Kemalangan membabitkan lori balak di Jalan Temerloh-Karak pada Jumaat menyebabkan seorang lelaki maut tersepit di dalam kereta dipandunya.
Bagaimanapun, seorang lagi lelaki iaitu penumpang kereta tersebut berjaya keluar dari kenderaan berkenaan, namun mengalami kecederaan.
Keadaan kereta yang dinaiki mangsa remuk akibat kemalangan tersebut di Jalan Temerloh-Karak pada awal pagi Jumaat.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria mengesahkan kejadian berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 2.22 pagi mengenai kejadian tersebut sebelum mengerah lima anggota dan seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab bersama sebuah jentera ke tempat kejadian.
"Sampai di lokasi mendapati terdapat kemalangan melibatkan dua kenderaan dan terdapat dua lelaki dewasa iaitu seorang mengalami kecederaan telah keluar sendiri dari kenderaan.
"Seorang lagi lelaki pula tersepit dalam kereta jenis Perodua Myvi dan pasukan memulakan operasi dengan menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa tersebut," kata beliau dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujar beliau, operasi mengeluarkan mangsa itu mengambil masa kira-kira 30 minit.
"Lelaki itu disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," jelas Zulfadli.
Sumber: Sinar Harian |