Seorang lelaki mengugut bunuh ibunya sendiri dalam kejadian di Felda Jelai 1, Gemas, di sini, Selasa lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tampin hari ini.
Utusan melaporkan, Mohamad Azuandi Sitam, 30, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Kartini Kasran.
MOHAMAD Azuandi Sitam (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Tampin, bagi didakwa atas pertuduhan mengugut bunuh ke atas ibunya sendiri dalam kejadian di Felda Jelai 1, Gemas, Tampin, Selasa lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh menakutkan ibunya berusia 68 tahun dengan ugutan hendak membunuh pada 21 Februari lalu kira-kira pukul 10.30 pagi di kawasan luar rumah di Felda Jelai 1.
Berdasarkan fakta kes, pada tarikh, masa dan lokasi sama, mangsa bersama seorang lagi anak lelakinya dan menantu perempuan sedang mengemas di kawasan luar rumah.
Secara tiba-tiba, tertuduh memarahi ketiga-tiga ahli keluarganya itu yang berada di luar rumah kerana membuat bising.
Mangsa meminta tertuduh supaya bertenang kerana malu dengan jiran-jiran yang melihat dan tiba-tiba tertuduh mengamuk dan memarahi mangsa serta mengacu sebilah pisau pemotong daging serta mengeluarkan kata-kata ugutan kepada mangsa.
Wanita itu terus melarikan diri ke rumah adiknya untuk menyelamatkan diri dan menantunya menghubungi pihak polis kerana bimbang dengan keselamatan diri selain datang ke balai polis bagi membuat laporan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Yap Tsu Sheng manakala tertuduh diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Atas kesalahan itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dari tarikh tertuduh ditangkap.
Sumber: Utusan |