Tragedi malang menimpa kanak-kanak berusia 12 tahun ketika mencari siput dalam kejadian di perairan Pulau Sumangut Payau, Sandakan.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi pada Selasa, mangsa dikatakan disambar buaya ketika berenang menghampiri perahunya.
Mayat mangsa ditemukan maut selepas dilaporkan telah disambar buaya dalam kejadian di perairan Pulau Sumangut Payau, Sandakan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan Severinus Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.25 pagi.
Katanya, empat anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 24 kilometer dengan menaiki sebuah pacuan empat roda dan bot untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Berdasarkan maklumat, saksi menyatakan mangsa sebelum itu mencari siput di kawasan berkenaan dan selepas selesai, mangsa mahu kembali semula ke perahunya.
"Ketika berenang menghampiri perahu, tiba-tiba mangsa disambar buaya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya lagi, mangsa kemudian dimaklumkan telah ditemukan pada jam 10.38 pagi oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
"Mangsa ditemukan kira-kira satu batu nautika dari lokasi kejadian dan dilaporkan telah meninggal dunia.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 12.40 tengah hari," katanya.
Sumber: Sinar Harian |