PETALING JAYA: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menegaskan beliau tidak akan merayu keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memecatnya daripada parti itu.
Bekas Menteri Kesihatan itu berkata tiada gunanya berbuat demikian kerana pihak yang mahu beliau keluar tetap kekal dalam parti.
Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam program Breakfast Grille bersama BFM pagi ini.
Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau tidak berdendam dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan masih menganggapnya sebagai rakan.
Khairy dipecat pada Jumaat kerana melanggar disiplin parti ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).