
Syed menjawab kiriman mesej daripada seorang individu yang kurang senang melihat Dolla memakai ‘baju dalam’ ketika dalam MV Damelo.
Dakwa individu terbabit, imej yang digayakan keterlaluan namun Dolla mendapat pujian anak muda malah dianggap setanding dengan penyanyi antarabangsa.
Dalam pada itu, Syed menyatakan dia dan asatizah lain tidak mempunyai kuasa sebaliknya hanya mampu mencegah masyarakat daripada terus hanyut tanpa batasan.
"Kami asatizah, tidak mampu untuk berbuat apa-apa dan cuma hanya mampu mencegah masyarakat khasnya umat Islam dari terus hanyut dalam hiburan yang tidak kenal batas halal dan haram!" tambahnya lagi.
Sumber: Oh Bulan!
|