CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 243|Reply: 0

[Pulau Pinang] PASB jejaki alumni UPSI di dalam, luar negara

[Copy link]
Post time 29-12-2022 09:43 PM | Show all posts |Read mode
PASB jejaki alumni UPSI di dalam, luar negara



Oleh Siti Aminah Mohd Yusof - Disember 29, 2022 @ 9:22pm  bhnews@bh.com.my




Abdul Rahman beramah mesra dengan pemimpin dan ahli PASB. - NSTP/MIKAIL ONG




GEORGETOWN: Persatuan Alumni Suluh Budiman (PASB) sedang giat melakukan jelajah hingga tahun depan bagi menjejaki alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang berada di dalam dan luar negara, termasuk Singapura, Brunei serta Indonesia.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Burak, berkata inisiatif terbabit bermula akhir September lalu di Johor dan Singapura sebelum diteruskan ke Melaka, Negeri Sembilan serta Ipoh, Perak.

"Sejak semalam pula kami berada di Zon Utara untuk menyantuni ahli di Pulau Pinang dan ada yang datang dari utara Perak, Kedah, Perlis serta Thailand.

"Kami juga akan menjejaki alumni di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, selain merancang ke Pahang, Kelantan serta Terengganu sebelum ke Sabah dan Sarawak.

"Kami turut bercadang mengunjungi cawangan PASB di Medan, Acheh serta Riau di Indonesia pada tahun depan.

"Seterusnya, ia akan diakhiri dengan program Ziarah Umrah di Makkah dan Madinah, di samping ke Masjid al-Aqsa di Baitulmaqdis kira-kira dua minggu sebelum Ramadan," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad bersama barisan pemimpin dan ahli PASB mengadakan pertemuan dengan bekas Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas selaku penaung PASB. Yang turut hadir, Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang, Tan Sri Mohd Yussof Latiff.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, PASB yang dinobat sebagai persatuan alumni universiti awam terbaik sejak 2019, berjaya menjejaki kira-kira 100,000 alumni UPSI yang menyambut ulang tahun ke-100 pada 29 November lalu, termasuk 5,000 ahli aktif.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya menganjurkan bengkel membincangkan hala tuju PASB, sekali gus menggariskan tiga resolusi berkait hak kepentingan orang Melayu dan isu pendidikan pada peringkat nasional.

"Resolusi utama ialah memohon kerajaan bertindak merealisasikan Wasiat Raja-Raja Melayu pada 5 Ogos 1957 yang menyatakan Tanah Rizab Melayu mesti kekal sekurang-kurangnya 50 peratus.

"Dalam hal ini, kami tidak pernah berhenti memperjuangkan isu nasional dengan menolak usaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Persendirian Cina (UEC). Kami juga konsisten memperjuangkan sistem pendidikan kebangsaan sedia ada," katanya.

Susulan itu, katanya, PASB akan menganjurkan forum yang menampilkan ahli panel meliputi bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam; ilmuwan, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong; dan pengkaji sejarah daripada Ikatan Ahli Arkeologi Malaysia, Zaharah Sulaiman, di Shah Alam, Selangor, 14 Januari depan.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga mahu PASB diiktiraf sebagai persatuan dalaman UPSI bersama persatuan lain.

UPSI yang terletak di Tanjung Malim, Perak, telah merentasi empat zaman bermula sebagai Sultan Idris Training College (SITC) pada 1922, Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) 1957 dan Institut Perguruan Sultan Idris (IPSI) 1987.









Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

25-4-2024 01:59 AM GMT+8 , Processed in 0.057052 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list