Penyanyi, Siti Nordiana yang sudah lebih dua dekad menceburi bidang nyanyian tanah air menterjemahkan sisi kematangannya dalam industri seni suara menerusi lagu-lagu yang didendangkannya.
Wanita yang mesra disapa sebagai Nana itu kini tampil dengan single baharu berjudul Arah Cinta ciptaan sepenuhnya oleh Ikhwan Fatanna dan diterbitkan oleh Seventeen Eleven Music.
Katanya, single bergenre pop balada itu adalah idea sepenuhnya oleh Ikhwan.
"Single Arah Cinta dihasilkan berdasarkan kisah perhubungan toksik.
"Jadi, Ikhwan terjemahkan kisah ini dalam lagu Arah Cinta. Saya cuba membayangkan perkara ini kerana sekeliling saya juga terdapat kisah toksik.
"Dengan cara itu, saya dapat 'feel' untuk menyampaikan lagu ini," katanya.
Jika beberapa karya sebelum ini Nana sendiri memilih menghasilkan lagu dan liriknya, berbeza dengan single Arah Cinta.
Nana berkata, kekangan masa membuatkannya menyerahkan sepenuhnya kerja penghasilan lagu kepada syarikat rakaman dan komposer.
"Saya tiada masalah bekerjasama dengan komposer lain. Sejujurnya, saya tiada masa untuk menghasilkan karya baharu.
"Untuk single Arah Cinta, ia tidak boleh dihasilkan dalam tempoh singkat untuk mendapatkan idea.
"Bagaimanapun, saya mahukan single baharu keluar dengan cepat. Jadi, kalau nak tunggu idea sendiri akan ambil masa.
"Jadi, apa salahnya saya membuka ruang kepada komposer lain untuk bekerjasama," katanya.
Katanya, dia perlu membuka ruang bekerjasama dengan komposer lain, termasuk Ikhwan agar pelbagai karya dapat dihasilkan.
"Saya juga mahu cuba pelbagai sentuhan karya untuk mencabar diri.
"Single Arah Cinta memberi cabaran tersendiri. Keunikan karya ini apabila menguji vokal saya. Mungkin sudah lama saya tidak muncul dengan karya 'power ballad'.
"Jadi, Ikhwan meletakkan dinamik dalam lagu. Dari bahagian 'soft' ke 'strong' agak mencabar," katanya.
ya Tuhan bosannya lagu2 baru sheols, semuanya sama template jah, kalau lain sikit pon menyantun kasih, dengan amaran. Takda pembaharuan dalam teknik vokal, plain gitu aje. Iols terpaksa amik tahu sebab kawan iols sorang tu karatz nana, excited gitu bila sheols ada lagu baru, padehal tak sedap mana pon sabar je lah meols